Hijrah Kedua

Kami mulai langkah baharu dengan Bismillah. Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Mengapa pergi?

Jawapannya adalah mencari Cinta di atas cinta. Merawat diri dan hati. Mengembara, berkelana dengan tawakal paling dalam.

Sebenarnya, ianya tidak semudah itu. Bilah-bilah hari berlalu antara tahun 2020 hingga akhir 2022 saya lalui dengan payah. Kekuatan pada masa itu adalah melihat orang lain terutama keluarga terdekat, sahabat-taulan dan rakan media sosial yang menerima ujian lebih dahsyat berbanding saya. Misalnya, seorang rakan baik sejak kecil, suaminya meninggal dunia mengejut, pergi selamanya dari sisi sang isteri dan tiga anak lelaki. Saya begitu terkesan dengan kehilangan suami adinda A apabila saya melihat situasi sendiri. Suami saya saat itu kehilangan pekerjaannya sebagai jurutera kanan di sebuah syarikat antarabangsa, dia kemudian berdikit-dikit berniaga. Justeru, sebahagian besar kewangan kami di ibu kota saya yang menanggung, kadangkala memunculkan rasa berat dan payah. Ujian hebat untuk suami di kala ekonomi negara saat Covid 19 dan pasca Covid 19 mencorot. Saya kuatkan jiwa dengan berkata kepada diri, “Adinda A kehilangan suaminya, tetapi saya masih mempunyai suami yang pekerjaan tetapnya hilang tetapi pasti Allah akan meluaskan rezekiNya dalam bentuk yang pelbagai..”

Jika kalian tinggal di tengah kota Kuala Lumpur, kalian akan faham mengapa begitu berat ujian kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba.

Dalam tahun-tahun mengujikan, kami dikurniakan dua anak perempuan, masya Allah; nikmat yang amat besar. Saya kemudiannya bertarung dengan peperangan ‘masa’ yang dahsyat. Antara tuntutan KPI pekerjaaan saya yang tinggi, anak-anak dan perjalanan ke tempat kerja yang mengujikan (kesesakan luar biasa). Saya menjadi bingung dan selalu lelah. Apa-apa yang ingin dilakukan (terutama menulis artikel dan menulis kreatif) padam apabila tiba di rumah. Anak-anak kecil tidak mahu melepaskan saya sehingga ruang (untuk diri sendiri) di rumah tinggal untuk tidur menghilangkan lelah.

KPI akademik menjunam dari 90++ ke 70++ dan kemudian 60++ gara-gara ‘lemah’ mengurus masa. Saya cintakan pekerjaan saya sebagai guru dan penyelidik namun keadaan menghambat saya untuk menyoal diri; wajarkah aku berhenti kerja untuk fokus kepada anak dan penulisan kreatif, di mana masaku sekarang amat terbatas?!

Ketika rencah-rencah hidup mulai berbeza rasa, penyedapnya adalah bermuhasabah, berdoa dan memasang impian. Kerap kali muncul di fikiran untuk berhijrah ke daerah yang memberi ruang lebih baik untuk saya menjadi isteri, ibu, guru dan penulis dengan keadaan yang tidak menekan dan menindas.

Ke Korea semula? Ah..angan-angan.

Impianmu, Doamu

Itulah suratannya. Saat diri hampir dirempuh kawanan resah, saya mendapat tawaran dari ayahanda guruku, Prof Dr Koh Young Hun, “Jika umi mau mengajar di Hufs, saya tidak akan menawarkan kepada orang lain,” katanya. Saya berbincang dengan suami. Serta-merta dia kembali mendapat nyawanya untuk bergerak lebih maju sebagai ketua keluarga. Dia mahu saya memberinya peluang di perantauan untuk melakukan sesuatu yang lebih baik, untuk keluarga kami yang kini berjumlah 6 orang.

“Jika pilihan kita ke Korea itu baik, semoga Allah SWT permudahkan,” itulah iltizam kami selepas melakukan Istikharah.

Proses itu berlangsung baik, tepat pada waktunya. Saya meninggalkan pekerjaan, rakan-rakan dan pelajar-pelajar di saat semester selesai. SESUATU YANG KAMI ANGAN-ANGANKAN WAKTU GURUH DAN HALINTAR MUNCUL, KINI MENJADI DOA YANG MAKBUL.

