Pengalaman. terkandung di dalamnya kerinduan, kebencian, pahit, ketakutan, kesakitan, kemanisan,
Saya teringat ketika tidur di sebelah tok. Saya menyuruh tok berbaring hanya mengadap saya, bukan adik saya. Umur waktu itu 4 atau 5 tahun. Kini Tok Piah sudah di sisi Allah SWT.
Saya kenangkan waktu-waktu sakit dulu, pahitnya masih berbekas. Saya lari peluk tokwan dan mak, saya benar-benar takut, rasa mahu mati. Emak menasihati saya banyakkan ingat kasih sayangNya.
Saya tiba-tiba kenangkan saat berdiskusi dengan ‘bakal suami’ di satu sudut Masjid Shah Alam, ada seorang pengawal wanita menemani kami. Kini, bakal suami telah menjadi suami yang amat penyayang.
Saya ingat lagi ketika saya menolak kereta sorong Darda’, suami mengendong Dawud. Kami berjalan pulang dari Bongwahsan ke Taerung, di tahun awal di Korea. sangat susah. Kini Allah SWT menghadiahkan kami kereta, saya memandu ke HUFS. Allah…
Saya malu kenangkan sifat tidak sabar dalam hidup. Banyak yang jadi ‘haru-biru’ kerana sifat ini. Ingin putar kembali mustahil. Cuma saya dapat bisikkan ‘Ah, tanpa yang bernama ‘silap’ tentu tidak boleh jadi ‘terbaik’.
pengalaman. Terkandung dalamnya perasaan. Di saat kita tidak mahu ia hadir, ia tetap hadir.
Saya mendengar nasyid Sudah Sunnah Orang Berjuang alunan Nadamurni. Tiba-tiba sahaja teringat waktu saya dipaksa abah bernasyid dalam bas di Kota Medan, bersama anak-anak murid abah (SMKA Maahad Hamidiah Kajang), saya berumur 9 tahun waktu itu. Nasyid itu terus mengingatkan saya pengalaman 23 tahun dulu.
Itulah Struktur Perasaan (The Structure of Feeling). Teori yang diperkenalkan Raymond Williams berkait dengan seorang pengarang: di belakang, di depan, di mana-manapun dia dipengaruhi oleh pengalaman masa lalunya yang tidak lepas daripada ‘sosialisasi’.
Hari ini, saya masuk ke Keywest Coffe untuk menulis ‘sedikit’ tesis. Tetapi saya memilih minum secawan coklat berharga 3800 won. Untuk harga itu, saya merasai coklat yang nikmat dan beberapa baris tesis dengan jumlah masa hampir 4 jam.
Ditemani suara-suara unik ciptaan Tuhan. Dengan lebih 10 manusia bertukar ganti duduk di kerusi, lebih 10 nada suara juga yang singgah ke telinga.
Tiba-tiba, saya berasa mahu menulis novel. Wataknya adalah seorang Korea, mungkin gadis atau ibu rumahtangga, dari golongan pertengahan, punya impian untuk bersendirian beberapa bulan, di negara pengeluar kopi seperti Indonesia.
Mengapa orang korea? Mengapa Indonesia?
kerana saya perlu mencipta citarasa yang sama untuk pembaca Melayu yang menonton K-Pop dan membeli-belah (untuk kenduri kendara) di Bandung.
Saya disapa oleh mata-mata yang ramah, dengan bibir manis senyuman, walaupun wajah mereka menanggung sakit dan letih. Para pesakit di Wad Kenanga, semuanya wanita. Pelbagai bangsa dan peringkat usia. Seorang wanita berusia awal 30-an kelihatan letih. Dia sedang mengandung dan demamnya tidak kebah. Sebelum ini, dia sudah dua kali keguguran. Bersih wajahnya. Di sebelahnya, wanita Cina berusia awal 40-an sedang mengalami sakit dalam perut. Doktor sedang mencari punca sakitnya. Saya berjalan di katil-katil sekitar, memberi salam kepada yang Muslim.
“Kakak juga sakit fibroid?” tanya saya kepada seorang wanita awal 40-an. Teman-teman lain mengatakan dia mengalami fibroid yang sangat besar. Saya lihat perutnya, seperti buah tembikai bersize besar. Allahuakbar! Wajah si kakak sangat pucat.
