Membaca Karya Sastera di Era Revolusi Industri 4.0

Oleh: Dr Ummi Hani Abu Hassan

Tahun 2020 adalah tahun kerancakan penggunaan AI (Artificial intelligence) iaitu salah satu peneraju Revolusi Industri 4.0. AI menjadi saingan kepada manusia kerana kecanggihannya menyelesaikan isu-isu komplek yang diledakkan oleh kemajuan teknologi. Faktor ini turut mengubah sikap, tindakan, dan cara fikir manusia di seluruh dunia menjadi lebih pantas dan sibuk.

Revolusi Industri 4.0 adalah rantaian kepada tiga revolusi industri sebelumnya. Revolusi industri pertama dicetuskan oleh penggunaan mesin berkuasa wap, revolusi industri kedua menemukan janaan kuasa elektrik dan revolusi industri ketiga dipacu oleh teknologi maklumat dan komputer. Seterusnya, Revolusi Industri 4.0 diledakkan oleh sistem super komputer dan automasi yang memperlihatkan keupayaan robot dan mesin untuk melaksanakan urusan hidup manusia. Kelebihan Revolusi Industri 4.0 adalah menaikkan tahap pembangunan negara, menghubungkan manusia sepantas saat, memperbaiki sistem pengurusan persekitaran, aotomasi dalam sektor tradisional seperti pertanian dan perikanan, meningkatkan taraf kesihatan rakyat dan ramalan bencana alam yang lebih canggih.

Persoalannya, bagaimanakah Revolusi Industri 4.0 boleh dimanfaatkan dalam usaha menggalakkan masyarakat pelbagai peringkat umur membaca karya kesusasteraan?

Sastera Tidak Mati Tetapi..  

Dengan kecanggihan sistem komunikasi dan teknologi digital, seseorang penulis dapat mengakses maklumat di seluruh dunia hanya di hujung jarinya. Kelebihan ini membantu para penulis untuk menghasilkan karya-karya berkualiti dan informatif. Media digital misalnya menghidangkan karya kesusasteraan antarabangsa dan memudahkan para penulis seluruh dunia menyelami pemikiran sasterawan asing. Melalui e-novel Hard Times karya Charles Dickens, pembaca era millinium dapat mengetahui keadaan kelas dalam masyarakat British tahun 1854. Pengarang menggambarkan orang baik di eranya muncul dalam kalangan kelas bawahan seperti kaum buruh, orang kebanyakan dan para penghibur jalanan. Manakala kaum aristokrat dari kalangan pemodal, tuan tanah dan orang terpelajar sering memangsakan golongan lemah. Dalam e-book I am Malala (2013), masyarakat dunia dapat membuka mata terhadap kezaliman Kumpulan Taliban yang memperjuangkan keganasan untuk menegakkan negara Islam. Malala pada usia 14 tahun telah ditembak askar Taliban hanya kerana memperjuangkan pendidikan kanak-kanak wanita di daerahnya di Swat, Utara Pakistan. Kisahnya menjadi tular di internet dan meraih simpati antarabangsa. Buku tersebut mengangkat Malala Yousafzai sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2014 pada usianya 16 tahun.

Media digital mengaruskan kesusasteraan kepada dimensi terbuka dan pantas. Ini disokong lagi dengan penerbitan sampingan untuk mempromosikan karya seperti dokumentari, filem pendek, animasi dan review secara visual.  Dalam Forum Ekonomi Dunia 2017, Webber –Youngman menyenaraikan kemahiran kreatif sebagai salah satu daripada 10 kemahiran yang penting dalam Revolusi Industri 4.0. Oleh itu, karya Kesusasteraan boleh dilihat sebagai produk kreativiti yang terus membekalkan kebijaksanaan kepada manusia, dalam waktu yang sama mengimbangi kecerdasan buatan (AI) yang terdapat pada robot dan mesin.

Cabaran Membaca Kesusasteraan Cara Lama

Sesuatu yang membimbangkan akan berlaku di era ini adalah kemerosotan tradisi pembacaan buku bercetak. Data Perpustakaan Negara Malaysia 2016 menunjukkan generasi muda lebih gemar membaca secara atas talian mengakibatkan terjadinya penyusutan pinjaman buku-buku fizikal. Sekiranya trend ini berterusan, ianya mencetuskan masalah kepada para penulis dan penerbit jika masih mengamalkan tradisi penerbitan buku fizikal yang bersifat sehala.

