TRAVELOG UMMI HANI

Episod 7- Pencarian Islam Kathryn Bennet

Keluarga Khalefah

 Benarkah kehidupan bergerak sendiri ke hadapan? Atau ada Kuasa lain yang membawaku ke sini? Sesekali, fikiran itu menerpa benak. Walaupun aku cuba menafikan adanya agama, dan melupakan terus jalan menuju ke gereja, hatiku tidak dapat dikurung dari memikirkan tentangNYA.

Lebih-lebih lagi ketika aku berada di bumi yang digelar ‘Dua Laut’ ini. Di tempat ini, jauh sekali melihat orang mabuk yang terhuyung-hayang di jalanan, atau wanita pelacur berpakaian seksi menggoda sebarang lelaki di setiap malam. Sebaliknya, lelaki dan wanita yang masih kekal dalam pakaian adat mereka, bercakap kuat namun mesra dan suara ketuhanan mereka yang bergema di langit terutama azan. Entah mengapa, aku senang.

Aku mungkin terpaksa berterima kasih kepada seorang lelaki Arab yang kujumpai di Abu Dhabi dulu. Insiden yang agak lucu, apabila aku menolak lamaran cintanya, dia memberiku tiket percuma agar aku jauh dari matanya iaitu ke Bahrain bersama Sarah, adikku. Sarah yang masih bawah umur dihantar pulang ke England oleh pihak Kedutaan British di Bahrain. Aku pula memilih untuk meneroka kehidupan baru di negara yang memiliki 33 buah pulau ini.

Apakah semuanya ini satu kebetulan? Aku hanya mempunyai seorang kenalan di Bahrain, selepasnya aku bertemu ramai insan yang membantuku untuk menjadi Cik Kathy yang agak berjaya di negara orang. Bahrain, selain digelar negara minyak dan mutiara, juga lapangan perniagaan bagi masyarakat Asia Barat, Teluk Parsi, Eropah dan Asia. Namanya yang unik itu terjadi akibat munculnya mata air tawar di tengah laut masin. Ironinya, di tengah masyarakat Arab sebagai penduduk aslinya, muncul bangsa asing dari Parsi dan barat yang saling berlumba menguasai Bahrain kerana kekayaan sumber alam dan laluan perdagangan yang strategik. Persengketaan antara pemerintah malah menyuburkan Bahrain sebagai destini perdagangan antarabangsa. Orang Iran misalnya, menyerap nilai budayanya untuk dikomersialkan di Tanah Bahrain, sama juga orang India dan bangsa Asia lain, membawa citra masakan dan busana mereka ke sini. Bagi komuniti Yahudi, mereka juga tidak ketinggalan. Sesetengah hotel lima bintang di sini dibina oleh Yahudi yang bijak memanipulasi peluang pelancongan pantai.

Di usia 18 tahun, dengan sedikit modal dan pengalaman komunikasi ketika bekerja di Hotel Hilton dulu, aku bergabung dengan beberapa saudagar tempatan menguruskan perniagaan import alatan permainan kanak-kanak dari Eropah ke Arab Saudi. Karakter berani dan peramahku amat serasi dengan bidang ini. Tidak ada yang menegur caraku kerana bangsa Eropah adalah bangsa liberal, tidak terikat dengan adat. Aku masih merokok dan minum alkohol, tetapi di tempat yang sewajarnya di kota ini. Bagi wanita tempatan, pergerakan mereka agak terhad malah tidak boleh mengundi ketika pilihan raya, apatah lagi menjadi ahli politik. Aku tidak berhak mempersoalkan perkara ini kerana masih sedar aku adalah orang asing. Cukuplah kehidupanku sekarang lebih baik, mempunyai pekerjaan, kereta, wang ringgit dan tempat tinggal.

Seorang kenalanku yang bekerja di Syarikat Gulf Air memperkenalkan aku dengan Keluarga Khalefa yang menyediakan sebuah bilik sewa di rumah mereka. Lokasinya agak baik kerana berhampiran dengan tempat kerjaku di Bandar Ar-Rifa. Tuan rumahku, pasangan suami isteri berbangsa Arab yang agak berada. Suaminya dipanggil Syeikh bermaksud tuan atau orang yang dihormati masyarakat setempat. Pertama kali berada di bilik sewa ini, aku berpesan pada diriku, “Kathy, cukuplah engkau menjaga kelakuanmu di rumah orang, atau memilih tinggal di hotel sepanjang berada di Bahrain ini. Kawal sikap lepas bebasmu!”

Aku tahu Keluarga Khalefa adalah orang yang berpegang pada agama dari pakaian dan pertuturan mereka. Bagiku, sama ada mereka Islam atau agama lain sekalipun, jika privasiku tidak diganggu, aku sedia membayar berapapun sewa bilik yang ditawarkan. Cuma, akalku masih waras mengingatkan supaya aku tidak mabuk dan mengganggu keluarga ini.

Loading

EP 6: Mencari Tenang

ENAM

Tuhan?

Berapa ramai manusia di dunia ini yang beragama? Sekitar abad ke 18, sekelompok manusia di dunia ini menggelarkan diri mereka Atheis atau tidak percayakan Tuhan. Bagi mereka, Tuhan telah mati dalam helaian Bible atau dalam kitab agama mana sekalipun. Adalah tidak relevan mengaitkan prinsip ketuhanan dengan urusan manusia moden yang berkembang. Tidak logik jika soal politik, ekonomi, pendidikan, undang-undang sosial hingga ke perilaku manusia mahu dikaitkan dengan agama. Ia menjadi satu gangguan kepada manusia untuk mencari kemajuan yang tiada noktahnya.

Aku mula meragui tentang keabsahan agama keluargaku kerana tiada sesiapapun yang mempedulikannya. Bapa dan ibu menguarkan kami mempunyai Jesus sebagai Tuhan tetapi, ketika hidup keluarga kami seolah atas titian neraka, mengapakah masing-masing tidak merujuk Tuhan? Jika ibu mengimani kasih sayang Jesus, mengapa dia ingin menamatkan riwayatnya sendiri sebelum menunggu takdirNya? Apakah nilai agama jika hanya indah di mulut para paderi dan sister, tetapi tidak relevan untuk dipraktiskan? Arak misalnya, semua orang tahu ia adalah haram tetapi sangat intim dalam masyarakat Inggeris walaupun jelas merosakkan. Hari ini, mungkin ada yang pergi ke gereja setiap pagi Ahad, mendengarkan bait-bait Jesus tentang cinta dan pentingnya memegang agama sebagai landas hidup. Namun, sebaik tiba di rumah, yang dipertontonkan di televisyen, filem, akhbar dan radio adalah budaya manusia bebas dan tidak berasaskan agama. Malah, itulah yang digeluti masyarakat baik kanak-kanak hingga ke orang yang sedang menunggu ajalnya.

Pembohongan ini amat bijaksana. Apa yang perlu dibuat dan difikirkan oleh kanak-kanak ditentukan oleh orang dewasa hingga umur mereka melepasi angka 16. Sanggupkah anda, selama 16 tahun menahan rasa jengkel dan pelik kerana realiti masyarakat amat jauh berbeza dari apa yang sepatutnya anda buat dan fikirkan itu? Aku tidak pergi jauh, cukuplah wayang-wayang aksi ibubapaku sendiri.

Sistem pendidikan barat tidak banyak mengaitkan soal ketuhanan. Teori evolusi manusia melogikkan kita untuk berfikir bahawa kita adalah sebahagian sel alam yang terjadi dengan sendiri. Tidak dapat dibayangkan jika agama dipegangi dalam urusan kehidupan, bukankah ianya menghalang manusia mencapai kehendaknya untuk maju? Dan sifat manusia, seperti juga kejadiannya yang berkembang-biak, akan terus maju ke hadapan. Dengan wujudnya agama, manusia akan resah, terikat dan berpura-pura.

Aku cuba melihat penganut agama lain, apakah mereka lebih bahagia dari penganut Kristian sendiri? Mungkin telahanku silap tetapi observasiku di Abu Dhabi, orang-orang Islam juga tidak lepas dari kejahatan. Malahnya, mereka lebih buruk kerana mempamer pakaian agama di balik serban dan jubah, tetapi nilai-nilai seharian; pergaulan, kebersihan, dan disiplin kerja, orang Eropah jauh lebih baik. Beberapa rakan Arabku sangat pandai menipu. Mereka menyebut Tuhan di bibir, tetapi mendahulukan nasihat syaitan ketika berurusan dengan orang lain. Agama hanyalah retorik mulia yang ingin menghadkan kuasa kejahatan manusia. Tetapi nampaknya, manusia itu lebih berkuasa dari apapun pegangan hidup mereka. Oleh itu, apa relevannya mempunyai agama?

Jika agama itu benar, mengapa penganutnya sering menoleh ke belakang? Aku pelik melihat golongan sami Buddha, orang Islam dan rahib Kristian, apabila semakin kuat pegangan agama mereka, semakin menolak kemajuan. Akal warasku tidak boleh berfikir mengapa para rahib dan sami tidak seperti manusia lain yang berkahwin, bersosial serta melakukan sesuatu untuk pembangunan negara? Mereka seolah disorokkan dalam bangunan terpencil, menghabiskan hari-hari membaca kitab dan mensyarakahkan semula kepada manusia, sedangkan mereka tahu, perbuatan itu adalah sia-sia terhadap manusia moden hari ini. Bolehkah para rahib itu menipu naluri seksualiti dan hal keduniaan lain? Alangkah kejamnya agama yang mempergunakan potensi manusia untuk kemunduran.