“Kakak dah tahu lama ada fibroid tapi tak mahu jumpa doktor, takut. Baru-baru ni akak alami darah rendah yang teruk, suami terus bawa ke klinik dan klinik rujuk akak ke hospital. Sekarang doktor rancang nak buang, akak takut..”
“Insha Allah kak jangan takut, lepas buang akan jadi lebih baik,” saya memujuknya, lebih memujuk diri sebenarnya.
“Puan Ummi boleh duduk di katil depan ini,” kata jururawat meminta saya ke katil yang kosong, beberapa langkah sahaja dari meja jururawat dan doktor. Saya meminta diri dari rakan-rakan pesakit dan mula mengangkat barang-barang ke katil baru. Setiap katil hanya dipisahkan oleh langsir. Waktu siang, setiap langsir diikat, kita boleh melihat wajah ‘jiran-jiran’ pesakit di kiri kanan dan di depan. Saya ingin melelapkan mata seketika tetapi hati tertanya, apakah sakit wanita berusia 60-an di sebelah saya?
“Cik sakit apa? saya Fibroid,” kata saya memperkenalkan diri melalui ‘penyakit’. Makcik itu kelihatan lemah. Matanya layu, perutnya besar. Dia tidur mengiring ke arah katil saya.
“Makcik kanser rahim. Sedang tunggu hospital ini hantar makcik ke Hospital Ampang. Di sini tak boleh rawat kanser,” kata makcik itu. Allahu Allah, simpari saya meluap-luap. Tidak sampai hati saya bertanya lagi.
“Makcik sudah stage 4 Dr cakap. Masa mula makcik tahu baru stage 1. Tapi masa tu makcik tak datang hospital, makcik jaga kakak ipar, dia uzur dan tinggal dengan kami. Tak ada orang jaganya, jadi makciklah jaga dia..” ceritanya.
“Semoga makcik sembuh. Makcik kena jaga kesihatan dulu, baharulah makcik boleh jaga kakak makcik,” kata saya, agak terkejut makcik ini membiarkan kansernya demi menjaga orang lain. Peringatan untuk diri saya juga; yang lama menangguh pembedahan demi hal yang lain.
Saya mahu memejamkan mata, tiba-tiba makcik itu bersuara lagi.
” Malam tadi ada seorang perempuan tua duduk di katil adik tu. Dia menjerit dan meracau sebab sakit sangat, kanser rahimnya pecah. Pagi tadi dia meninggal dunia,” katanya.
Allahuakbar. Mata saya jadi segar bugar.
Emak dan abah bersungguh datang dari Kedah bersama adik kelima saya, Hamdi dan pakcik saya, Cik Lan. Mereka tiba di Temerloh sudah Magrib, waktu lawatan sudah tamat. Jadi saya minta izin jururawat untuk turun ke lobi, menyalami ibubapa. Keluarga berjanji akan datang lagi esok.
“Mak jaga Kak Ummu malam esok,” kata abah. Saya minta ibubapa mendoakan saya, jam 7 pagi akan ditolak ke bilik bedah. Emak memberikan sebuah buku doa-doa kepada saya. Emak saya dan buku-buku agama sukar dipisahkan.
Malam menjelang, sunyi hanya dalam diri. Wad saya meriah dengan ketawa jururawat, suara-suara doktor muda , malah pesakit masih ada bersembang sesama sendiri. Di depan saya, seorang pesakit tua bernafas dengan bantuan mesin. Dia baru menjalani pembedahan. Anaknya, seorang OKU menjaganya. Kasihan saya melihat mereka. Saya melihat seorang wanita 30-an sudah menjalani pembedahan membuang fibroid, dia masih lemah tetapi sudah berjalan ke tandas, kakak iparnya memapahnya. Saya bakal begitu esok, Allahuakbar.
Sebaik masuk ke wad, selera makan hilang. Makanan hospital tidak saya sentuh. Hanya makan sedikit roti. Malam itu saya perlu berpuasa dan makan ubåt bagi mengosongkan perut. Sebaik minum air ubat itu, mulalah perut memulas, beberapa kali saya ke tandas. Saya perasan, seorang wanita berusia 50-an yang akan menjalani pembedahan fibroid selepas saya esok juga berulang-alik ke tandas. Katilnya hanya berselang dua tempat dengan katil saya. Kami telah berkenalan sejak di klinik pakar bius.
