Kembali ke saat aku merayu-rayu dan Tuhanku memberikan jalur yang lain dari doaku. Dari hari ke hari kurasakan akan jatuh kerana tidak muncul apa yang kudoakan. Sejauh hari yang berlalu, disaat fikiranku beronar-onar dengan salah tafsir pada maksud Tuhanku, terbit pelangi. Bukankah ketenangan, bukankah kekuatan jiwa, bukankah pasangan soleh dan restu ayahbonda, bukankah semuanya itu adalah ‘hadiah’ Tuhanku? sehingga aku boleh terus berkata pada hatiku, “Allah SWT pasti tidak mensia-siakan apa yang diminta hambaNya.”
Lantas kuteringat maksud dari Surah Ad Dhuha ayat 3:
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
Begitu sekali peritnya baginda SAW menangggung ujian dan pengharapan sehingga Allah SWT memujuk baginda bahawa “Allah tidak meninggalkanmu Muhammad dan Allah tidak membencimu..”
Kesakitan yang terlalu parah, bekas sembuhnya akan diingati sampai mati.
Begitulah mendalamnya cinta Allah pada hamba yang terpilih. Ujian yang berat dan kemanisan cinta yang hebat!
Sesiapapun tidak menjangkakan Tahun 2022 akan berlangsung seperti yang kita semua, di seluruh dunia mengalaminya sekarang. Hidup menjadi sukar tanpa pelitup muka, vaksinasi, penjarakan sosial dan norma baharu. Jauh lebih parah, kita tidak sebebas ketika Covid 19 belum muncul. Kita semua ibarat banduan yang hanya menerima arahan dari segenap sudut. Antara percaya atau tidak, Malaysia yang beridentitikan negara pelbagai kaum dengan majoritinya beragama Islam sudah mula mengalami krisis psikologi yang parah. Ini dibuktikan dengan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 1.4 kali ganda berbanding sebelum epidemik Covid 19. Ternyata, tanpa persediaan mental dan jiwa yang kuat, seseorang tanpa mengira latar jantina, umur, bangsa dan status sosial akan tewas dalam peperangan wabak yang belum berakhir ini.
Menerusi karya-karya kesusasteraan Malaysia khususnya cerpen sepanjang tahun 2020 sehingga 2022, para penulis baik generasi baharu dan lama tidak dapat menyabarkan diri merempuh isu kemanusiaan era Covid 19. Kepedulian ini diasaskan kepada pengalaman peribadi dan masyakarat sekeliling. Bahkan disokong media massa yang terus-menerus bertindak sebagai alat sokongan kepada mereka yang rebah. Penulis sebagai pemain fikiran, berkongsikan saujana imaginasi wabah untuk diselami, direnungi dan memujuk pembacanya. Menarik lagi, mereka menggunakan sudut pandang yang variasi, agar kesan Covid 19 dirasai dalam pelbagai bentuk.
Misalnya, Zainal Rashid Ahmad, cerpenis unggul Malaysia mengandaikan Covid 19 sebagai watak ‘syaitan bersayap’ yang boleh menembusi mana-mana tempat di dunia. Beliau antara terawal merakamkan getir Covid 19 menerusi cerpen ‘Senja dalam Lima Ayat Paling Sempurna.’ Penulis yang terpesona dengan Youtubers bernama Kynryyy dari Seoul telah cuba memanfaatkan pengalaman Kynryyy berkomunikasi dengan remaja seluruh dunia menerusi aplikasi Omegle. Dalam naratifnya, Zainal menciptakan dua watak dari Jakarta dan Kuala Lumpur yang masing-masing terkurung dalam bilik kecil tetapi dapat menembusi kisah tragis dunia yang berpunca dari Covid 19 melalui ruang maya. Perkongsian kesunyian menjadikan dua manusia yang jauh saling merenungi hakikat kehidupan dan kematian yang disimpulkan kepada keabadian Tuhan Yang Maha Kuasa.
Selain isu sosial dan ekonomi yang parah seperti kehilangan pekerjaan yang memberi kesan kepada kehilangan tempat tinggal dan keruntuhan rumahtangga, para penulis Malaysia tidak ketinggalan menyelongkar pandangan lain tentang Covid 19. Shangkang, penulis Melayu lulusan Universiti of Manchester, UK dalam bidang kejuruteraan menulis cerpen dengan judul ‘Virus Didale 30’. Penulis membangunkan imaginasi akan wujudnya virus maya yang bakal mengurung manusia sebagaimana Covid 19 memenjarakan kita. Manusia alaf baru dikurung dalam alam digital sehingga perlu solusi untuk kembali ke realiti. Penulis menyinggung perbuatan penjenayah siber yang rakus mengambil kesempatan terhadap ledakan Covid 19 sehingga kesannya lebih dahsyat dari wabah Covid 19 sendiri. Transisi yang sama dicetuskan oleh penulis Lokman Hakim dengan narasinya berjudul ‘Baca Pada Nada Seekor Paus’. Keanehan timbul dengan pertanyaan apa kaitan kisah seekor paus dengan Covid 19? Dari singkap pandang watak ibu, Lokman Hakim memperlihatkan idea Post Truth yang baginya wajar diperhalusi sebelum dilabelkan sebagai fakta auntentik. Disebut ibu dalam cerpen ini bahawa si paus akan datang setelah wabak. Perkara-perkara aneh yang muncul dipercayai sebagai petaka sehingga mengganggu kehidupan normal. Penulis cuba mempertentangkan andaian-andaian berkaitan isu baharu selepas kemunculan Covid 19 telah mengganggu rutin biasa manusia. Baginya, ‘kebenaran separuh masak’ yang diyakini masyarakat adalah virus yang lebih mudah menjangkiti manusia kini.
Tentu banyak lagi kisah-kisah nyata yang terampil dalam kesusasteraan pandemik di Malaysia. Pengalaman yang ngeri, dahsyat, tidak logik dan pilu adalah sesuatu yang mempunyai nilai keindahan tersendiri. Bahkan para penulis seolah memberitahu para pembacanya agar belajar daripada virus yang tentunya lebih cepat berubah, beradaptasi dan bertindak daripada manusia. Selagi mana peperangan wabak ini belum berakhir, manusia perlu bangkit dengan apa sahaja senjatanya terutama akal fikiran. Dan fungsi kesusasteraan sebahagiannya melonggarkan ketegangan yang sedang terjadi di seluruh dunia.
Novel politik Kedah yang boleh dibaca banyak generasi
Beberapa hari yang lalu, emak berkata, “Nanti balik kampung masa mengundi..” Saya mendengarnya lebih kepada pesanan emak untuk balik kampung, bukan kerana mengundi. Jika tiada PRU pun memang emak suka kami balik ke kampung. Dan kerana cuti begitu terbatas serta memerlukan asbab, maka mengundi menjadi modal untuk kami balik ke kampung lagi; menambah jumlah kekerapan kami bertemu emak di desa Gajah Putih tahun ini.
Entah. Hati saya teruja lebih kepada ‘cuti tiba-tiba’ untuk mengundi, seperti kanak-kanak yang tiba-tiba ditawarkan pergi kedai untuk memilih buku. Mereka teruja kedainya lebih daripada buku. Tiada apa yang boleh dibanggakan pada kawasan yang saya undi sejak 21 tahun lalu, hanya sahaja rumah-rumah kayu dan sedikit pedalaman kini ada kereta diparkir di halaman rumah. Dan boleh dikatakan setiap rumah kini walaupun kecil tetapi memiliki televisyen dan parabola.
Saya teringat taska di sebelah rumah kami yang gaji gurunya masih belum RM500 ke atas.
Saya teringat kaum ibu di kampung yang mengalami kesenjangan ekonomi sehingga terpaksa melupakan hak untuk diri mereka sendiri.
masjid-masjid dan surau-surau yang tidak berubah nuansa kepada ‘mesra masyarakat’ ‘mesra ummah’ dengan program melestarikan akhlak mulia dari rumah. Walaupun surau di sebelah rumah, kejahilan masih membelengu ramai masyarakat.
Kampung masih aman, kerana masyarakat selesa meletakkan semua protes mereka dalam hati. Jika terluahpun di kedai kopi, nanti kembali bergabung di rumah kenduri, di masjid dan di pasar.
Begitulah hakikatnya balik mengundi biarpun pelbagai parti sudah menang di sini.
“Mak..seronok balik cuti, mengundi itu nanti difikirkan. Dan anak emak tentulah akan dengar cakap mak dalam semua keadaan.”
Di zamannya, Nabi Muhammad SAW menjalankan perniagaan di beberapa pasaran penting di Semenanjung Arab termasuk satu kawasan di Bahrain iaitu ‘Mushaqqar’. Baginda juga mengetahui cara hidup dan cara makan minum masyarakat di Bahrain. Arham (2010) menghujahkan bahawa Nabi Muhammad SAW menggunakan ciri segmentasi geografi, demografi dan psikografik dalam perniagaannya. Ini adalah proses mental bagi pengenalan pasaran (mental process of market identification) iaitu seorang peniaga perlu meninjau keadaan pasaran sebelum memulakan perniagaannya. Malah nabi SAW melakukan pelbagai jenis segmentasi pasaran termasuk mengetahui lokasi paling penting dan berstrategik, keadaan bakal pelanggan dan cara hidup mereka.
Pengguna di zaman nabi SAW juga adalah pelanggan yang berhati-hati dengan produk. Teori pasaran moden mencadangkan penjual untuk meletakkan produk mereka dalam fikiran pengguna. Kajian Arham menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah peniaga yang jujur dan menjual barang yang terbaik. Nabi SAW bukan sekadar memposisikan produk jualan tetapi mengutamakan cara berjualan. Nabi SAW meletakkan harga mengikut harga pasaran dan mendapat keuntungan daripada jumlah jualan, nabi SAW tidak meletakkan barang yang elok dengan barang yang lebih rendah di tempat sama. Seterusnya, Nabi SAW juga melarang monopoli iaitu mendominasi saluran pengedaran dengan tujuan mendapatkan paras harga. Bagi tujuan komunikasi, nabi SAW memilih pakaian yang elok dan tidak mengamalkan promosi barangan yang keterlaluan. Di akhir jualan, nabi SAWmenggunakan kaedah persetujuan dalam jual-beli (aqad) antara penjual dan pembeli.
Amalan pemasaran Nabi Muhammad SAW yang ditekankan adalah nabi SAW juga memberitahu kelemahan produknya, tidak menyembunyikan sesuatu daripada pelanggan termasuk menjual sesuatu yang tidak wujud serta melayani pelanggan mengikut keutamaan. Dengan itu, personalitinya yang menjadikan persembahan pasarannya berbeza daripada orang lain. Akhlak yang dibangunkan daripada agama akan memberi kesan kepada produk, pelanggan dan keuntungan.
Allahuakbar, mengapa di akhir zaman ini, urusan perniagaan kita tidak lagi mengikut sunnah baginda SAW? Walau berada dalam negara majoriti Muslim, tetapi bab jual-beli belum banyak yang sepenuhnya atas amalan Islam (hanya menggunakan nama Islam semata-mata untuk cari untung).
Firman Allah Ta’ala: لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا Maksudnya: “ Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah terdapat contoh teladan yang baik kepada orang-orang yang mengharapkan Allah dan mengharapka kedatangan hari akhirat, mereka banyak berzikir kepada Allah “ (Al Ahzab: 21).
Dengan banyak cermin sosiologi barat, kita selalu ‘kabur’ malah ‘kembali buta’ dalam menilai tradisi agama Islam. Satu topik yang kerap mengalami pertentangan adalah topik ‘Islam dengan ekonomi.’ Oleh kerana kita dalam negara yang mengamalkan ekonomi kapitalis, produk-produk atas nama agama bercambah dek keperluan umat Islam di negara ini. Tambahan, negara kita berbenangkan Perlembagaan Malaysia, maka hak kebebasan individu antara yang menyemarakkan produk-produk Islam. Banyak produk sama ada berbentuk barangan, perkhidmatan atau keperluan diri diislamisasikan seperti fesyen Islam, industri halal, konsert dan sastera Islam serta takaful. Media pula menjadikannya fenomena lalu muncullah istilah Islam Popular iaitu produk Islam yang mengalami penjenamaan agama dalam memerangkap pasaran.
TRADISI EKONOMI ISLAM
Janganlah kita buta lalu menumpang mata barat (sepenuhnya) untuk melihat agama Islam yang mulia. Islam adalah cara hidup penganutnya. sekecil dan sebesar manapun urusan hidup kita, tidak boleh memisahkannya dari panduan agama. Ekonomi misalnya adalah keperluan hidup yang mempunyai panduan syariatnya.
Jafari dan Suerdem (2012) berhujah bahawa model pasaran barat gagal menganalisis sistem komoditi masyarakat Islam terutama yang berkait dengan agama. Islam tidak menolak keduniaan bahkan bersifat dinamika terhadapnya. Budaya masyarakat Muslim sendiri terbina atas paksi agama dan mempunyai hubungan yang jelas antara agama (sacred) dengan dunia (profane). Jafari dan Suerdem kemudiannya mencadangkan bahawa individu Muslim perlu diberikan kuasa untuk menentukan gaya hidup mereka yang tetap tidak mencabut akar agama dalam kehidupan.
Hence, we propose the term ‘authorised selection’ perspective to denote the fact that
with reference to religion itself, individuals authorize themselves to selectively interpret Islam and justify their own choices of lifestyle and everyday life practices. We also stress that understanding a variety of consumption practices in contemporary Muslim societies requires that these practices be investigated from the lens of insiders and with reference to the historical dynamics that have changed Muslims’ interpretations of Islam.
Pandangan ini disusuli cadangan bahawa penjenamaan Islam perlu mengelak daripada ‘penjualan agama’ kepada masyarakat tetapi berusaha mewujudkan imej yang mengandungi nilai-nilai sejagat dan kemanusiaan yang luas. Bagi Zubair Hasan (2005), teori Ekonomi Islam menyediakan rangka yang jelas untuk melihat hubungan agama dengan pasaran. Secara umum, sarjana Islam membahagikan tiga kategori yang diperlukan oleh individu iaitu daruriyat atau keperluan hidup seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Seterusnya adalah perkara yang meningkatkan kualiti kehidupan atau hajiyat seperti penambah-baikan sistem dan perkhidmatan. Ketiga adalah tahsiniyat iaitu keperluan dan kepuasan yang selaras dengan status sosial. Pengkategorian ini menunjukkan Islam tidak menolak pasaran bahkan membangunkan masyarakat yang sentiasa memperbaiki keadaan ekonominya berdasarkan shariah atau undang-undang Islam.
Kesimpulannya, penggunaan dalam ekonomi Islam cenderung kepada keuntungan yang lebih rendah, penjimatan yang besar serta tidak mengambil kekayaan dengan cara mudah seperti riba. Inilah asas dalam aktiviti berniaga dalam Islam. Jika umat Islam sendiri tidak mempraktikkannya, maka merekalah sebenarnya ‘memijak’ Islam dan cuma berdagang atas nama agama.
Kita melihat manusia yang bergerak di sekeliling. Yang berjalan. Yang memandu. Yang duduk dan yang berdiri; mereka semua dalam keadaan yang sama iaitu hidup dalam fikiran mereka masing-masing. Dalam bentuk-bentuk fikiran inilah menerjemahkan pilihan yang mahu mereka jalani sebagai the way of life atau cara hidup.
Dalam kajian-kajian budaya dan politik (yang asasnya daripada barat) sering menyorot manusia dalam kepungan sejarah moden seperti pasca kolonial dan pasca Islam (post Islamism) bagi negara majoriti umat Islam. Pemilihan kontek ini akhirnya mengaitkan situasi masyarakat Islam dengan perkembangan sosial yang tidak lepas dari kepungan barat. Umat Islam dilabel dengan kecenderungan gerakan politik Islam yang ditekuni mereka; tradisionalis Islam, Islam liberal, salafis, Islamic fundamentalis antaranya.
Dalam masyarakat Post Islamism pula, masyarakat Islam disorot dengan juzuk pandang yang berkait dengan soal pasaran kapitalis seperti penjenamaan dan selera massa. Islam yang dipertontonkan telah dikatakan sebagai produk dan fesyen. Kritikan dan sorot pandang begini mengurangkan penghormatan terhadap agama sebagai wahyu Ilahi dan tentunya, masyarakat Islam yang menjadi bahan sorotan, tidak pernah sedar kelakuan mereka memberi imej kepada agama.
Kembali melihat ke dalam nurani Islam yang intinya adalah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang mulia, diterjemahkan melalui 4 mazhab utama dengan aliran Sunni sufi yang mengakari tradisi Islam Nusantara. Islam adalah cara hidup yang membentuk manusia, bukan manusia yang membentuknya untuk dijadikan citarasa mereka sendiri. Kini, mengamalkan Islam sebagai sesuatu yang syumul dan bersifat mutlak (syariat Allah SWT) diterjah sebagai asing dan pelik.
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Islam muncul dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang terasing.” (HR Muslim No: 208) Status: Hadis Sahih
Kita melihat manusia, sebenarnya kita akan kembali melihat diri kita. Biarlah terus menjadi yang asing.