Dalam agama Yahudi, pendeta Israel mendapat kedudukan tinggi dengan pendapatan lumayan sebagai ejen agama Tuhan. Ini adalah eksploitasi pintar menggunakan agama. Mereka mendakwa, di sebalik kata-kata mereka adalah Kuasa Agung yang mengharamkan dan menghalalkan perbuatan umat Yahudi. Selama berabad-abad mereka mempertahankan kedudukan istimewa ini agar sentiasa dipandang mulia, diberi imbuhan dan autoriti dalam masyarakat.

Bagiku, agama Islam juga tidak kurang kolotnya. Orang Arab menyembunyikan isteri-isteri mereka di rumah dengan satu had yang dahsyat. Tidak boleh memandu kenderaan, tidak boleh bekerja, tidak boleh berhias dan mempamerkan kecantikan dan lebih buruk, kehidupan wanita Islam itu terbatas kepada suami dan anak-anak sahaja. Idea-idea yang mereka katakan sebagai Kalam Tuhan banyak yang tidak masuk akal. Misalnya, mereka berperang dan mahu mati kerana mahu mendapatkan syurgaNya, membunuh orang kafir juga tidak salah, mereka yang memilih kemiskinan adalah mulia dan menghasut anak isteri mereka supaya berhati-hati dengan orang kafir. Bukankah itu menggangu proses kesejahteraan dan kemajuan akal manusia? Agama telah memupuk sifat prasangka dan perselisihan. Malah menghadkan kemampuan manusia untuk berinovasi dalam setiap bidang. Pada abad pertengahan, mungkin agama masih relevan, tetapi dunia moden bertentangan dengan prinsip semua agama.

Semakin aku memikirkan hal ini, aku jadi bingung dan sulit. Justeru, aku menyimpulkan bahawa agama tidak cocok dengan diriku. Ia menyukarkan bukan membahagiakan. Agama bukanlah punca ketenangan yang ingin kudampingi selama ini.

Ketika aku berada di penjara, ramai antara kami bertanya sesama sendiri. Jika Tuhan tidak menyukai kejahatan, mengapa Dia membiarkan kejahatan berleluasa di kalangan manusia? Ada pandangan mengatakan bahawa hanya kebaikan datang dari Tuhan, sedangkan kejahatan bukan dariNya? Hal itu menunjukkan kemampuan Tuhan terbatas dan manusia lebih dariNya? Benarkah? Entahlah, aku tidak mempunyai jawapan buat masa ini. Semakin kakiku menghampiri ke laut agama, badai ombak menerjah tubuhku. Aku tenggelam dan lemas. Ah! Lebih baik aku tidak memikirkan langsung tentang agama lebih-lebih lagi tentangNya.

Loading

EPISOD 5- MENCARI TENANG

Aku tinggal bersama Mr Don dan isterinya Mrs Dorris hampir setahun. Ibuku juga semakin pulih dan boleh menjaga adikku Sarah. Ketika membelek sebuah foto, aku perasan ada sesuatu yang luar biasa berlaku di antara Mr Don dan keluargaku.

“Siapakah ini? Aku sangat mengenalinya. Dia mirip bapaku.”

“Peter Bennet?!” Tanya Mr Don. Dan ternyata, frasa yang mengatakan bahawa dunia ini kecil memang benar. Bapa dan Mr Don adalah rakan sekelas ketika sekolah dahulu. Selepas itu, aku mengetahui bapa berkahwin lain dan mempunyai seorang anak lagi dengan isteri barunya. Anak itu dinamakan Elizabeth. Moga bapa tenang dengan keluarga baharunya dan tidak mengganggu hidup kami.

Aku berasa tiba masanya aku memulakan kehidupan sendiri. Aku ingin mencari kerja dan bersosial seperti remaja dewasa lain. Keluarga Mr Don melepaskan aku membina kehidupan mandiri selepas setahun bersama mereka. Maka, bermulalah episod baru dalam hidupku ketika mencari pekerjaan. Oleh kerana tidak mempunyai sijil, usahaku mencari pekerjaan agak terhad. Namun, kemahiranku dalam bidang lukisan dan kraftangan dapat membuktikan kepada tuan kedai bahawa aku memang berbakat. Akhirnya, aku mendapat pekerjaan sebagai pembuat patung dan pelukis kraftangan di kedai tersebut.

Aku akui, aku belum menemui ketenangan walaupun hidupku bebas. Selepas usia 17 tahun, tidak ada sesiapa lagi berhak mengongkong hidupku terutama pihak jabatan kebajikan masyarakat yang sentiasa mengikuti perkembanganku. Kini, aku melalui zaman yang sering kucemburui pada dua kakakku. Namun, ia tidak seindah yang kufikirkan. Keputusan yang kubuat  sering menyebabkan aku berhadapan masalah dan pergaduhan.

“Aku sering nampak kau termenung wahai si jelita Kathy. Kau tidak gembira dengan hidupmu?” Tanya temanku yang sering nampak aku melepaskan tekanan dengan menjerit dan memberontak.

“Tidak ada perkara di dunia ini dapat membahagiakan diriku. Mengapa aku mesti hidup jika tidak gembira? Mengapa aku diciptakan Tuhan? Ataukah Tuhan itu tiada, dan semua di dunia ini terjadi dengan sendirinya?” Aku menepuk dinding. Marah.

“Kathy, kau tidak boleh terus menghukum dirimu. Tahukah engkau, berapa ramai orang di dunia ini rugi kerana membunuh diri mereka sebelum mencari kebahagiaan di tempat lain? Pergilah kau dari bumi England yang rosak ini. Carilah kedamaianmu di pelusuk dunia. Jika kau masih tidak berjumpa, ah! Kau memang ditakdirkan hidup menderita sepanjang hayat,” kata temanku itu. Aku termakan dengan hasutannya supaya aku meninggalkan England dan sejarah hitamku sendiri.

Melalui seorang rakan sekolejku, aku dapat menghadiri temuduga bekerja di luar negara. Keputusan yang diterima amat menggembirakan hatiku. Bermulalah langkah pertamaku keluar dari bumi kelahiran dan terbang ke Abu Dhabi sebagai pelatih bahagian pengurusan pelanggan Hotel Hilton di sana.

Pelbagai perkara baru aku pelajari termasuklah bertutur bahasa Arab dan selok-belok dunia perniagaan eksport dan import. Aku tidak ingin berkongsi banyak tentang juzuk kehidupanku di Abu Dhabi kerana ia tidak indah. Aku tidak menemui apa yang aku cari selama ini; kebahagiaan dan ketenangan. Namun, aku tidak mahu mengalah lagi, kerana aku baru mendatangi Abu Dhabi. Pesan temanku dulu mencari ketenangan di seluruh pelusuk dunia. Ya, aku akan bergerak lagi ke negara-negara lain.

Everytime I dream, I keep seeing
Streets and alleyways;
Places that I’ve never known
Everytime I dream, I am being
Lifted to a height
That I’m too frightened to go
Then I wake up and find

Everything’s the way it seemed –
One night ago

Everytime I sleep I keep hoping
This’ll be the night
Of nights that I see you again
As I close my eyes, like crimson curtains
Slowly rising – on an empty stage
Then I’m back in the stalls
Sitting all alone
Waiting for the show to begin

Everytime I dream I would often
Find myself a’runnin
From a wild pack o’ lies
Till I reach a house and I hear
The Judge upstairs
And look for a place to hide
But if I saw you there
I wouldn’t dare dream again
Of opening my ey
es

Cat Steaven

Loading

EPISOD 4

OLEH : UMMU HANI ABU HASSAN

Ke Penjara Juvenil

Kenakalanku makin memuncak apabila pihak berkuasa mendapati aku mempunyai rekod hitam di kebanyakan rumah kebajikan kanak-kanak yang kuhuni. Akhirnya, pada umur awal belasan tahun, aku dimasukkan ke penjara kanak-kanak England. Ia sebahagian pengalaman hitam yang ingin kupadam. Berbeza dengan dua kakakku, mereka telah bebas mencorak hidup sendiri. Di usia 16 dan 17 tahun, kakak-kakakku mempunyai kerjaya yang boleh menampung hidup mereka. Aku dan adik masih dalam seliaan pihak jabatan kebajikan masyarakat. Sepanjang masa, hidupku adalah kemuraman.

“Ibu, mengapakah kita sekeluarga tidak boleh berkumpul seperti dulu?” tanyaku kala melawat ibu di pusat pemulihannya.

“Kebahagiaan ibu sudah mati,” jawabnya lemah.

“Kami bukankah kebahagiaan ibu?” Aku berusaha menaikkan semangat ibu. Matanya memberi gambaran dia kecewa meneruskan kehidupan. Tetapi, aku tidak boleh mengalah dengan kejatuhan ibu.

“Kamu menyusahkan diriku. Pergi..pergi..!” jerit ibu. Pegawai kesihatan menyuruh aku pulang. “Ibumu akan sembuh nanti, kami akan usahakan,” katanya entah kali ke berapa. Aku tidak menaruh harapan tinggi lagi melihat ibu bangkit semula. Memang ibu ingin membuang kami yang menjadi sebahagian sejarahnya bersama bapa. Adilkah begitu? Tiba-tiba naluri kasih terhadap ibu berubah menjadi amarah dan dendam.