“Kenapa cik?” tanya saya.
“Makcik tak boleh kencing, tapi rasa nak kencing sangat,” katanya. Saya berasa sedih. Saya merasai sakitnya tidak boleh kencing ketika di Korea. Akhirnya doktor datang memasang tiub kepada makcik itu.
Banyaknya guru dalam kehidupan kita. Penyakit juga guru. Ia mengingatkan kita kepada keusangan usia, dan juga mengingatkan betapa Allah Tuhan Yang Berkuasa. Saya tidak pernah menyebutkan dalam doa untuk jadi penghuni Wad Kenanga ini, yang saya sebutkan adalah ‘Ya Allah ampunilah dosa-dosaku’ setiap hari . Jadi, cara inilah Allah mengampuni dosa hamba-hambaNya. Melalui ujian kesihatan yang ditarik sedikit. Teringat ketika doktor pelatih mencucuk atas tangan saya bagi memasang branula. Beberapa kali dicucuk, saya sakit, darah terbit banyak. Hati mahu marah tetapi itukan ketentuan Allah. Mahu marah kenapa? Redholah semuanya. Berdoalah. Berusaha menjadi sihat adalah jihad. Allah SWT suka kita sihat.
Saya akhirnya tertidur dalam muhasabah yang paling dalam; kerana para pesakit di sekeliling saya lebih hebat ujian mereka, saya berasa saya tidak apa-apa, sedikit sahaja Allah menguji saya; sesuai iman yang belum mantap.
Sebelum Subuh, saya bangun awal, terus ke bilik air untuk mandi. Saya percaya, sehari dua lepas bedah, saya mungkin tidak mandi seperti orang sihat. Pakaian biru ‘yang menggerunkan’ itu perlu dipakai. Semua barang kemas atau jam tangan akan disimpan. Jam 7 pagi, jururawat dari bilik bedah sudah datang dengan katil khusus.
“Puan Ummi Hani, naik atas katil,” arah mereka. Semua di wad itu (yang sudah bangun tidur) melihat kepada saya. Rakan-rakan pesakit ada yang tersenyum, cara mereka menyuruh saya bersemangat; jangan takut. Hakikatnya, takut saya dilepaskan ke lautan doa dan zikir yang memujuk hati.
Suami tiba, nampak wajahnya sedikit cemas, mungkin takut terlambat. Dia dan dua jururawat menolak saya turun ke dewan bedah utama melalui lift belakang. Saya waktu itu sudah dipakaikan tiub air kencing, berasa tidak selesa. Masuk sahaja ke bilik penuh ‘ketakutan dan perjuangan’, jururawat mengarahkan suami keluar. Saya menyalaminya dan sekali lagi meminta maaf. Hati saya sudah pasrah, hanya Allah SWT tempat pergantungan sekarang. Diikutkan rasa hati, saya mahu terjun dari katil itu dan pergi kepada doktor, menjerit ,” Saya tidak mahu dibedah, biarlah fibroid ini berkawan dengan saya!!’ ah! Itu semua bisikan iblis yang tidak mahu saya sihat. Saya berjuang untuk sihat, kerana Allah SWT.
Dewan bedah sangat sejuk. Ada banyak bilik di dalamnya, dengan pelbagai kes penyakit. Saya disorong ke bilik penantian dengan beberapa pesakit lain yang menunggu giliran, semuanya terlantar dan pasrah. Lelaki perempuan, bercampur. Aduhai auratku; leher dan lengan yang terdedah. Rambut saya bersarung dalam plastik kepala. Saya fokus untuk ingat Allah SWT, zikir menenangkan takut yang amat. Di tepi saya ada kanak-kanak lelaki yang akan menjalani pembedahan kaki, ibunya turut berada atas katil bersama si anak. Ada dua lelaki yang nampak kronik, separuh sedar.
Saya kemudian ditolak ke bilik bedah yang semua doktor pakarnya telah memakai topeng muka. Saya tidak nampak Dr Rukayyah, di mana dia? bisik hati saya. Pembedahan akan diketuai Dr Riduan dan dua pakar wanita berketurunan Sikh dan Cina.