PERJALANAN

27 Februari 2023. Jam 6 pagi kami tiba, lebih awal 30 minit. Saya dan suami sudah membuat keputusan, kami akan turun paling lewat (seperti sebelum-sebelum ini kami tiba di Seoul pada tahun 2014, 2015, 2016, 2017 dan terakhir 2018). Kedua anak lelaki kami (Dardak dan Dawud) yang dulunya kami kendong dan kejar, kini bergandingan menjaga adik-adiknya Ahda dan Aminah. Beberapa kali suami bercakap kepada saya, “Kita seperti membawa Darda dan Dawud yang dulu” merujuk Ahda dan Aminah sekarang, memang persis, masya Allah!

Tempat pertama kami tuju adalah bilik air (hwajangsil). Suami dan anak-anak lelaki mengambil wudhuk dulu, langsung menunaikan solat Subuh, biarpun bukan kawasan surau. Saya menukar lampin pakai buang Ahda, sementara Aminah yang terkurung dalam baju tebal kelihatan masih mengantuk. Kami perlahan-lahan berjalan ke stesen tren yang akan membawa kami ke ruang imegresen dan ketibaan. Saya melihat lapangan terbang ini sedikit menyusut jumlah pelancongnya berbanding Oktober 2019, bulan terakhir saya mendarat di sini.

Bibir menguntum senyum saat menulis borang-borang wajib untuk masuk ke ruang ketibaan. Tarikh perlu bermula dengan tahun, bulan dan hari (di Malaysia kita bermula dengan hari, bulan dan tahun). Syukurlah urusan di kaunter imegresen mudah. Kali ini terlihat Darda’ lebih matang, membantu ayahnya mengumpulkan semula bagasi-bagasi kami yang berat keseluruhannya 80 kg. Sebelum sampai ke pintu keluar, satu beg kami ditahan dan perlu pemeriksaan teliti. Rupanya telur masin yang dikirim emak menerima lampu amaran. Allahuakbar, telur itu kemudiannya diizinkan masuk ke Korea (berkah ikhlas emak saya mahu kami makan di Seoul).

Desir 0 celcius mulai menyapa. Dawud dan Darda’ yang sudah biasa sebelum ini tersenyum ceria, menghembus-hembus nafas dan teruja melihat asap dari mulut masing-masing. Ahda dan Aminah diam dan pasif, terkejut cuaca. Sahabat kami Nasriah mengirimkan pekerjanya menyambut kami dengan van Starex (dari airport ke rumah dalam 100 ribu won). Sepanjang perjalanan saya merakam video. Saya tidak tahu untuk mengucapkan betapa saya tidak percaya sampai ke sini lagi, dengan suami dan 4 anak. hanya hati bertasbih dan bertahmid. Saat mentari meliuk di atas Sungai Han, saya ingin menangis. Sungai Han..kuatnya jodoh kita lagi.

“Darda’, kita sudah kembali ke Korea, Darda’ ingat tak lagi?” banyak kali saya ulang kepada Darda’. Saya maklum, perasaannya kala itu mungkin tidak terlalu teruja, seperti ibunya. Mungkin masih teringat-ingat keluarga, guru-guru dan rakan-rakannya di tanah air. Masuk sahaja ke ruang HUFS, suami mula bersuara, mengingati jalan-jalan yang kami tinggal seakan tidak berubah. Saya sudah menerima kata kunci untuk masuk ke unit kediaman kami. Anak-anak murid Korea sudah menanti (Hyunso dan rakan-rakan) untuk membawa barang-barang kami ke rumah, kali ini di lantai 11 (2017-2018 kami dilantai 6).

rumah cinta

Setelah selesai meletakkan barang-barang, saya perlu ke pejabat pentadbiran HUFS untuk urusan sign kontrak dan membuat akaun bank. Kami bercadang untuk menunaikan solat Asar di Masjid Itaewon; biarpun jauh dan perlu mengharungi banjiran manusia dalam subway, tetapi kami mesti pergi untuk menyatakan syukur kami kepada ALLAH SWT di rumahNya.

hari pertama itu, kami tidak sedar yang kami bergerak sehingga jam 11.30 malam, untuk bangun esok pagi dan berkata pada diri; kami sudah menjadi sebahagian yang kami doakan, tinggal menyempurnakan dengan baik segala amanah, segala ujian dan nikmah yang di depannya adalah redha ALLAH SWT dan kekasihNya, Nabi Muhammad SAW.