Akan kubuktikan kepada dunia bahawa aku lebih jahat daripada bapa atau ibu. Kasih sayang dan cinta hanyalah ilusi guru-guruku. Mereka sendiri tidak pernah melihat Jesus dan sifat cintanya, bagaimana mungkin mereka menggambarkan begitu detail ke telinga kami. Ah! Itu semua pembohongan untuk menundukkan potensi jahat yang wujud dalam diriku dan teman-teman.

“Ibu sama seperti bapa. Dia juga menjadi penagih alkohol sekarang. Dia langsung tidak mempedulikan aku dan adik!” aduku pada seorang kaunselor yang cuba menyelidik punca masalah juvenilku di sekolah.

“Kamu tidak boleh mengulangi perbuatan itu lagi. Ia bertentangan dengan ajaran Kristian kita.”

“Tidak! Aku tidak pernah percayakan agama. Orang dewasa hanya pandai bercakap tetapi mereka tidak melaksanakan. Kamu dan orang lain ingin melihat aku dan kanak-kanak lain baik kerana kepentingan diri. Kalian takut kami mencuri harta kalian dan merosakkan imejmu sebagai guru. Tetapi siapa mempedulikan jiwa kami ketika bapa dan ibu kami membaling kata-kata najis, ‘kalian menyusahkan hidupku!’” Aku memberontak keras.

Hidup yang terpenjara kini benar-benar di dalam penjara. Di hadapanku, bukan lagi kanak-kanak pemberontak yang selau menjerit dan menengking sahaja, tetapi mereka adalah kumpulan jahat seperti yang kutonton dalam filem mafia. Walaupun semuanya bawah 18 tahun, namun jenayah yang dilakukan hampir-hampir tidak pernah difikirkan orang dewasa. Aku tidak sangka akan termasuk dalam kumpulan ini. Walaupun pelbagai perkara nakal telah kupraktiskan, tetapi tidak sampai terfikir untuk membunuh atau mencabul orang lain. Adakah jalan keluarku dari tempat seperti neraka ini?

Penyelia di sini juga berbeza daripada guru-guru di rumah kebajikan kanak-kanak. Mereka memanggil kami seperti menghalau anjing kurap. “Hoi budak jahat!” atau “Si jahat!” menggantikan “Sayang” dan “Anakku” yang pernah dipertuturkan paderi di gereja. Bagiku, penjara bukanlah tempat yang baik untuk remaja  bawah umur 18 tahun membesar. Walaupun pihak berkuasa mempunyai undang-undang khusus kepada para juvenil, kata penjara itu sendiri merosakkan masa depan mereka setelah dibebaskan. Malahan, bagi sesetengah remaja nakal yang terperangkap dengan undang-undang, apabila mendengar pengalaman jenayah banduan lain yang lebih berat, mereka mendapat taktik kejahatan baru. Oleh itu, penjara yang sepatutnya berfungsi memulihkan setiap juvenil bertukar menjadi sekolah mempelajari taktik jenayah.

Adalah tidak adil menempatkan aku di sini kerana masalah sering melarikan diri dari rumah kebajikan sosial. Aku bukan penjenayah yang boleh mengancam keselamatan dan harta benda orang lain seperti juvenil di sini. Sikapku yang agak bengis hanyalah satu protes kepada ibubapaku. Mengapakah hidupku menjadi lebih buruk dari hari ke hari? Jika begini malang nasibku, apakah alasan Tuhan menciptakan aku ke dunia ini?

Di balik tembok besi, kami tidak bebas bermain di taman atau membeli sesuatu yang disukai di pasaraya. Pakaian yang dikenakan juga adalah seragam dan membosankan. Di ruang tidur, setiap tahanan remaja diberikan tilam dan bantal, malah diberi kebebasan untuk menampal poster yang disukai di dinding. Hiburanku setiap hari adalah melukis di kertas. Wajah bapa, ibu, dan tiga saudaraku yang lain tidak mungkin kulupuskan walaupun keadaan tidak memihak kepada kami untuk menjadi sebuah keluarga.

“Kau berdoalah pada Tuhan agar boleh keluar dari tempat ini. Aku lihat, kau lebih baik dari kami semua Kathy, kau berhak mendapat kebebasan,” cadang rakan banduanku. Aku ketawa kuat.

“Entahlah. Jika aku berdoa, Tuhan akan mendengarkah? Selama inipun, tidak pernah satu yang Tuhan berikan pada kami bersifat kebahagiaan. Semuanya semakin buruk. Kalaulah aku tidak waras seperti ibuku, sudah lama aku bunuh diri. Tapi aku ingin membahagiakan adikku. Aku tidak mahu mati lagi sekarang,” jelasku yang kini berusia 16 tahun.

“Jika begitu, kau bayangkan adikmu setiap masa. Mungkin boleh menghentikan tangisanmu dalam tahanan ini. Walaupun aku jahat dan pernah mencuri, tetapi aku tidak mahu menyalahkan orang lain. Suatu masa, aku mahu berubah menjadi orang berguna.” Kata-kata itu memberiku semangat baru biarpun kadar kestabilan jiwaku tidak tetap. Para juvenil yang pernah ketagihan dadah atau ganja tentu lebih teruk untuk berubah. Tetapi, di kalangan mereka masih menyimpan harapan untuk bebas daripada ketagihan. Aku? Aku hanya perlu berfikir positif dan berkelakuan baik agar cepat dibebaskan dari penjara juvenil ini.

Beberapa tahun dalam tahanan, pihak penjara membenarkan aku belajar di Kolej Hull dengan pantauan mereka setelah mendapati aku berkelakuan baik. Peluang ini kugunakan sebaiknya untuk belajar dan melupakan masalah peribadiku buat seketika. Kemahiranku dalam bidang lukisan dan kraftangan diasah dengan latihan oleh pihak kolej selama setahun. Walau bagaimanapun, aku tidak sempat mengambil peperiksaan akhir.

Aku tidak sedar kelakuanku sentiasa diperhatikan oleh seseorang. Dialah lelaki berhati malaikat yang ingin menyelamatkan aku dari situasi gila ini. Mr Don, seorang pekerja sosial yang selalu datang melakukan kerja di penjara ini perasan karakterku berbeza dari seorang yang dipanggil juvenil. Dia turun naik berjumpa para pegawai penjara dan pusat kebajikan kanak-kanak untuk menjadikan aku anak angkat keluarganya. “Aku yakin Kathy tidak seperti juvana lain. Dia remaja yang baik. Aku ingin mengambilnya sebagai anak angkat,” kata Mr Don.

“Tidak, kau tidak boleh begitu Don. Dia sangat nakal,” kata seorang pegawai. Mr Don terus meyakinkan mereka dan akhirnya kata putus diberi.

“Kau berhak membawanya ke rumahmu tetapi, inilah saat terakhir kau bekerja di pusat ini!” Mr Don, dengan penuh keyakinan menganggukkan kepala.

“Aku percaya Kathy akan menjadi orang yang baik jika tinggal di tempat selain penjara ini. Aku terima dengan senang hati keputusan kalian. Aku akan pergi dari sini bersamanya,” kata Mr Don.

Oh! Pada hari itu aku seolah mendapat gambaran tentang Jesus yang memeluk anak-anak dengan sikap Mr Don. Tidak pernah dalam kehidupanku, ada orang yang sanggup berkorban demi kebahagiaanku. Dan di hadapan Mr Don juga aku berjanji untuk tidak mengulangi segala kenakalanku selama ini. Aku akan malu padanya dan seisi dunia jika ditakdirkan kembali ke sekolah yang kugelarkan ‘pusat kejahatan baru’ itu.

Loading

EPISOD 3

Kembara Islam Noorah Kathryn Bennet

oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Penghuni Rumah Kebajikan

Di England, rumah kebajikan kanak-kanak terbahagi kepada dua kategori. Pertama adalah kategori penjagaan sementara. Ibubapa yang mengalami masalah kewangan dan kesihatan boleh meletakkan anak mereka di rumah kebajikan untuk satu tempoh tertentu sehingga mereka pulih. Kedua, jika anak-anak langsung tidak mempunyai keluarga, mereka akan dipelihara oleh jabatan kebajikan sehingga mampu berdikari. Aku tidak pernah bermimpi akan dimasukkan di kedua-dua rumah kebajikan ini. Tetapi keadaan mencaturkan sebaliknya.

Selepas kelahiran Sarah, ibu disahkan berpenyakit mental dan tidak boleh menguruskan rumahtangga. Setiap daripada kami diarahkan tinggal di rumah kebajikan kanak-kanak yang berasingan. Hubunganku dengan bapa juga terputus. Dia membawa diri dan tidak mahu bertangunggjawab kepada ibu dan anak-anaknya. Kerajaan British mengambil alih tanggungjawab sosial terhadap keluarga kami dengan menyediakan rumah, makanan, sekolah dan pembiayaan peribadi secara percuma. Sejak dimasukkan ke pusat kebajikan kanak-kanak, aku bagaikan hidup sebatang kara di dunia ini.

Mungkin keadaan di rumah kebajikan kanak-kanak tidak terlalu buruk. Di sana, kami diberikan pendidikan dan kaunseling. Setiap daripada kami diyakinkan bahawa hidup adalah positif dan menyeronokkan. Guru-guru menghiburkan kami dengan nyanyian dan puisi kasih sayang. Aku dan rakan-rakan yang berusia bawah 12 tahun digalakkan untuk berinteraksi sesama sendiri sebagai terapi komunikasi awam kami. Namun, Ia tidak semudah seperti tadika atau sekolah harian biasa. Setiap kanak-kanak yang datang ke sini membawa kisah luka dan trauma. Melihat guru-guru, barangkali dapat memadamkan sebentar kesedihan itu. Tetapi kami akan kembali ke dalam diri sendiri pula pada banyak saat selepas itu.

Agak menjengkelkan kelakuanku di takah umur kanak-kanak ini. Aku gemar memberontak, pemarah dan akan bangkit melawan sekiranya ditekan. Gambaran kelakuan ganas bapa terhadap ibu dan cubaan ibu membunuh dirinya mendorongku berkelakuan yang sama. Aku menganggap semua manusia akan menjadi jahat apabila sampai waktunya. Kebaikan itu bersifat sementara dan sifat semulajadi manusia adalah kejahatan.

Kisah luka teman-temanku tidak jauh berbeza dari gambaranku di atas. Malahan, terdapat di kalangan mereka yang menghadapi cubaan dibunuh ibubapa sendiri. Itulah realitinya bumi England yang dibanggakan di dunia ini. Banyak keluarga menghadapi masalah apabila negara semakin pesat maju. Taraf hidup menjadi tinggi dalam keadaan manusia masih tidak bersedia dari sudut jiwa, pemikiran dan pendapatan keluarga. Apabila masalah muncul, penyelesaiannya amat mudah. Sama ada menelan buih-buih arak, dadah atau menamatkan riwayat sendiri.

“Ayahku penagih alkohol, ibuku berubah watak dan mengasingkan diri.  Kami adik-beradik terbiar dan dipungut pihak berkuasa untuk ditempatkan di sini.” Hampir sama sinopsis jalan hidupku dengan semua kanak-kanak di sini.

“Ibu pernah mahu membunuhku kerana benci pada ayahku,” kata seorang kanak-kanak.“Ibu menjadi pelacur kerana kesempitan hidup tinggal di kotaraya. Aku hampir menjadi mangsa teman lelakinya,” cerita kanak-kanak lain pula. “Ayahku bekas tentera dalam Perang Dunia Kedua, dia mengalami gangguan jiwa kerana terlalu banyak orang dibunuh depan matanya. Aku ditinggalkan di sini kerana takut menjadi mangsanya ,” adu rakan yang lain.

Ya! Kami semua adalah mangsa ketidak adilan ibubapa dan persekitaran. Yang menjadi persoalan, mengapakah kerajaan tidak mengharamkan minuman yang menjadi punca masalah rumahtangga Inggeris itu? Mengapa arak dijual di setiap mini market dan pasaraya? Dan mengapa bar dan kelab hiburan bagaikan cendawan tumbuh di setiap pelusuk daerah England, malahan seluruh United Kingdom? Gambaran masyarakat metropolis semakin jauh dari kisah-kisah Bible yang diperdendangkan kepada kami.

Rakan-rakanku di sini tidak harus dipersalahkan atas kelakuan seharian mereka. Sebahagian besar daripada kami menjadi kanak-kanak hiper aktif dan sukar dikawal. Bayangkan jika anda berada di tempat kami? Bolehkah anda menahan rindu kepada ibu sedangkan anda tahu dia masih hidup? Ibu yang dulu memasakkan puding yang manis dan sering berkisah tentang kepahlawanan tentera Rom dan Brigantes yang saling berebutan wilayah Yokshire untuk membangkitkan keberanian kami, kini sepi dalam daerahnya sendiri. Tiada siapa yang menjenguk kami di rumah kebajikan ini. Guru-guru yang menyapa sayang seolah penglipur lara yang wujud dalam kisah pari-pari sahaja. Kasih sayang sejati sudah mati.

Rakan-rakanku ada pengalaman menjadi pencuri dan jenayah juvenil lain. Daripada mereka aku mengutip sedikit sebanyak kisah gelap kanak-kanak gelandangan. Bahasa mereka yang kasar seperti bahasa kumpulan mafia turut mempengaruhi percakapanku. Kadang kami meniru kembali lagak bapa-bapa kami yang ganas ketika dipengaruhi alkohol dan beraksi sesama kami.

Aku tidak betah lama di rumah kebajikan kanak-kanak, percubaan melarikan diri  berjaya. Kemudian aku diambil semula oleh pegawai kebajikan untuk dimasukkan ke rumah sosial lain. Dalam tempoh tersebut, ada beberapa kali aku pergi mencari ibu di hospital. Rupanya ibu ditempatkan di komplek pemulihan yang sangat kondusif dan privasi. Ia terletak di sebuah kampung kecil yang hanya mempunyai beberapa buah rumah, sebuah kedai,  pejabat pos dan sekolah. Ibu dipantau oleh pihak hospital setiap masa kerana penyakitnya belum pulih. Dia masih cuba membunuh diri akibat trauma dengan perbuatan bapa. Oleh itu, kami anak-anak tidak boleh hidup bersama ibu. Di waktu yang lain, makcik datang menjenguk, namun kami tidak dapat menumpang kasihnya kerana dia juga mempunyai keluarganya sendiri.

Aku tiada pilihan selain menghabiskan umurku di rumah kebajikan kanak-kanak. Di sana, walaupun gamat dengan kemeriahan dan kebaikan guru-guru, aku tetap terpinggir sepi. Bilakah semua ini akan kembali seperti dulu? Rumah kebajikan kanak-kanak tidak memberikan kebahagiaan sejati seperti sebuah keluarga yang sebenar. Itu menjadi alasan mengapa aku mempunyai pengalaman di 21 buah pusat kebajikan ketika musim kanak-kanak dan remaja awalku.

Loading

EPISOD 2

KEMBARA ISLAM KATHRYN BENNET

Mozek Luka

OLEH: Ummu Hani Abu Hassan

Ketika aku sudah mengenal apa itu fungsi keluarga dalam masyarakat Inggeris, dan mengetahui perananku sebagai anak dan kakak kepada adik yang masih kecil, aku berhadapan dengan keadaan sebaliknya. Guru sekolah rendahku menyatakan bahawa sebagai anak, kasih sayang utama yang perlu dipupuk dalam diri manusia ialah mencintai Tuhan dan mencintai ibubapa. Agama Kristian sangat erat dengan kasih-sayang sebagaimana Jesus menghargai anak-anak, memeluk mereka dan memberikan kata-kata cinta supaya si kecil membesar dengan penuh keyakinan.

“Luahkan rasa cintamu kepada setiap manusia, pasti Tuhan akan memberimu cintaNYA.” Aku melihat dua kakak dan adikku sebagai jari-jemari di tangan. Aku adalah jari hantu yang berada di tengah, paling tinggi dan bertanggungjawab memantau yang lain. Itulah sebabnya aku memiliki watak yang agak keras, tegas, dan kuat kemahuan kerana aku ini adalah pelindung adik-beradikku yang lain.

Namun, semakin aku cuba bertanggungjawab kepada mereka, seolah-olah ada batu yang jatuh atas kepalaku, menghalang langkahku mendekati semua orang. Batu itu bukan sahaja melukakan fizikalku, malah ia menghancurkan hatiku selumatnya. Batu itu adalah amarah yang meletup-letup tatkala bapa pulang ke rumah sebagai orang luar. Dia pulang tanpa mengenali ibu sebagai isterinya, dan kami sebagai anak-anaknya. Sejak bapa bersahabat dengan buih dajal itu, dia menjadi begitu asing dengan keluarganya sendiri.

“Kamu semua menyusahkan hidupku! Aku tertekan mempunyai isteri dan anak-anak seperti kalian!” jerit bapa ketika ibu membuka pintu rumah. Bau arak yang melekat di tubuhnya dan buih muntah yang bersisa di bibir bapa menyebabkan ibu hilang sabar. “Kau lelaki yang tidak bertanggungjawab!” balas ibu membiarkan bapa jatuh di tengah rumah. Dalam keadaan yang separuh sedar, bapa bangun menarik tangan ibu.

“Apa kata kau? Aku tidak bertanggungjawab. Nah! Ini untukmu!” satu pukulan hinggap di badan ibu menyebabkan ibu tertolak ke belakang. “Kau melampau!” Ibu menangis.  Tangannya mencapai sesuatu kemudian dibalingnya pada bapa. Laku ibu menaikkan amarah bapa. Syaitan terloncat-loncat mengapikan ibu dan bapa. Mereka berhenti bergaduh selepas bapa terjelepuk tidak sedarkan diri dipengaruhi alkohol. Ibu pula masuk ke biliknya dan menangis. Antara kami tiada sesiapa yang dapat mendekati ibu mahupun bapa.

Perkara yang kutuliskan di atas bukan berlaku sekali dua. Ia terjadi hampir berpuluh kali dalam sebulan. Apabila bapa menjejakkan kaki ke rumah, terjadi pergaduhan yang hampir menyerupai Perang Dunia Kedua. Ibu nampaknya tidak dapat bersabar dengan kelakuan bapa, yang termampu olehnya adalah meleteri dan mengherdik bapa sebagai lelaki tidak bertanggungjwab. Sebagai balasan, bapa memukul dan mencaci ibu. Kelakuan bapa telah memberi tekanan kepada ibu. Kini, ibu juga mengasingkan dirinya daripada rutin harian dan anak-anak. Ibu gemar menyendiri dalam bilik dan menangis. Jika antara kami mendekati ibu, dia akan menengking atau mendiamkan diri seolah kami bukan sebahagian dirinya lagi. “Pergi! Kamu semua menambahkan masalahku!” kata ibu, entah dengan sengaja atau tidak.

“Rumah ini macam neraka, aku tidak tahan lagi,” rungut setiap kami.  Kasihan, adikku masih kecil untuk memahami masalah yang terjadi di antara ibu dan ayah. Aku? Relatifnya, usia 11 hingga 12 tahun, aku juga tidak sepatutnya berfikir untuk lari dari rumah kerana benci dan kasihan melihat ibubapaku.

Keadaan di rumah kami juga seperti hutan tempat berlindung binatang buas. Ibu, akibat tindakannya yang suka menyendiri dan menangis, dia mengalami gangguan jiwa. Suatu hari, adikku mengadukan hal ibu yang suka menjerit dan melepaskan tekanannya pada barang-barang di sekelilingnya. Hal itu merunsingkan fikiranku lantas berlari ke bilik ibu.

“Aghh!” Terdengar suara ibu dari dalam bilik. Aku memulas tomol pintu. Ketat. Ibu mengunci dirinya dari dalam. Tanpa lengah, aku dan kakak berusaha mencari kunci dan berjaya membuka pintu bilik. Alangkah terkejutnya kami mendapati ibu terlentang di lantai dengan pisau di tangan. Darah menitik dari pergelangan tangannya yang telah ditoreh. Ibu..ibu cuba membunuh diri!

“Cepat! Panggilkan ambulans!”  jerit kakak padaku. Aku berlari keluar memaklumkan pada jiranku. Kakak merampas pisau dari tangan ibu dan cuba menenangkan keadaan. Aku terduduk di depan rumah kala ibu dibawa pegawai kesihatan ke hospital. Tuhan!  Ibukah yang melakukan perbuatan gila tadi? Bukankah ibu telah mengajar kami tentang kasih sayang dan menghargai keindahan hidup? Mengapa ibu melupakan ajaran Kristian yang mengharamkan perbuatan membunuh diri? Jika ibu membenci ayah sebagai penagih arak, tahukah ibu, membunuh diri juga adalah perbuatan terkutuk? Di manakah kami dalam hati ibu ketika dia cuba melenyapkan nyawanya sendiri?

Loading

Kembara Islam Kathryn Bennet 1

oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Tanggal 1961, salji bulan November di langit Yokshire gugur lebat. Wajah bumi yang ceria bertukar warna putih yang pucat. Atap rumah, pohon-pohon di taman, kenderaan yang memadati jalan, padang bola dan kriket, hampir semuanya ditutupi salji putih. Angin mendesir dengan kuat. Tanpa sapaan damai yang selalu ditiupkan kala musim bunga atau musim gugur. Kali ini, walaupun desirnya perlahan, terasa kecut kulit tubuh menahan kesejukan.

Waktu itulah aku lahir ke dunia. Disambut ibu dan kakak-kakak comelku. Mereka mengelilingiku seolah seorang bidadari turun dari syurga. Masing-masing berkata, “Aku tidak pernah berjumpa bayi secomel dia..” “Panggilnya Kathy, ibu telah namakan dia Kathryn Bennett,” kata ibu yang berketurunan Irish. Beberapa minggu kemudian, ibu membawaku ke gereja untuk dibaptiskan.

Daerah kelahiranku dikenali sebagai Hull terletak di Yokshire, United Kingdom. Dalam peta Inggeris, Yokshire adalah bandar terbesar berbanding bandar lain di United Kingdom. Dari Sungai Hull, mengalirlah keringat rezeki para nelayan Inggeris hingga ke Muara Humber, 40 kilometer dari Laut Utara Inggeris. Dari tahun 1299, sejarah Hull telahpun muncul di tangan Raja Edward 1 sebagai pusat pelabuhan tentera Inggeris, pusat perdagangan maritim dan metropolis hingga ke aktiviti menangkap ikan paus.

Bapaku bekerja sebagai nelayan. Dia tidak peramah dengan anak-anak. Walaupun begitu, kami; Jane, Karen dan aku tahu bapa sayangkan kami. Bapa pernah mendukungku sambil menyanyikan lagu yang aku sendiri tidak fahami.

Tetapi matanya berkata, “Aku cintakan kamu anakku..” Aku selalu menangis dalam dakapan bapa, sebaliknya apabila ibu mendukungku, hanya senyum terukir manis.

 “Kamu tidak pandai mengasuh anak,” gurau ibu pada bapa. Hanya rengusan hampa yang dibalas bapa.

Musim sejuk berlangsung hampir lima bulan lamanya, selama itu juga aku menjadi bayi yang kental. Tidak mudah mengalah dengan cuaca dingin walaupun di kalangan orang dewasa mereka kerap merungut, musim sejuk amat membosankan. Di kala salji berguntur lebat, kawasan maritim Yokshire menjadi ais yang keras. Air sungai dan pantai tidak mengalir lagi, kaku dan ngeri. Aku pernah mendengar orang berkata,

“Tahukah kamu, ramai orang bunuh diri ketika musim sejuk?”

“Ya, musim sejuk meningkatkan tekanan hidup. Cuma yang menyeronokkan dalam musim sejuk hanyalah Krismas!” kata orang-orang dewasa. Kala itu, para nelayan seperti bapa tidak turun ke laut. Mereka banyak menghabiskan masa di rumah dan bar. Di malam minggu, sebahagian besar lelaki dewasa seperti bapa akan berparti dan memanaskan badan mereka dengan arak. Lewat pagi, pengunjung bar pulang ke rumah dengan keadaan yang tidak menyeronokkan semua orang.

Aku tidak mempedulikan semua itu. Setiap hari hidupku semakin seronok dapat melihat kakak-kakak comelku berlarian dan saling merebutkan sesuatu. Aku tidak sabar bergabung dengan mereka. Aku pasti, aku yang akan menjadi pemenangnya. Ibu memarahi dua kakakku kerana berbuat bising. “Diam, nanti adik kamu terjaga, ibu tidak boleh memasak,” kata ibu. Sebenarnya aku sudah lama terjaga dari tidur dan bunyi yang keluar dari mulutku adalah tawa riang. Aku mahu cepat membesar dan turut membuat bising di rumah ini.  

Seperti kebanyakan ibu-ibu Inggeris marhaen lain, ibu melakukan sendiri kerja rumah. Puding manis ibu amat lazat. Mencicipinya membuatkan aku tidak mahu berenggang dengan meja makan. Orang Yokshire amat gemarkan makanan manis seperti tart, dadih, manisan halia, oatmeal dan sirap. Pada hari minggu, manisan ini diserikan lagi dengan daging lembu panggang dan sayuran segar. Bumi Yokshire adalah bumi gula. Kilang-kilang gula dan coklat di Yokhshire dapat menampung permintaan seluruh United Kingdom. Hal ini menambahkan lagi kemanisan dalam setiap makanan yang masuk ke perut warganya.

Ibu aktif ke sana ke mari menjaga kami tiga beradik. Keperluan dapur dibelinya di pasaraya dan pulang memasak sendiri untuk kami. Ibu juga menjahitkan pakaian bulu untuk dipakai di musim sejuk. Amat jarang ibu merehatkan diri. Sesekali dia juga mengeluh kerana bapa tidak begitu pedulikan hal rumahtangga. Namun dalam protesnya, ibu masih menjalankan tanggungjawab, menghantar dan mengambil kakak-kakakku di sekolah, memasak, membasuh dan mengemas rumah. Di waktu malam,ibu tidak lupa membacakan kami buku cerita.

Menurut Ajaran Kristian Katolik yang menjadi pegangan keluargaku, bayi yang dilahirkan ke dunia perlu menjalani amalan baptis bagi tujuan penyucian dosa. Bayi akan dibawa ke gereja untuk dimandikan dan penjaga akan mewakili bayi mereka menyatakan perjanjian hidup dan mati bersama Jesus. Namun, terdapat pandangan lain yang menyatakan bahawa pemandian baptis hanyalah tanda ritual, hakikatnya seseorang pengikut ajaran Kristian perlu meyakini sepenuh jiwa terhadap Jesus sebagai Tuhan.

Aku tidak mengambil berat tentang agama Kristian. Sebagaimana ibu dan bapaku yang sibuk dengan rutin harian, menyebabkan mereka jarang-jarang ke gereja. Ibuku semakin kalut menguruskan rumahtangga. Ketika umurku dua tahun, adikku, Sarah lahir. Aku benar terasa dipinggirkan dan mula mencorak peribadiku sendiri. Sejak kecil, ibu gemar menjeritkan padaku, “Kamu ini seperti budak lelaki Kathy!”

Ya, berbanding saudara perempuanku yang lain, aku sukakan aktiviti lasak. Di musim salji, aku akan membawa bekas luncur ke tempat yang tinggi. Di situ aku menggelongsorkan badanku di atas rel salji yang licin. Aku juga mengajar adikku membuat anak patung salji yang kami gelarkan snow doll. Lahir di musim dingin membuatkan fizikalku betah dengan udara sejuk. Sejam atau dua jam berguling atas hamparan salji tidak memberi apa-apa kesan. Sehinggalah ibu datang dengan wajah yang bengis, mengarahkan aku pulang ke rumah.

Di rumah, aktiviti kami sangat terhad. Aku, anak musim sejuk yang berhati keras tidak akan duduk diam. Jika tidak mengusik Sarah, aku gemar bertukang dan memanjat tempat-tempat tinggi. Beberapa kali aku terjatuh ketika bermain menyebabkan kaki dan tanganku terluka. “Cuba kamu bermain seperti budak perempuan lain Kathy!” arah ibu ketika membelek lukaku. Aku senyap dan berfikir, apa lagi yang boleh kubuat sebagai penghibur hati di rumah ini?

Ketika tanganku mula mengenal pen dan kertas, hatiku berbisik sendiri, “Oh Kathy, kamu sebenarnya pandai melukis.”

Loading

Awan Kembara Bangladesh

“Senyum pada awan” adalah ayat pertama saya dalam Novel Baromkeh, Matamu di Mataku (2008). Pertengahan Disember 2005, saya dan dua rakan terbang ke Damsyik, Syria untuk belajar Bahasa Arab selama dua bulan. Syria ketika itu belum terlibat dalam konflik perang saudara. Kembara di Damsyik adalah permulaan ‘ketagihan’ saya untuk melihat awan dan memaknai hikmah musafir.

Ramai bertanyakan saya bagaimanakah mendapatkan wang untuk mengembara di banyak negara? Jawapannya adalah dengan menulis. Pada usia 27 tahun, saya telah melawat 9 buah negara iaitu Singapura, Thailand, Indonesia, Myanmar, Syria, Jordan, Arab Saudi, Bangladesh dan United Kingdom. Sebahagian besar perjalanan didanai wang kemenangan sayembara sastera, wang menulis skrip drama televisyen serta buku kisah benar. Tulisan kali ini saya ingin berkongsikan pengalaman menjejaki Tanah Haramain sehingga memunculkan cerpen Teman, Cukuplah Kami  yang telah memenangi  Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 kategori cerpen remaja.  

Dhaka Yang Duka

Awal tahun 2008, saya menyertai perjalanan umrah dengan menaiki Pesawat Biman Air milik negara Bangladesh. Dalam jadual sebenar, tidak ada rancangan akan bermalam di Dhaka, ibu negara Bangladesh. Gara-gara kelewatan penerbangan, saya dan rombongan umrah berkesempatan melihat Kota Dhaka lebih dekat. Sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, kami dimaklumkan akan bermalam di salah sebuah hotel tiga bintang di tengah Kota Dhaka. Yang menyambut kami di luar lapangan terbang adalah ratusan tangan peminta sedekah dari kalangan kanak-kanak, wanita dan orang tua. Saya dan ahli rombongan mampu memerhatikan mereka dengan pandangan simpati dan doa, kerana begitu ramai yang menagih wang dan makanan.

Dhaka mempunyai 17 juta penduduk, kepadatannya menyebabkan pemandangan dipenuhi manusia. Saya melihat kanak-kanak peminta sedekah sebagai golongan  paling malang. Bayangkan untuk makan seharian mereka perlu meminta sedekah, bagaimana pula dengan keperluan lain seperti pendidikan dan tempat tinggal yang baik? Perjalanan ke hotel menghidangkan tinggi rendahnya status ekonomi bangsa Bengali melalui tempat tinggal. Golongan kaya dan pertengahan tinggal di apartment dan teres, manakala golongan miskin tinggal di kawasan kotor dan sesak. Mata saya terarah ke rumah-rumah seperti bangsal yang hanya ditutupi papan dan kain. Kelihatan suami isteri dengan anak-anak tinggal di dalamnya.

Sepetang di Dhaka, saya dan seorang rakan mengambil kesempatan mengitari kota padat ini dengan beca. Kayuhan si pengayuh beca membuatkan pesona Bangladesh muncul. Bayangkan, tiada siapa dapat menahan pengayuh beca melaju di jalanraya walaupun anda seorang pemandu kereta atau lori. Saya dan rakan terawang-awang gayat. Mungkin inilah beca paling ekspres pernah kami nikmati di dunia! Namun, perasaan seronok itu pudar tatkala kaki memasuki sebuah pasaraya besar. Beberapa lelaki berpakaian tentera dengan tangan memegang senapang berdiri di pintu masuk. Rupanya, mereka ditugaskan untuk menghalang para peminta sedekah masuk ke dalam pasaraya. Begitu sekali golongan miskin dianak-tirikan di sebuah negara yang memiliki 145 juta orang Islam. Perasaan sedih itu saya gambarkan dalam cerpen:

Apakah yang akan difikirkan orang dengan hidup susah begini? Sememangnya ini bukan pilihan apatah lagi kemahuan diri saya. Ibu kerjanya meminta sedekah sambil mengendong badan kurus saya di tengah bandar Dhaka. Bapa pula mengayuh beca uzur milik Tuan Syaheed. Anda mungkin memikirkan, dengan pekerjaan bapa itu, ibu tidak sepatutnya menjadi peminta sedekah. Tetapi, dengan upah bapa sebanyak 30 Taka (RM3) setelah dapatan kayuhan diberikan kepada Tuan Syaheed, maka andalah menyimpulkan sendiri bagaimana hanya RM3 dapat menampung hidup kami 4 beranak?

Rumah kami ada sekeping zink yang meneduhkan manakala tiangnya adalah empat batang kayu yang ditusuk hujungnya ke dalam tanah. Dinding rumah cuma kain panjang yang menutupkan kami daripada pandangan orang luar. Kami tidur berlantaikan pangkin kayu. Oleh kerana ruang itu sangat sempit, saya selalu tidur di atas perut ibu dan kadang-kadang di atas badan kurus bapa. Abang saya lebih gemar tidur di lantai kaki lima bangunan. Lebih sejuk dan selesa katanya.

Wajah Yang Sama, Karakter Berbeza

Warga Bangladesh sering saya temui di mana-mana di Malaysia, namun tidak pernah membaca sejarah mereka. Kunjungan ‘tanpa sengaja’ ke Tanah Banggala Timur membuka sedikit pengetahuan tentang mereka. Bangladesh adalah wilayah bangsa yang menerima ‘air tangan’ British-India dan Pakistan sebelum mandiri sebagai negara. Walaupun penduduknya memiliki raut fizikal yang mirip dengan penduduk India Muslim dan Pakistan, tetapi budaya hidup dan bahasa mereka berbeza.  Penduduk Pakistan Barat lebih berorientasikan pengaruh dari Timur Tengah, penduduk Bangladesh pula terdedah kepada pengaruh Hindu-Buddha, Islam dan Bristish.

Pengaruh luar ini menjadikan rakyat Bangladesh cepat beradaptasi dengan dunia luar. Sebahagian besarnya telah berhijrah ke seluruh dunia termasuk Malaysia untuk bekerja profesional atau buruh. Seperti bumi alaminya yang indah, orang-orang Bangladesh memiliki pesona kecantikan khususnya kaum wanitanya. Saya berkesempatan membeli –belah dan melihat sisi kemodenan Bangladesh di dalam pasaraya besar, restoran dan hotel.  Dek jurang ekonomi golongan miskin dan kaya yang luas, menjadikan hati turut berduka.

Bangladesh adalah negara berdelta luas yang dicorakkan Sungai Gangga dan Brahmaputra. Setiap tahun, apabila banjir besar meletus, ianya mengorbankan ribuan penduduk. Kepadatannya menyebabkan penduduk  miskin tidak mempunyai pilihan selain tinggal di kampung-kampung bersebelahan tebing sungai. Fakta menyebutkan sebanyak 700 aliran sungai dari pelbagai penempatan yang berarus ke Teluk Benggala di selatan Bangladesh. Panjang aliran sungai di Bangladesh adalah 15,000 batu menjadikannya antara terpanjang di dunia. Dari atas pesawat, kita dapat mengesani bahawa sungai adalah pancaran jiwa warga Bangladesh.

Rumah Allah

Kedamaian utama negara Bangladesh adalah banyaknya masjid di seluruh negara. Di Dhaka, terdapat  27 buah masjid utama dan puluhan masjid kecil melambangkan 90 peratus penduduknya beragama Islam. Masjid juga menjadi tarikan pelancong luar datang ke Bangladesh antaranya Masjid Mukarram, salah satu daripada 10 masjid terbesar di dunia. Masjid tersebut dapat menampung jumlah jemaah seramai 40 ribu orang dalam satu-satu masa. Azan bertalu-talu dari menara masjid ketika masuk waktu solat. Sebagai penulis, saya cuba mengaitkan keadaan kemiskinan dengan sesuatu yang dapat menyembuhkan jiwa.

Itulah kali pertama saya memasuki sebuah tempat yang begitu indah dan suci. Sejak dilahirkan, hanyir tanah melumati nafas dan diri saya sehingga tidak pernah terfikir bahawa masjid membawa haruman yang mengasyikkan. Saya dan teman berasa seronok dapat mandi air paip kemudian seorang lelaki berkopiah menghulurkan berus gigi kepada kami. “Cepat, orang dah nak sembahyang,” kata lelaki itu. Kami kemudiannya berbaris bersama-sama lelaki berkopiah yang kebanyakkannya mempunyai janggut panjang. Allah menjadikan ramai orang miskin di dunia kerana syurgaNya amat luas untuk dihuni mereka. Rasulullah SAW bersabda, syurga akan banyak dihuni oleh orang-orang miskin berbanding orang-orang kaya.”

Perjalanan umrah saya begitu mengharukan dengan ‘jodoh’ tanpa sengaja ini. Walaupun kurang 10 jam saya berada di Dhaka, namun kesan perasaannya melekat sehingga kini. Saya berbual dengan beberapa pemuda Bangladesh yang pernah bekerja di Malaysia. Kesusahan mengajar seseorang untuk berubah dengan apa cara sekalipun. Misalnya, ramai warga Bangla yang menjual tanah sebagai cagaran bekerja di luar negara. Dalam perjalanan ke Jeddah, saya dan rombongan berada dalam pesawat yang penuh buruh-buruh Bangladesh. Mereka antara kumpulan yang berterusan diambil bekerja oleh Kerajaan Arab Saudi untuk membangunkan Mekkah dan Madinah. Ianya salah satu cara membantu penduduk Bangla keluar dari warisan kemiskinan.

Sembahyang menjadi titik-tolak kejayaan saya pada hari ini. Sejak bersembahyang, saya menjadi orang miskin yang mengenal potensi diri. Allah bukan menciptakan kemiskinan untuk kami tanpa kudrat. Sekurang-kurangnya kami ada tangan untuk berusaha, ada kaki untuk bergerak dan ada otak untuk berfikir dan menggali yang terbaik untuk diri kami. Saya berusaha keluar dari pekerjaan warisan; peminta sedekah. Setiap kali berdoa, saya bermohon Allah menjadikan saya sekurang-kurangnya orang yang mempunyai pekerjaan lebih baik daripada meminta sedekah. Ketika berumur 15 tahun, saya terpilih bersama beribu-ribu pemuda Bangladesh lain bekerja di Arab Saudi sebagai buruh binaan dengan gaji tawaran 800 riyal. Itulah kegembiraan paling besar saya boleh berikan pada ayah dan ibu. Sejak itu, tidak putus kegembiraan lain mengiringi hidup saya terutama Kaabah. Saya boleh menunaikan solat di hadapan Kaabah setiap waktu sembahyang. Ya Allah.

Menggali Hikmah

Hari-hari terakhir di Mekah, saya mengambil kesempatan mengunjungi kedai aksesori yang terletak di Abraj Al-Bait Towers. Salah-satu kedai dimiliki anak muda berusia 20-an dari India. Dalam perbualan kami, si pemuda mengatakan dia datang ke Arab Saudi sebagai buruh binaan pada usianya 15 tahun. Hasil wang simpanan, pemuda ini nekad membuka perniagaan berdekatan Masjidil Haram dengan kadar sewa RM15000 sebulan.

“Mekah adalah satu-satunya tempat di dunia yang menerima kunjungan pelancong sepanjang tahun terutama di musim haji dan umrah. Justeru, saya tidak takut menyewa dengan kadar tinggi kerana pulangannya berbaloi,” jalas si pemuda. Semangat tersebut saya kaitkan dengan peristiwa yang saya temui di Bangladesh. Kemiskinan bukanlah warisan. Sebaliknya kemiskinan adalah titik-tolak seseorang untuk mengerah potensi dirinya menjadi manusia berjaya. Saya menutup cerpen tersebut dengan kata-kata ini:

Saya tidak menyangka, selain umrah yang saya dapat di Tanah Haram ini, kisah saudara begitu menginsafkan. Rupanya, kami di Malaysia sangat beruntung berbanding rakyat di negara saudara. Tetapi kami juga leka untuk bersyukur,” katanya. “Teman, cukuplah kami..” balas saya

Begitulah kembara memberikan ‘kehidupan’ lain kepada para penulis. Dengan meletakkan diri sebagai bahagian menusia yang ditemui sepanjang perjalanan, baharulah penulis menikmati pengajaran dan menuangkan semula kepada para pembaca. Sungguhpun telah 10 tahun berlalu, saya menantikan jika ada jodoh lagi dengan negara Bangladesh yang kini menumpangkan jutaan pelarian Rohingya di negaranya. Walau negara ini padat dengan golongan miskin, keterbukaan mereka menerima saudara pelarian membuatkan negara ini dipandang kaya dan mulia.

Korea, Negara Bebenang Ilham

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Tidak ada satu cerpen pun saya tulis ketika merantau selama empat tahun enam bulan di Seoul, Korea. Setelah kembali ke tanah air, saya telah menulis enam buah cerpen dan sebuah novel berlatar-belakangkan negara yang digelarkan ‘sejuta payung’ di musim hujan. Tidak menulis bukan bermaksud saya melepaskan perca-perca idea, tetapi ianya adalah bebenang ilham yang disimpan untuk dituangkan. Ya, di saat rindu menjadi sungai.

Saya ingin berkongsikan tiga pengalaman kreatif saya, guna ‘melindungi’ makna kembara bagi seorang penulis. Cerpen-cerpen ini ditulis dalam tempoh tidak lebih seminggu, setelah melalui proses ‘pengeraman’ bertahun-tahun.

K-isteri dan ‘Sihir’ Seoul

Cerpen K-Isteri telah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu, April 2019. Cerpen ini mengisahkan perngorbanan seorang isteri yang mengikut suaminya menyambung pengajian Ph.D di Seoul bersama dua anak kecil. Realitinya, cerita ini hasil renungan dalam saya terhadap kenangan tahun pertama tiba di Seoul. Korea adalah penjajah kita dari segi ekonomi dan budaya. Gara-gara gelombang hebatnya yang menjadikan huruf ‘K’ di depan banyak keinginan duniawi kita seperti K-pop, K-beauty, K-drama, K-food, tidak kurang juga ‘K-halal’, maka negara ini menjadi kegilaan muda-mudi di seluruh dunia. Saya diberitahu seorang Profesor dari Mesir, ramai gadis Arab ingin datang dan berkahwin dengan lelaki Korea akibat menonton drama Korea.

Sebagai perantau ilmu, tahun pertama di Korea bagi kami adalah tahun penuh pengajaran. Rumah yang mampu kami sewa adalah sebuah bilik di tingkat enam, terletak di kota kecil bernama Taereung. Daerah ini menjadi pintu keluar Seoul di bahagian timur, tidak sampai 100 KM menuju sempadan Korea Selatan dan Korea Utara. Bilik yang kami sewa cocok untuk individu bujang atau tinggal berdua, bukan yang membawa anak-anak kecil. Anak sulung yang berusia 3 tahun, turun dan naik katil kerana kecilnya ruang untuk bermain. Malam-malam kami ‘diserikan’ dengan teriakan-teriakan peminum soju kerana bangunan tersebut dibentengi restoran dan kedai 24 jam. Saya yang ‘buta’ bahasa Korea menjadikan ‘bahasa isyarat’ sebagai bahasa utama apabila ke pasar dan berselisih dengan golongan tua.

Orang Korea amat peramah dan pemarah. Pada hari pertama di Seoul, suami saya dimarahi pengawal bangunan kerana salah menggunakan plastik sampah. Setiap daerah di Korea mempunyai undang-undang sendiri dalam pengurusan sampah. Justeru plastik yang digunakan juga berbeza. Kami perlu membeli plastik sampah di kedai 24 jam berdekatan, mengasingkan jenis sampah dan meletakkan sampah di tempat yang khusus. Setiap pagi dan petang, akan ada golongan gelandangan (biasanya orang tua berumur 70-an ke atas) menguruskan pembersihan tempat sampah dan diberikan bayaran oleh pihak penguasa daerah. Walaupun Seoul mempunyai lebih 10 juta penduduk, sampah-sampah yang ada di jalanan tidak menunjukkan jumlah penduduk seramai itu. Boleh dikatakan tiada sampah-sarap di tempat awam. Bagi tuan-tuan anjing, mereka membawa plastik atau bekas najis binatang ketika bersiar-siar luar rumah.

Oleh kerana anak saya begitu memerlukan rakan sebaya, saya mencari tadika lokal yang sesuai dengannya. Baharulah saya tahu bahawa yuran taska amat mahal dan proses memasukinya sulit. Saya perlu mendaftar atas talian, menunggu kekosongan dan yuran tadika antara RM1200 sehingga RM1500 sebulan dalam nilai RM. “Kami hanya mampu memiliki anak paling ramai dua orang kerana kos membesarkan seorang anak lebih sejuta ringgit (dalam nilai Malaysia),” kata rakan Korea saya yang telah membuat pengiraan membesarkan anak. Saya terkejut kerana seumur hidup saya, tidak pernah ‘mengira’ begitu. Sebagai Muslim, saya diajar bahawa setiap anak adalah rezeki yang besar. Sisi kesukaran ini saya masukkan dalam cerpen K-Isteri. Saya menyimpulkan dalam cerpen ini:

‘Negara yang berpangkal K dalam banyak hal, benar-benar menjadi K iaitu kertas duit. Menjadi seperti ibu Korea, adalah menjadi ibu yang ada kertas duit dalam dompetnya.’

Cerpen Rindu Seorang Seon Mi

Di tahun kedua saya di Korea, ibubapa datang berziarah. Sebelum pulang ke tanah air, ayah saya menyatakan hasratnya mahu melihat suasana ‘kampung’ Korea Selatan. Hasil risikan kami menemukan Daerah Pocheon yang berdekatan dengan Kota Paju, bahagian utara Korea Selatan. Kira-kira 50KM dari perumahan kami. Cuaca Oktober memperlihatkan Pocheon sebagai tubuh Korea yang paling awal menerima suhu sejuk. Kami menyewa sebuah chalet atas Gunung Myengseong milik keluarga angkat rakan. Malam itu, kami kesejukan dalam suhu 0 celcius, sedangkan di Seoul, waktu malamnya sekitar 6 celcius. Deruan helikopter menjadi ‘unggas’ percutian kami. Rupanya, Pocheon adalah salah satu pusat latihan tentera Korea Selatan yang bersedia jika berlakunya serangan musuh dari Korea Utara.

Pocheon terkenal dengan keindahan alami terutama Tasik Sanjeong. Dikunjungi pelawat seluruh Korea sepanjang tahun dek puputan angin segar gunung. Keindahan tasik saya gambarkan dalam cerpen Rindu Seorang Seon Mi yang tersiar di Majalah Tunas Cipta, 2019:

‘Tasik Sanjeong dikawal tiga raksasanya; Gunung Myengseong, Gunung Mangbong dan Gunung Mangmubong. Tiga raksasa itu bertukar-tukar wajah selama musim berganti. Selalunya di musim salju, gunung-gunung menjadi putih dan kaku sehingga tidak berupaya menatang tasik untuk terus menjernih. Waktu itulah, tasik tanpa air yang berkocak diganggu suhu beku, sehingga-hingga tiada orang mahu mendayung dan melepaskan nafasnya ke tasik dan kampungku menjadi sangat sunyi. Tetapi yang kubanggakan adalah rumput ilalang yang mengelilingi tasik dengan juntaian bebulunya mampu melirik rambut orang dewasa. Pada empat musim yang bergantian, rumput ilalang tidak banyak berubah sifat. Akarnya tetap meninggikan dahan dan ranting baik ketika panas mahupun sejuk. Cuma daun-daunnya memakai warna coklat ketika sejuk, menggantikan hijau saat cuaca membahang.’

Saya tidak ingat, apakah saya pernah berdoa untuk kerap datang ke Pocheon sehingga saya dibawa ke sini enam atau tujuh kali selama tinggal di Seoul. Cerpen ini berlatar-belakangkan Pocheon kerana latarnya melekat di fikiran, seolah-olah itulah ‘kampung’ saya di Korea. Idea utama cerpen ini bukanlah semata-mata cantiknya Pocheon namun ada nilai kekeluargaan moden Korea. Suatu hari, saya pernah bertanyakan rakan Korea saya, Boh Yuen. Berapa kali dia menelefon ibubapanya yang tinggal luar Seoul. Jawab Boh Yuen yang cantik itu, “Saya jarang telefon ibubapa kerana tradisi keluarga kami, jika ada masalah sahaja kami saling menelefon. Kalau saya tidak menelefon ibu atau ibu menelefeon saya bermakna kami sihat dan baik-baik.” Jawapan itu saya cantumkan dengan cerita pemilik sebuah chalet di Pocheon, wanita berusia 60-an. Anak-anaknya sangat sibuk di Seoul, untuk ubat hatinya, dia membuat perniagaan chalet di gunung yang memberi udara terbaik kepadanya, menjadi terapi hari tuanya.

Cerpen ini mengangkat kasih sayang antara nenek dan cucu, yang tidak berubah seperti hutan dan sungai Korea walaupun diterjah pembangunan zaman:

Riak Sungai Han malu-malu di musim luruh. Hanya ketika itik-itik menyelam dan bermain air di tebingan sungai, baharulah aku perasan Sungai Han masih bersuara. Sama seperti tasik-tasik gunung Pocheon, bunyi rumput ilalang lebih meriah dari sungai yang tak disentuh manusia. Sungai lebih menjadi cermin. Kulihat wajahku yang berumur 6 tahun perlahan-lahan berubah menjadi 26 tahun sekarang. Tiada sesiapa lagi mahu mendukungku di belakangnya. 20 tahun dulu, rasa sunyiku diusap oleh kasih sayang nenek. Setiap kata dan ceritanya memantul di fikiranku sehingga aku mencari riak sungai untuk membersihkan rindu.

Para Pencari Rumah

Cerpen ini disiarkan di Akhbar Mingguan Malaysia, Mei 2019. Ianya bongkah-bongkah pengalaman saya berinteraksi dengan para pendatang luar ke Korea. Kisah begini jarang (atau tidak pernah) diangkat dalam drama dan filem Korea. Kisah-kisah terpinggir tentang hak asasi dan kemiskinan. Itaewon adalah pintu ‘belakang’ mengenali Korea Selatan. Bagi pelancong Muslim, Masjid Itaewon adalah pusat gerakan Islam utama di Seoul. Kawasan sekitar masjid adalah tempat makanan halal terbesar dan terpadat. Di sini jugalah, para pendatang Muslim baik pekerja profesional, diplomat, buruh dan pelajar akan bertemu khususnya ketika sesi Solat Jumaat. Seramai 40 ribu orang Indonesia bekerja di Korea dan merekalah kumpulan Muslim paling ramai membina masjid di seluruh Korea. Bagaimana pekerja buruh dari Malaysia?

Secara legalnya, Malaysia tidak pernah membekalkan tenaga buruh kepada Korea Selatan. Namun, terdapat 5000 pekerja tanpa permit dari Malaysia yang bekerja di kilang-kilang dan ladang-ladang seluruh Korea. Akibat melanggar undang-undang, kumpulan pekerja tanpa izin ini sering mengelakkan diri daripada rakan senegara. Situasi ini saya gambarkan dalam cerpen:

‘Kami ‘para pencari rumah’ selalu mengelak diri untuk menjawab soalan, “Dari mana kamu datang?” oleh orang-orang yang kami temui di Masjid Itaewon, Seoul. Kami adalah para pendatang dari negara yang memiliki peradaban agung sebelum dirakus ketamakan kuasa besar. Lutfi dari Yaman, Yousef dari Syria, Iman dari Bangladesh dan aku sendiri dari Malaysia. Pertemuan kami akan berlaku sekali seminggu di Masjid Itaewon. Walaupun cuba mengelak dari soalan di atas, tetapi persaudaraan kami berempat turut bermula dengannya: “Dari (negara) mana saudara datang?’

Seorang pekerja Malaysia tanpa izin berkongsikan dengan saya, sebab dia terjerumus bekerja di kilang kimci dan kilang besi di Korea. “Saya datang cari duit untuk bayar hutang PTPTN. Di Malaysia susah kerja walaupun saya ada diploma kejuruteraan. Keluarga saya pun susah sekarang,” kata F yang berusia awal 20-an. F bertuah kerana dilayan baik oleh tauke Korea dan dibayar gaji mengikut jam kerja. Sebahagian rakan-rakannya dimanipulasi pihak majikan Korea seperti mendapat bayaran rendah dan duduk berhimpit dengan pendatang asing negara lain.  Keadaan ini saya jelaskan dalam Cerpen Para Pencari Rumah:

“Bagaimanalah aku tidak kotor? Berkerja di kilang besi 15 jam sehari dengan peraturan tidak boleh menunaikan solat, bukan seluruh tubuh hitam dan berbau, hati juga kelam,” balas Lutfi, disokong aku kerana kami bekerja di tempat yang sama, secara haram. Biasanya, perkumpulan kami terjadi pada hari Ahad; satu hari kemanusiaan yang diberikan tauke-tauke kapitalis negara ini kepada para pekerja haram seperti kami. Satu-satunya tempat yang menjadi pilihan utama kami adalah Masjid Itaewon. Aku tidak tahu, nenek moyangku generasi ke berapakah yang mendoakan anak cucunya menjadi pencinta Tuhan. Sekurangnya, dalam hatiku ada rasa berdosa kerana sering terlewat solat. Di kilang yang dipenuhi bau mesin dan manusia marhaen, aku tetap mencuri solat hatta tempatnya adalah tandas. Pada hari Ahad dan cuti umum, aku mengambil subway jalur 1 dan 6 dari Incheon untuk sampai  ke Itaewon. Perjalanan kira-kira satu jam, tetapi kerana aku berasa nyawaku berada di masjid, wang upah dua jam berkerja sebagai buruh kilang besi kukorbankan.’

Kerlipan neon Seoul bukan sebarangan. Ianya kota sihir. Berada dalamnya membuatkan diri tidak mahu berganjak. Bahkan, kelip-kelip lampu menjadikan Seoul bak gadis jelita. Kota yang melimpahkan orang kaya di puncak dengan kaum pekerja menatang mereka. Sesungguhnya, kemewahan Seoul menyirnakan tapak-tapak kaki para gelandangan yang tidur berbumbungkan langit.

Bebenang Ilham

Begitulah tiga cerpen yang terikat dalam bebenang pengalaman saya yang panjang. Pastinya, selepas ini saya akan terus menulis karya kreatif yang berakarkan Korea. Sebagai pengakhiran, saya petik terjemahan puisi berjudul Ais, karya penyair Korea Chang Sung Hui.

Suatu hari ketika aku sakit dan sendiri
Aku melebur dalam dingin dan kehilangan bentuk

Aku bukan diriku

Aku benamkan kakiku setelah perjalanan panjang
Dalam sepatu berujung kotak
Dinginku tercinta pun memudar
Saat sepatuku berdetak dengan riuh

Nama yang panjang tidak kuasa kuucapkan
Tertahan kelu di lidahku

Loading

SAKIT RINDU

Di negara kimci dan kopi yang saling bersaing ini,

kutemukan bentuk rindu yang macam-macam.

Seperti musimnya yang silih berganti.

Dan pakaian orang-orangnya yang mula bertukar.

Daun akan hilang.

Warna akan pudar

.Rindu bergantian.

Strawberi akan banyak.

Buah durian tetap paling mahal.

Anak kecil dan anjing sukakan salji.

Orang dewasa menunggu musim bunga.

Tukang sapu merasa membersihkan daun daun lebih bahagia berbanding menyapu ketulan ais.

Yang hilang akan muncul lagi, hanya sabar menanggung rindu.

Rindu segiempat dengan empat musim.

Loading