Bagi negara maju seperti Amerika Syarikat, pembacaan buku fizikal masih mengungguli gaya pembacaan semasa iaitu sebanyak 65 peratus (rujuk gambar lampiran oleh Pew Research Center). Walau bagaimanapun, pada tahun 2019, trend pembacaan secara e-book dan audio meningkat menjadikan gaya pembacaan lebih variasi dan produktif. Antara peranti teknologi yang menaikkan bilangan pembacaan digital adalah telefon pintar dan tablet.

Gambar 1: Trend pembacaan di Amerika Syarikat tahun 2019

Berikutan perubahan sikap masyarakat dunia yang berpunca daripada perkembangan super komputer dan automasi, kita seharusnya bersikap positif dengan meyakini bahawa buku masih penting dalam kehidupan manusia. Melalui data-data terkini, sesuatu perlu dilakukan untuk menjenamakan semula buku-buku lama terutama buku-buku kesusasteraan dengan sifat mesra digital. Di Malaysia, kajian mendapati bahawa karya kesusasteraan Melayu terutama novel tidak dimuat-naik ke aplikasi e-book secara konsisten dan terancang. Walaupun terdapat usaha menerbitkan semula karya-karya hebat sasterawan negara dalam bentuk buku fizikal seperti yang dilakukan oleh ITBM dan DBP, tetapi penerbitan secara digital perlu diberikan perhatian. Kerana, secara faktanya generasi muda terutama Generasi Z dan Generasi Alpha akan mewarisi dunia seterusnya.

Pembaca Generasi Z

Fenomena semasa menjelaskan bahawa karya kesusasteraan tidak lagi diminati golongan muda sekiranya tidak digandingkan dengan elemen lain. Zainal Rashid Ahmad dalam kolumnya di Malaysian Insight bertarikh 5 Januari 2020 mengatakan karya sastera perlu mempunyai ejen penyampaian yang bersifat semasa sekiranya mahu bertahan dalam masyarakat industri. Beliau memberikan contoh kelompok anak muda yang bukan sahaja tidak menyedari penerbitan buku-buku sastera bahkan tidak mengetahui kewujudan sasterawan negara akibat tidak dipromosikan dengan aktif di media digital. Sebaliknya, golongan muda lebih mengenali golongan artis termasuklah seniman luar negara melalui akses digital. Justeru, antara usaha menyebarkan karya sastera adalah menggandingkannya dengan elemen-elemen yang lebih popular seperti muzik dan lakon layar. Persoalannya, apakah kita harus menyalahkan fenomena ini?

Generasi Pasca Milenia (post-Millennials) atau dikenali dengan Generasi Z adalah kumpulan yang lahir antara tahun 1995 hingga 2012. Matthew Yglesias (2019) mengemukakan kajian yang dibuat oleh Morning Consult bahawa Generasi Z di Amerika Syarikat mempunyai kesedaran nasionaliti lebih rendah berbanding generasi sebelumnya. Ini diakibatkan oleh kuasa pasaran dan digitalisasi yang memendekkan proses perhubungan manusia. Generasi Z didedahkan dengan komunikasi pantas, segera dan aktif di alam maya. Namun, mereka tidak memberi fokus kepada nilai-nilai asas termasuklah kekeluargaan dan negara. Siti Mahani Muhazir (2015) menyebutkan bahawa Generasi Z juga adalah generasi senyap kerana corak interaksi mereka dengan individu lain melalui internet sehingga menjadi lebih individualistik di dunia realiti. Kelahiran mereka adalah sealiran dengan kemunculan teknologi multimedia seperti tablet, telefon pintar, media sosial, robot dan televisyen dimensi baru. Oleh itu, karakter Generasi Z adalah unik dan berbeza.

