April 2, 2020

Putik Qunaitara

Oleh :Ummu Hani Abu Hassan

“Anakku, aku ibumu ingin berpesan. Jika berjalan, peganglah tanganku erat-erat.” Ibu menghembus dahiku, anak rambut berwarna perang terkibas ke atas. Topi berjambul biru masih lekap mendinding dingin kepala. Ibu menarikku dekat ke sisinya. Jemari kami berangkulan ketika melintas jalan menuju ke Jisr Rais.

“Wajah Dimasyq cepat malap di musim dingin. Aduh! Kita selalu berkejar dengan masa sayang.” Ibu makin erat menggenggam tanganku. Memandang sekeliling, semua manusia seperti ibu. Berjalan tangkas ke depan, menunu dan  meluru langsung tidak menghiraukan orang lain. Aku jika tidak dipeluk ibu, sudah tertiarap di tubir tangga jejantas. Apakah orang-orang dewasa mempunyai perasaan seperti bangunan-bangunan batu yang berselerak seluruh Jabal Muhajirin? Tidak halus memikirkan makhluk yang lain? Suam tangan ibu berminyak di jariku.

Kami menaiki service berlabel Kud’sia. Ibu memangku badanku atas pehanya kemudian menyua syiling 5 lirah kepada pemuda di sebelah. Ibu tidak ralat menampung montel tubuhku semata tidak mahu membayar lebih daripada harga seorang penumpang. “Bapamu kedekut,” keluh ibu setiap kali anak mataku menikam mata ibu. Kasihan. Perjalanan 45 minit ke Nazlah Kud’sia dalam servicesempit biasa bagi ibu. Aku atas ribanya, beg comelku dimasukkan dalam beg kerja ibu yang turut diletak sebelah kiri pehanya. Biasanya, tubuh kami dihimpit pula lelaki-lelaki besar seperti juga tubuh bapa, seorang jundiSyria. Jika nasib tidak baik, hidung kami menampung hamis penumpang sebelah yang rata-ratanya jarang mandi di musim sejuk. Aku lalu menempek hidung di balik kerudung ibu. Masam ibu lebih bagus daripada kelat hapak lelaki-lelaki itu.

Mataku mencenung ke luar tingkap, pemandangan yang sama sejak setahun aku berulang-alik dengan ibu dari rumah kami di Jaddat Qudsayya ke Madrasah al-Imran di Pekan Baromkheh. Ibu bertugas sebagai anisah  kanak-kanak bisu yang ratanya berumur seusiaku sehingga umur 12 tahun. Kini, aku sudah mencapai umur tadika, ibu  meletakkan aku di bawah jagaan seorang pengasuh, Umm Kamal. “Kamu boleh bercakap, tidak seperti mereka,” keluh ibu ketika aku merengek mahu duduk semeja dengan anak-anak muridnya.

Banjaran Beludan ditutupi salji putih. Aku meletak telunjuk ke cermin service,tersengih mengerdip ibu. “Sudah empat kali demam masih tidak serik?” Ibu menggeleng kepala. “Budak-budak..” balas seorang nenek di belakang kami. Dia memerhati aku sahaja sejak naik kenderaan berdebu ini. Nenek itu senyum-senyum manja menggodaku. Gelember mukanya tambah menggelikan hati. Aku ketawa berdecit sambil menyorok lagi ke dada ibu bila tangan si nenek mula gatal mahu menyentuh. “ Ya hilwa..” katanya. Ibu mengerling perempuan tua itu. “Dia kanak-kanak pemalu puan,” kata ibu menerang dudukku. “Ana banat,” bisik nenek ke telinga ibu. Ibu ketawa spontan. “Kasihan, dia tidak pernah berkahwin pun. Mahukah kamu jadi cucunya?” ibu membisik pula ke telingaku. Tidak mahu!!! Aku menjerit di dalam hati.

Kami berjalan memanjat jaddat. Ibu paling mengah mengendong lemak badannya ditambah beg kerjanya yang berat. Tanganku masih setia dalam genggaman ibu. Beberapa kali  ibu berhenti melepas lelah, menarik nafas kemudian berjalan semula. Ibu membiar aku berlari girang jauh meninggalkan dirinya di belakang.

Aku memijat tangga perlahan. Di tepi lubang bersegi empat yang mengadap Jabal Beludan, aku perhati ibu. Dia berjalan kemudian berhenti sekejap, menarik nafas kemudian berjalan semula. Lebih daripada enam kali ibu begitu. Runtun hati menyebabkan aku berlari semula mendapatkan ibu, menggenggam jemarinya. “Ah! Aku sewaktu kanak-kanak dahulu berlari lebih kuat daripada kamu,” kata ibu. Kami beriringan semula. Derap aku menderapi langkah ibu.

