March 29, 2020

Mencermati Cerpen Malaysia dan Korea

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Awal Mac 2014, saya memulakan semester pertama pengajian sastera bandingan di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS), Seoul. Ia adalah tahun yang memperkenalkan saya pada budaya ‘pali-pali’ (cepat-cepat), sampo sedae(generasi kahwin lewat), sigdang(makan luar) dan hansang(berpacaran). Ini antara empat budaya utama yang terpapar dalam masyarakat Korea baik secara nyata, fiksi sastera mahupun digital. Berjalan cepat-cepat menunjukkan kesungguhkan melakukan sesuatu, amat berkaitan dengan amalan menjaga masa. Persaingan 50 juta penduduk dengan 13 juta orang berpusat di Seoul menyebabkan pekerjaan lebih penting daripada jodoh. Akibat lain, anak muda Korea selesa menyewa bilik atau ‘bang’, makan di kedai-kedai dan berpacaran tanpa ada rancangan untuk berkahwin sebelum 30-an. Majalah Koreana edisi musim panas 2019 menyebutkan perubahan masyarakat Korea ditentukan ekonomi pasaran bebasnya. 

Inilah persamaan besar Malaysia dan Korea iaitu hegemoni neoliberalisme dalam jagat masyarakatnya, dari akar bawahan hingga ke pucuk atasan. Neoliberalisme ditafsirkan  sebagai wajah baru kepada kapitalisme global yang mencengkam juzuk-juzuk sebuah negara baik dalam ekonomi, politik, masyarakat, pendidikan, sastera dan kebudayaan. Korea dan Malaysia, sama-sama berlutut kepada kepentingan pasar dan ekonomi. Sumber alam dan manusianya dikerahkan untuk memacukan ekonomi negara semaksimumnya. Lebih-lebih lagi Korea yang berada dalam perkumpulan yang dinamakan Global North.

Kim Ae Ran

Saya menekuni sebuah cerpen tulisan Kim Ae Ran, penulis mapan Korea yang lahir tahun 1980. Cerpen berjudul ‘Aku ke Kedai 24 Jam’ (terbit di Majalan Koreana edisi musim sejuk 2017) menceritakan sisi individualistik yang membarah dalam kalangan warga Seoul, seiring pertumbuhan ekonomi yang disingkapkan melalui ‘munculnya kedai-kedai 24 jam’ bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Kebergantungan individu kepada kedai 24 jam seperti kebergantungan negara dunia ketiga kepada kuasa besar. Kedai 24 jam menyediakan sekecil barang seperti ‘gula-gula, rameyon dan aiskrim sehinggalah barang yang penting seperti tisu toilet, tuala wanita dan pengecas telefon. Konflik cerpen digerakkan oleh kelakuan tipa utama yang bertukar-tukar kedai 24 jam atas alasan pelik iaitu dia ‘benci’ dengan penjaga kedai yang sering bertanyakan soalan- soalan seperti ‘di mana kamu belajar?’ kamu belajar bidang apa? Umurmu berapa? Sekaligus mempamerkan generasi muda Korea yang suka menyendiri dalam rumah fikiran, tanpa mahu diganggu sesiapapun.

Hafizah Iszahanid

Cerpen ini meninggalkan kesan kehairanan kepada saya. Saya mencari-cari cerpen Malaysia yang boleh menjawab kehairanan saya terhadap cerpen Kim Ae Ran. Lalu saya mencocokkan dengan cerpen ‘Ulangtahun Bonda’ karya Hafizah Iszahanid (terbit di Mingguan Malaysia 7 September 2014) yang juga penulis wanita yang lahir awal 1980-an. Hafizah memposisikan kesan utama neoliberalisme di Malaysia melalui cerpennya iaitu kerapuhan hubungan kekeluargaan. Sikap individual ditonjolkan melalui watak anak-anak yang mengabaikan ibu yang tua. Saya mencatat kembali tulisan Hafizah, “Untuk mereka, bonda adalah perempuan yang semakin dimamah usia dan tidak lagi berada dalam arus masa.” Golongan tua menjadi mangsa zaman pasca moden (postmodernisme) kerana tidak dapat memahami kesibukan golongan muda dengan gaya celaru. Watak Bonda melihat anak-anaknya larut dalam pencarian materi, bercakaran sesama sendiri atas kebebasan dan demokrasi. Walau bagaimanapun, kematian anak-anak Bonda dalam kecelakaan kapal terbang, menyebabkan anak-anak yang masih hidup mula bersatu. Penulis Malaysia seperti Hafizah menerobos hikmah di sebalik ujian yang berlaku. Hal ini kerana ianya sebahagian daripada ajaran Islam. Jika disingkap, watak Bonda adalah negara Malaysia, manakala watak anak-anak adalah bangsa Melayu yang menjadi majoriti di Malaysia. Hafizah secara tidak langsung menghamburkan kegusaran terhadap anak bangsanya yang semakin individualistik dan rapuh nilai.