Kami mahu hijrah kedua kami di sini, akan lebih baik dari sebelumnya dalam hubungan kami sesama manusia, dengan alamNya dan tentunya dengan Pencipta.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Loading

Perasaan ‘Yang Darurat’

Baru-baru ini aku telah membaca sebuah cerpen dari penulis yang aku senangi tulisannya sejak dulu. Cerpen itu berjudul ‘Sekilas…Aku pun Jatuh Cinta.’ Penulisnya, Zainal Rashid Ahmad atau sekarang popular dengan gelar Haji ZRA.

Cerpen ini bertemakan cinta romantik. Namun bila membacanya, aku mahu membaca lagi kerana cinta romantik yang dikemukakan penulis amat sadis. Sadis gila!

Aku kira ini adalah pengalaman Haji ZRA sendiri sebagai seorang wartawan yang telah mengelilingi 27 buah negara dunia termasuk negara-negara Islam berkonflik seperti Afganistan, Kosovo dan Palestin. Untuk menjelaskan kemunculan cinta romantik watak utamanya, penulis menggambarkan dulu latar cerpen yang dapat ditangkap menjadi satu-satunya alasan mengapa ‘cinta romantik aneh’ itu muncul.

Begini permulaan cerpen:

‘Tidaklah mudah berjalan di atas tanah merah yang berdebu pada musim panas yang berbahang. Matahari pada bulan Mac di bumi paling panas di dunia membuatkan tubuh terasa seperti terpanggang bara api.

Di bandar kecil Kebri Dehar – di bumi 100 meter di bawah paras laut dengan sejarah suhu 63 darjah celsius – berjalan kaki di celah-celah bangunan kayu yang disimen dengan lampiran tanah liat – terasa sangat menyeksakan.

Di bumi sempadan paling panas dan paling sunyi – kalau pun aku seekor keldai – aku pun akan mati kalau terus berjalan satu atau dua kilometer lagi.

Di tepi jalan berdebu tebal ini, keldai juga sepertiku; lesu, kumuh dan memaki matahari.’

Kita sebagai pembaca dapat membayangkan ‘bumi paling panas di dunia’ ‘sejarah suhu 63 celcius’ ‘paling sunyi’ ‘keldai pun akan mati’ ‘lesu, kumuh dan panas azab.’

Begitulah yang dialami watak utama, seorang wartawan Melayu yang membuat liputan konflik di negara umat Islam tertindas. Anehnya, apa yang dapat melupakan seketika rasa ‘lunyai’ itu adalah perasaan ‘jatuh cinta kepada gadis tempatan. Hanya perasaan ‘jatuh cinta’ bukan asmara.

Watak kemudiannya teringat juzuk-juzuk pengalaman ngeri yang sama ketika membuat liputan berita di musim dingin paras negatif di Kosovo. Kesejukan, keletihan dan simpati kepada mangsa-mangsa perang di depan mata menyebabkan ‘perasaan untuk jatuh cinta kembali amat penting.’ Terpandang gadis Kosovo bermata biru, menjadikan hati tipa utama ‘jatuh cinta lagi.’ Begitu saat membuat liputan di Lubnan, gadis Arab yang menjadi penerjemah adalah ‘mangsa jatuh cinta’ watak utama. Berkali-kali watak keletihan dan berada dalam perasaan ‘hampir tercabut nyawa’ tetapi disembuhkan oleh perasaan ‘jatuh cinta’.

Dalam cerpen ini, watak berada di Somalia. Berasa diri sudah seperti keldai malang sebaik selesai memburu berita-berita kematian dan kebuluran umat Islam di Sempadan Somalia. Akibat diigau bayangan kematian yang dahsyat, si watak sanggup mengitari kawasan demi perasaan ‘untuk jatuh cinta lagi’ kepada mana-mana gadis Habsyah yang muncul di matanya.

‘Jatuh cinta di Kebri Dehar hanyalah sekadar menikmati pesona seorang gadis Ethiopia. Melihat tubuh di balik gaun dan kerudung putih yang berteduh di bawah payung lebar.’