Rumah yang terletak di tingkat empat bangunan batu jaddatmelelahkan lagi. Aku tidak lepas pegangan ibu, walaupun perlahan kami memijat tangga terus hingga tiba di depan rumah. Pintu tidak berkunci. “Bapamu sudah pulang,” bisik ibu. Dia membuka butku dan meleraikan kain mafla yang berlilit di leher comelku. Aku berlari ke kamar, mencari bapa.

Sekujur tubuh besar agam terbaring atas katil. Aku menguis, memicit lengan berbulu itu. Sejurus mata itu terbuka, dia bingkas menarikku dan mencium berkali-kali sebelum mendekap aku ke dadanya. “Rindu..” kata bapa. Dia juga mengerling ibu yang baru masuk ke dalam kamar. “Rindu…” kata bapa lagi sambil memandang ibu. Senyuman ibu meleret dan manis daripada biasa. “Sebentar,” kata ibu. Dia keluar membawa mantonya kemudian tiba semula dengan skirt dan t-shirt sendat. Ibu menghampiri kami, duduk di sisi bapa. Pipi merah ibu semakin meranum diusap bibir bapa. Spontan dadaku berombak kemudian menyua pipi kepada bapa. “Dia cemburu,” kata bapa sebelum mengucup pipiku berkali-kali.

Malam itu, ibu menyediakan hidangan lebih daripada hari biasa. Ada khubuz, jubneh, kusa, nasi, ikan goreng, falafel dan halib jagung. Ibu tidak lupa menyapu khubuz dengan minyak zaitun dan lada putih. Jeruk zaitun semangkuk diletak depan bapa. Bersungguh kami makan hingga perutku terasa santak. Kambing masywi kegemaran bapa semangkuk licin. “Malam ni badan lebih panas dengan kambing ini,” kata bapa. “Kamu tidur dengan ibu dahulu,” kata ibu menarikku ke bilik. Tanganku keduanya sudah berlekap di mata. Entah pukul berapa, aku sudah terlelap bawah ketiak ibu.

“Kasihan, Jabir sudah enam tahun tapi tidak ada teman.” “Ah, saya fikir berkali-kali untuk mengandung lagi.”Kerajaan sudah mulakan kempen, Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal.”“Tapi, cukupkah Jabir seorang sahaja? Dia perlu adik. Mungkin dua orang lagi” Senyap. “Kamu mampukah?”

Aku membuka mata. Suara ibu dan bapa mendesah di kuping. Aku mencari ibu. Mencari bapa. Oh! Rupanya aku tidur seorang atas tilam bulu kambing. Sampai hati ibu. Aku mulai menangis dan mendekat pada ibu. “Dia sudah jaga,” kata bapa. Dia beralih ke tepi, memberi ruang aku tidur di tengah, memeluk ibu. “Sudah kukatakan, kamu tidak cukup untuk sediakan tempat tinggal yang lebih besar. Selagi itu, Jabir tidak berteman,” balas ibu. Dia memeluk kepalaku yang tersorok di lehernya.

Pagi bersinar cantik. Ibu mendukungku ke bilik air, menyapu mukaku seluruh dan mencuci gigiku. Rambut perangku bersapu krim rambut sambil seluruh badanku ditempek krim jenama Kamil. “Bapa kamu liat sungguh bangun tidur. Tabiatnya itu tidak berubah sejak berkahwin denganku,” bebel ibu. Mataku terkebil memerhati bapa yang masih berdengkur. Tugas tenteranya tidak menentu. Pernah berbulan lamanya, bapa tinggal di di sempadan Syria-Lubnan, menjaga keamanan dua negara. Minggu ini cuti bapa panjang sedikit, apakah ibu tidak gembira bapa wujud di rumah? “Rumah kita tidak seperti rumah orang lain. Televisyen tidak ada, bilik hanya sebuah, semua perabot sudah buruk. Ah! Bapamu pula kedekut,” tambah ibu lagi, sangat perlahan di telingaku. 

Matari tegak memancar di langit Qudsayya, aku berlari girang menarik tangan Salmi seperti mana ibu menarik tanganku. Salmi yang lebih kecil, terjungkit skafnya. Abangnya, Hammudeh mampir ke arah kami. “Lepaskan tangan adikku,” katanya. Sejurus, tangan Salmi terlepas dari pegangan. Mengapa Hammudeh perlu marah? “Kau mahu berkahwin dengan adikku?” Tanya Hammudeh memandangku tajam. Berkahwin? Apakah seperti bapa dan ibu? Selalu bila bapa pulang, ibu akan berpakaian cantik dan bapa selalu menyebut, ‘rindu..’.Apakah nanti jika berkahwin dengan Salmi, dia berpakaian secantik ibu dan aku mengucap pada Salmi, ‘rindu..’. Spontan aku mengangguk. “Begitu, kau boleh pegang tangan adikku,” balas Hammudeh yang baru masuk darjah satu di madrasah ibtida’ie. Belum sempat kucapai tangan kecil Salmi, dia lebih dahulu mengait jemariku. “Kita bermain anak patung di rumahku.” Aku mengerut dahi. Anak patung adalah permainan yang paling kubenci. Aku tegak membatu. “Kau mahu kahwin denganku bukan? Mari main anak patung.” Salmi menekan suaranya. Aku menggeleng kepala. Salmi garang, lebih baik aku tidak berkahwin dengannya. Pantas aku berlari naik ke rumah, meninggalkan Salmi yang mula menangis sambil dipujuk abangnya, Hammudeh.

