Manusia

Untuk Para Insan Termulia

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Seorang kanak-kanak yang nakal dan kuat kemahuan seperti saya, tentulah yang paling dekat ‘memperbaiki’ saya adalah para guru. Seperti sebuah kereta lama yang selalu meragam, selalu dihantar ke bengkel, atau seseorang yang sering sakit dibawa berjumpa doktor. Saya begitulah sejak usia tadika 5 tahun, ibubapa menghantar kepada guru sebenar di sekolah. Guru-guru tanpa jemu menggilap apa yang menyebabkan saya ‘boleh’ menjadi baik dan berfokus, kerana saya orangnya ‘hyperactive’.

Saya bersekolah di sekolah Yayasan Al-Arqam, Kampung Sungai Penchala (sebelum diharamkan tahun 1990-1993) dari darjah satu hingga darjah tiga. Di situlah dunia ‘keseronakan belajar’ saya bermula. Bukan hanya mata-mata pelajaran dalam kelas, di sinilah guru-guru mencungkil bakat saya dalam bidang seni; berlakon di pentas dengan Kumpulan Nada Murni , menjadi solo untuk beberapa buah nasyid dalam Album Mawaddah (Ummiku Sayang). Saya menjadi solo untuk nasyid Jam Tujuh, Akhlak Mulia, Pukul Berapa Sekarang, Tutup Aurat.

Allahyarham Ustaz Zaire Raihan antara yang serius mengajar saya dan kawan-kawan bernasyid dan merakam album di studio. Guru-guru saya ataranta Ustazah Zuhriah Md Juio, Ustazah Razimah, Ustazah Erni, Ustazah Raja menjadi tulang belakang kanak-kanak kami. Tidak saya lupakan Ustaz Zul Singapura dan Ustaz Ramli yang dalam ketegasan mereka, akan ada waktu menangkap semula emosi kanak-kanak saya untuk meletakkan sekolah nombor satu dalam hidup, bukan rumah!

Saya terkenangkan juga guru besar pertama ketika darjah satu iaitu Ustazah Sara Dalip yang ‘amat garang’. Namun berkat kegarangannya , saya boleh membaca novel serius sejak usia 9 tahun. Allahuakbar, berkatnya didikan guru yang tidak meletakkan gaji sebagai jaminan kerjaya, hanya semata mengharapkan redho Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Saya mulai tinggal di asrama ketika usia 10- 11 tahun. Bersekolah di Taman NZ, Negeri Sembilan. Waktu ini terus sibuk bernasyid tetapi belajar dalam kelas masih menjadi keutamaan. Saya bercita-cita untuk menjadi Maksu Ani, adik ayah saya yang bongsu yang ketika itu belajar di Karachi, Pakistan sebelum ke Jordan. Saya mahu belajar di luar negara juga walaupun usia baru 10 tahun, tetapi saya suka menjelajah bukan duduk di rumah. Saya suka mengelakkan diri duduk lama-lama di rumah kerana ada ‘ramai adik’ dan banyak kerja emak akan bagi pada saya; sesungguhnya bertentangan dengan fitrah kanak-kanak saya yang suka mengeksplorasi apa sahaja aktiviti sekolah.

Dan ketika sekolah kami ‘diharamkan’ Kerajaan Malaysia pada tahun 1994-1995, maka kami sekeluarga pulang ke Kedah. Saya dimasukkan ke sekolah harian kerajaan; Sekolah Kebangsaan Siputeh di kampung nenek. Agak malu-malu saya waktu berhadapan dengan ‘sistem sebenar’ sekolah harian di Malaysia. Saya teringatkan guru kelas pertama, masa itu sudah darjah 6 (12 tahun), Cikgu Azizan. Sangat menyokong dan memberi galakan kepada saya ‘pelajar baharu’ yang seperti ‘burung mengenal sarang yang baharu’. Beliau membuatkan saya selesa untuk seperti ‘rakan-rakan lain’. Juga Cikgu Syukri yang amat baik dan prihatin. Teacher Ramlah, guru bahasa Inggeris yang tidak lelah memberi latihan kerana saya terkebelakang dalam Bahasa Inggeris. Paling saya suka adalah subjek Pendidikan Islam, gurunya Ustaz Mat selalu panggil saya ‘Mak Hani Pak Hassan’ (nama sayakan Ummu Hani Abu Hassan). Guru-guru lain juga ramai, semoga Allah SWT meredhoi mereka semua.

Masuk tingkatan satu, ayah menghantar saya ke Sekolah Menengah Islam Darul Ulum di Pokok Sena, Kedah. Saya memulakan kembali kehidupan berasrama. Di sinilah tempat kenakalan saya menjadi-jadi dan tarbiah guru-guru yang ‘menjadi-jadi’ juga kepada saya. Antara tempat pertama dan terakhir saya dirotan di depan perhimpunan pelajar kerana ketawa kuat. Saya gemar menulis catatan-catatan peribadi termasuk lirik lagu sehingga buku saya dirampas dan masuk pejabat guru disiplin. Guru-guru saya masih muda, baru pulang dari Mesir antaranya Ustaz Muhd Zainul Asri bin Hj Mohd Ramli (sekarang dikenali sebagai Syeikh Zainul Asri), Allahyarham Ustaz Amir, Ustaz Abdullah, dan guru-guru lebih senior seperti Ustaz Ayub dan Ustaz Malik. Para ustazah pula tidak saya lupakan Ustazah Azura yang menjadi warden kami, tegas tetapi manis orangnya. Ustazah Noraini dan Mahaini, Ustazah Norhayati, Allahyarham Ustazah Zuraini, Ustazah Mahani Mohamad, Ustazah Mekiyah dan ramai lagi yang terlalu banyak jasa mereka dalam membentuk saya menjadi manusia.

Saya keluar dari Darul Ulum pada tahun 1999, masuk ke Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah, Melele. Saya berulang-alik dengan adik dari rumah , tidak lagi duduk asrama. Di sini, kehidupan saya lebih fokus kepada akademik. Cita-cita sangat kuat untuk berjaya dalam SPM dan masuk IPTA. Maka, guru-guru saya yang terlibat menjayakan cita-cita itu antaranya Cikgu Noridah, yang mengajar Bahasa Melayu, Ustaz Atif dan Ustaz Harun yang mengajar Bahasa Arab, Ustazah Yon, Sir Mat, Ustaz Raja yang mengajar al-Quran, Ustaz Zaki, Ustaz Nasir, yang mengajar Balaghah, Ustaz Farid yang mengajar Tauhid dan ramai lagi insan berjasa.

Syukur pada Allah, berkat usaha guru-guru, saya dapat memasuki Universiti Malaya pada tahun 2001 bermula di Matrikulasi Nilam Puri, Kelantan. Di sini saya temui lagi guru-guru yang hebat ilmu mereka; Ustaz Rosdi, Ustazah Seripah Zin, Ustaz Abdullah, Ustaz Jailani, Ustaz Thoriq dan ramai lagi yang saya doakan mereka semua mendapat kebaikan dunia akhirat. Di Universiti Malaya Kuala Lumpur, saya ‘dibentangkan’ permaidani guru-guru yang hebat dalam pelbagai bidang. Paling rapat dengan saya adalah Dr Norrodzhoh Hj Siren, Prof Rahman Shaari, Allahyarham Dr Othman Puteh, Prof Aziz Md Zin, Dr Muhd Kamil, Ustaz Roslan Mohamad, Dr Anis Amida, Ustazah Yusmini, Ustazah Maryam, Dr Fauzi Hamat dan ramai lagi.

Saya kemudiannya terhantar ke Seoul, Korea bertemu lagi guru-guru yang cekal dan gigih; Profesor Koh Young Hun, Dr Lim Kim Hui, Pak tengsoe, Dr Seo Myengkyo, Dr Park Jae Bong dan lain-lain, amat berjasa menumbuhkan perspektif luas saya pada kehidupan.

Hari ini, saya mendoakan semua yang pernah mengajari saya walau satu huruf akan dibalas kebaikan dunia akhirat buat mereka. Merekalah para hujan sebenar atas diri manusia, membasahkan akar, menumbuhkan benih dan merimbunkan bunga dan buah-buah untuk dimakan para makhlukNya.

Loading

Rindu Seorang Seon Mi

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Satu

Tasik Sanjeong dikawal tiga raksasanya; Gunung Myengseong, Gunung Mangbong dan Gunung Mangmubong. Tiga raksasa itu bertukar-tukar wajah selama musim berganti. Selalunya di musim salju, gunung-gunung menjadi putih dan kaku sehingga tidak berupaya menatang tasik untuk terus menjernih. Waktu itulah, tasik tanpa air yang berkocak diganggu suhu beku, sehingga-hingga tiada orang mahu mendayung dan melepaskan nafasnya ke tasik dan kampungku menjadi sangat sunyi. 

Tetapi yang kubanggakan adalah rumput ilalangyang mengelilingi tasik dengan juntaian bebulunya mampu melirik rambut orang dewasa. Pada empat musim yang bergantian, rumput ilalang tidak banyak berubah sifat. Akarnya tetap meninggikan dahan dan ranting baik ketika panas mahupun sejuk. Cuma daun-daunnya memakai warna coklat ketika sejuk, menggantikan hijau saat cuaca membahang.

Rumah nenek adalah rumah kelahiranku. Terletak tidak jauh dari tasik, membolehkan ahli keluargaku berjalan kaki ke sana bila-bila masa. Neneklah yang paling kerap mengitari tasik yang luasnya sepanjang 4 kilometer. Tangan nenek yang lembut memegang tangan kecilku yang halus, berjalan di perbarisan rumput ilalang, sewaktu-waktu aku sedih. Di situ, nenek memujukku dengan katanya, “Kampung kita unik sekali cucu. Tiga gunung dengan satu tasik ini membuat kita kaya. Selama 60 tahun aku di sini, aku tidak pernah sakit berat. Ini kerana hembusan alami yang masuk ke paru-paruku paling bersih di Korea. Janganlah menangis, ilalang akan memujukmu. Cubalah kau dengar desirnya..” nenek mendudukkan aku di batang kayu, telingaku didekatkan kepada rumput berbulu itu. Bersuling-suling tiupan angin, ilalang pun meliuk-liuk. Aku terdengar bunyi yang sangat halus tetapi cekal pada rerumput panjang yang setia mengawal tasik.

“Ilalang sedang bernyanyi untukmu,” senyum nenek. Aku membesarkan mata. Benarkah rumput boleh menyanyi?

“Rindu datang, rindu datang, adik jangan sedih, jangan sedih.

Tasik menjagamu, tiap waktu, tiap waktu.”

Sebenarnya, neneklah yang menyanyikan untukku. Mendayu-dayu rentak suaranya, membuang rasa sedihku. Lupa kepada emak dan ayah yang tidak dapat pulang hari itu. Nenek membelai-belai rambut lurusku dan terus menyanyi. Suaranya makin manis dalam jiwaku. Aku ketawa.

“Nenek selalu pergi bilik karaoke?” tanyaku.

“Ah kamu! Umurmu baru 6 tahun mahu menanya-nanya hal peribadiku. Kenapa kalau memang nenek selalu menyanyi di sana? Tidak boleh?” tanya nenek, mengujiku.

“Aku selalu ketawa kalau ke bilik karaoke dengan ayah. Suara nenek-nenek di sana seperti suara gajah dan cengkerik,” kataku merujuk suara besar dan nyaring yang tidak senada.

“Ah! Ah! Nenek di Seoul tidak sama dengan nenek di Pocheon yang masih berperibadi tinggi dan sopan. Aku tidak suka menjerit-jerit di bilik karaoke. Lebih baik aku naik ke Gunung Myeongseng, berteriak di sana. Tidak ada anak kecil yang bergosip tentangku kepada ‘neneknya’,” nenek terus ketawa. 

Kami berjalan mengelilingi tasik sehingga terasa penat kakiku. Waktu itu, aku tidak mahu bercakap lagi. Nenek menawarkan belakang badannya untuk mengampu tubuh montelku. Aku menggeleng kepala. Jika ayah tahu, dia akan memarahiku. Dan jika emak melihat aku didukung nenek, dia terus mencubitku.

“Nenek masih kuat seperti tiga raksasa penjaga tasik,” kata nenek menunding gunung-gunung.

“Tetapi itu tidak baik kerana nenek sudah tua,” kataku.

“Tua bukan masalah jika nenek sihat,” katanya mengepak-ngepak dua sikunya.

“Orang tua tidak boleh mendukung orang lagi, nanti mereka cepat sakit dan mati. Seon Mi tidak mahu nenek mati..” jawabku sambil membayangkan mata dan hidung emak ketika dia marah.

“Oh, emakmu salah. Orang tua dahulu tidak seperti orang-orang sekarang. Kimci mereka tidak banyak gula dan garam,” gerutu nenek.

“Orang sekarang siapa nenek? Bukankah kita bercakap sekarang, bukan dahulu. Maksud Seon Mi, kitalah orang sekarangkan?” tanyaku dengan rasa pelik. Nenek mengeleng kepala. “Ahhhh! Pening kepalaku dengan mulut murai dan badan gemukmu. Mari nenek tarikmu ke kedai aiskrim,” nenek berjalan pantas, rambutku teroleng oleh angin senja. 

Nenek membuka pintu rumah kayunya. Dia menyuruhku masuk dahulu.

“Nenek mahu membakar kayu api di kebun, biar nyamuk-nyamuk kembali ke hutan. Kamu jangan keluar dari rumah,” arah nenek. Aku mengangguk faham. Nenek menutup pintu, aku pula berlari ke dapur, menarik langsir jendelanya. Dari balik cermin, kulihat nenek terbongkok menghidupkan api. Bibir nenek bercakap sesuatu; mungkinkah kepada nyamuk supaya jangan lagi kembali? Dua tiga kali nenek mengangkat potongan kayu sebesar betisku, disorongkannya ke bawah anak api yang mula terbit dari bara lama. Asap berkepulan dan nenek menjauh. Apakah ketika aku tua, aku juga akan menghalau nyamuk seperti nenek?  

“Seon Mi..” tiba-tiba nenek sudah menepuk bahu kecilku. 

“Mengintai api?” tanyanya. 

“Nenek, bila Seon Mi tua, Seon Mi pun perlu nyalakan api untuk halau nyamuk?” tanyaku. Nenek ketawa kuat. 

“Seon Mi pernah lihat emak dan ayahmu nyalakan kayu api?” Aku menggeleng kepala.

“Engkau 10 kali akan mengikut jejak mereka,” nenek senyum sinis. Menarikku ke depan. Nenek mahu memandikan aku sebelum langit gelap.

“Waktu itu kukira Korea sudah mengharamkan pemotongan kayu. Zaman sekarang pun sulit menebas pohon kecil dan besar, 60 tahun lagi, pokok-pokok umpama mutiara di lautan dalam. Negara ini sangat memuja pohon-pohon. Ekonomi Korea baik ketika pohon-pohonnya meninggi ke langit. Jika ada tangan yang memotong pohon, itu seperti mematahkan kemajuan ekonomi. Ah! Ah! Aku lupa. Kenapalah aku bercakap seperti profesor di hadapan anak tadika?” nenek ketawa. Aku mengerut tidak faham, tetapi ingin terus bertanya.

“Tadi nenek sebut ekonomi? Itu apa? Sejenis kayu?” tanyaku.

“Bukanlah.. bukanlah,” nenek mengetuk kepalanya.

“Mari mandi. Tak usah fikir lagi, yang penting ketika tua, tidak ada nyamuk yang gigit Seon Mi. Nyamuk tidak berani masuk ke kota penuh dengan kedai-kedai penyembur racun serangga!” nenek menarikku ke bilik air. 

Di meja makan, kami saling berhadapan. Nenek menyuruhku duduk dengan dua siku kaki dirapatkan. Nenek pula duduk bersila. “Lututku tidak sesopan dulu,” kata nenek. “Lutut yang sopan itu seperti Seon Mi ini?” tanyaku. Nenek ketawa kuat.

“Dulu, nenekku memaksa duduk seperti itu. Katanya wanita yang baik tidak memisahkan dua lutut ketika duduk,” kata nenek.

“Nenek tidak mahu jadi wanita baik sekarang?” tanyaku lagi.

“Aduhh..aduh..melayanmu, perutku menyanyi terus. Seon Mi, nenekku dulu marah sekali jika kita bertanya banyak hal. Sudah, sekarang makan!” arah nenek sambil mengajukan chopstik.

Aku mencungkil nasi dalam mangkuk kecil. Sup kacang soya nenek sangat enak. Tetapi jika ada rumpai laut yang dipanggil ‘kim’ di depanku, itulah yang kumakan dulu sehingga nenek berdehem, “Makan nasi juga Seon Mi, baharulah kenyang,” katanya.

“Waktu umurku 7 tahun, sulit sekali mendapat rumpai laut. Jika ayahku membelinya, kami tidak makan selalu. Emakku akan memasaknya sedikit untuk dibuat kimbab, itupun nasinya lebih tebal sehingga menenggelamkan rasa rumpai laut. Aku pernah sepertimu, kutarik helaian kering rumpai laut dan meratah-ratah. Bila emakku lihat, dipegangnya tanganku, “Jika kau makan kim dengan cara ini, bulan depan tidak ada kimbab di rumah kita!” ugut emakku.”

“Oh emak nenek sungguh kedekut!” spontan aku membalas. Mata nenek membesar, terkejut dengan perkataan kedekut dari mulutku. Dia berhenti mengunyah.

“Moyangmu bukan kedekut tetapi saat itu hidup di Korea sangat-sangat sulit. Bunyi Ilalang boleh sampai ke sini kerana mereka pun menangis melihat keadaan kami orang-orang Korea. Harga rumpai laut pula menyamai harga beras untuk empat hari…” cerita nenek, senyumnya menguntum kembali.  

Dua

Riak Sungai Han malu-malu di musim luruh. Hanya ketika itik-itik menyelam dan bermain air di tebingan sungai, baharulah aku perasan Sungai Han masih bersuara. Sama seperti tasik-tasik gunung Pocheon, bunyi rumput ilalang lebih meriah dari sungai yang tak disentuh manusia. Sungai lebih menjadi cermin. Kulihat wajahku yang berumur 6 tahun perlahan-lahan berubah menjadi 26 tahun sekarang. Tiada sesiapa lagi mahu mendukungku di belakangnya. 20 tahun dulu, rasa sunyiku diusap oleh kasih sayang nenek. Setiap kata dan ceritanya memantul di fikiranku sehingga aku mencari riak sungai untuk membersihkan rindu.

Nenek sudah tiada, pergi bersama senyum dan sejarah keluarga. Suaranya yang bagai guruh dan bagai angin lembut terus memeriahkan hatiku yang kusut sekarang. Aku gagal mendapat pekerjaan yang baik selepas hampir dua tahun bergraduasi. Pekerjaanku sebagai pelayan restoran tidak cukup menampung fitrah wanitaku. Kecantikan lebih penting daripada makanan. Untuk itu, nenek tidak pernah bersetuju tetapi aku pasti, jika nenek masih hidup dia akan menyaksikan betapa kecantikanlah yang mendatangkan makanan dalam negara kapitalis seperti Korea. Rakan-rakanku memilih berhijrah ke luar negara terutama ke Eropah dan Amerika, tetapi aku berat meninggalkan gunung-gunung Korea. Siulan ilalang Pocheon tidak mengizinkan aku terbang jauh.

Aku terkenang ibu ayahku yang jauh di Selatan Korea. Negara ini terus maju dan memerah keringat tiap warganya. Dalam usia 50-an, ibu dan ayah masih bekerja keras. Tidak ada yang percuma. Rumah dan diriku sama mahalnya.

“Ibu..bila kita boleh tinggal bersama? Sudah 20 tahun, ibu ayah sibuk terus-terusan,” tanyaku waktu percutian keluarga, setahun sekali dalam liburan Hari Chuseok. Ibu mengangkat bahunya.

“Soalan itu hanya boleh dijawab apabila Seon Mi menjadi seorang ibu” balas ibu. Aku ingin berbicara lebih banyak dengan ibu tetapi ruang masa amat terbatas. Ibu tidak seperti nenek yang mahu melayan cerita-cerita remehku.

“Lelaki yang meninggalkanmu adalah musim kemarau yang berlalu dengan cepat. Tak usah sedih, gembiralah Seon Mi. Tidak perlu menghabiskan daya dirimu untuk orang itu.” Begitulah selalu jawapan ibu jika aku mengadukan tentang dunia remajaku. Ayat-ayat pertamanya adalah pujukan, amaran dan solusi sekaligus. Ibu tidak punya waktu untuk meneliti sebab aku menyukai seseorang lelaki, sebab aku bertukar-tukar pekerjaan dan sebab aku masih menziarahi pusara nenek di Pocheon.

“Mengapa perlu Seon Mi menelefon ayah dan ibu jika keadaanmu baik-baik? Fokuslah bekerja dan perbaiki bahasa Inggerismu, itu paling penting sekarang!” kata ayah, tidak suka aku menelefonnya hanya untuk bertanya khabar. Jika mereka sakit, mereka akan menelefonku sendiri. Aku juga perlu begitu. Masa sihat hanya untuk mencari wang dan peluang. 

Mungkin nenek telah berpesan kepada alam, untuk sentiasa berbisik mengingatkanku tentang kemanusiaan dan cinta. Dalam kereta api bawah tanah, aku melihat orang-orang menatap skrin telefon mereka, dan aku merenung wajah seorang tua, persis nenekku. Dia juga tersenyum padaku, tiada telefon di tangannya, hanya sebuah buku sastera Korea lama. 

Negara ini telah menjadi mangsa zaman. Peperangan dan konflik ideologi menjadikan warga kami mahu melangkaui apa sahaja titik-titik yang menghubungkan ke dua garis tersebut. Pusat tengahnya adalah kemiskinan. Semua orang takut menjadi miskin. Walaupun tidak menjadi kaya, jangan sesekali menjadi miskin. Kemiskinanlah yang akan membawa seseorang mati dengan cara yang ngeri. Ayah dan ibu tidak hanya mahu mati seperti ibubapa mereka yang hanya meninggalkan sebidang tanah di Utara Korea, mereka bahkan tidak mahu berfikir tentang mati. Ingin memegang wang dan peluang selama masih hidup. Aku diajarkan untuk terus bergerak ke hadapan, jangan menoleh lagi. Tetapi, nenek meninggalkan aku kesan nostalgia yang mengalihkan pandanganku ke belakang. Aku bahagia dengan cara itu.

Tiga

Aku bersiap-siap menghadiri wawancara pekerjaanku yang ke 30 pagi ini. Jika berjaya, aku akan dihantar ke Malaysia untuk menjadi pengurus pemasaran syarikat besar ini. Aku bersedia meninggalkan gunung, tasik dan sungai di Korea. Rakan Malaysiaku mengirimkan foto keluarganya. Mengagumkan kerana mereka masih tinggal bersama dalam tiga generasi. Wajah neneknya membuatku jatuh cinta meninggalkan negaraku untuk mencari rezeki.

Telefon bimbitku bergetar saat aku duduk dalam kereta api bawah tanah. Aku pelik kerana nama ibu tertera di skrin. Tentu ada sesuatu yang besar berlaku.

“Seon Mi..” kedengaran suara ibu menangis.

“Ibu dan ayah akan pulang ke Pocheon hari ini. Perniagaan ayahmu gagal lagi. Rumah kita di Seoul akan dilelong. Bersiaplah nanti kita bertemu di rumah nenekmu, mujurlah rumah itu masih ada…”

Aku menutup muka. Lagu yang dinyanyikan nenek tiba-tiba bergema.

“Rindu datang, rindu datang, adik jangan sedih, jangan sedih.

Tasik menjagamu, tiap waktu, tiap waktu.”

Loading

Kapsyen

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Kapsyen

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Jalan di Medan Mahyudin setiap hari dipadati ragam makhluk yang hidup dalam dunia masing-masing. 

Seorang lelaki tua, keluar dari Jamik Hanabilah, di tangannya adalah tongkat dan tasbih. Dalam pakaian musim sejuk, terhinggut-hinggut membawa kakinya mendaki lereng Suq Jumaat. Rumahnya terletak di jadat yang agak tinggi. Tetapi dia percaya, setiap gerakan kaki, sepicing sedutan nafas, dan patah-patah zikir di bibirnya akan dikira ibadah. Ketuaan dan keuzuran akan memberi bonus kepadanya. Pandangan Pencipta kepadanya adalah rasa belas dan cinta. Dia tidak menghiraukan apapun di sekelilingnya melainkan dia mencintai Penciptanya dan PenciptaNya membalas cintanya.

Seorang lelaki, berusia 50 tahun, pagi-pagi sudah tercegat di hadapan kedai kasutnya. Sewaktu berjalan menuju ke kedainya yang berada di pusat Suq Jumaat, dia sempat menjeritkan, “Pergilah kau hutang!!” Masalah hutang telah membelengu dirinya selama dia berkahwin. Dia berkahwin pada umur 35 tahun, bermakna dia telah menanggung hutang selama 15 tahun. Dia berhutang kerana mahu berkahwin. Harga hantaran isterinya 80 ribu lirah, tidak termasuk rumah, perabot, kenderaan dan hadiah-hadiah sampingan lain yang ke semuanya berjumlah hampir 200 ribu lirah. Dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menamatkan hutangnya itu; pagi hingga ke tengah hari mencuci kasut, petang hingga ke malam membawa teksi dan pada hari minggu menjadi pemandu pelancong. Rasanya, jika isterinya seorang yang rajin dan berilmu, tidaklah dia berkeluh-kesah dengan pekerjaan yang banyak tetapi masih tidak mengurangkan hutangnya. Isterinya adalah seorang yang bertuhankan kecantikan, kedekut dan penambah hutangnya.