Dan pendirian penulis amat jelas apabila menyusun semula ‘perasaan pembacanya’ bahawa wataknya bukan lelaki yang mengambil kesempatan. Dia hanya ‘mahu menyelamatkan sepi dan siksa jiwanya’ atas pekerjaan sebagai wartawan perang. Seperti katanya:

Jatuh cinta bukanlah untuk menyintai atau dicintai. Tetapi untuk menyelamatkan diri daripada dibunuh sepi dan keletihan.

Begitu saya selesai membaca Cerpen Sekilas..Dan Aku pun Jatuh Cinta’ saya pun menghantar mesej Whatsapp kepada Haji ZRA : Abang Zainal, dalam hutan ketika tiada makanan dan terasa nak mati lapar, babi pun halal makan.

Keadaan sudah darurat.

Berkali-kali jatuh cinta

Loading

Aku Sepatutnya Memulakannya Semalam..

Semalam adalah 2 Januari 2023. Semalam adalah ulangtahun hari kelahiranku yang ke 40. Ya Allah, di mana saat itu tiba aku berpesan pada diri; hadiah yang sebenar-benarnya hadiah adalah umur yang bergerak, menandakan aku masih bernyawa untuk mengumpul sebanyaknya amalan untuk bertemu Pemilik umurku. Jadi, aku tidak begitu peduli jika tidak mendapat hadiah dari manusia lain. Allah SWT Maha Pemberi.

Semalam, aku ingin menghadiahkan diriku suatu tulisan di sini. Tulisan yang boleh mengingatkan aku bahawa ada batasnya menjadi manusia hambaNya. Iaitu aku tidak boleh bertindak di luar syariatNya, berfikir di luar garisNya dan meyakini selainNya. Semua itu memerlukan diriku untuk berhati-hati; berkata-kata, menilai-nilai dan membuat keputusan. Sepenuhnya aku berserah dengan ketetapanNya di hari-hari mendatang. Aku hanya mampu berdoa dan menjalani apa yang telah ada untuk dilunasi dengan sebaiknya. Tanggungjawab sedia ada begitu berat; menjadi seorang isteri, ibu, anak, guru, sahabat dan manusia.

Aku teringat pesan suamiku tadi. Katanya kita telah memilih untuk ‘itu’, maka sekarang kita persiapkan mental dan segalanya dengan keyakinan bahawa Allah SWT akan mengaturkan yang terbaik. Usah lagi menoleh dan berfikir yang bukan dari garisNya.

Ada dua buah buku yang perlu kumulai kerana janjiku. Semoga aku tidak lewat mengatur waktu yang akhirnya aku berkata, ‘sepatutnya aku memulainya semalam’.

Loading

Cinta

Kembali ke saat aku merayu-rayu dan Tuhanku memberikan jalur yang lain dari doaku. Dari hari ke hari kurasakan akan jatuh kerana tidak muncul apa yang kudoakan. Sejauh hari yang berlalu, disaat fikiranku beronar-onar dengan salah tafsir pada maksud Tuhanku, terbit pelangi. Bukankah ketenangan, bukankah kekuatan jiwa, bukankah pasangan soleh dan restu ayahbonda, bukankah semuanya itu adalah ‘hadiah’ Tuhanku? sehingga aku boleh terus berkata pada hatiku, “Allah SWT pasti tidak mensia-siakan apa yang diminta hambaNya.”

Lantas kuteringat maksud dari Surah Ad Dhuha ayat 3:

(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

Begitu sekali peritnya baginda SAW menangggung ujian dan pengharapan sehingga Allah SWT memujuk baginda bahawa “Allah tidak meninggalkanmu Muhammad dan Allah tidak membencimu..”

Kesakitan yang terlalu parah, bekas sembuhnya akan diingati sampai mati.

Begitulah mendalamnya cinta Allah pada hamba yang terpilih. Ujian yang berat dan kemanisan cinta yang hebat!