“Kamu perlu beli televisyen. Si Jabir  mahu tengok cerita kartun,” suara ibu tinggi. “Si Jabir atau kamu? Perempuan pandai mencari alasan,” suara bapa lebih rendah daripada suara ibu. Aku mendekap telinga sebalik pintu. “Kau tidak menjagaku dengan baik, tidak menepati janjimu dahulu.” “Itu lebih mulia daripada aku biarkan kamu terlolong di Qunaitara,” tempelak bapa. Suara ibu tidak kedengaran lagi, hanya bunyi pintu berdentum kuat. Aku lari masuk ke dalam rumah. Bagaimana ibu? “Jabir, ke sini kamu..” panggil bapa. Aku tidak menghiraukannya. “Ibu, buka pintu…!” aku menjerit kuat di depan pintu bilik.

“Aku seorang askar, kerjaku bertarung nyawa tambahan pengganas  Israel semakin syaitan, berbaloikah pengorbanan itu hanya untuk membeli sebuah televisyen. Bukan ibumu tidak tahu, gajiku sekadar membayar sewa rumah ini. Gajinya pula untuk membeli barangan dapur. Ah! Kita tidak mati tanpa televisyen. Kau tahu Jabir, Israel laknat itu menggunakan siaran tv untuk menyerang otak umat Islam. Begitu, sia-sia sahaja aku membantai senapang di sempadan, kau dan ibumu mati dengan virus dakyah Israel dalam rumah ini,” bebel bapa. Aku sudah duduk mengangkang depan pintu bilik yang masih dikunci ibu. Langsung tidak faham apa yang disebut bapa.  Beberapa minit, ibu keluar memakai mantonya. “Aku ingin ke Qunaitara bersama Jabir,” katanya memohon izin bapa tetapi mata ibu langsung tidak bercahaya. “Baguslah, cari dirimu di sana,” balas bapa. Aku menjadi benci dengan suara itu. Mengapa tiada perkataan ‘rindu’ lagi di mulut bapa? Apakah kerana ibu tidak memakai pakaian secantik semalam?

Kami mengadap Bukit Golan. “Aku rindu,” kata ibu. Aku diam, biar ibu dulu melepas gundah nestapa. “Aku rinduuu..” tekannya lagi. “Rindu yang menderam, tidak tertahan sayang,” suaranya mendatar serak. Air mata ibu mengalir luruh. Aku di bahunya turut berasa air dari dua mata cantik itu. “Seluruhnya di sini.” Dia membawa tanganku ke dadanya, ruang di mana letaknya hati. “Semuanya sekali…di sini.” Tanganku dilepas. Aku membiar sekejap, pasti dia akan meraut kembali jemari halusku. Ya, baru sebentar mengesat air hingus, dia menyapa terus anak-anak jariku. Berangkulan semula jemari kami.

“Segala kecintaan, impian dan harapanku telah musnah sayang. Bapamu berubah sekarang. Kau tahu mengapa?” Aku mendongaknya, cuba memahami ibu. “Kerana kita miskin dan tiada tanah. Tanah di Qunaitara ini dimusnahi Israel hingga sekarang bapamu tidak menang mengalahkan mereka. Ah! Kau tidak akan faham sayang.“ Aku sepi. Ibu menyambung lagi. “Berpuluh tahun memendam rindu yang jauh sehingga hati sudah buta mengenal harapan. Aku rindukan keluargaku yang mati di mata senapang Israel” Kepala ibu tunduk merenung rumput-rumput sayu musim sejuk. “Di tanah Qunaitara inilah Jabir. Bapamu seorangnya yang menyelamatkan aku,” bisik Ibu.

“Kau tahu apa makna cinta terlarang? Menyentuh, mengusap dari jauh. Merindu hanya dalam hati, memiliki tidak sekali. Ah! aku tidak akan berputus asa walaupun aku sudah mati. Kau masih ada untuk menyambung doa-doaku semoga tanah Qunaitara kembali aman ke tangan penduduk Islam,” akhiri ibu. Dia memelukku erat. “Kita pulang, walaupun bapamu itu kedekut, dialah yang menyelamatkan aku,” kata ibu terus.

            Tanganku dipimpin ibu ke seberang jalan. Sambil ditarik ibu, mataku tidak lepas merenung gagah Bukit Golan. Di situkah terletaknya syaitan-syaitan Israel yang meragut segala kecintaan ibu? Ah! Aku juga mahu menjadi askar yang kedekut seperti bapa bila dewasa. Tidak sesen pun aku akan laburkan pada kalian wahai Israel!

Glosari

1. Anisah- panggilan untuk guru agama perempuan di Damsyik 

2. Banat- kanak-kanak perempuan

3. Jaddat – Kawasan bukit

4. Jundi – tentera

5. Madrasah Ib’tidae- Sekolah rendah

6. Sercive- van yang menjadi kenderaan awam di Syria

7.Usrah Asghar, Mustaqbal Afdal- kempen keluarga di Syria yang bermaksud keluarga kecil, masa depan lebih baik.

8. Ya hilwa- Yang Manis

Loading

Keinginan-Keinginan Manusia Pengarang..

‘Rumah Keinginan’ dalam Cerpen

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Bachelard (1969) mengatakan rumah atau kediaman adalah alam semesta pertama manusia. Bagaimanapun rupa bentuk dan ruang fizikalnya, rumah menumbuhkan akar dan tunas pengalaman, semangat, cita-cita, keinginan, perasaan dan kenangan kita. Manusia memiliki pelbagai maksud rumah sesuai dengan latar-belakang dan usia mereka. Tetapi, rumah yang sebenar adalah tempat atau tujuan di mana mereka berusaha untuk kembali. Di rumah itu, manusia menemukan keinginan dan diri mereka sendiri. Al-Ghazali (dlm Abdur Rahman 2012) membahagikan keinginan manusia kepada keinginan yang berunsurkan ketuhanan dengan keinginan yang berunsurkan kebinatangan.

Inilah pencarian utama dalam empat buah cerpen yang tersiar di Dewan Sastera(Bil. 04). Para pengarang ibarat pengembara yang mencari rumah keinginan mereka melalui perjalanan panjang. Dimulai cerpen “Laluan Penuh” karya Regina Ibrahim. Pengarang membawa pembaca menyelami keinginan seorang wanita berusia 75 tahun untuk memiliki rumah sepanjang hidupnya. Sejak lahir, watak aku ditinggalkan kepada orang luar sehingga merasakan dirinya sinonim dengan gelaran ‘orang menumpang’. Aku berpindah dari satu rumah ke satu rumah kerana dihalau secara ‘sopan’ oleh keluarga angkatnya. Selepas kematian suami, aku membesarkan dua anak kecilnya di tanah wakaf yang digelarkan ‘rumah janda belakang surau’.

Di rumah barunya, aku berkeinginan membesarkan anak-anaknya dengan tulang empat keratnya. Dia percaya, walaupun tidak mempunyai tanah sendiri tetapi bumi Tuhan amat luas untuk mereka yang berusaha. Aku menjual hasil hutan dan hasil tangkapan ikan sungai, membuat jeruk mempelam dan menanam ubi kayu. Tetapi usaha aku tidak disenangi masyarakat setempat. Kekecewaan aku digambarkan dengan ayat berikut:

Manusia ini, aku rasakan pelik. Kadang-kadang mereka boleh naik meluat melihat kita yang berusaha. Menangkap ikan darat juga dimarahi, ceroboh tali air orang. Ikan bukan dari Tuhankah? Baguskah tanah dibiarkan pada lalang? Dua tiga kejadian khianat cabut tunas anak pokok dan curi telur ayam didiamkan. Namanya juga reda menumpang.

Keinginan-keinginan aku selepas berlakunya konflik dengan orang kampung adalah membebaskan diri daripada mendengar cercaan masyarakat.. Aku pesimis terhadap wanita kampung yang mahu menjodohkannya dengan duda tua, teruna terlajak, lelaki bodoh dan cacat tubuh. Wanita kampung menurut aku amat takut jika suami mereka jatuh cinta kepada janda sepertinya. Aku juga mencarikan pasangan hidup untuk anak sulungnya dari kalangan keluarga yang miskin. Aku percaya, orang miskin lebih memahami keadaan diri mereka yang tidak memiliki harta terutama rumah sendiri. Tindakan-tindakan ini menunjukkan aku cuba mewujudkan rumah kedamaian dalam dirinya sendiri.

Apabila aku menginjak tua, aku tidak lagi memfokuskan untuk memiliki rumah fizikal. Aku merasakan perkara yang lebih penting adalah mengajarkan kepada anak cucunya sifat berusaha keras. Aku tidak mahu anak cucunya duduk bergoyang kaki dan mengabaikan warisan bangsa seperti katanya:

Kuajar anak cucu membuat sambal goreng, rempah giling dan acar manis. Resepi lama, bukan apa-apa takut hilang lesap begitu sahaja ditelan masa.