Di Malaysia, jumlah belia yang sebahagian besarnya Generasi Z adalah menghampiri 14 juta orang. Mereka juga penyumbang kepada aktiviti pembacaan buku yang menentukan transisi kemajuan negara. Melihat kepada ciri Generasi Z yang disebutkan para sarjana di atas, jelaslah mengapa aktiviti pembacaan kesusasteraan di Malaysia masih perlahan. Ekoran penerbitan karya kesusasteraan masih berfokuskan bentuk fizikal semata-mata menyebabkan ianya dibaca oleh kelompok yang sangat mikro. Alasan ini juga boleh digunakan apabila satu-satu syarikat penerbitan buku di Malaysia menutup atau mengurangkan operasi mereka akibat permintaan pasaran yang rendah. Berpaksikan kecenderungan generasi pembaca belia kini, kajian berpandangan bahawa penjenamaan semula bahan-bahan bercetak ke media digital dapat menjadi platform terbaik menyelamatkan khazanah kesusasteraan kita.

Belajar dari Negara Lain

Gambar 2: Kaver e-majalah Koreana terbaharu. Isu dan persembahan majalah ini sentiasa menarik para pembaca terhadap budaya dan seni Korea.

Korea adalah negara asia terdekat boleh dijadikan contoh dalam mendepani gelombang digitalisasi. Mempertaruhkan jumlah penduduk seramai 50 juta orang, Kerajaan Korea menerbitkan Majalah Koreana iaitu majalah seni dan sastera Korea secara percuma sejak tahun 1987 sehingga kini. Bagi membuka jendela budaya dan kesusasteraan Korea kepada dunia, sejak tahun pertama penerbitannya, Majalah Koreana diterbitkan dalam dwi bahasa iaitu Korea dan Inggeris, disusuli terjemahan ke bahasa Jepun dan Cina. Selepas berlakunya gelombang Korea atau hallyu, majalah ini dikembangkan ke bahasa-bahasa dunia lain termasuklah bahasa Arab, Sepanyol, Perancis, Indonesia, Rusia, Jerman dan Vietnam. Kini, masyarakat dunia tanpa perlu datang ke Korea, dapat membaca cerpen dan kritikan sastera Korea di hujung jari melalui pilihan bahasa masing-masing.

Penting dipelajari kita, Majalah Koreana adalah majalah yang bermotifkan pendidikan, bukan wang. Namun, penjenamaannya secara digital telah mendatangkan imbuhan ekonomi dan populariti kepada negara itu akibat ketertarikan masyarakat antarabangsa untuk melihat Korea secara dekat selepas melayari e-majalah ini. Penerjemahannya dalam 11 bahasa dunia melibatkan kos yang tinggi tetapi kos ini tidak dapat menandingi apresiasi dunia terhadap sastera Korea. Barisan sasterawan Korea seperti penulis muda Kim Ae Ran dan Han Kang antara dikenali khalayak global walaupun pengkaryaan mereka dalam bahasa ibunda. Majalah Koreana versi cetakan relevan kepada rakyat Korea terutama golongan tua, tetapi e-majalahnya dengan 11 bahasa telah melengkapi ‘tsunami K’ ke seluruh dunia. Apatah lagi Majalah Koreana tidak ditampilkan sebagai ‘majalah percuma’ dari segi kualiti persembahannya. Baik dari segi warna, pilihan kaver, isu dan judul utama, gambar hiasan sehinggalah susun atur dan bentuk tulisan melambangkan ketelitian pihak editorial menyihir calon-calon pembacanya.

Belum Terlambat

Pernahkah kita terfikirkan bahawa dalam masa terdekat, bukan lagi guru tadika membacakan buku kepada kanak-kanak tetapi sebuah robot yang mirip wajah manusia. Hal ini tidak mustahil kerana banyak sektor perindustrian dan pelancongan telah menggunakan robot sebagai pemudah-cara mereka. Namun, kecerdikan buatan (AI) yang terdapat pada robot dan mesin tidak dapat menandingi anugerah akal yang diberikan Tuhan kepada manusia. Justeru, teknologi AI tidak dapat menciptakan karya kesusasteraan, hanya sebagai ejen pemasaran karya kepada penulis dan penerbit.

Kesimpulannya, karya kesusasteraan akan terus dibaca pelbagai golongan jika penerbitannya dibuat dalam dua versi; fizikal dan digital serta dipelbagaikan cara persembahannya sesuai dengan arus Revolusi Industri 4.0. Jika penulis dan penerbit menongkah arus, mereka sebenarnya sedang cuba melenyapkan karya kesusasteraan dari kehidupan canggih manusia.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Tunas Cipta, Februari 2020.

admin KRITIKAN SASTERA, Majalah ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *