March 20, 2020

Membaca Karya Sastera di Era Revolusi Industri 4.0

Membaca Karya Sastera di Era Revolusi Industri 4.0

Oleh: Dr Ummi Hani Abu Hassan

Tahun 2020 adalah tahun kerancakan penggunaan AI (Artificial intelligence) iaitu salah satu peneraju Revolusi Industri 4.0. AI menjadi saingan kepada manusia kerana kecanggihannya menyelesaikan isu-isu komplek yang diledakkan oleh kemajuan teknologi. Faktor ini turut mengubah sikap, tindakan, dan cara fikir manusia di seluruh dunia menjadi lebih pantas dan sibuk.

Revolusi Industri 4.0 adalah rantaian kepada tiga revolusi industri sebelumnya. Revolusi industri pertama dicetuskan oleh penggunaan mesin berkuasa wap, revolusi industri kedua menemukan janaan kuasa elektrik dan revolusi industri ketiga dipacu oleh teknologi maklumat dan komputer. Seterusnya, Revolusi Industri 4.0 diledakkan oleh sistem super komputer dan automasi yang memperlihatkan keupayaan robot dan mesin untuk melaksanakan urusan hidup manusia. Kelebihan Revolusi Industri 4.0 adalah menaikkan tahap pembangunan negara, menghubungkan manusia sepantas saat, memperbaiki sistem pengurusan persekitaran, aotomasi dalam sektor tradisional seperti pertanian dan perikanan, meningkatkan taraf kesihatan rakyat dan ramalan bencana alam yang lebih canggih.

Persoalannya, bagaimanakah Revolusi Industri 4.0 boleh dimanfaatkan dalam usaha menggalakkan masyarakat pelbagai peringkat umur membaca karya kesusasteraan?

Sastera Tidak Mati Tetapi..  

Dengan kecanggihan sistem komunikasi dan teknologi digital, seseorang penulis dapat mengakses maklumat di seluruh dunia hanya di hujung jarinya. Kelebihan ini membantu para penulis untuk menghasilkan karya-karya berkualiti dan informatif. Media digital misalnya menghidangkan karya kesusasteraan antarabangsa dan memudahkan para penulis seluruh dunia menyelami pemikiran sasterawan asing. Melalui e-novel Hard Times karya Charles Dickens, pembaca era millinium dapat mengetahui keadaan kelas dalam masyarakat British tahun 1854. Pengarang menggambarkan orang baik di eranya muncul dalam kalangan kelas bawahan seperti kaum buruh, orang kebanyakan dan para penghibur jalanan. Manakala kaum aristokrat dari kalangan pemodal, tuan tanah dan orang terpelajar sering memangsakan golongan lemah. Dalam e-book I am Malala (2013), masyarakat dunia dapat membuka mata terhadap kezaliman Kumpulan Taliban yang memperjuangkan keganasan untuk menegakkan negara Islam. Malala pada usia 14 tahun telah ditembak askar Taliban hanya kerana memperjuangkan pendidikan kanak-kanak wanita di daerahnya di Swat, Utara Pakistan. Kisahnya menjadi tular di internet dan meraih simpati antarabangsa. Buku tersebut mengangkat Malala Yousafzai sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2014 pada usianya 16 tahun.

Media digital mengaruskan kesusasteraan kepada dimensi terbuka dan pantas. Ini disokong lagi dengan penerbitan sampingan untuk mempromosikan karya seperti dokumentari, filem pendek, animasi dan review secara visual.  Dalam Forum Ekonomi Dunia 2017, Webber –Youngman menyenaraikan kemahiran kreatif sebagai salah satu daripada 10 kemahiran yang penting dalam Revolusi Industri 4.0. Oleh itu, karya Kesusasteraan boleh dilihat sebagai produk kreativiti yang terus membekalkan kebijaksanaan kepada manusia, dalam waktu yang sama mengimbangi kecerdasan buatan (AI) yang terdapat pada robot dan mesin.