Sebaliknya, Kim Ae Ran tidak mempunyai resolusi seperti Hafizah. Dia sekadar ‘perakam realiti’ tetapi bukan seorang hakim atau penilik bangsanya. Dia menyatakan kini ‘individualistiklah’ raja masyarakatnya. Watak utamanya berjaya menyingkapkan akal fikiran seorang manusia yang bahagia hanya dengan akalnya, bukan dengan hubungan sosial. Di akhir cerpen, dia terpukul oleh kebohongan akalnya sendiri. Sungguhpun Kim Ae Ran tidak melanjutkan kepada hikmah di sebalik kemalangan yang ditonton oleh watak utamanya, tetapi bila dibandingkan dengan cerpen Hafizah Iszahanid, saya percaya sebenarnya Kim Ae Ran juga mahu mengutuk bahana neo liberalism yang menjarah masyarakat Korea kini. Hafizah mengungkapkan pengajaran positif secara terus-terang, manakala Kim Ae Ran menyiratkannya secara halus dengan cara beliau sendiri.

Individualistik adalah pesona Revolusi Industri ke 3 dan 4 selepas wujudnya sistem yang dipanggil dunia tanpa batas. Dengan kecanggihan telefon pintar dan IOT (internet of thing), manusia berkomunikasi dalam dunia yang senyap. Manusia terarah kepada kecanggihan yang mereka cipta, salah-satunya adalah robot. Apakah manusia mula mengambil ciri robot ke dalam peribadi mereka, dan ciri manusia pula diaplikasikan kepada robot? Hal ini tidak mustahil kerana telah diungkapkan dengan baik oleh penulis Generasi Y seperti Kim Ae Ran dan Hafizah Iszahanid. Sifat robot yang utama telah masuk ke jiwa manusia adalah individualistik. Lihatlah watak Aku yang menjauhi Kedai 24 Jam jika penjualnya seorang yang ramah, serta karakter anak-anak yang sinis melihat Bonda terkurung dalam kesunyian.

Sepulangnya saya ke Malaysia pada Ogos 2018, saya mendapati negara ini dilandai kedai-kedai dobi; baik di bandar mahupun desa. Orang-orang yang pergi ke kedai dobi, tidak berbual sesama sendiri waktu menunggu pakaian dibasuh. Dengan telefon bimbit, mereka tenggelam dalam fikirannya. Begitu juga ketika saya masuk ke kedai serbaneka Family Mart yang mula bercambah di Kuala Lumpur. Para pengunjung tidak lagi mencari nasi lemak atau bihun goreng yang dibungkus dalam bekas kecil tetapi, orang Malaysia baik Melayu, Cina dan India sudah mula ketagihkan kimbab tiga segi iaitu nasi yang dibungkus dengan rumpai laut, sushi dan udon. Semua makanan itu popular di Korea dan negara pemulanya adalah Jepun. Ketika beratur di kaunter pembayaran, orang-orang tidak berbual atau senyum sesama sendiri. Dengan makanan di tangan, mereka boleh duduk di kerusi tinggi, menikmati udon panas tanpa peduli orang sekeliling. Saya akhiri kolum ini dengan serangkap puisi Sasterawan Negara Baha Zain:


Apa yang harus kuucapkan lagi?
Antara kami, segalanya sepi,
Kecuali I-phone, dan dia dengan I-padnya.

(Baha Zain, “Monolog Kecil”, Dewan Sastera, November 2013)

Sastera Post Islamism atau Pop Islamism?

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Kira-kira 83 tahun lalu, Allahyarham Abdul Karim Amrullah atau Hamka meninggalkan fenomena novel cinta Islami yang kemudiannya diikuti sebahagian penulis Malaysia dan Indonesia sehingga kini. Bermula pada 1936 sehingga 1939, Hamka telah menulis tiga buah novel yang berfokuskan cinta dan Islam. Novelnya yang pertama, Di Bawah Lindungan Kaabah (Balai Pustaka, 1936) mengisahkan percintaan tragis yang diakhiri dengan kematian sepasang kekasih. Novel ini menjadikan agama Islam sebagai misi tanpa mengandungi persentuhan antara watak yang saling jatuh cinta. Tahun-tahun kelahiran novel Hamka adalah tahun kesukaran masyarakat Indonesia termasuk di Padang Panjang, sebuah pekan kecil di Sumatera Barat. 

Sejak novel cinta diperkenalkan di Sumatera, ianya menjadi bacaan popular dan digemari ramai. Para penerbit di Indonesia ketika itu menggalakkan penulisan cerita bertemakan cinta dan krisis masyarakat. Justeru, Hamka sebagai pendakwah menggunakan strategi kisah cinta untuk menarik masyarakat kepada Islam dengan tidak menyinggung dasar penjajahan Belanda secara terangan termasuk dalam novel beliau berikutnya iaitu Tenggelamnya Kapal Van de Wijck(Balai Pustaka,1937) dan Merantau ke Deli(Cerdas Medan, 1941). Beliau melihat cinta adalah kekuatan dalam diri seseorang individu. Hamid dan Zainab, Zainudin dan Hayati, Leman dan Poniem adalah watak remaja Indonesia yang mempunyai komitmen dan tekad memerdekakan Indonesia tetapi akhirnya menjadi orang yang kalah dan terkorban akibat dikecewakan cinta. Hamka berpandangan keadaan ini sebagai merugikan muslim Indonesia dan satu-satunya cara mengubati kekecewaan cinta adalah kembali pada ajaran Islam.

