Sesiapapun tidak menjangkakan Tahun 2022 akan berlangsung seperti yang kita semua, di seluruh dunia mengalaminya sekarang. Hidup menjadi sukar tanpa pelitup muka, vaksinasi, penjarakan sosial dan norma baharu. Jauh lebih parah, kita tidak sebebas ketika Covid 19 belum muncul. Kita semua ibarat banduan yang hanya menerima arahan dari segenap sudut. Antara percaya atau tidak, Malaysia yang beridentitikan negara pelbagai kaum dengan majoritinya beragama Islam sudah mula mengalami krisis psikologi yang parah. Ini dibuktikan dengan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 1.4 kali ganda berbanding sebelum epidemik Covid 19. Ternyata, tanpa persediaan mental dan jiwa yang kuat, seseorang tanpa mengira latar jantina, umur, bangsa dan status sosial akan tewas dalam peperangan wabak yang belum berakhir ini.
Menerusi karya-karya kesusasteraan Malaysia khususnya cerpen sepanjang tahun 2020 sehingga 2022, para penulis baik generasi baharu dan lama tidak dapat menyabarkan diri merempuh isu kemanusiaan era Covid 19. Kepedulian ini diasaskan kepada pengalaman peribadi dan masyakarat sekeliling. Bahkan disokong media massa yang terus-menerus bertindak sebagai alat sokongan kepada mereka yang rebah. Penulis sebagai pemain fikiran, berkongsikan saujana imaginasi wabah untuk diselami, direnungi dan memujuk pembacanya. Menarik lagi, mereka menggunakan sudut pandang yang variasi, agar kesan Covid 19 dirasai dalam pelbagai bentuk.
Misalnya, Zainal Rashid Ahmad, cerpenis unggul Malaysia mengandaikan Covid 19 sebagai watak ‘syaitan bersayap’ yang boleh menembusi mana-mana tempat di dunia. Beliau antara terawal merakamkan getir Covid 19 menerusi cerpen ‘Senja dalam Lima Ayat Paling Sempurna.’ Penulis yang terpesona dengan Youtubers bernama Kynryyy dari Seoul telah cuba memanfaatkan pengalaman Kynryyy berkomunikasi dengan remaja seluruh dunia menerusi aplikasi Omegle. Dalam naratifnya, Zainal menciptakan dua watak dari Jakarta dan Kuala Lumpur yang masing-masing terkurung dalam bilik kecil tetapi dapat menembusi kisah tragis dunia yang berpunca dari Covid 19 melalui ruang maya. Perkongsian kesunyian menjadikan dua manusia yang jauh saling merenungi hakikat kehidupan dan kematian yang disimpulkan kepada keabadian Tuhan Yang Maha Kuasa.
Selain isu sosial dan ekonomi yang parah seperti kehilangan pekerjaan yang memberi kesan kepada kehilangan tempat tinggal dan keruntuhan rumahtangga, para penulis Malaysia tidak ketinggalan menyelongkar pandangan lain tentang Covid 19. Shangkang, penulis Melayu lulusan Universiti of Manchester, UK dalam bidang kejuruteraan menulis cerpen dengan judul ‘Virus Didale 30’. Penulis membangunkan imaginasi akan wujudnya virus maya yang bakal mengurung manusia sebagaimana Covid 19 memenjarakan kita. Manusia alaf baru dikurung dalam alam digital sehingga perlu solusi untuk kembali ke realiti. Penulis menyinggung perbuatan penjenayah siber yang rakus mengambil kesempatan terhadap ledakan Covid 19 sehingga kesannya lebih dahsyat dari wabah Covid 19 sendiri. Transisi yang sama dicetuskan oleh penulis Lokman Hakim dengan narasinya berjudul ‘Baca Pada Nada Seekor Paus’. Keanehan timbul dengan pertanyaan apa kaitan kisah seekor paus dengan Covid 19? Dari singkap pandang watak ibu, Lokman Hakim memperlihatkan idea Post Truth yang baginya wajar diperhalusi sebelum dilabelkan sebagai fakta auntentik. Disebut ibu dalam cerpen ini bahawa si paus akan datang setelah wabak. Perkara-perkara aneh yang muncul dipercayai sebagai petaka sehingga mengganggu kehidupan normal. Penulis cuba mempertentangkan andaian-andaian berkaitan isu baharu selepas kemunculan Covid 19 telah mengganggu rutin biasa manusia. Baginya, ‘kebenaran separuh masak’ yang diyakini masyarakat adalah virus yang lebih mudah menjangkiti manusia kini.