Penulis menutup cerpen ‘Laluan Penuh’ dengan keinginan terakhir aku untuk mendapatkan rumah abadi di sisi Allah SWT. Setelah 75 tahun dia gagal memiliki rumah fizikal walaupun telah berusaha sepanjang hayat, aku akhirnya pasrah. Ayat ‘aku telah bersedia dan tidak ada air mata’ menunjukkan bahawa aku menyerahkan segala penjuangan hidupnya kepada Tuhan dan yakin Tuhan akan mengganjari syurga iaitu rumah sebenar yang diimpikannya. 

Dari segi teknik penceritaan, pengarang menggunakan bahasa komunikatif dan padat seolah-olah sedang berbual dengan pembaca. Misalnya, dengan satu perkataan tertentu, pembaca dapat menangkap keadaan emosi watak tanpa perlu penjelasan detil. Ayat ‘pagi yang berbahagia’ amat menarik kerana aku menganggap pagi dia terjatuh dan nazak adalah hari yang menyenangkan. Ini membuktikan lagi bahawa aku berasa tidak sabar bertemu Penciptanya  setelah melalui kehidupan yang penuh. Kata penuh dapat ditamsilkan sebagai kepuasan mengharungi pancaroba dunia.

Selanjutnya, Khafiz Bahari menerusi cerpen ‘Awan’ memperlihatkan watak aku yang menemukan keinginannya di sebalik kenangan hidup. Sewaktu aku melewati sebuah kebun, fikirannya kembali ke masa lalu. Awan dijadikan lambang sebuah rumah yang wujud di dalamnya abah, emak dan segala pengorbanan mereka ketika membesarkan aku. Paparan wajah abah dan emak di awan menyebabkan aku berilusi untuk mengejar, memanjat dan menyentuh awan. Aku ingin mengabadikan awan sebagai sesuatu yang boleh disimpan selamanya.

Dalam fikirannya, aku melihat abah membangunkan kebun dengan titik peluhnya sendiri. Setiap perlakuan abah dapat dilihat dengan jelas ‘di mata’ aku.

Ada imej abah menghentakkan kayu ke atas tiang pagar. Dadanya bergegar menahan kesan hentakan itu. Ada imej abah memaku zink dengan memijak mata tangga, kaki dan tangannya terketar-ketar ketika mengetuk paku ke alang kayu. Ada imej abah mencangkung sambil mencabut satu demi satu rumput liar sementara tunas jagung baru bercambah. Imej abah menimba air dari longkang lalu membawa air yang ditimbangan di dalam bekas penyiram. Imej abah menyiram anak-anak jagung yang hampir layu kerana cuaca panas terik.

Aku terpegun seolah  pertama kali melihat abah berkerja-keras mengusahakan tanah kebun. Setiap imej terasa mahal membuatkan aku berasa cemas apabila ilusi abah melalui gumpalan awan berguguran. Fikiran aku kemudiannya meneroka lebih mendalam tentang abah. Aku dibawa melewati tiga peristiwa malang yang mempamerkan kejahatan manusia. Peristiwa pertama menunjukkan pertolongan yang dibalas dengan kezaliman, peristiwa kedua pula adalah gambaran sikap manusia yang mahu mencegah kejahatan tetapi dengan cara yang salah, sehingga kejahatan semakin menjadi-jadi. Peristiwa ketiga pula memberikan tanda kerosakan  dalam masyakat begitu parah. 

Dalam rumah fikirannya, aku dilihat tidak bersetuju dengan beberapa tindakan abah. Aku tidak dibenarkan abah untuk menyoal dan melakukan apa-apa pergerakan.

Aku semakin sangsi tentang setiap yang aku lihat, apatah lagi abah tidak membenarkan aku menyoal apa-apa. Malah jika aku cuba-cuba mencubit-cubit dinding awan yang berbentuk tidak sempurna bulat ini, aku segera dimarahi dan diherdik dengan bengis. Aku takut.

Aku memasang keinginan untuk melawan abah kerana merasakan tindakan abah dapat membahayakan mereka. Lalu, terjadi pergelutan fizikal antara aku dan abah mengakibatkan mereka saling berkelahi. Waktu itulah, imej emak terlayar di awan fikiran aku. Emak kelihatan murung dan menanggung derita. Aku menonton kembali perbuatan emak menyuapkan aku nasi yang berlaukkan kicap dan marjerin. Aku melihat parut hitam di pipi emak  kerana jatuh motor sewaktu berjualan kuih. Emak menjadikan rumah fikiran aku diasak kesedihan dengan pengorbanannya menggembirakan orang lain. Aku belajar daripada emak cara menangani kesedihan dengan berdoa. Emak menangis bersungguh-sungguh dalam doanya, meminta kepada Tuhan.