Seorang kanak-kanak berlari laju hampir-hampir melanggar si tua yang sedang berzikir, terkedek mendaki bukit. “Ya Allah..cintaku..cintaku..” kata si tua tergigil bila tongkatnya terlepas dari tangan. Kanak-kanak itu mengetap bibir. Apabila pandangannya bersatu dengan pandangan lelaki di depan kedai kasut, kanak-kanak itu segera menghampiri si tua. “Datuk, maafkan saya. Hari ini saya akan mendapat keputusan peperiksaan, hati saya telah sampai dulu di sekolah, saya mengejarnya,” kata kanak-kanak membetulkan tangan si tua agar menggenggam tongkat dengan betul. “Pasangkan mata di kakimu!” jerit lelaki si pencuci kasut kepada kanak-kanak tersebut.  Lelaki tua mengangkat tangan, menyabarkan. “Kanak-kanak begitulah. Allah…Allah..” Si tua kembali berjalan dan berzikir. Si lelaki pencuci kasut masuk semula ke dalam fikirannya; hutang dan isterinya yang malas di rumah. Dia sempat mengerling kanak-kanak yang kini berlari laju tanpa menghiraukan khoruf (kambing biri-biri) yang baru tiba dari ladang.

Mata seekor daripada 50 ekor khoruf kelihatan sayu. Ia berasa sedih kerana telah dipisahkan daripada kampung halamannya di Utara Syria. Rumput-rumput segar di sana tidak sepadan dengan udara kering Damsyik. Memanglah dirinya diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Rasanya, ia antara makhluk yang tidak dapat ditandingi manusia dari sudut berbuat baik kepada makhluk lain. Selama ini ia tidak pernah menggariskan apa khidmatnya yang telah diberikan kepada manusia. Hari ini, kalbu biri-birinya terdesak berfikir. Apabila ia disembelih sebentar nanti, pertama, manusia akan melapah kulit daripada isinya. Kulitnya akan dibuat pakaian atau tilam. Isinya akan dimakan dengan pelbagai menu; sup, kari, sate, dan kebab. Bahagian kaki dan tulangnya akan dipanggang. Tinggal apa lagi? Ada juga kepercayaan dari kalangan manusia lelaki bahawa ekornya boleh meningkatkan nafsu batin mereka, maka ekornya turut direbuti. Gigi dan matanya? Ia turut dimasukkan dalam kawah sup. Ia tidak mensia-siakan satu incipun daripada badannya untuk dikuburkan. Terbukti maruah dan nilai dirinya adalah tinggi untuk manusia. Tetapi berbaloikah jika ketika menyantapi tubuhnya nanti, manusia tidak bersyukur dengan membaca bismillah? Si khoruf berasa mahu menangis.    

“Ke tepilah..ini tempatku,” jerit seorang wanita Badwi (pedalaman) yang sarat menjinjit kubis di atas kepalanya. Kubis itu sendiri lebih besar daripada kepala wanita tersebut menyebabkan tengkuknya sekejap senget sekejap tegak. Lelaki si penjual khoruf menjengil. Memang wanita-wanita tua dari kampung suka bersikap biadap. Apa sahaja yang kali pertama ditemui dan disenanginya, maka itu dianggap kepunyaannya. “Makcik, kau tidak pernah membayar harga tempat inipun, bagaimanalah kau boleh mendakwa ia kepunyaanmu? Di sana tukan ada tempat kosong, berjualanlah di sana. “Tidak mahu, aku sudah menandakan kerusi yang kau duduk itu. Tengok, khoruf-khorufmu yang tidak pernah mandi itu, buat nafasku tersepit!” jerkah wanita Badwi memperlihatkan barisan giginya yang kuning. Lelaki penjual khoruf bangun, adalah pantang baginya ada sesiapa yang menghina khoruf-khorufnya. “Allah ya’khuz umrak![1]” doanya pada si wanita Badwi. Ketika dia menghalau khoruf-khorufnya ke tempat yang lebih selesa, wanita Badwi itu menjerit lagi kepadanya. “Biadap kau anak muda.”

“Siapa yang lebih biadap? Datang lambat kemudian halau orang,” lelaki penjual khoruf masih sempat membalas. “Kau tidak menghormati wanita yang sebaya ibumu.” “Kau tidak layak menjadi ibu. Tugas ibu sangat mulia untukmu..” “Kau berkawan dengan khoruf dan berperangai seperti mereka..” “Hei..khoruf-khorufku lebih sopan dari kau makcik!” “heei…”

Wanita Badwi itu tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila seorang wanita berfurdah hitam menggosok bahunya. Di tangan wanita berfurdah hitam itu adalah seorang anak kecil. Jika tidak kerana hingus yang mengalir dari lurah hidungnya, anak kecil lelaki itu boleh dikatakan ‘anak patung hidup’. Matanya bulat dengan bulu-bulu yang melentik. Keningnya lebat tercantum di atas hidung tirus yang mancung. “Ya ummi, mengapa marah pagi-pagi begini?” tegur wanita berfurdah. Hati wanita badwi berasa sejuk, baru sebentar tadi lelaki penjual khoruf menyatakan dia tidak layak dipanggil ‘ummi’. “Berselawatlah ke atas rasul, nescaya hatimu akan tenang dan perniagaanmu akan untung,” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi itu menganggukkan kepalanya. Hatinya terus membisikkan selawat. “Aku dan anakku beberapa hari tidak makan, bolehkah kau memberi sedikit simpatimu pada kami?” kata wanita berfurdah. Wanita Badwi yang sudah faham sebaik melihat anak kecil berhingus itu, menyeluk sakunya. Disuakannya 10 lirah kepada wanita berfurdah. “Syukran, Allah tawal umrak[2]!” kata wanita berfurdah mengheret anaknya ke tempat peniaga lain pula. Wanita badwi melepas lelah di depan sawi-sawinya sambil terfikir, pagi ini sahaja dia sudah mendapat doa yang berlainan. Moga Tuhan memilih doa yang diucapkan si wanita berfurdah, katanya sempat mengerling seorang lelaki  muda yang runsing depan kedai mencuci rambut.

Anak muda bernama Nadir itu sejak jam 9 pagi sudah tercegat di depan Kedai Abu Dhiak. Hatinya mengeluh bimbang, mengapa Abu Dhiak, satu-satunya pencuci rambut lelaki di Pasar Jumaat ini tidak muncul-muncul lagi? Sebentar lagi dia mempunyai temuduga dengan pihak stesen televisyen untuk satu jawatan pegawai keselamatan di sana. Selepas temuduga tersebut, dia mempunyai temujanji pula dengan gadis tercintanya, Maryam. Kedua itu; temuduga dan temujanji amat penting baginya. Rambut adalah satu-satunya aset yang dapat meningkatkan keyakinan dirinya berhadapan dengan orang lain terutama Maryam. ‘Abu Dhiak ke mana kau? Apakah tidur lebih penting daripada mendapat duit?’ hatinya berdecit kecewa. Dia menekan telefon tangannya. Matanya merenung nombor Abu Dhiak yang tertulis di depan kedai. Beberapa kali mendail, baharulah terbit suara si penjawab. “Abu Dhiak, mengapa kedaimu masih berkunci?” “Maaf, Abu Dhiak tiada,” jawab seorang perempuan. “Ke mana perginya orang tua itu? Dia tidak tahukah yang pelanggan sedang menunggunya? Jika tak mahu duit lebih baik jangan buka kedai!” bentak Nadir bawah sedar. Perempuan di sebelah sana mendengus nafas kencang. “Apa? kau panggil bapaku orang tua? Celupar betul mulutmu marah-marahkan bapaku. Jika aku berada di depanmu sekarang sudah tentu kau sudah pengsan!” jerit si perempuan. Nadir tergamam. Dia seperti kenal suara itu. Suara yang selalu dijeritkan oleh teman wanitanya jika dia lambat dalam temujanji mereka. “Aku berjanji inilah kali terakhir aku datang ke kedai bapamu yang pemalas,” balas Nadir. “Kurang ajar kau lelaki, bapaku bukan pemalas tetapi dia telah dijangkiti penyakit gout, dia tak boleh berjalan. Aku mendoakan mulutmu akan ditumbuhi kudis kerana mengejek bapaku yang sakit!” kata si perempuan di sebalik telefon. “Maryam…siapa tu?” seseorang di sebalik telefon yang lain menambah. “Lelaki yang gila ayah!” Sejurus Nadir tidak mendengar apa-apa lagi di sebalik telefonnya. Hatinya gemuruh. Maryamkah tadi? Betullah, bukankah Maryam mempunyai abang bernama Dhiak? Justeru bapanya dipanggil Abu Dhiak. Nadir mengusap mulutnya, tidak lama lagi kudis akan tumbuh di situ.