Tentu banyak lagi kisah-kisah nyata yang terampil dalam kesusasteraan pandemik di Malaysia. Pengalaman yang ngeri, dahsyat, tidak logik dan pilu adalah sesuatu yang mempunyai nilai keindahan tersendiri. Bahkan para penulis seolah memberitahu para pembacanya agar belajar daripada virus yang tentunya lebih cepat berubah, beradaptasi dan bertindak daripada manusia. Selagi mana peperangan wabak ini belum berakhir, manusia perlu bangkit dengan apa sahaja senjatanya terutama akal fikiran. Dan fungsi kesusasteraan sebahagiannya melonggarkan ketegangan yang sedang terjadi di seluruh dunia.
Apabila membelek buku-buku baharu di pasaran, hati berasa kagum kepada sang penulis, sekalipun belum membaca kandungannya. Tambahan jika penulis dapat menghasilkan 2-3 buku baharu dalam tahun yang sama. Hanya yang luar biasa mampu melakukannya!
Menulis buku; genre ilmiah atau kreatif akan melalui ‘proses berat’ yang sama. Proses ini dinamakan sebagai ‘Proses Kreatif’ dengan dua elemennya iaitu sensitiviti dan kreativiti. Ianya tentang bagaimana idealisme yang berada di otak, diterjemahkan menjadi ‘bentuk dan bait’ yang boleh dinikmati pula orang lain.
Ramai sarjana membahagikan proses penulisan kreatif kepada dua; dalaman dan luaran. Jika direnungkan proses-proses yang berlaku ia berkaitan dengan psikologi manusia iaitu kebiasaan-kebiasaan penulis/ calon penulis menyediakan diri mereka sebelum, ketika dan selepas berkarya. Sudah tentunya tidak akan sama seorang penulis dengan penulis yang lain cara dan kaedah pengkaryaan mereka. Di sinilah keunikan yang dapat dipelajari oleh calon-calon penulis sehingga mereka nanti memiliki pula kebiasaan sendiri.
Dalam tulisannya di Majalah Dewan Sastera ( April 2021), Zaen Kasturi menuliskan tentang bagaimana proses penulisan kreatif berfungsi kepada penulis dan pembacanya. Zaen menekankan bahawa seorang penulis tidak boleh mengabaikan ‘proses penukangan’ tulisannya bermula dari hal sekecil mendapatkan idea sehingga proses yang lebih rumit, menulis dan menyunting karya. Hanya penulis ‘teruk’ yang memiliki sikap menulis (apa sahaja) kemudian membiarkan tulisannya nanti disunting atau dibaiki orang lain.
Ada banyak ‘teladan mulia’ ditunjukkan para penulis di seluruh dunia tentang gaya dan cara menulis mereka. Kebiasaan saya sendiri membaca pengalaman menulis para penulis Malaysia, antara terawal ialah Buku Kuras-Kuras Kreatif karya Allahyarham Azizi Abdullah. Beliau adalah penulis yang serius dengan ‘ruang prosesnya’ sehingga akan melarikan diri ke bilik hotel untuk berkarya. Malah pernah menjerkahi anaknya yang mengganggu meja menulisnya. Aminah Mokhtar banyak mendapat ilham di bilik pembedahan, katil pesakit dan ruang hospital tempat beliau menjadi jururawat. SM Zakir berkongsi pengalaman kembali ke lubang ingatan zaman kanak-kanak dalam Cerpen Paya Purnama. Zakir menggunakan teori Carl Gustav Jung tentang kejadian-kejadian zaman infatile yang samar-samar dalam ingatan atau kata lainnya bentuk psikiprimitif yang hilang daripada diri manusia. Teori itu membawanya menulis cerpen bertemakan kanak-kanak yang menarik.
Saya ingin berkongsikan kutipan Zaen Kasturi tentang proses kreatif penulis dunia yang ditekuninya.