Akhir 1990-an, novel bertemakan cinta Islam kembali menjadi fenomena di Indonesia ekoran kemunculan ‘sastra wangi’ selepas kejatuhan Presiden Suharto pada 1999. Kumpulan penulis sastra wangi yang membariskan nama seperti Ayu Utami, Djenar Maesa Ayu dan Dewi Sartika berjaya mengumpulkan jumlah pembaca yang ramai berdasarkan catatan jualan yang tinggi. Sebagai tindak-balasnya, para penulis daripada kumpulan Forum Lingkar Pena (FLP) mengenengahkan novel cinta Islam yang mencabar tema-tema cinta seksual ‘sastra wangi’ sehingga mencetuskan wacana baru iaitu Novel Remaja Islam atau NORI. Kemuncaknya, penerbitan novel Ayat-Ayat Cinta(2003) oleh Habiburrahman El-Shirazy mempengaruhi kemunculan novel-novel popular Islam di Malaysia dengan penjenamaan pada judul, ilustrasi, nama pengarang dan kulit novel. Persoalannya, apakah para penulis novel popular Islam ini meneruskan hasrat dakwah Hamka atau lebih kepada agenda keuntungan?

Para pengkaji budaya seperti Andrew Weintraub (2011) dan Dominik M. Muller (2013) mengatakan kebangkitan pasca Islam di Malaysia dan Indonesia termasuk dalam gelombang kedua Islamisasi (second wave Islamism) yang berbeza daripada pasca Islam pertama seperti di Iran, Mesir dan Turki yang berfokuskan gerakan politik Islam. Di dua negara ini, proses Islamisasi era moden dikaitkan dengan budaya kepenggunaan (consumption) dan nilai pasaran (marketisation). Islam sebagai cara hidup masyarakat majoriti di Malaysia dan Indonesia turut mengalami penjenamaan globalisasi dalam banyak aspek termasuk kesusasteraan. Suara Islam disederhanakan secara tidak langsung, malah isu tabu seperti aksi seksual turut digambarkan secara Islamik. Saya petik dari novel Ayat-Ayat Cinta 2 karya Habiburrahman El-Shirazy:

Fahri begitu sabar dan telaten mengiringinya memasuki mihrab-mihrab kenikmatan ibadah (seks) yang menggetarkan seluruh syaraf-syarafnya. Berulang-ulang kali ia memekikkan tasbih di telinga Fahri dengan kedua mata terpejam. Harum kesturi mengiringi merekahnya jutaan bunga mawar yang indah di dalam batinnya(Halaman, 610).

Dalam satu wawancara saya dengan Habiburrahman El-Shirazy pada Disember 2015, beliau mengatakan sengaja mewujudkan babak seksualiti Islam kerana ingin memberi pengajaran kepada pembaca Muslim. Buku-buku beliau terjual lebih 500,000 naskah dengan Novel Ayat-Ayat Cintamelebihi 800,000 naskah di Asia Tenggara. Jumlah jualan menunjukkan para pembaca nusantara ‘selesa’ dengan tema cinta romantisme dengan kehadiran tipa utama yang berpakej kacak, jelita serta soleh dan solehah. Pengarang novel ini turun menjenamakan dirinya melalui media sosial khususunya Twitter, Facebook dan Instagram. Bagi Habiburrahman El-Shirazy, cinta adalah tema paling ampuh menyampaikan dakwah Islamnya di nusantara, sama seperti yang telah dilakukan oleh Hamka.

Kita semua maklum bahawa Islam memasuki Alam Melayu seawal abad ke 8, secara halus, sistematik dan bijaksana. Tiada peperangan dilancar oleh para pendakwah Islam untuk memasuki bumi yang kini bernama Malaysia dan Indonesia. Hal ini menyuburkan suasana harmoni dan aman untuk mempraktiskan Islam, sehingga kini. Banyak karya sastera Islam memperjuangkan isu masyarakat dengan cinta romantik sebagai terasnya. Apabila globalisasi menjarah, para pengarang nusantara tidak mengabaikan unsur-unsur komersial dengan pengiklanan terus di media sosial. Walaupun kecenderungan menegakkan sepenuhnya syariat Islam di Malaysia dan Indonesia tetap subur, prosesnya bergandingan dengan budaya popular yang disuaikan dengan imej Islam. Mungkin mustahil kita menemukan novel versi ‘I am Malala’di negara ini. Tetapi sesuatu harus difikirkan agar bias popular tidak mengganggu pengkaryaan yang mampu meletakkan negara ini sebagai negara para pemikir dunia, bukan hanya cinta romantik semata-mata.