Emak berdoa di hadapan Kaabah ketika angin kuat membawa pasir halus lalu menyingkap kain kiswah.

Rumah fikiran aku diasak rindu kepada emak dan abah membuatkan dirinya tidak berpijak di bumi nyata. Aku membawa keinginan menyatukan keluarga mereka dalam ilusinya. Aku tidak mahu imej ibubapanya hilang. Saat aku tersedar dari imbauan kenangan, aku merasakan dirinya seperti sepelepah bulu burung yang jatuh di atas tanah. Waktu itulah aku memberitahu bahawa rumah sebenar yang ingin dimilikinya adalah ibubapanya.

Dari segi struktur, cerpen ini menampilkan teknik yang meminimalkan dialog. Khafiz Bahari memanfaatkan imaginasi kreatifnya dengan menongkah konvensi biasa. Secara normal, aku memiliki kisah hidup seperti orang lain iaitu mempunyai ibubapa yang berkorban apa sahaja demi anaknya tetapi pergerakan cerita yang tidak megikut kronologi dan sarat perlambangan, menuntut fikiran dan renungan dalam. Kata awan dapat ditafsirkan sebagai sesuatu yang istimewa dan tinggi, kelihatan megah dan cantik malah bersifat menaungi, tetapi awan apabila disentuh akan hilang dan kosong. Justeru, pengarang ingin mengaitkan sifat awan dengan kerinduan kepada ibubapa yang telah tiada.

Menerusi cerpen ‘Nama Saya Orang Utan’, penulisnya, Peter Augustine Goh memposisikan rumah keinginan yang lebih unik iaitu identiti diri. Watak saya dikemukakan bagi mewakili manusia yang memiliki nama- nama unsur alam. Saya mengalami pelbagai insiden buruk akibat namanya tetapi dia tetap berasa bangga.

Sebaliknya saya bangga. Bangga mempunyai nama Orang Utan. Nama yang telah diberikan oleh bapa saya, Orang Minyak tiga puluh lima tahun yang lalu.

Saya dan keluarganya yang terdiri daripada ibubapa dan adik perempuannya baru berpindah ke Daerah Maju Jaya dengan tujuan mencari rezeki. Keinginan mendapatkan kehidupan lebih baik adalah fitrah insan. Imam Al-Ghazali (dlm Abdur Rahman 2012) memasukkan pencarian harta sebagai antara keperluan utama manusia. Dengan harta, manusia dapat melaksanakan kehidupan yang terbaik dan menggalakkan ekonomi umat. Saya dan keluarganya yakin Daerah Maju Jaya adalah daerah makmur dan kaya peluang. Malangnya, firasat tersebut salah. Saya dirompak lelaki bertopeng di daerah tersebut. Lebih malang, para pegawai polis di situ  tidak mempercayainya dan memperlekehkan namanya. Saya ditahan atas alasan tidak mempunyai identiti diri sebagai warganegara. Bermula dari itu, saya ingin menjelaskan keistimewaan identitinya kepada pembaca.

Nama bukan menjadi lambang keperibadian saya dan masyarakat di daerah asalnya, sebaliknya kejujuranlah yang menentukan nilai diri manusia. Saya menyebutkan nama-nama ‘unik’ yang digunakan manusia di Daerah Murni antaranya Gajah, Tikus, Musang Berjambang, Singa Lapar, Atas Pagar, Murah Hati dan Tepi Gunung. Saya ingin mematikan tanggapan biasa bahawa manusia perlu memiliki nama yang indah. Sebaliknya, apa sahaja nama yang digunakan seseorang walaupun dalam kategori binatang dan tumbuhan, ianya tidak mengubah nilai kemanusiaan. Saya jelek dengan manusia yang bertopengkan hipokrasi. Mereka memiliki nama yang hebat tetapi melakukan kezaliman.

Saya mendedahkan sikap buruk golongan yang memiliki nama ‘normal’. Mereka terdiri dari golongan berpendidikan  dan berstatus pegawai tetapi memandang rendah kepada orang lain.

Saya berasa amat malas hendak meningkah kata-kata kerasnya. Saya tidak tahu siapa yang kurang ajar. Cuma orang seperti dia harus meneroka jauh ke daerah lain dan melihat dunia. Jangan jadi macam katak di bawah tempurung. 

Saya dan tahanan-tahanan yang memiliki nama ‘luar biasa’ hanya mampu menahan marah. Kata-kata mereka dianggap bohong dek kejahilan pihak pegawai keselamatan. Justeru, saya merasakan sistem demokrasi masih belum menjamin kebebasan hak asasi manusia sekiranya masyarakat terutama para penjawat awam masih tebal kejahilan.