Cabaran Membaca Kesusasteraan Cara Lama

Sesuatu yang membimbangkan akan berlaku di era ini adalah kemerosotan tradisi pembacaan buku bercetak. Data Perpustakaan Negara Malaysia 2016 menunjukkan generasi muda lebih gemar membaca secara atas talian mengakibatkan terjadinya penyusutan pinjaman buku-buku fizikal. Sekiranya trend ini berterusan, ianya mencetuskan masalah kepada para penulis dan penerbit jika masih mengamalkan tradisi penerbitan buku fizikal yang bersifat sehala.

Bagi negara maju seperti Amerika Syarikat, pembacaan buku fizikal masih mengungguli gaya pembacaan semasa iaitu sebanyak 65 peratus (rujuk gambar lampiran oleh Pew Research Center). Walau bagaimanapun, pada tahun 2019, trend pembacaan secara e-book dan audio meningkat menjadikan gaya pembacaan lebih variasi dan produktif. Antara peranti teknologi yang menaikkan bilangan pembacaan digital adalah telefon pintar dan tablet.

Gambar 1: Trend pembacaan di Amerika Syarikat tahun 2019

Berikutan perubahan sikap masyarakat dunia yang berpunca daripada perkembangan super komputer dan automasi, kita seharusnya bersikap positif dengan meyakini bahawa buku masih penting dalam kehidupan manusia. Melalui data-data terkini, sesuatu perlu dilakukan untuk menjenamakan semula buku-buku lama terutama buku-buku kesusasteraan dengan sifat mesra digital. Di Malaysia, kajian mendapati bahawa karya kesusasteraan Melayu terutama novel tidak dimuat-naik ke aplikasi e-book secara konsisten dan terancang. Walaupun terdapat usaha menerbitkan semula karya-karya hebat sasterawan negara dalam bentuk buku fizikal seperti yang dilakukan oleh ITBM dan DBP, tetapi penerbitan secara digital perlu diberikan perhatian. Kerana, secara faktanya generasi muda terutama Generasi Z dan Generasi Alpha akan mewarisi dunia seterusnya.

Pembaca Generasi Z

Fenomena semasa menjelaskan bahawa karya kesusasteraan tidak lagi diminati golongan muda sekiranya tidak digandingkan dengan elemen lain. Zainal Rashid Ahmad dalam kolumnya di Malaysian Insight bertarikh 5 Januari 2020 mengatakan karya sastera perlu mempunyai ejen penyampaian yang bersifat semasa sekiranya mahu bertahan dalam masyarakat industri. Beliau memberikan contoh kelompok anak muda yang bukan sahaja tidak menyedari penerbitan buku-buku sastera bahkan tidak mengetahui kewujudan sasterawan negara akibat tidak dipromosikan dengan aktif di media digital. Sebaliknya, golongan muda lebih mengenali golongan artis termasuklah seniman luar negara melalui akses digital. Justeru, antara usaha menyebarkan karya sastera adalah menggandingkannya dengan elemen-elemen yang lebih popular seperti muzik dan lakon layar. Persoalannya, apakah kita harus menyalahkan fenomena ini?

Generasi Pasca Milenia (post-Millennials) atau dikenali dengan Generasi Z adalah kumpulan yang lahir antara tahun 1995 hingga 2012. Matthew Yglesias (2019) mengemukakan kajian yang dibuat oleh Morning Consult bahawa Generasi Z di Amerika Syarikat mempunyai kesedaran nasionaliti lebih rendah berbanding generasi sebelumnya. Ini diakibatkan oleh kuasa pasaran dan digitalisasi yang memendekkan proses perhubungan manusia. Generasi Z didedahkan dengan komunikasi pantas, segera dan aktif di alam maya. Namun, mereka tidak memberi fokus kepada nilai-nilai asas termasuklah kekeluargaan dan negara. Siti Mahani Muhazir (2015) menyebutkan bahawa Generasi Z juga adalah generasi senyap kerana corak interaksi mereka dengan individu lain melalui internet sehingga menjadi lebih individualistik di dunia realiti. Kelahiran mereka adalah sealiran dengan kemunculan teknologi multimedia seperti tablet, telefon pintar, media sosial, robot dan televisyen dimensi baru. Oleh itu, karakter Generasi Z adalah unik dan berbeza.