Maryam tidak puas hati bapanya dihina orang lain. Dia mahu lelaki yang dihina itu pengsan di depannya. Maryam menjengukkan kepalanya ke jalanraya. Kedai mencuci rambut mereka terletak di bahagian bawah rumah sahaja. Dia mahu turun dan mengetuk lelaki yang mengejek bapanya tadi dengan batu pengiling rempah. Maryam memastikan bapanya memejamkan mata terlebih dahulu, jika bapanya tahu tujuannya membalas dendam, bapanya akan mengarahkan ibunya mengunci pintu rumah. Ibu bapanya telah mendapat kepercayaan bahawa gadis yang berusia lewat 20-an, jika didatangi sifat marah, amat membahayakan keadaan sekeliling. Barangkali faktor terlalu memikirkan soal jodoh menyebabkan emosi mereka seperti bom jangka. “Maryam, kau nak ke mana dengan batu pengiling itu?” tegur Ummu Dhiak. “Saya nak pinjamkannya pada Ummu Hakim di bawah sana,” bohong Maryam sebelum ibunya mengangguk. Mariam lekas berlari turun ke depan kedai.

 Wanita badwi melihat Nadir berjalan di depannya. Tangan lelaki itu menggosok-gosok sekitar mulutnya. Apabila mata mereka bertemu, Nadir mencebikkan bibirnya. Wanita badwi hanya tersenyum, “Kau pergi cuci rambutmu di bandarlah. Di pasar ini, habis mencuci rambut, bau-bau khoruf (bibir wanita badwi menjuih kepada khoruf-khoruf di depannya) meresap kembali ke rambutmu,” kata wanita badwi. Nadir mengangkat bahu dan terus berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Nah! Ini balasan untuk orang yang mengejek bapaku,” kata Maryam mengetuk belakang seorang lelaki kurus yang tinggi lampai. Lelaki itu, tanpa sempat berkata apa-apa jatuh tersepuk seperti kain buruk. Dia pengsan tetapi kelihatan seperti tidur. Orang ramai yang memadati pasar terkejut. Semua mata  beralih pada Maryam yang sedang terpaku melihat lelaki kurus terbaring atas kakinya. “Hei budak perempuan, berani kau pukul suamiku!? Kau mempunyai hubungan sulit dengannya ya?” Seorang wanita gemuk bertubuh pendek mendekati suaminya. Tubuh Maryam ditolak. Mata kecilnya dibesarkan. Dia mencapai batu pengiling di tangan Maryam dan tersengih. “Terima kasih, aku baharu saja berniat mengajar suamiku dan nampaknya kau telah mendahuluiku. Engkaukah isteri keduanya?” tanya wanita gemuk itu. Maryam menggeleng kepala. Wajahnya berona kegelian. “Suamimu telah mengejek bapaku. Dia mengatakan bapaku pemalas walhal bapaku sedang sakit,” jelas Maryam. Orang ramai mula mengerumuni mereka. “Gila! Bagaimana suamiku boleh mengejek bapamu sedangkan dia seorang yang bisu?” Wajah Maryam memerah. Dia hampir pengsan mendengar kata-kata si wanita gemuk. Dia telah memukul orang yang salah. Dalam fikiran Maryam ketika itu hanyalah Nadir. Bolehkah Nadir, bakal suaminya membantunya lari dari masalah ini?

“Bumi sudah tua, sudah nyanyuk seperti apa?” badannya ditolak ke kanan, hampir-hampir tertiarap atas bekas jeruk zaitun. Air jeruk memercik ke mukanya. Dia sempat menjilat beberapa titis yang berdekatan bibirnya. “Hush, pergilah. Jangan main di sini!” penjual jeruk zaitun menarik tangannya dan menolak tubuhnya ke kiri pula. “Seperti apa? Kau jawablah!” Dia ketawa. “Seperti kaulah! Pergi!” Penjual jeruk zaitun tidak memandang wajahnya lagi. Dia menggaru-garu kepalanya. Mengapa orang gemar bercakap sopan seperti penjual jeruk itu? Tidak bolehkah mereka bercakap kasar sedikit, “Hai ibu yang manis, rasailah jeruk itu, ia lazat tetapi beracun!” Dia ketawa lagi. Penjual jeruk itu bengang apabila seorang wanita tidak jadi membeli jeruknya sebaik mendengar kata-kata tadi. “Jangan ganggu aku lagi orang gila!” jerkah penjual jeruk.

Dia melompat-lompat di tengah orang ramai. Tiada sesiapa yang menghiraukannya kecuali beberapa orang kanak-kanak. Mereka telah menyorokkan wajah ke dalam jubah ibu masing-masing kerana takutkannya. “Ya hilwa[3], mari sini, kita lumba lari. Siapa menang, dia akan dapat dunia. Siapa kalah, jadi gila sepertiku,” katanya cuba mendekati seorang kanak-kanak perempuan. Belum sempat dia menyentuh, kanak-kanak itu meraung ketakutan. “Tolong..tolong..dia kacau anakku,” jerit si ibu. Dua pengawal keselamatan yang kebetulan lalu di situ mencekak kolar bajunya. Dia di heret keluar dari kawasan Pasar Jumaat. “Jangan masuk ke kawasan ini lagi.” Pengawal itu menolaknya di depan pintu Jamik Hanabilah. Dia terduduk di situ.

Ketika dia bangun untuk meneruskan perjuangannya; menyedarkan orang-orang tentang usia dunia. Dia ternampak seorang pemuda, memakai kopiah dan berkaca mata sedang khusyuk mencatat sesuatu. Dia mendapat satu idea untuk berbuat sesuatu terhadap si pemuda. “Masya Allah!” kata si pemuda terkejut apabila lelaki yang kurang siuman itu tiba-tiba mengambil pennya. “Kaulah rupanya ya..” “Pulangkan pen saya wahai saudaraku,” kata pemuda itu. “Tidak, kau akan menulis tentangku nanti,” kata lelaki kurang siuman memusing-musingkan pen tersebut. Pemuda itu menarik nafas. “Baiklah, jika kau tidak mahu memulangkannya, tidak mengapa. Aku masih ada alat yang boleh membaca semua orang. Itu kau tidak boleh mencurinya,” kata si pemuda masuk ke dalam masjid.

“Terima kasih kerana mengambil pen itu. Aku sudah terlambat menunaikan solat fardhu. Fikiranku telah masuk ke dalam orang-orang di pasar itu,” sambung pemuda lagi. Namun, sebelum kakinya melangkah, lelaki kurang siuman itu menggamitnya.  “Apakah kau yakin ketika kau sembahyang nanti, akalmu tidak menerobos orang-orang yang kau lihat tadi?” Pemuda itu menggaru-garu kopiahnya. Ya, penulis sepertinya selalu mengalami masalah itu. 


[1]Maksudnya- Allah ambil umur kamu.

[2]Maksudnya, Allah panjangkan umurmu.

[3]manis

Loading

Keinginan-Keinginan Manusia Pengarang..

‘Rumah Keinginan’ dalam Cerpen

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Bachelard (1969) mengatakan rumah atau kediaman adalah alam semesta pertama manusia. Bagaimanapun rupa bentuk dan ruang fizikalnya, rumah menumbuhkan akar dan tunas pengalaman, semangat, cita-cita, keinginan, perasaan dan kenangan kita. Manusia memiliki pelbagai maksud rumah sesuai dengan latar-belakang dan usia mereka. Tetapi, rumah yang sebenar adalah tempat atau tujuan di mana mereka berusaha untuk kembali. Di rumah itu, manusia menemukan keinginan dan diri mereka sendiri. Al-Ghazali (dlm Abdur Rahman 2012) membahagikan keinginan manusia kepada keinginan yang berunsurkan ketuhanan dengan keinginan yang berunsurkan kebinatangan.

Inilah pencarian utama dalam empat buah cerpen yang tersiar di Dewan Sastera(Bil. 04). Para pengarang ibarat pengembara yang mencari rumah keinginan mereka melalui perjalanan panjang. Dimulai cerpen “Laluan Penuh” karya Regina Ibrahim. Pengarang membawa pembaca menyelami keinginan seorang wanita berusia 75 tahun untuk memiliki rumah sepanjang hidupnya. Sejak lahir, watak aku ditinggalkan kepada orang luar sehingga merasakan dirinya sinonim dengan gelaran ‘orang menumpang’. Aku berpindah dari satu rumah ke satu rumah kerana dihalau secara ‘sopan’ oleh keluarga angkatnya. Selepas kematian suami, aku membesarkan dua anak kecilnya di tanah wakaf yang digelarkan ‘rumah janda belakang surau’.