Saya tertanya-tanya adakah kami ada hak dalam daerah yang mengamalkan hak asasi dan demokrasi. Demokrasi yang mengikut undang-undang yang luhur. Luhur yang membawa makna mulia. Mulia berkuasa yang tidak boleh disalah guna. Salah guna kuasa memacukan kezaliman, sesuatu yang pantang pada mata rakyat yang tidak mahu jiwa mereka terbebat dan fikiran mereka berselirat. Fikiran yang kacau dan terpusing tidak boleh membuat mereka berfikiran lurus. Situasi ini tidak boleh dibiarkan dalam sebuah masyarakat yang dahagakan kemajuan yang bercambah dalam semua bidang kehidupan.

Pengarang secara sindiran menghadirkan watak yang bernama Orang Halus, seorang peguam berkaliber untuk menyelamatkan saya dan kawan-kawannya yang menjadi mangsa rompakan. Identiti saya menjadi semakin kuat selepas peristiwa tersebut. Saya meyakini bahawa nama tidak melambangkan kemuliaan seseorang. Satu-satunya yang dapat mengangkat martabat mereka adalah hati yang baik. 

Walaupun pengarang berjaya menyampaikan keinginan watak untuk menjelaskan latar-belakang namanya, tetapi teknik penceritaannya agak longgar. Pengarang melantunkan suara emosi watak yang menindas dan tertindas tanpa perbincangan yang lebih serius dan bermaklumat. Misalnya, pegawai keselamatan digambarkan jahil tentang etnik dan kaum di sesuatu tempat seolah-olah mereka tidak pernah diberi penerangan sebelum dilantik bekerja. Bahkan, seruan watak saya agar masyarakat memberikan nama ‘yang lebih jujur’ kepada waris terutama nama-nama binatang dilihat tidak sesuai dalam masyarakat Muslim yang mementingkan nama-nama mulia. Ini kerana, setiap nama adalah doa kepada pemiliknya. Terakhir, tanpa fakta yang lebih serius berkaitan latar tempat dan masa menunjukkan pengarang hanya mahu pembaca menanggapi karyanya sebagai satira biasa.

Cerpen pilihan keempat berjudul ‘Di bawah Pohon Maple’ karya Amelia Hashim mengungkapkan pencarian rumah keinginan yang bersifat keakuan. Menariknya,  watak aku menemukan kemahuan yang dicarinya selama ini dalam diri seorang tokoh yang dikaguminya iaitu pengarang besar dalam sejarah Jepun, Murasaki Shikibu. 

Aku adalah penulis wanita Melayu yang telah lama mengkaji Hikayat Genjisehingga membawanya ke Kuil Isyiyama di Danau Biwa. Aku merasakan seolah-olah bertemu Murasaki Shikibu secara nyata saat menatap lukisan-lukisannya. Keinginan aku telah dipersiapkan dengan pengetahuan dan latihan seperti katanya:

Aku sudah belajar bagaimana cara duduk bertimpuh menghadap meja rendah itu. Mereka sudah biasa kerana itu seni budayanya, sedangkan aku akan terpaksa menahan diri bersikap tertib.

Aku merasakan dirinya mempunyai banyak persamaan dengan Murasaki Shikibu dalam kehidupan harian dan kehidupan sebagai penulis. Mereka sama-sama kematian ibu ketika kecil. Yang berbezanya, aku dibesarkan oleh nenek dan Murasaki Shikibu dibesarkan oleh ayahnya. Dalam ilusinya, aku mengulas hubungan Murasaki Shikibu dengan lelaki-lelaki penting dalam hidupnya iaitu ayah dan suami. Kedua mereka memberi pengaruh besar terhadap perjalanan kesusasteraannya.

“Aku merasai hidup bersuami hanya empat tahun. Ketika aku mengahwininya, dia mempunyai banyak rumah dan banyak isteri. Juga dia mempunyai banyak anak. Engkaupun tahu perasaanku sebagai perempuan. Namun, hal itu kuanggap sebagai takdir kerana aku terlahir sebagai perempuan. Kemudian suamiku meninggal dunia. Empat tahun dia mendampingiku sebagai suami, tentulah aku berasa kehilangan apabila dia meninggal dunia! Sukar juga aku menyesuaikan diri tanpa suami. Aku mengatasinya dengan membaca dan menulis!”

Aku terus menemukan dirinya dalam sejarah Murasaki Shikibu. Wanita ternama itu gemarkan warna-warna lembut dan tidak menonjol. Dia juga menolak hiburan yang berunsurkan pesta dan arak. Aku mengatakan tokoh impiannya seperti sebutir mutiara di tengah pecahan kaca. Walaupun dilimpahi kemasyuran dan kemewahan, dia memilih menjadi penulis yang merakam sejarah zaman. 