Jacques Hadamard
Penulis ini memfokuskan ‘rasa’ dalam diri sebagai punca utama proses kreatif. Lazimnya, rasa indah terhadap sesuatu atau cinta membuatkan penulis berkarya. Menerusi tulisan, penulis ingin memenuhi kehendak sebenarnya yang dilihat ‘belum terisi’ di dunia nyata.
2. Jalaluddin Rumi
Tokoh penyair sufi ini akan duduk menulis ditemani kucing kesayangannya. Kucing ini amat rapat dengan Rumi sehingga dia juga mati selepas seminggu Rumi meninggal dunia.
3. Samuel Johnson
Pengarang ini juga memerlukan seekor kucing berdengkur, kulit buah limau dan teh yang banyak untuk berkarya. Tanpa semua itu, beliau tidak dapat menulis dengan baik.
4. Honore de Balzac
Pengarang ini hanya boleh menulis pada waktu malam dan memerlukan beberapa cawan kopi O pekat. Beliau dapat menulis sehingga 15-16 jam sehari dengan bercawan-cawan kopi O sebagai ‘baterinya’. Beliau juga sangat mementingkan kesempurnaan pada karyanya.
5. Emile Zola
Penulis ini hanya boleh berkarya pada waktu siang, tetapi menurunkan semua tirai tingkap kerana bergantung kepada cahaya buatan.
6. Thomas Carlyle
Penulis ini membuat bilik yang kalis bunyi untuk berkarya.
7. Friedrich Schiller
Penulis ini hanya menulis selepas lacinya dipenuhi epal busuk. Bau dari laci yang busuk memberikannya ilham. Antara karya besarnya yang dikatakan dipengaruhi tabiat pelik ini adalah naskah drama pentas ‘William Tell’, ‘Mary Stuart’, ‘Wallenstein’ dan ‘Ode to Joy’.
8. Hart Crane
Penulis ini tidak boleh menulis puisi selain berada di bilik yang bising dan bermuzik. Perasaan marah kepada ‘Keadaan hingar-bingar’ akan membantunya untuk berkarya dengan ‘tepat’
Zaen Kasturi membuat kesimpulan bahawa tiada satu pun cara yang salah atau benar untuk menulis karya yang baik. Walau bagaimanapun, sikap penulislah yang menentukan keberkesanan karya. Penulis tidak boleh mengambil jalan mudah, jalan pintas, serta mempunyai banyak dalil untuk berkarya. Jika sikap-sikap ‘hodoh’ ini dikekalkan, maka perangai itulah mencerminkan dirinya.
Sebenarnya kerja menulis adalah mulia dan sempurna ‘Kecuali Diri Kita Sendiri…’ (sambung sendiri).
Apa yang dibaca seseorang (penulis), itulah yang akan mengangkat karyanya. Saya tertarik untuk menyenaraikan bacaan-bacaan awal Sasterawan Negara A. Samad Said. Senarai ini saya dapati secara langsung melalui nota proses kreatifnya yang bertajuk A. Samad Said Dari Salina ke Langit Petang: Proses Mencipta Novel. Saya menuliskannya di sini sebagai rujukan untuk diri.
Sebelum pandai membaca, Pak Samad suka (ketagih) mendengar ibunya bercerita. Pada waktu itu, umur Pak Samad lima tahun. Dia dan ibunya tinggal di Victoria Street, Singapura. Kata Pak Samad, dia amat gemarkan cerita Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Putih Bawang Merah, Intan Terpilih dan Jula Juli Bintang Tujuh.
Hal ini mengingatkan saya pada Allahyarham SN Abdullah Hussain yang juga memulakan kembara penulisannya dengan suka mendengar cerita datuk dan neneknya semasa kecil, malah penulis yang lebih baharu seperti Habiburrahman El-Shirazy dan Zaid Akhtar juga mengatakan mereka menjadi penulis kerana disuntik semangat ibu yang suka bercerita sebelum tidur.
1948, sejak masuk ke Special Malay Class, Pak Samad mula terdedah dengan buku. Sikapnya suka membaca bahan bacaan ‘yang tidak disentuh’ kanak-kanak lain. Sebab itu, Pak Samad tidak membaca karya misteri Enid Blyton. Kecenderungannya ketika membaca adalah menyalin semula bahagian-bahagian yang menarik hatinya khususnya perlukisan, perwarnaan tempat, watak dan keadaan. Dia membaca buku adalah untuk lebih mengingatkan pemandangan-pemandangan, watak-watak, dan sesuatu keadaan atau iklim sesebuah novel. Dia berasa senang apabila cerita itu ‘hidup’ semula dalam dirinya. Sebab itulah Pak Samad mampu melukiskan kehidupan dalam novel-novelnya dengan sedekat-dekatnya.
Pak Samad Said berulang kali membaca Novel Balik Dari Medan Perang karya Ahmad Lutfi, malahan menitiskan air mata. Novel ini begitu menyentuh perasaan Pak Samad ekoran dia baharu sahaja mengalami penderitaan perang di zaman pemerintahan Jepun. Awal tahun 50-an, Pak Samad membaca Cinta Gadis Rimba, Dayangku Fatimah karya Harun Aminurrashid, Rumah Itu Dunia Aku karya Hamzah dan Pemburu Kembali ke Rumahnya.
Pak Samad juga membaca Atheis, Di Bawah Lindungan Kaabah,, Tidak Ada Esok (Mokhtar Lubis), Pemburuan (Pramodya Ananta Toer). Setelah diperkenalkan dengan sastera Inggeris, Pak Samad mula menggulati Oliver Twist karya Charles Dickens, Wuthering Heights, Almayer’s Folly dan The Hurricane. Novel yang paling mengghairahkan Pak Samad adalah The Pastures of Heaven karya John Steinback (malah menurut Pak Samad, dia tidak membaca sebaliknya menelaah dari bab ke bab, memahami dulu satu bab sebelum berpindah ke bab yang lain, sehingga buku ini terkoyak). Novel Steinbeck yang lain diminati Pak Samad adalah Of Mice and Men, The East of Eden dan The Sea of Cortez. (Beliau berharap dapat membaca cerpen Steinbeck ‘ The Leader of The People‘ yang memungkinkan pengarang tersebut mendapat Hadiah Nobel). Beliau turut menggilai novel Gone With the Wind karya Margaret Mitchell.
Pak Samad juga membaca The Good Earth karya Pearl S. Buck (katanya novel ini sederhana tetapi mengasyikkan). Novel ini adalah kepala bagi novel latar desa seperti Pulang karya Toha Mokhtar, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Nectar in a Sieve karya Kamala Markandaya,
Pak Samad tidak ketinggalan membaca karya Ernest Hemingway ‘ For Whom the Bell Tolls’ (yang ditonton dahulu filemnya. Penulis ini dikenali sebagai ‘the giant of American Literature). Beliau mengulit The Snow of Killimanjaro, The Old Man and The Sea karya penulis yang sama.
Beliau turut membaca karya-karya Han Suyin; Love is a Many Splendoured Things, Destination Chungking dan ..And The Rain My Drink. Menelaah A Place Called Estherville karya Erskine Caldwell, The Razor’s Edge dan Cerpen ‘The Rain’ karya W. Somersat Maugham., The Bridge of River Kwai, The Bramble Bush dan Love Story. Tidak ketinggalan novel The Prize karya Irving Wallace, The Passion of the Mind karya Irving Stone, Dr. Zhivago karya Boris L. Pasternak, The Leopard, a Farewell to Arms, The Mill of The Floss oleh George Elliot, By Love Possesed oleh Gould Cozens, Potrait of Jennie karya Robbert Nathan, War and Peace karya Leo Tolstoy, The First Circle karya Alexander I. Solzhenitsyn, The Prize, The Plot dan The Man oleh Irving Wallace, The Adventure dan The Lonely Ladey oleh Harold Robbins
Malahan Pak Samad tidak lupa membaca Senja di Jakarta oleh Mokhtar Lubis dan Keluarga Gerilya karya Pramoedya Ananta Toer.
Dalam buku proses kreatif ini, Pak Samad telah menyenaraikan lebih 50 buah karya sastera yang telah dihadamnya sebelum mula menulis buku. Maka, adalah menjadi kewajipan kita (tentunya yang mahu menjadi penulis besar) adalah cuma membaca dan menelaah kembali buku-buku yang menjadi santapan minda seorang Sasterawan seperti A. Samad Said.
Membaca Karya Sastera di Era Revolusi Industri 4.0
Oleh: Dr Ummi Hani Abu Hassan
Tahun 2020 adalah tahun kerancakan penggunaan AI (Artificial intelligence) iaitu salah satu peneraju Revolusi Industri 4.0. AI menjadi saingan kepada manusia kerana kecanggihannya menyelesaikan isu-isu komplek yang diledakkan oleh kemajuan teknologi. Faktor ini turut mengubah sikap, tindakan, dan cara fikir manusia di seluruh dunia menjadi lebih pantas dan sibuk.
Revolusi Industri 4.0 adalah rantaian kepada tiga revolusi industri sebelumnya. Revolusi industri pertama dicetuskan oleh penggunaan mesin berkuasa wap, revolusi industri kedua menemukan janaan kuasa elektrik dan revolusi industri ketiga dipacu oleh teknologi maklumat dan komputer. Seterusnya, Revolusi Industri 4.0 diledakkan oleh sistem super komputer dan automasi yang memperlihatkan keupayaan robot dan mesin untuk melaksanakan urusan hidup manusia. Kelebihan Revolusi Industri 4.0 adalah menaikkan tahap pembangunan negara, menghubungkan manusia sepantas saat, memperbaiki sistem pengurusan persekitaran, aotomasi dalam sektor tradisional seperti pertanian dan perikanan, meningkatkan taraf kesihatan rakyat dan ramalan bencana alam yang lebih canggih.
Persoalannya, bagaimanakah Revolusi Industri 4.0 boleh dimanfaatkan dalam usaha menggalakkan masyarakat pelbagai peringkat umur membaca karya kesusasteraan?
Sastera Tidak Mati Tetapi..
Dengan kecanggihan sistem komunikasi dan teknologi digital, seseorang penulis dapat mengakses maklumat di seluruh dunia hanya di hujung jarinya. Kelebihan ini membantu para penulis untuk menghasilkan karya-karya berkualiti dan informatif. Media digital misalnya menghidangkan karya kesusasteraan antarabangsa dan memudahkan para penulis seluruh dunia menyelami pemikiran sasterawan asing. Melalui e-novel Hard Times karya Charles Dickens, pembaca era millinium dapat mengetahui keadaan kelas dalam masyarakat British tahun 1854. Pengarang menggambarkan orang baik di eranya muncul dalam kalangan kelas bawahan seperti kaum buruh, orang kebanyakan dan para penghibur jalanan. Manakala kaum aristokrat dari kalangan pemodal, tuan tanah dan orang terpelajar sering memangsakan golongan lemah. Dalam e-book I am Malala (2013), masyarakat dunia dapat membuka mata terhadap kezaliman Kumpulan Taliban yang memperjuangkan keganasan untuk menegakkan negara Islam. Malala pada usia 14 tahun telah ditembak askar Taliban hanya kerana memperjuangkan pendidikan kanak-kanak wanita di daerahnya di Swat, Utara Pakistan. Kisahnya menjadi tular di internet dan meraih simpati antarabangsa. Buku tersebut mengangkat Malala Yousafzai sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2014 pada usianya 16 tahun.
Media digital mengaruskan kesusasteraan kepada dimensi terbuka dan pantas. Ini disokong lagi dengan penerbitan sampingan untuk mempromosikan karya seperti dokumentari, filem pendek, animasi dan review secara visual. Dalam Forum Ekonomi Dunia 2017, Webber –Youngman menyenaraikan kemahiran kreatif sebagai salah satu daripada 10 kemahiran yang penting dalam Revolusi Industri 4.0. Oleh itu, karya Kesusasteraan boleh dilihat sebagai produk kreativiti yang terus membekalkan kebijaksanaan kepada manusia, dalam waktu yang sama mengimbangi kecerdasan buatan (AI) yang terdapat pada robot dan mesin.
Cabaran Membaca Kesusasteraan Cara Lama
Sesuatu yang membimbangkan akan berlaku di era ini adalah kemerosotan tradisi pembacaan buku bercetak. Data Perpustakaan Negara Malaysia 2016 menunjukkan generasi muda lebih gemar membaca secara atas talian mengakibatkan terjadinya penyusutan pinjaman buku-buku fizikal. Sekiranya trend ini berterusan, ianya mencetuskan masalah kepada para penulis dan penerbit jika masih mengamalkan tradisi penerbitan buku fizikal yang bersifat sehala.