Di rumah barunya, aku berkeinginan membesarkan anak-anaknya dengan tulang empat keratnya. Dia percaya, walaupun tidak mempunyai tanah sendiri tetapi bumi Tuhan amat luas untuk mereka yang berusaha. Aku menjual hasil hutan dan hasil tangkapan ikan sungai, membuat jeruk mempelam dan menanam ubi kayu. Tetapi usaha aku tidak disenangi masyarakat setempat. Kekecewaan aku digambarkan dengan ayat berikut:

Manusia ini, aku rasakan pelik. Kadang-kadang mereka boleh naik meluat melihat kita yang berusaha. Menangkap ikan darat juga dimarahi, ceroboh tali air orang. Ikan bukan dari Tuhankah? Baguskah tanah dibiarkan pada lalang? Dua tiga kejadian khianat cabut tunas anak pokok dan curi telur ayam didiamkan. Namanya juga reda menumpang.

Keinginan-keinginan aku selepas berlakunya konflik dengan orang kampung adalah membebaskan diri daripada mendengar cercaan masyarakat.. Aku pesimis terhadap wanita kampung yang mahu menjodohkannya dengan duda tua, teruna terlajak, lelaki bodoh dan cacat tubuh. Wanita kampung menurut aku amat takut jika suami mereka jatuh cinta kepada janda sepertinya. Aku juga mencarikan pasangan hidup untuk anak sulungnya dari kalangan keluarga yang miskin. Aku percaya, orang miskin lebih memahami keadaan diri mereka yang tidak memiliki harta terutama rumah sendiri. Tindakan-tindakan ini menunjukkan aku cuba mewujudkan rumah kedamaian dalam dirinya sendiri.

Apabila aku menginjak tua, aku tidak lagi memfokuskan untuk memiliki rumah fizikal. Aku merasakan perkara yang lebih penting adalah mengajarkan kepada anak cucunya sifat berusaha keras. Aku tidak mahu anak cucunya duduk bergoyang kaki dan mengabaikan warisan bangsa seperti katanya:

Kuajar anak cucu membuat sambal goreng, rempah giling dan acar manis. Resepi lama, bukan apa-apa takut hilang lesap begitu sahaja ditelan masa.

Penulis menutup cerpen ‘Laluan Penuh’ dengan keinginan terakhir aku untuk mendapatkan rumah abadi di sisi Allah SWT. Setelah 75 tahun dia gagal memiliki rumah fizikal walaupun telah berusaha sepanjang hayat, aku akhirnya pasrah. Ayat ‘aku telah bersedia dan tidak ada air mata’ menunjukkan bahawa aku menyerahkan segala penjuangan hidupnya kepada Tuhan dan yakin Tuhan akan mengganjari syurga iaitu rumah sebenar yang diimpikannya. 

Dari segi teknik penceritaan, pengarang menggunakan bahasa komunikatif dan padat seolah-olah sedang berbual dengan pembaca. Misalnya, dengan satu perkataan tertentu, pembaca dapat menangkap keadaan emosi watak tanpa perlu penjelasan detil. Ayat ‘pagi yang berbahagia’ amat menarik kerana aku menganggap pagi dia terjatuh dan nazak adalah hari yang menyenangkan. Ini membuktikan lagi bahawa aku berasa tidak sabar bertemu Penciptanya  setelah melalui kehidupan yang penuh. Kata penuh dapat ditamsilkan sebagai kepuasan mengharungi pancaroba dunia.

Selanjutnya, Khafiz Bahari menerusi cerpen ‘Awan’ memperlihatkan watak aku yang menemukan keinginannya di sebalik kenangan hidup. Sewaktu aku melewati sebuah kebun, fikirannya kembali ke masa lalu. Awan dijadikan lambang sebuah rumah yang wujud di dalamnya abah, emak dan segala pengorbanan mereka ketika membesarkan aku. Paparan wajah abah dan emak di awan menyebabkan aku berilusi untuk mengejar, memanjat dan menyentuh awan. Aku ingin mengabadikan awan sebagai sesuatu yang boleh disimpan selamanya.

Dalam fikirannya, aku melihat abah membangunkan kebun dengan titik peluhnya sendiri. Setiap perlakuan abah dapat dilihat dengan jelas ‘di mata’ aku.

Ada imej abah menghentakkan kayu ke atas tiang pagar. Dadanya bergegar menahan kesan hentakan itu. Ada imej abah memaku zink dengan memijak mata tangga, kaki dan tangannya terketar-ketar ketika mengetuk paku ke alang kayu. Ada imej abah mencangkung sambil mencabut satu demi satu rumput liar sementara tunas jagung baru bercambah. Imej abah menimba air dari longkang lalu membawa air yang ditimbangan di dalam bekas penyiram. Imej abah menyiram anak-anak jagung yang hampir layu kerana cuaca panas terik.

Aku terpegun seolah  pertama kali melihat abah berkerja-keras mengusahakan tanah kebun. Setiap imej terasa mahal membuatkan aku berasa cemas apabila ilusi abah melalui gumpalan awan berguguran. Fikiran aku kemudiannya meneroka lebih mendalam tentang abah. Aku dibawa melewati tiga peristiwa malang yang mempamerkan kejahatan manusia. Peristiwa pertama menunjukkan pertolongan yang dibalas dengan kezaliman, peristiwa kedua pula adalah gambaran sikap manusia yang mahu mencegah kejahatan tetapi dengan cara yang salah, sehingga kejahatan semakin menjadi-jadi. Peristiwa ketiga pula memberikan tanda kerosakan  dalam masyakat begitu parah. 

Dalam rumah fikirannya, aku dilihat tidak bersetuju dengan beberapa tindakan abah. Aku tidak dibenarkan abah untuk menyoal dan melakukan apa-apa pergerakan.

Aku semakin sangsi tentang setiap yang aku lihat, apatah lagi abah tidak membenarkan aku menyoal apa-apa. Malah jika aku cuba-cuba mencubit-cubit dinding awan yang berbentuk tidak sempurna bulat ini, aku segera dimarahi dan diherdik dengan bengis. Aku takut.

Aku memasang keinginan untuk melawan abah kerana merasakan tindakan abah dapat membahayakan mereka. Lalu, terjadi pergelutan fizikal antara aku dan abah mengakibatkan mereka saling berkelahi. Waktu itulah, imej emak terlayar di awan fikiran aku. Emak kelihatan murung dan menanggung derita. Aku menonton kembali perbuatan emak menyuapkan aku nasi yang berlaukkan kicap dan marjerin. Aku melihat parut hitam di pipi emak  kerana jatuh motor sewaktu berjualan kuih. Emak menjadikan rumah fikiran aku diasak kesedihan dengan pengorbanannya menggembirakan orang lain. Aku belajar daripada emak cara menangani kesedihan dengan berdoa. Emak menangis bersungguh-sungguh dalam doanya, meminta kepada Tuhan.

Emak berdoa di hadapan Kaabah ketika angin kuat membawa pasir halus lalu menyingkap kain kiswah.

Rumah fikiran aku diasak rindu kepada emak dan abah membuatkan dirinya tidak berpijak di bumi nyata. Aku membawa keinginan menyatukan keluarga mereka dalam ilusinya. Aku tidak mahu imej ibubapanya hilang. Saat aku tersedar dari imbauan kenangan, aku merasakan dirinya seperti sepelepah bulu burung yang jatuh di atas tanah. Waktu itulah aku memberitahu bahawa rumah sebenar yang ingin dimilikinya adalah ibubapanya.

Dari segi struktur, cerpen ini menampilkan teknik yang meminimalkan dialog. Khafiz Bahari memanfaatkan imaginasi kreatifnya dengan menongkah konvensi biasa. Secara normal, aku memiliki kisah hidup seperti orang lain iaitu mempunyai ibubapa yang berkorban apa sahaja demi anaknya tetapi pergerakan cerita yang tidak megikut kronologi dan sarat perlambangan, menuntut fikiran dan renungan dalam. Kata awan dapat ditafsirkan sebagai sesuatu yang istimewa dan tinggi, kelihatan megah dan cantik malah bersifat menaungi, tetapi awan apabila disentuh akan hilang dan kosong. Justeru, pengarang ingin mengaitkan sifat awan dengan kerinduan kepada ibubapa yang telah tiada.

Menerusi cerpen ‘Nama Saya Orang Utan’, penulisnya, Peter Augustine Goh memposisikan rumah keinginan yang lebih unik iaitu identiti diri. Watak saya dikemukakan bagi mewakili manusia yang memiliki nama- nama unsur alam. Saya mengalami pelbagai insiden buruk akibat namanya tetapi dia tetap berasa bangga.

Sebaliknya saya bangga. Bangga mempunyai nama Orang Utan. Nama yang telah diberikan oleh bapa saya, Orang Minyak tiga puluh lima tahun yang lalu.

Saya dan keluarganya yang terdiri daripada ibubapa dan adik perempuannya baru berpindah ke Daerah Maju Jaya dengan tujuan mencari rezeki. Keinginan mendapatkan kehidupan lebih baik adalah fitrah insan. Imam Al-Ghazali (dlm Abdur Rahman 2012) memasukkan pencarian harta sebagai antara keperluan utama manusia. Dengan harta, manusia dapat melaksanakan kehidupan yang terbaik dan menggalakkan ekonomi umat. Saya dan keluarganya yakin Daerah Maju Jaya adalah daerah makmur dan kaya peluang. Malangnya, firasat tersebut salah. Saya dirompak lelaki bertopeng di daerah tersebut. Lebih malang, para pegawai polis di situ  tidak mempercayainya dan memperlekehkan namanya. Saya ditahan atas alasan tidak mempunyai identiti diri sebagai warganegara. Bermula dari itu, saya ingin menjelaskan keistimewaan identitinya kepada pembaca.

Nama bukan menjadi lambang keperibadian saya dan masyarakat di daerah asalnya, sebaliknya kejujuranlah yang menentukan nilai diri manusia. Saya menyebutkan nama-nama ‘unik’ yang digunakan manusia di Daerah Murni antaranya Gajah, Tikus, Musang Berjambang, Singa Lapar, Atas Pagar, Murah Hati dan Tepi Gunung. Saya ingin mematikan tanggapan biasa bahawa manusia perlu memiliki nama yang indah. Sebaliknya, apa sahaja nama yang digunakan seseorang walaupun dalam kategori binatang dan tumbuhan, ianya tidak mengubah nilai kemanusiaan. Saya jelek dengan manusia yang bertopengkan hipokrasi. Mereka memiliki nama yang hebat tetapi melakukan kezaliman.

Saya mendedahkan sikap buruk golongan yang memiliki nama ‘normal’. Mereka terdiri dari golongan berpendidikan  dan berstatus pegawai tetapi memandang rendah kepada orang lain.

Saya berasa amat malas hendak meningkah kata-kata kerasnya. Saya tidak tahu siapa yang kurang ajar. Cuma orang seperti dia harus meneroka jauh ke daerah lain dan melihat dunia. Jangan jadi macam katak di bawah tempurung. 

Saya dan tahanan-tahanan yang memiliki nama ‘luar biasa’ hanya mampu menahan marah. Kata-kata mereka dianggap bohong dek kejahilan pihak pegawai keselamatan. Justeru, saya merasakan sistem demokrasi masih belum menjamin kebebasan hak asasi manusia sekiranya masyarakat terutama para penjawat awam masih tebal kejahilan.

Saya tertanya-tanya adakah kami ada hak dalam daerah yang mengamalkan hak asasi dan demokrasi. Demokrasi yang mengikut undang-undang yang luhur. Luhur yang membawa makna mulia. Mulia berkuasa yang tidak boleh disalah guna. Salah guna kuasa memacukan kezaliman, sesuatu yang pantang pada mata rakyat yang tidak mahu jiwa mereka terbebat dan fikiran mereka berselirat. Fikiran yang kacau dan terpusing tidak boleh membuat mereka berfikiran lurus. Situasi ini tidak boleh dibiarkan dalam sebuah masyarakat yang dahagakan kemajuan yang bercambah dalam semua bidang kehidupan.

Pengarang secara sindiran menghadirkan watak yang bernama Orang Halus, seorang peguam berkaliber untuk menyelamatkan saya dan kawan-kawannya yang menjadi mangsa rompakan. Identiti saya menjadi semakin kuat selepas peristiwa tersebut. Saya meyakini bahawa nama tidak melambangkan kemuliaan seseorang. Satu-satunya yang dapat mengangkat martabat mereka adalah hati yang baik. 

Walaupun pengarang berjaya menyampaikan keinginan watak untuk menjelaskan latar-belakang namanya, tetapi teknik penceritaannya agak longgar. Pengarang melantunkan suara emosi watak yang menindas dan tertindas tanpa perbincangan yang lebih serius dan bermaklumat. Misalnya, pegawai keselamatan digambarkan jahil tentang etnik dan kaum di sesuatu tempat seolah-olah mereka tidak pernah diberi penerangan sebelum dilantik bekerja. Bahkan, seruan watak saya agar masyarakat memberikan nama ‘yang lebih jujur’ kepada waris terutama nama-nama binatang dilihat tidak sesuai dalam masyarakat Muslim yang mementingkan nama-nama mulia. Ini kerana, setiap nama adalah doa kepada pemiliknya. Terakhir, tanpa fakta yang lebih serius berkaitan latar tempat dan masa menunjukkan pengarang hanya mahu pembaca menanggapi karyanya sebagai satira biasa.

Cerpen pilihan keempat berjudul ‘Di bawah Pohon Maple’ karya Amelia Hashim mengungkapkan pencarian rumah keinginan yang bersifat keakuan. Menariknya,  watak aku menemukan kemahuan yang dicarinya selama ini dalam diri seorang tokoh yang dikaguminya iaitu pengarang besar dalam sejarah Jepun, Murasaki Shikibu. 

Aku adalah penulis wanita Melayu yang telah lama mengkaji Hikayat Genjisehingga membawanya ke Kuil Isyiyama di Danau Biwa. Aku merasakan seolah-olah bertemu Murasaki Shikibu secara nyata saat menatap lukisan-lukisannya. Keinginan aku telah dipersiapkan dengan pengetahuan dan latihan seperti katanya:

Aku sudah belajar bagaimana cara duduk bertimpuh menghadap meja rendah itu. Mereka sudah biasa kerana itu seni budayanya, sedangkan aku akan terpaksa menahan diri bersikap tertib.

Aku merasakan dirinya mempunyai banyak persamaan dengan Murasaki Shikibu dalam kehidupan harian dan kehidupan sebagai penulis. Mereka sama-sama kematian ibu ketika kecil. Yang berbezanya, aku dibesarkan oleh nenek dan Murasaki Shikibu dibesarkan oleh ayahnya. Dalam ilusinya, aku mengulas hubungan Murasaki Shikibu dengan lelaki-lelaki penting dalam hidupnya iaitu ayah dan suami. Kedua mereka memberi pengaruh besar terhadap perjalanan kesusasteraannya.

“Aku merasai hidup bersuami hanya empat tahun. Ketika aku mengahwininya, dia mempunyai banyak rumah dan banyak isteri. Juga dia mempunyai banyak anak. Engkaupun tahu perasaanku sebagai perempuan. Namun, hal itu kuanggap sebagai takdir kerana aku terlahir sebagai perempuan. Kemudian suamiku meninggal dunia. Empat tahun dia mendampingiku sebagai suami, tentulah aku berasa kehilangan apabila dia meninggal dunia! Sukar juga aku menyesuaikan diri tanpa suami. Aku mengatasinya dengan membaca dan menulis!”

Aku terus menemukan dirinya dalam sejarah Murasaki Shikibu. Wanita ternama itu gemarkan warna-warna lembut dan tidak menonjol. Dia juga menolak hiburan yang berunsurkan pesta dan arak. Aku mengatakan tokoh impiannya seperti sebutir mutiara di tengah pecahan kaca. Walaupun dilimpahi kemasyuran dan kemewahan, dia memilih menjadi penulis yang merakam sejarah zaman. 

Dalam kehidupan seorang sasterawan, Murasaki Shikibu adalah wanita sederhana tetapi mempunyai kelicikan halus dalam tulisannya sehingga boleh menjatuhkan lawan. Di sinilah aku menemukan cita-citanya sebagai penulis. Aku ingin memutar cerita sebagaimana yang telah dibuat tokoh impiannya terhadap watak Panglima Genji. Perasaan aku diungkapkan dalam pernyataan ini:

Yang memikatku untuk bertemu dengannya ialah kepintarannya melukiskan permainan asmara yang rumit. Panglima Genji itu pemain cinta asmara dengan banyak perempuan sepanjang hidupnya.

Aku memperlihatkan hasratnya untuk menghayati cinta romantisme yang rumit. Panglima Genji mempunyai hubungan sulit dengan lebih lima wanita. Antara wanita itu ada yang mati menderita dan hidup dalam kekecewaan. Aku bersetuju dengan pandangan Murasaki Shikibu bahawa seorang isteri akan tetap mencintai suaminya walau seteruk manapun layanan suami terhadapnya. Bahkan, seorang wanita juga mencintai kekasihnya tanpa berbelah bahagi. Aku berasa nasib wanita terbela di tangan penulis wanita, bukan penulis lelaki. Dengan merujuk Sejarah Melayu, aku menyatakan kekecewaannya terhadap gambaran wanita yang ditulis pengarang lelaki seperti Tun Kudu, Tun Fatimah dan Tun Manda. Baginya, watak kewanitaan diwujudkan untuk kepentingan politik dan kekuasaan kaum lelaki. Dalam bicara ilusinya dengan Murasaki Shikibu, aku tidak mendapat kesimpulan yang memihak kaum wanita. Masing-masing mengakui wanita sering menjadi mangsa perasaan mereka sendiri terhadap seorang lelaki. 