Di Malaysia, jumlah belia yang sebahagian besarnya Generasi Z adalah menghampiri 14 juta orang. Mereka juga penyumbang kepada aktiviti pembacaan buku yang menentukan transisi kemajuan negara. Melihat kepada ciri Generasi Z yang disebutkan para sarjana di atas, jelaslah mengapa aktiviti pembacaan kesusasteraan di Malaysia masih perlahan. Ekoran penerbitan karya kesusasteraan masih berfokuskan bentuk fizikal semata-mata menyebabkan ianya dibaca oleh kelompok yang sangat mikro. Alasan ini juga boleh digunakan apabila satu-satu syarikat penerbitan buku di Malaysia menutup atau mengurangkan operasi mereka akibat permintaan pasaran yang rendah. Berpaksikan kecenderungan generasi pembaca belia kini, kajian berpandangan bahawa penjenamaan semula bahan-bahan bercetak ke media digital dapat menjadi platform terbaik menyelamatkan khazanah kesusasteraan kita.

Belajar dari Negara Lain

Gambar 2: Kaver e-majalah Koreana terbaharu. Isu dan persembahan majalah ini sentiasa menarik para pembaca terhadap budaya dan seni Korea.

Korea adalah negara asia terdekat boleh dijadikan contoh dalam mendepani gelombang digitalisasi. Mempertaruhkan jumlah penduduk seramai 50 juta orang, Kerajaan Korea menerbitkan Majalah Koreana iaitu majalah seni dan sastera Korea secara percuma sejak tahun 1987 sehingga kini. Bagi membuka jendela budaya dan kesusasteraan Korea kepada dunia, sejak tahun pertama penerbitannya, Majalah Koreana diterbitkan dalam dwi bahasa iaitu Korea dan Inggeris, disusuli terjemahan ke bahasa Jepun dan Cina. Selepas berlakunya gelombang Korea atau hallyu, majalah ini dikembangkan ke bahasa-bahasa dunia lain termasuklah bahasa Arab, Sepanyol, Perancis, Indonesia, Rusia, Jerman dan Vietnam. Kini, masyarakat dunia tanpa perlu datang ke Korea, dapat membaca cerpen dan kritikan sastera Korea di hujung jari melalui pilihan bahasa masing-masing.

Penting dipelajari kita, Majalah Koreana adalah majalah yang bermotifkan pendidikan, bukan wang. Namun, penjenamaannya secara digital telah mendatangkan imbuhan ekonomi dan populariti kepada negara itu akibat ketertarikan masyarakat antarabangsa untuk melihat Korea secara dekat selepas melayari e-majalah ini. Penerjemahannya dalam 11 bahasa dunia melibatkan kos yang tinggi tetapi kos ini tidak dapat menandingi apresiasi dunia terhadap sastera Korea. Barisan sasterawan Korea seperti penulis muda Kim Ae Ran dan Han Kang antara dikenali khalayak global walaupun pengkaryaan mereka dalam bahasa ibunda. Majalah Koreana versi cetakan relevan kepada rakyat Korea terutama golongan tua, tetapi e-majalahnya dengan 11 bahasa telah melengkapi ‘tsunami K’ ke seluruh dunia. Apatah lagi Majalah Koreana tidak ditampilkan sebagai ‘majalah percuma’ dari segi kualiti persembahannya. Baik dari segi warna, pilihan kaver, isu dan judul utama, gambar hiasan sehinggalah susun atur dan bentuk tulisan melambangkan ketelitian pihak editorial menyihir calon-calon pembacanya.

Belum Terlambat

Pernahkah kita terfikirkan bahawa dalam masa terdekat, bukan lagi guru tadika membacakan buku kepada kanak-kanak tetapi sebuah robot yang mirip wajah manusia. Hal ini tidak mustahil kerana banyak sektor perindustrian dan pelancongan telah menggunakan robot sebagai pemudah-cara mereka. Namun, kecerdikan buatan (AI) yang terdapat pada robot dan mesin tidak dapat menandingi anugerah akal yang diberikan Tuhan kepada manusia. Justeru, teknologi AI tidak dapat menciptakan karya kesusasteraan, hanya sebagai ejen pemasaran karya kepada penulis dan penerbit.

Kesimpulannya, karya kesusasteraan akan terus dibaca pelbagai golongan jika penerbitannya dibuat dalam dua versi; fizikal dan digital serta dipelbagaikan cara persembahannya sesuai dengan arus Revolusi Industri 4.0. Jika penulis dan penerbit menongkah arus, mereka sebenarnya sedang cuba melenyapkan karya kesusasteraan dari kehidupan canggih manusia.

Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Tunas Cipta, Februari 2020.

Falsafah Saya Sebagai Pensyarah: Awan

Saya suka melihat awan. Hanya pengembara atau perantau yang boleh melihat awan dari dekat. Awan meneduhkan bumi. Awan menyaksikan para makhluk bergerak dan diam. Melihat awan dari dekat telah menyedarkan saya bahawa tugas menjadi seorang guru berhubungan dengan awan. Awan-awan ibarat ilmu pengetahuan dalam diri seorang guru. Awan yang manakah kita mahu teduhkan ke fikiran para pelajar kita.

Saya pencari awan, belajar menjadi awan. Mengapa?

Ketika saya baru memulai tugas sebagai pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada Oktober 2018, saya bingung. Gara-gara tidak cukup persediaan baik maklumat, pengalaman dan kaedah pengajaran. Justeru, saya menerima komen yang tidak baik daripada pelajar. Sejak itu, saya merasakan paling penting bergelar seorang pensyarah adalah persediaan pengajaran yang tepat dengan pelajar. Pensyarah perlukan awan maklumat sebagaimana awan di langit membumbungi manusia di bumi.

Kesusasteraan Melayu adalah bidang yang mencabar bagi Generasi Z yang peka digital. Mengajar mereka tidak boleh dengan cara lama. Mestilah menggunakan alat-alat digital dan visual. Saya tekad memahirkan diri dengan kaedah pengajaran berteraskan medium internet dan teknologi agar para pelajar berasa cinta dengan bidang mereka iaitu Sastera Melayu. Saya wujudkan laman web ini sebagai mengumpul awan-awan maklumat, dan para pelajar boleh menyontohinya nanti. Kesusasteraan bukanlah hanya kerja membaca, berfikir dan menikmati tetapi bidang ini memerlukan seseorang untuk menulis serentak, sama ada kreatif atau kritikan ilmiah.

Sebelum ini saya hanya penulis yang berinteraksi dengan buku dan alat tulis. Tetapi kini saya seorang guru. Saya adalah penghubung para pelajar dengan ilmu pengetahuan. Saya berhadapan manusia yang sebenar. Awan-awan amanah menjadi banyak dalam diri saya; terus menulis kreatif, membaca dan mengajar manusia untuk mengenal makna sastera dan membuahkan fikiran baharu untuk dunia ini.

Saya setiap hari melihat awan. Saya berdoa Allah SWT Merestui niat saya menjadi seperti makhluk awan untuk manusia yang lain.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Saya mulakan kembara diri menjadi awan kepada orang lain.

Loading

Wanita Korea

Saya selalu terilham melihat wanita-wanita di Korea. Ada pelbagai bentuk imej mereka. Suatu ketika dalam tren di Kota Seoul, saya tersentak oleh ketawa sekumpulan wanita yang berpakaian hampir seragam: topi, jaket nipis, seluar dan beg tangan yang semuanya berwarna-warni. Rambut mereka yang sedikit berjurai dari topi kelihatan sama: kerinting. Wajah mereka melambangkan kekentalan Korea yang asli, tidak terusik oleh pembedahan plastik, ada kedutan tetapi ceria. Suara mereka gamat, tidak menghiraukan siapapun yang berada dalam tren. Mereka bercerita, ketawa dan bercerita lagi, terus ketawa tanpa henti. Sebagai pengembara baru, saya tertanya-tanya sendiri, siapakah kumpulan wanita ‘pelik’ ini?

Rupanya, pada hari-hari yang lain, bukan sahaja dalam tren, tetapi di pasar, di taman atau dalam bas, saya bertemu lagi kumpulan seperti ini. Sewaktu mahu melintasi jalan, saya lihat seorang wanita, walaupun tidak dalam kumpulan, imejnya sama. Dia mengayuh basikal dengan baju dan topi berwarna pink. Agakan saya umurnya seperti kumpulan wanita yang saya jumpa, 50-an ke 60-an. Di pasar, melihat kedai-kedai pakaian yang berderetan, minda sudah dapat mengagak ‘untuk siapa’baju, topi, kasut, seluar dan aksesori itu dijual jika desain dan warnanya terang begitu?  Akhirnya, saya menjumpai perkataan yang sesuai merujuk kepada wanita-wanita ‘khas’ ini. Mereka digelarkan ‘ajumma’ (yang bermaksud makcik) di Korea.

Tidak semua wanita Korea mahu digelarkan diri sebagai ‘ajumma’ walaupun mereka adalah ‘makcik’. Ajumma terkenal dengan sifat berani, banyak mulut, berterus-terang, keras hati dan bergerak dalam kumpulan. Pakaian dan aksesori mereka sama. Uniknya mereka ini sehingga seorang penulis Korea menyebutkan dalam tulisannya: Ada tiga jenis manusia di Korea. Pertama lelaki, kedua perempuan dan ketiga Ajumma!

Gadis Korea Yang Garang  

Dalam bas pagi itu, saya memilih berdiri sepanjang perjalanan ke universiti. Ada satu kerusi kosong di tempat duduk belakang, sebelah wanita ‘ajumma’. Tetapi berat hati saya mahu duduk di situ. Bas mengambil penumpang di satu hentian, seorang gadis Korea yang sedikit gempal naik dan terus memilih duduk di sebelah ajumma di belakang. Malangnya, kerana badan gempalnya itu, dia tersinggung tubuh ajumma yang lebih kecil. Itulah permulaan ‘perang mulut’ pagi itu sepanjang saya ke universiti.

“Kamu duduklah baik-baik, tengok beg saya pun dah jatuh!” jerit ajumma kepada si gadis. Kuat. “Ajumma, saya tak sengaja. Janganlah marah!” jerit si gadis, lebih kuat. “Kamu ni kurang ajar betul. Lain kali minta maaf!” jerkah ajumma. “Saya tak sengajalah ajumma. Janganlah menjerit!,” balas si gadis dalam nada tinggi. Mereka terus bergaduh tanpa menghiraukan penumpang bas lain. Hal ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa dalam kelas di semester kedua.

“Saya pelik bagaimana kamu boleh belajar di Korea tetapi tidak tahu berbahasa Korea?” jerit rakan wanita saya. Kelas kami sedang berhenti rehat. Profesor Lee yang duduk di tempatnya hanya memandang, tidak memberi sebarang respon. Beliau adalah pakar Sastera Perancis, tidak mahir berbahasa Inggeris dan menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Korea. “Saya dimaklumkan tidak perlu bahasa Korea kerana saya dalam bidang Sastera Melayu-Indonesia,” jawab saya. “Kamu sepatutnya pergi belajar bahasa Korea dulu kemudian baru sertai kelas ini,” katanya lagi. Seorang rakan wanita lain turut menyokong, mereka berdua menjerit-jerit ‘meleteri’ saya hari itu. Ya, di depan profesor. Kemudian, saya keluar dari kelas dengan luruhan air mata. Peristiwa itu membuka mata saya bahawa gadis Korea ‘bukan sebarangan beraninya!’

Hati Yang Baik

Peristiwa gugur air mata itu saya ceritakan kepada suami. “Semoga inilah kali terakhir saya jumpa mereka di Korea,” kata saya yang kecewa. Suami memberi semangat, menyuruh saya berdoa yang baik-baik untuk orang lain. Doa saya dimakbulkan Allah Swt pada semester ketiga, saya tidak sekelas dengan gadis-gadis ‘garang’ itu lagi.

Sebaliknya, pada semester keempat saya tiada pilihan. Rupanya Allah SWT tempatkan saya dengan dua gadis ‘yang memarahi’ saya dulu dalam satu kelas. Ya, hanya kami bertiga. Saya kuatkan hati. Ini adalah semester terakhir kelas, selepas ini saya dan mereka akan membawa haluan ‘tesis’ masing-masing. Tidak saya jangka, mereka ‘berubah angin’ dan begitu baik terhadap saya.

Saat saya ingin menduduki peperiksaan akhir kelas Ph.D, merekalah yang menghubungi pihak pengurusan peperiksaan agar menyediakan soalan dalam bahasa Inggeris. Salah-seorangnya mencarikan soalan-soalan ‘target’ dan menerjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Malah begitu sungguh-sungguh membantu.

“Ummi, kamu tak dapat mesej saya?” si gadis Korea ini menelefon saya beberapa hari sebelum peperiksaan.

“Maafkan saya Onyi (kakak), nombor telefon saya sudah tukar. Jadi, saya tak terima mesej kamu,” terang saya.

“Oh, saya dapat nombor baru kamu ini daripada orang lain. Begini, saya mahu hantar soalan target kepada kamu, berikan emel segera. Kami mahu kamu berjaya, jangan putus asa,” katanya, membuatkan saya terharu. Begitu sekali mereka menyokong saya. Syukur, soalan target yang mereka berikan itulah yang terbit dalam peperiksaan.

Semakin kerap bertemu, makin erat hubungan kami. Kadang-kadang mereka membelikan saya kopi dan kuih, saya membalasnya dengan roti. Saya sudah melupakan riak wajah mereka yang ‘garang’ dulu kerana gadis-gadis Korea suka berterus-terang. Mereka bukan marah tetapi sebenarnya prihatin.

Sporting

Sewaktu ayah saya mencari orang Korea yang mahu berlakon dalam Drama Cinta Teruna Kimci sebagai nenek dan ibu, saya adukan kepada guru bahasa Korea. Dia kemudiannya memberitahu, “Ummi, saya dan ibu saya sendiri akan berlakon watak itu. Ini sungguh luar biasa kepada kami. Pengalaman pertama yang sangat menarik. Kami mahu cuba!”

Begitulah beberapa kisah saya dengan wanita-wanita Korea. Mereka berani dan suka berterus-terang. Mereka jarang ‘malu’ dalam perkara yang mereka fikirkan baik. Semua ini saya lipatkan dalam almari pengalaman.

Benarlah Firman Allah SWT  dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya orang yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendalam PengetahuanNya.”

Golongan nenek dipanggil halmeoni. Mereka kebiasaannya sihat dan aktif.
Usia tua bukan alasen untuk duduk di rumah. Bagi wanita Korea, selagi tidak sakit, mereka terus berdikari mencari rezeki.
Ahjumma atau makcik diselalu dijolokkan kepada wanita berusia 40-an.
Saya bersama seorang wanita Korea yang saya sayangi. Nama Melayunya Salmah. Peniaga yang popular di kalangan pelancong Malaysia di Pasar Namdaemon, Seoul.

Loading