Teruslah berpegang pada dahan cintaNya

Loading

Berubah Kerana Covid 19

Sesiapapun tidak menjangkakan Tahun 2022 akan berlangsung seperti yang kita semua, di seluruh dunia mengalaminya sekarang. Hidup menjadi sukar tanpa pelitup muka, vaksinasi, penjarakan sosial dan norma baharu. Jauh lebih parah, kita tidak sebebas ketika Covid 19 belum muncul. Kita semua ibarat banduan yang hanya menerima arahan dari segenap sudut. Antara percaya atau tidak, Malaysia yang beridentitikan negara pelbagai kaum dengan majoritinya beragama Islam sudah mula mengalami krisis psikologi yang parah. Ini dibuktikan dengan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 1.4 kali ganda berbanding sebelum epidemik Covid 19. Ternyata, tanpa persediaan mental dan jiwa yang kuat, seseorang tanpa mengira latar jantina, umur, bangsa dan status sosial akan tewas dalam peperangan wabak yang belum berakhir ini.

Menerusi karya-karya kesusasteraan Malaysia khususnya cerpen sepanjang tahun 2020 sehingga 2022, para penulis baik generasi baharu dan lama tidak dapat menyabarkan diri merempuh isu kemanusiaan era Covid 19. Kepedulian ini diasaskan kepada pengalaman peribadi dan masyakarat sekeliling. Bahkan disokong media massa yang terus-menerus bertindak sebagai alat sokongan kepada mereka yang rebah. Penulis sebagai pemain fikiran, berkongsikan saujana imaginasi wabah untuk diselami, direnungi dan memujuk pembacanya. Menarik lagi, mereka menggunakan sudut pandang yang variasi, agar kesan Covid 19 dirasai dalam pelbagai bentuk.

Misalnya, Zainal Rashid Ahmad, cerpenis unggul Malaysia mengandaikan Covid 19 sebagai watak ‘syaitan bersayap’ yang boleh menembusi mana-mana tempat di dunia. Beliau antara terawal merakamkan getir Covid 19 menerusi cerpen ‘Senja dalam Lima Ayat Paling Sempurna.’ Penulis yang terpesona dengan Youtubers bernama Kynryyy dari Seoul telah cuba memanfaatkan pengalaman Kynryyy berkomunikasi dengan remaja seluruh dunia menerusi aplikasi Omegle. Dalam naratifnya, Zainal menciptakan dua watak dari Jakarta dan Kuala Lumpur yang masing-masing  terkurung dalam bilik kecil tetapi dapat menembusi kisah tragis dunia yang berpunca dari Covid 19 melalui ruang maya. Perkongsian kesunyian menjadikan dua manusia yang jauh saling merenungi hakikat kehidupan dan kematian yang disimpulkan kepada keabadian Tuhan Yang Maha Kuasa.

Selain isu sosial dan ekonomi yang parah seperti kehilangan pekerjaan yang memberi kesan kepada kehilangan tempat tinggal dan keruntuhan rumahtangga, para penulis Malaysia tidak ketinggalan menyelongkar pandangan lain tentang Covid 19. Shangkang, penulis Melayu lulusan Universiti of Manchester, UK dalam bidang kejuruteraan menulis cerpen dengan judul ‘Virus Didale 30’. Penulis membangunkan imaginasi akan wujudnya virus maya yang bakal mengurung manusia sebagaimana Covid 19 memenjarakan kita. Manusia alaf baru dikurung dalam alam digital sehingga perlu solusi untuk kembali ke realiti. Penulis menyinggung perbuatan penjenayah siber yang rakus mengambil kesempatan terhadap ledakan Covid 19 sehingga kesannya lebih dahsyat dari wabah Covid 19 sendiri. Transisi yang sama dicetuskan oleh penulis Lokman Hakim dengan narasinya berjudul ‘Baca Pada Nada Seekor Paus’. Keanehan timbul dengan pertanyaan apa kaitan kisah seekor paus dengan Covid 19? Dari singkap pandang watak ibu, Lokman Hakim memperlihatkan idea Post Truth yang baginya wajar diperhalusi sebelum dilabelkan sebagai fakta auntentik. Disebut ibu dalam cerpen ini bahawa si paus akan datang setelah wabak. Perkara-perkara aneh yang muncul dipercayai sebagai petaka sehingga mengganggu kehidupan normal. Penulis cuba mempertentangkan andaian-andaian berkaitan isu baharu selepas kemunculan Covid 19 telah mengganggu rutin biasa manusia.  Baginya, ‘kebenaran separuh masak’ yang diyakini masyarakat adalah virus yang lebih mudah menjangkiti manusia kini.

Tentu banyak lagi kisah-kisah nyata yang terampil dalam kesusasteraan pandemik di Malaysia. Pengalaman yang ngeri, dahsyat, tidak logik dan pilu adalah sesuatu yang mempunyai nilai keindahan tersendiri. Bahkan para penulis seolah memberitahu para pembacanya agar  belajar daripada virus yang tentunya lebih cepat berubah, beradaptasi dan bertindak daripada manusia. Selagi mana peperangan wabak ini belum berakhir, manusia perlu bangkit dengan apa sahaja senjatanya terutama akal fikiran. Dan fungsi kesusasteraan sebahagiannya melonggarkan ketegangan yang sedang terjadi di seluruh dunia.

Loading

Balik Kampung Untuk ‘M’

Novel politik Kedah yang boleh dibaca banyak generasi

Beberapa hari yang lalu, emak berkata, “Nanti balik kampung masa mengundi..” Saya mendengarnya lebih kepada pesanan emak untuk balik kampung, bukan kerana mengundi. Jika tiada PRU pun memang emak suka kami balik ke kampung. Dan kerana cuti begitu terbatas serta memerlukan asbab, maka mengundi menjadi modal untuk kami balik ke kampung lagi; menambah jumlah kekerapan kami bertemu emak di desa Gajah Putih tahun ini.

Entah. Hati saya teruja lebih kepada ‘cuti tiba-tiba’ untuk mengundi, seperti kanak-kanak yang tiba-tiba ditawarkan pergi kedai untuk memilih buku. Mereka teruja kedainya lebih daripada buku. Tiada apa yang boleh dibanggakan pada kawasan yang saya undi sejak 21 tahun lalu, hanya sahaja rumah-rumah kayu dan sedikit pedalaman kini ada kereta diparkir di halaman rumah. Dan boleh dikatakan setiap rumah kini walaupun kecil tetapi memiliki televisyen dan parabola.

Saya teringat taska di sebelah rumah kami yang gaji gurunya masih belum RM500 ke atas.

Saya teringat kaum ibu di kampung yang mengalami kesenjangan ekonomi sehingga terpaksa melupakan hak untuk diri mereka sendiri.

masjid-masjid dan surau-surau yang tidak berubah nuansa kepada ‘mesra masyarakat’ ‘mesra ummah’ dengan program melestarikan akhlak mulia dari rumah. Walaupun surau di sebelah rumah, kejahilan masih membelengu ramai masyarakat.

Kampung masih aman, kerana masyarakat selesa meletakkan semua protes mereka dalam hati. Jika terluahpun di kedai kopi, nanti kembali bergabung di rumah kenduri, di masjid dan di pasar.

Begitulah hakikatnya balik mengundi biarpun pelbagai parti sudah menang di sini.

“Mak..seronok balik cuti, mengundi itu nanti difikirkan. Dan anak emak tentulah akan dengar cakap mak dalam semua keadaan.”

Loading

Kenapa kau berubah?

Kita tidak memakai kasut yang sama.

Kita tidak makan beras yang sama.

Kita tidak mencium udara yang sama.

Kita tidak melihat wajah yang sama.

Kita tidak diuji hal yang sama.

Kita tidak dibebani berat yang sama.

Itulah jawapan mengapa, kau dan aku telah berubah sekarang.

Setelah alam kanak-kanak telah lama menjadi memori

Setelah padang tempat bermain telah berganti bangunan tinggi.

Yang kekal padaku, senyum manismu.

Yang menjauh hanyalah jasad, hanyalah waktu.

Loading

Amalan Pemasaran Nabi SAW

Di zamannya, Nabi Muhammad SAW menjalankan perniagaan di beberapa pasaran penting di Semenanjung Arab termasuk satu kawasan di Bahrain iaitu ‘Mushaqqar’. Baginda juga mengetahui cara hidup dan cara makan minum masyarakat di Bahrain. Arham (2010) menghujahkan bahawa Nabi Muhammad SAW menggunakan ciri  segmentasi geografi, demografi dan psikografik dalam perniagaannya. Ini adalah proses mental bagi pengenalan pasaran (mental process of market identification) iaitu seorang peniaga perlu meninjau keadaan pasaran sebelum memulakan perniagaannya. Malah nabi SAW melakukan pelbagai jenis segmentasi pasaran termasuk mengetahui lokasi paling penting dan berstrategik, keadaan bakal pelanggan dan cara hidup mereka.

Pengguna di zaman nabi SAW juga adalah pelanggan yang berhati-hati dengan produk. Teori pasaran moden mencadangkan penjual untuk meletakkan produk mereka dalam fikiran pengguna. Kajian Arham menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah peniaga yang jujur dan menjual barang yang terbaik. Nabi SAW bukan sekadar memposisikan produk jualan tetapi mengutamakan cara berjualan. Nabi SAW meletakkan harga mengikut harga pasaran dan mendapat keuntungan daripada jumlah jualan, nabi SAW tidak meletakkan barang yang elok dengan barang yang lebih rendah di tempat sama. Seterusnya, Nabi SAW juga melarang monopoli iaitu mendominasi saluran pengedaran dengan tujuan mendapatkan paras harga.  Bagi tujuan komunikasi, nabi SAW memilih pakaian yang elok  dan tidak mengamalkan promosi barangan yang keterlaluan. Di akhir jualan, nabi SAWmenggunakan kaedah  persetujuan dalam jual-beli (aqad) antara penjual dan pembeli.

Amalan pemasaran Nabi Muhammad SAW yang ditekankan adalah nabi SAW juga memberitahu kelemahan produknya, tidak menyembunyikan sesuatu daripada pelanggan termasuk menjual sesuatu yang tidak wujud serta melayani pelanggan mengikut keutamaan. Dengan itu, personalitinya yang menjadikan persembahan pasarannya berbeza daripada orang lain. Akhlak yang dibangunkan daripada agama akan memberi kesan kepada produk, pelanggan dan keuntungan.

Allahuakbar, mengapa di akhir zaman ini, urusan perniagaan kita tidak lagi mengikut sunnah baginda SAW? Walau berada dalam negara majoriti Muslim, tetapi bab jual-beli belum banyak yang sepenuhnya atas amalan Islam (hanya menggunakan nama Islam semata-mata untuk cari untung).

 Firman Allah Ta’ala:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “ Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah terdapat contoh teladan yang baik kepada orang-orang yang mengharapkan Allah dan mengharapka kedatangan hari akhirat, mereka banyak berzikir kepada Allah “ (Al Ahzab: 21).

Loading

Agama dan Produk Agama

Ummu Hani Abu Hassan

Berniaga adalah sunnah dalam Islam

Dengan banyak cermin sosiologi barat, kita selalu ‘kabur’ malah ‘kembali buta’ dalam menilai tradisi agama Islam. Satu topik yang kerap mengalami pertentangan adalah topik ‘Islam dengan ekonomi.’ Oleh kerana kita dalam negara yang mengamalkan ekonomi kapitalis, produk-produk atas nama agama bercambah dek keperluan umat Islam di negara ini. Tambahan, negara kita berbenangkan Perlembagaan Malaysia, maka hak kebebasan individu antara yang menyemarakkan produk-produk Islam. Banyak produk sama ada berbentuk barangan, perkhidmatan atau keperluan diri diislamisasikan seperti fesyen Islam, industri halal, konsert dan sastera Islam serta takaful. Media pula menjadikannya fenomena lalu muncullah istilah Islam Popular iaitu produk Islam yang mengalami penjenamaan agama dalam memerangkap pasaran.

TRADISI EKONOMI ISLAM

Janganlah kita buta lalu menumpang mata barat (sepenuhnya) untuk melihat agama Islam yang mulia. Islam adalah cara hidup penganutnya. sekecil dan sebesar manapun urusan hidup kita, tidak boleh memisahkannya dari panduan agama. Ekonomi misalnya adalah keperluan hidup yang mempunyai panduan syariatnya.

Jafari dan Suerdem (2012) berhujah bahawa model pasaran barat gagal menganalisis sistem komoditi masyarakat Islam terutama yang berkait dengan agama. Islam tidak menolak keduniaan bahkan bersifat dinamika terhadapnya. Budaya masyarakat Muslim sendiri terbina atas paksi agama dan mempunyai hubungan yang jelas antara agama (sacred) dengan dunia (profane). Jafari dan Suerdem kemudiannya mencadangkan bahawa individu Muslim perlu diberikan kuasa untuk menentukan gaya hidup mereka yang tetap tidak mencabut akar agama dalam kehidupan.