Walau bagaimanapun, kajian mengesani kekaguman aku terhadap Murasaki Shikibu lebih menonjol terhadap kehidupan peribadinya  berbanding sisi sasterawi. Tambahan, setiap yang ditulis Murasaki ditanggapi aku sebagai kisah nyata. Aku percaya, gabungan nilai emosi, intelektual, kekeluargaan dan politik yang terjalin dalam Hikayat Genjiadalah pancaran pengetahuan pengarangnya sendiri. Aku juga tidak dapat mengawal dirinya menelaah bentuk wajah dan cara pembawaan Murasaki yang halus dan sopan. Walaupun penulis sejarah itu hidup di abad yang berbeza, aku berasa dekat dan rapat kerana keinginan yang wujud dalam diri aku telah dijelmakan Murasaki Shikibu baik dalam karyanya mahupun kehidupan peribadinya. Justeru, kedatangan aku ke daerah asing dan jauh, ditambah pemandangan pohon maple yang tidak ada di negara aku, namun aku seolah kembali ke halaman rumahnya sendiri. 

Amelia Hashim menyampaikan pemikirannya yang sarat mesej kewanitaan dengan cara baharu. Pengarang melepaskan wataknya berilusi dengan tokoh yang telah lama meninggal dunia hanya melalui dialog dan penceritaan mendatar. Namun, atas pengalaman pengarang, beliau berjaya membangkitkan suasana jiwa wanita yang saling menyokong antara satu sama lain walaupun dipisahkan oleh tirai zaman. Amelia juga sedar, walau sebanyak manapun inspirasi yang dikutip aku daripada Murasaki Shibiku, tetapi ada perkara yang menjadi batasan mereka iaitu kepercayaan hidup. Ini ditegaskan Amelia Hashim di akhir cerpennya:

Bertahun-tahun juga aku menelusuri jejaknya, memerhati penulis Hikayat Genji di dalam hati dan jantung para pelukis. Imaginasi mereka terimbau jauh mendekati Murasaki Shikibu dengan kelincahan jejari bermain warna. Aku juga sebagai penulis dan memiliki imaginasi tersendiri walaupun berbeza cara pengabdian.

Demikianlah sekilas ulasan empat buat cerpen yang masing-masing memiliki rumah keinginan yang tersendiri. Menarik untuk ditekankan apabila para penulis secara kebetulan memfokuskan keinginan yang bersifat dalaman dan spiritual seperti kebahagiaan hakiki (syurga), cinta ibubapa, maruah diri dan kehormatan wanita. Bahkan, semua cerpen menggunakan sudut pandangan pertama iaitu aku dan saya yang membolehkan mereka berimaginasi penuh. Apa yang menjadi persoalan, mampukah suara aku diperhalusi lebih mendalam, matang dan memberikan impak besar kepada masyarakat sesuai dengan revolusi pemikiran yang sedang berlaku di tahun 2019? Kerana itulah rumah yang bakal didepani seluruh masyarakat terutama anak bangsa Malaysia. 

Loading

Makhluk Sekecil Covid 19 Buat Manusia..

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Makhluk kecil ini adalah pengajaran paling besar untuk manusia di Zaman 2020.

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran) Allah adalah penciptaan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata yang Dia sebarkan pada keduanya. Dan Dia Mahakuasa mengumpulkan semuanya apabila Dia kehendaki. Dan musibah apapun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah Asy-Syura: 29-30).

Kini malam-malam kita dan manusia dunia diusik satu makhluk Allah yang sangat kecil iaitu bersize 125 nanometer (satu nanometer adalah 1 meter dibahagi seribu juta) atau 800 kali lebih halus dari sehelai rambut). Ianya bernama Covid 19 iaitu sejenis virus dari keluarga Coronavirus yang muncul pada 1960-an. Coronavirus mempunyai 7 ciri, 4 daripadanya ada pada manusia dan 3 yang lain datang dari haiwan. Covid 19 adalah jenis coronavirus yang berpunca dari genetik haiwan yang terjadi di pasar makanan haiwan liar Wuhan, China.

Dari 7 orang pertama yang dijangkiti Covid 19 pada awal Disember 2019, hari ini (30 Mac 2020), jangkitannya merebak ke seluruh dunia dengan jumlah yang dicatatkan 723140 kes dengan 34034 kematian. Allah…

Sebanyak 202 negara diganggu si kecil ini. Dunia globalisasi terhenti secara fizikal. Manusia diperintahkan berkurung dalam rumah agar tidak bertembung dengan manusia lain dalam kumpulan ramai. Mengapa? Si virus amat lemah di luar badan manusia, tetapi sebaik memasuki tubuh manusia, ia akan membunuh sesiapa tanpa mengira kelas sosial, agama, ras dan umur (tentu dengan kuasa Allah SWT). Setakat hari ini, majoriti mangsa adalah golongan tua dan kaum lelaki. Saintis mengatakan, golongan tua mempunyai 180 kali ganda dibaham Covid 19 berbanding orang muda. Kerana belum ada senjata ampuh membunuhnya (antara ubat yang cuba digunakan adalah antiparasitic untuk penyakit Malaria, antiviral untuk Virus HIV, Ebola, ubat flu dan antibiotic), maka kebanyakkan negara hanya mampu membuat undang-undang seperti lockdown, kawalan jarak, pemakaian topeng muka dan pembersihan diri

rumah mayat sementara di Amerika Syarikat

Sebagai Muslim, makin kita yakin bahawa Tuhan sedang menegur manusia. Dalam sejarah Islam, banyak makhluk-makhluk kecil didatangkan untuk meruntuh kesombongan manusia. Namrud mati dengan serangan seekor nyamuk, Abrahah dan gerombolan besar tentera bergajahnya mati dengan burung-burung tentera Allah SWT. Penangan Covid 19 menyaksikan kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan Eropah terutama Itali jatuh ke masalah menakutkan iaitu kematian penduduk dan ekonomi secara mendadak. Negara Itali mempunyai sistem kesihatan bertaraf dunia namun Covid 19 tidak terusik dengan kecanggihan itu. Hari ini, Itali terpaksa memanggil doktor-doktor dari negara luar bahkan sampai menerbangkan para pesakitnya ke luar negara akibat hospital yang terhad dibandingkan jumlah jangkitan dan kematian tinggi. Amerika Syarikat terkenal dengan teknologi dan kajian sains untuk dunia, tetapi hari ini terpaksa membina khemah-khemah rumah mayat di luar hospital. China berhadapan isu rasis yang tinggi. Seluruh dunia menghukumi warga China yang dikatakan pemula kepada Covid 19. Banyak negara takut menerima pelancong China, dan wujud teori bahawa Covid 19 adalah ciptaan komunis China yang jahatnya lebih atau setaraf Nazi. China akan dibenci sebahagian penduduk dunia.

Apapun realiti dan teori yang berlegar, setiap minit kita adalah ruang muhasabah bagi orang yang beriman. Kita percaya bahawa dunia ini akan berakhir dan sebelum berakhirnya dunia, datangnya imam Mahdi, dajjal, Nabi Isa AS dan para tentera Allah yang dijanjikan. Dunia kelihatannya sangat tua dan diperkudakan tangan-tangan manusia dengan kezaliman dan sikap melampau batas. Kemodenan dan teknologi yang kita nikmati dalam hidup seharian, jarang dikaitkan dengan tauhid kepadaNya. Kita bekerja bukan untuk berdakwah, tetapi mengumpul harta untuk anak cucu. Kita melihat kemaksiatan dengan gelengan tanpa usaha mengubahnya kepada kebaikan. Caci-maki sesama manusia menjadi makanan. Orang tidak adil diangkat menjadi pemimpin dan artis dipuja-puja. Kita pejam mata terhadap hak orang miskin, anak yatim dan asnaf. Kita hidup dalam semua kerosakan itu dengan ketenangan dan senyuman. Justeru, Allah SWT datangkan makhluk sehalus Covid 19 untuk kita duduk diam seketika, bermuhasabah, bermunajat, bertaubat nasuha dan membanyakkan simpati dan doa kepada orang lain. 

Baharulah kita sedar, kita hanyalah makhluk. Dan taraf amalan kita entah lebih teruk dan bahaya daripada kejahatan makhluk Covid 19 itu jika Allah SWT tidak menegur dengan cara seperti yang kita lalui sekarang ini.

Loading