Bagi negara maju seperti Amerika Syarikat, pembacaan buku fizikal masih mengungguli gaya pembacaan semasa iaitu sebanyak 65 peratus (rujuk gambar lampiran oleh Pew Research Center). Walau bagaimanapun, pada tahun 2019, trend pembacaan secara e-book dan audio meningkat menjadikan gaya pembacaan lebih variasi dan produktif. Antara peranti teknologi yang menaikkan bilangan pembacaan digital adalah telefon pintar dan tablet.
Gambar 1: Trend pembacaan di Amerika Syarikat tahun 2019
Berikutan perubahan sikap masyarakat dunia yang berpunca daripada perkembangan super komputer dan automasi, kita seharusnya bersikap positif dengan meyakini bahawa buku masih penting dalam kehidupan manusia. Melalui data-data terkini, sesuatu perlu dilakukan untuk menjenamakan semula buku-buku lama terutama buku-buku kesusasteraan dengan sifat mesra digital. Di Malaysia, kajian mendapati bahawa karya kesusasteraan Melayu terutama novel tidak dimuat-naik ke aplikasi e-booksecara konsisten dan terancang. Walaupun terdapat usaha menerbitkan semula karya-karya hebat sasterawan negara dalam bentuk buku fizikal seperti yang dilakukan oleh ITBM dan DBP, tetapi penerbitan secara digital perlu diberikan perhatian. Kerana, secara faktanya generasi muda terutama Generasi Z dan Generasi Alpha akan mewarisi dunia seterusnya.
Pembaca Generasi Z
Fenomena semasa menjelaskan bahawa karya kesusasteraan tidak lagi diminati golongan muda sekiranya tidak digandingkan dengan elemen lain. Zainal Rashid Ahmad dalam kolumnya di Malaysian Insight bertarikh 5 Januari 2020 mengatakan karya sastera perlu mempunyai ejen penyampaian yang bersifat semasa sekiranya mahu bertahan dalam masyarakat industri. Beliau memberikan contoh kelompok anak muda yang bukan sahaja tidak menyedari penerbitan buku-buku sastera bahkan tidak mengetahui kewujudan sasterawan negara akibat tidak dipromosikan dengan aktif di media digital. Sebaliknya, golongan muda lebih mengenali golongan artis termasuklah seniman luar negara melalui akses digital. Justeru, antara usaha menyebarkan karya sastera adalah menggandingkannya dengan elemen-elemen yang lebih popular seperti muzik dan lakon layar. Persoalannya, apakah kita harus menyalahkan fenomena ini?
Generasi Pasca Milenia (post-Millennials) atau dikenali dengan Generasi Z adalah kumpulan yang lahir antara tahun 1995 hingga 2012. Matthew Yglesias (2019) mengemukakan kajian yang dibuat oleh Morning Consult bahawa Generasi Z di Amerika Syarikat mempunyai kesedaran nasionaliti lebih rendah berbanding generasi sebelumnya. Ini diakibatkan oleh kuasa pasaran dan digitalisasi yang memendekkan proses perhubungan manusia. Generasi Z didedahkan dengan komunikasi pantas, segera dan aktif di alam maya. Namun, mereka tidak memberi fokus kepada nilai-nilai asas termasuklah kekeluargaan dan negara. Siti Mahani Muhazir (2015) menyebutkan bahawa Generasi Z juga adalah generasi senyap kerana corak interaksi mereka dengan individu lain melalui internet sehingga menjadi lebih individualistik di dunia realiti. Kelahiran mereka adalah sealiran dengan kemunculan teknologi multimedia seperti tablet, telefon pintar, media sosial, robot dan televisyen dimensi baru. Oleh itu, karakter Generasi Z adalah unik dan berbeza.