Hence, we propose the term ‘authorised selection’ perspective to denote the fact that

with reference to religion itself, individuals authorize themselves to selectively interpret Islam and justify their own choices of lifestyle and everyday life practices. We also stress that understanding a variety of consumption practices in contemporary Muslim societies requires that these practices be investigated from the lens of insiders and with reference to the historical dynamics that have changed Muslims’ interpretations of Islam.

Pandangan ini disusuli cadangan bahawa penjenamaan Islam perlu mengelak daripada ‘penjualan agama’ kepada masyarakat tetapi berusaha mewujudkan imej yang mengandungi nilai-nilai sejagat dan kemanusiaan yang luas. Bagi Zubair Hasan (2005), teori Ekonomi Islam menyediakan rangka yang jelas untuk melihat hubungan agama dengan pasaran. Secara umum, sarjana Islam membahagikan tiga kategori yang diperlukan oleh individu iaitu daruriyat atau keperluan hidup seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Seterusnya adalah perkara yang meningkatkan kualiti kehidupan atau hajiyat seperti penambah-baikan sistem dan perkhidmatan. Ketiga adalah tahsiniyat iaitu keperluan dan kepuasan yang selaras dengan status sosial. Pengkategorian ini menunjukkan Islam tidak menolak pasaran bahkan membangunkan masyarakat yang sentiasa memperbaiki keadaan ekonominya berdasarkan shariah atau undang-undang Islam.

Kesimpulannya, penggunaan dalam ekonomi Islam cenderung kepada keuntungan yang lebih rendah, penjimatan yang besar serta tidak mengambil kekayaan dengan cara mudah seperti riba. Inilah asas dalam aktiviti berniaga dalam Islam. Jika umat Islam sendiri tidak mempraktikkannya, maka merekalah sebenarnya ‘memijak’ Islam dan cuma berdagang atas nama agama.



Loading

Islam akan kembali ke sarangnya: keterasingan

Kita melihat manusia yang bergerak di sekeliling. Yang berjalan. Yang memandu. Yang duduk dan yang berdiri; mereka semua dalam keadaan yang sama iaitu hidup dalam fikiran mereka masing-masing. Dalam bentuk-bentuk fikiran inilah menerjemahkan pilihan yang mahu mereka jalani sebagai the way of life atau cara hidup.

Dalam kajian-kajian budaya dan politik (yang asasnya daripada barat) sering menyorot manusia dalam kepungan sejarah moden seperti pasca kolonial dan pasca Islam (post Islamism) bagi negara majoriti umat Islam. Pemilihan kontek ini akhirnya mengaitkan situasi masyarakat Islam dengan perkembangan sosial yang tidak lepas dari kepungan barat. Umat Islam dilabel dengan kecenderungan gerakan politik Islam yang ditekuni mereka; tradisionalis Islam, Islam liberal, salafis, Islamic fundamentalis antaranya.

Dalam masyarakat Post Islamism pula, masyarakat Islam disorot dengan juzuk pandang yang berkait dengan soal pasaran kapitalis seperti penjenamaan dan selera massa. Islam yang dipertontonkan telah dikatakan sebagai produk dan fesyen. Kritikan dan sorot pandang begini mengurangkan penghormatan terhadap agama sebagai wahyu Ilahi dan tentunya, masyarakat Islam yang menjadi bahan sorotan, tidak pernah sedar kelakuan mereka memberi imej kepada agama.

Kembali melihat ke dalam nurani Islam yang intinya adalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang mulia, diterjemahkan melalui 4 mazhab utama dengan aliran Sunni sufi yang mengakari tradisi Islam Nusantara. Islam adalah cara hidup yang membentuk manusia, bukan manusia yang membentuknya untuk dijadikan citarasa mereka sendiri. Kini, mengamalkan Islam sebagai sesuatu yang syumul dan bersifat mutlak (syariat Allah SWT) diterjah sebagai asing dan pelik.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ

Sabda Nabi SAW yang mulia telah berlaku:

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasing.” (HR Muslim No: 208) Status: Hadis Sahih

Kita melihat manusia, sebenarnya kita akan kembali melihat diri kita. Biarlah terus menjadi yang asing.

Loading