Dalam kehidupan seorang sasterawan, Murasaki Shikibu adalah wanita sederhana tetapi mempunyai kelicikan halus dalam tulisannya sehingga boleh menjatuhkan lawan. Di sinilah aku menemukan cita-citanya sebagai penulis. Aku ingin memutar cerita sebagaimana yang telah dibuat tokoh impiannya terhadap watak Panglima Genji. Perasaan aku diungkapkan dalam pernyataan ini:

Yang memikatku untuk bertemu dengannya ialah kepintarannya melukiskan permainan asmara yang rumit. Panglima Genji itu pemain cinta asmara dengan banyak perempuan sepanjang hidupnya.

Aku memperlihatkan hasratnya untuk menghayati cinta romantisme yang rumit. Panglima Genji mempunyai hubungan sulit dengan lebih lima wanita. Antara wanita itu ada yang mati menderita dan hidup dalam kekecewaan. Aku bersetuju dengan pandangan Murasaki Shikibu bahawa seorang isteri akan tetap mencintai suaminya walau seteruk manapun layanan suami terhadapnya. Bahkan, seorang wanita juga mencintai kekasihnya tanpa berbelah bahagi. Aku berasa nasib wanita terbela di tangan penulis wanita, bukan penulis lelaki. Dengan merujuk Sejarah Melayu, aku menyatakan kekecewaannya terhadap gambaran wanita yang ditulis pengarang lelaki seperti Tun Kudu, Tun Fatimah dan Tun Manda. Baginya, watak kewanitaan diwujudkan untuk kepentingan politik dan kekuasaan kaum lelaki. Dalam bicara ilusinya dengan Murasaki Shikibu, aku tidak mendapat kesimpulan yang memihak kaum wanita. Masing-masing mengakui wanita sering menjadi mangsa perasaan mereka sendiri terhadap seorang lelaki. 

Walau bagaimanapun, kajian mengesani kekaguman aku terhadap Murasaki Shikibu lebih menonjol terhadap kehidupan peribadinya  berbanding sisi sasterawi. Tambahan, setiap yang ditulis Murasaki ditanggapi aku sebagai kisah nyata. Aku percaya, gabungan nilai emosi, intelektual, kekeluargaan dan politik yang terjalin dalam Hikayat Genjiadalah pancaran pengetahuan pengarangnya sendiri. Aku juga tidak dapat mengawal dirinya menelaah bentuk wajah dan cara pembawaan Murasaki yang halus dan sopan. Walaupun penulis sejarah itu hidup di abad yang berbeza, aku berasa dekat dan rapat kerana keinginan yang wujud dalam diri aku telah dijelmakan Murasaki Shikibu baik dalam karyanya mahupun kehidupan peribadinya. Justeru, kedatangan aku ke daerah asing dan jauh, ditambah pemandangan pohon maple yang tidak ada di negara aku, namun aku seolah kembali ke halaman rumahnya sendiri. 

Amelia Hashim menyampaikan pemikirannya yang sarat mesej kewanitaan dengan cara baharu. Pengarang melepaskan wataknya berilusi dengan tokoh yang telah lama meninggal dunia hanya melalui dialog dan penceritaan mendatar. Namun, atas pengalaman pengarang, beliau berjaya membangkitkan suasana jiwa wanita yang saling menyokong antara satu sama lain walaupun dipisahkan oleh tirai zaman. Amelia juga sedar, walau sebanyak manapun inspirasi yang dikutip aku daripada Murasaki Shibiku, tetapi ada perkara yang menjadi batasan mereka iaitu kepercayaan hidup. Ini ditegaskan Amelia Hashim di akhir cerpennya:

Bertahun-tahun juga aku menelusuri jejaknya, memerhati penulis Hikayat Genji di dalam hati dan jantung para pelukis. Imaginasi mereka terimbau jauh mendekati Murasaki Shikibu dengan kelincahan jejari bermain warna. Aku juga sebagai penulis dan memiliki imaginasi tersendiri walaupun berbeza cara pengabdian.

Demikianlah sekilas ulasan empat buat cerpen yang masing-masing memiliki rumah keinginan yang tersendiri. Menarik untuk ditekankan apabila para penulis secara kebetulan memfokuskan keinginan yang bersifat dalaman dan spiritual seperti kebahagiaan hakiki (syurga), cinta ibubapa, maruah diri dan kehormatan wanita. Bahkan, semua cerpen menggunakan sudut pandangan pertama iaitu aku dan saya yang membolehkan mereka berimaginasi penuh. Apa yang menjadi persoalan, mampukah suara aku diperhalusi lebih mendalam, matang dan memberikan impak besar kepada masyarakat sesuai dengan revolusi pemikiran yang sedang berlaku di tahun 2019? Kerana itulah rumah yang bakal didepani seluruh masyarakat terutama anak bangsa Malaysia. 

Loading