Di Malaysia, jumlah belia yang sebahagian besarnya Generasi Z adalah menghampiri 14 juta orang. Mereka juga penyumbang kepada aktiviti pembacaan buku yang menentukan transisi kemajuan negara. Melihat kepada ciri Generasi Z yang disebutkan para sarjana di atas, jelaslah mengapa aktiviti pembacaan kesusasteraan di Malaysia masih perlahan. Ekoran penerbitan karya kesusasteraan masih berfokuskan bentuk fizikal semata-mata menyebabkan ianya dibaca oleh kelompok yang sangat mikro. Alasan ini juga boleh digunakan apabila satu-satu syarikat penerbitan buku di Malaysia menutup atau mengurangkan operasi mereka akibat permintaan pasaran yang rendah. Berpaksikan kecenderungan generasi pembaca belia kini, kajian berpandangan bahawa penjenamaan semula bahan-bahan bercetak ke media digital dapat menjadi platform terbaik menyelamatkan khazanah kesusasteraan kita.
Belajar dari Negara Lain
Gambar 2: Kaver e-majalah Koreana terbaharu. Isu dan persembahan majalah ini sentiasa menarik para pembaca terhadap budaya dan seni Korea.
Korea adalah negara asia terdekat boleh dijadikan contoh dalam mendepani gelombang digitalisasi. Mempertaruhkan jumlah penduduk seramai 50 juta orang, Kerajaan Korea menerbitkan Majalah Koreana iaitu majalah seni dan sastera Korea secara percuma sejak tahun 1987 sehingga kini. Bagi membuka jendela budaya dan kesusasteraan Korea kepada dunia, sejak tahun pertama penerbitannya, Majalah Koreana diterbitkan dalam dwi bahasa iaitu Korea dan Inggeris, disusuli terjemahan ke bahasa Jepun dan Cina. Selepas berlakunya gelombang Korea atau hallyu, majalah ini dikembangkan ke bahasa-bahasa dunia lain termasuklah bahasa Arab, Sepanyol, Perancis, Indonesia, Rusia, Jerman dan Vietnam. Kini, masyarakat dunia tanpa perlu datang ke Korea, dapat membaca cerpen dan kritikan sastera Korea di hujung jari melalui pilihan bahasa masing-masing.
Penting dipelajari kita, Majalah Koreana adalah majalah yang bermotifkan pendidikan, bukan wang. Namun, penjenamaannya secara digital telah mendatangkan imbuhan ekonomi dan populariti kepada negara itu akibat ketertarikan masyarakat antarabangsa untuk melihat Korea secara dekat selepas melayari e-majalah ini. Penerjemahannya dalam 11 bahasa dunia melibatkan kos yang tinggi tetapi kos ini tidak dapat menandingi apresiasi dunia terhadap sastera Korea. Barisan sasterawan Korea seperti penulis muda Kim Ae Ran dan Han Kang antara dikenali khalayak global walaupun pengkaryaan mereka dalam bahasa ibunda. Majalah Koreana versi cetakan relevan kepada rakyat Korea terutama golongan tua, tetapi e-majalahnya dengan 11 bahasa telah melengkapi ‘tsunami K’ ke seluruh dunia. Apatah lagi Majalah Koreana tidak ditampilkan sebagai ‘majalah percuma’ dari segi kualiti persembahannya. Baik dari segi warna, pilihan kaver, isu dan judul utama, gambar hiasan sehinggalah susun atur dan bentuk tulisan melambangkan ketelitian pihak editorial menyihir calon-calon pembacanya.
Belum Terlambat
Pernahkah kita terfikirkan bahawa dalam masa terdekat, bukan lagi guru tadika membacakan buku kepada kanak-kanak tetapi sebuah robot yang mirip wajah manusia. Hal ini tidak mustahil kerana banyak sektor perindustrian dan pelancongan telah menggunakan robot sebagai pemudah-cara mereka. Namun, kecerdikan buatan (AI) yang terdapat pada robot dan mesin tidak dapat menandingi anugerah akal yang diberikan Tuhan kepada manusia. Justeru, teknologi AI tidak dapat menciptakan karya kesusasteraan, hanya sebagai ejen pemasaran karya kepada penulis dan penerbit.
Kesimpulannya, karya kesusasteraan akan terus dibaca pelbagai golongan jika penerbitannya dibuat dalam dua versi; fizikal dan digital serta dipelbagaikan cara persembahannya sesuai dengan arus Revolusi Industri 4.0. Jika penulis dan penerbit menongkah arus, mereka sebenarnya sedang cuba melenyapkan karya kesusasteraan dari kehidupan canggih manusia.
Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Tunas Cipta, Februari 2020.