Doktor bius datang, membacakan semula risiko yang telah saya tanda tangani sebelum proses menyuntik ubat bius epidural ke tulang belakang. Saya duduk berlunjur, diberikan bantal untuk dipeluk dengan sedikit menunduk. Terasa perit tulang belakang ketika ubat itu mula meresap. Tiga kali saya dicucuk dan baring semula.
Jururawat mendekat, dia berpesan agar saya mengucap dua kalimah shahadah dalam hati, berselawat ke atas Rasulullah SAW. Kemudian saya diminta menyedut oksigen yang dilekapkan ke hidung dan mulut. Beberapa detik, saya sudah tidak sedar apa-apa lagi.
SEDAR
“Puan dah sedar ke? Kita dah habis bedah ye,” kata seorang jururawat. Saya membuka mata. Allahuakbar, syukur padaMu ya Allah. Tekak rasa perit dan loya, saya muntah dan sakit di bahagian bedah sukar digambarkan. Lemah sekali.
Saya disorong keluar. Wajah pertama saya lihat di luar dewan ‘ngeri’ adalah wajah kekasih hati saya, Ahmad Dhiak Abdul Hashim. Dia mendekati dengan cemas yang belum hilang. Saya pegang tangannya. Saya kembali disorong ke Wad Kenanga. Terlalu lemah untuk bersuara. Saya lihat abah dan emak yang baru tiba. Ya Allah, syukur padaMu atas kasih sayangMu. Ibubapa saya nampak syukur melihat saya selamat.
Saya kehilangan 500cc daráh tetapi tidak ada perkara yang membahayakan ketika pembedahan. Ketumbuhan bukan 10cm atau 11 cm seperti yang discan, namun 15 cm, sebesar bola kecil! berada di kedudukan atas rahim.
Ya Allah, balaslah kebaikan para hambaMu yang bersama-samaku menghadapi ujian kecil ini. Terima kasih Dr Rukayyah @Makda. Dia masuk ke bilik bedah ketika saya sudah dibius penuh, dan keluar dari bilik bedah ketika saya belum sedar. Saya terhutang budi kepadanya.
Tidak ada ubat ketika proses pemulihan. Saya amalkan minum minyak zaitun yang bermutu, buah delima dan oren, sayur dan ikan, selepas dua minggu, saya amalkan minum cuka buah tin. Sehingga kini saya amalkan.
Terlalu banyak kebaikan ibubapa, ibu mentua, suami dan sahabat terdekat. Yang mampu saya lafazkan adalah mendoakan mereka menjadi insan2 yang dicintai Allah SWT dan RasulNya.
Ujian, seperti juga kita melihat air hujan. Lebatnya hujan menyebabkan kita tidak mahu berjalan di bawahnya. Kita fikir, kita sakit bila badan lencun di bawah hujan. Waktu kita ada pilihan, kita menunggu hujan teduh dulu, atau kita meredahnya dengan payung melindungi tubuh. Kadang, di saat luar jangka, hujan turun lebat, kita pula perlu cepat, tanpa ada pilihan selain meredahnya hingga ke destinasi yang dituju, mungkin dekat, mungkin jauh. Di akhirnya, kalaupun sakit, kita masih selamat. Kadang dengan rahmatNya, kita selamat bahkan sihat!
Begitulah saya melihat fibroid ini. Ianya bukan penyakit. Ianya seperti hujan lebat yang tiba-tiba turun ketika kaki perlu meredah tanpa sebarang payung dan baju basahan. Tetapi dengan rahmat Allah SWT, para pembawa fibroid insha Allah akan selamat, majoritinya dengan cara pembedahan, dan sebahagian dengan cara alami.
Saya menerima panggilan dari Hospital Besar Temerloh di suatu petang, kata doktor pelatih itu, tarikh pembedahan saya perlu dianjakkan kerana bilik pembedahan hospital akan ditutup selama dua minggu; proses hujung tahun. Saya menghantar mesej kepada Dr Rukayyah.
“Makda, tak boleh ye saya bedah 14 Disember ?”
“Ya Ummu. Kita kena decide tarikh baru. 14 Januari boleh?” tanya Dr Rukayyah.
“Oh, boleh saja.”
“Tapi jika Ummu nak buat lebih awal, Makda boleh keluarkan surat rujuk ke PPUM, boleh buat di PPUM,” katanya, mencadangkan. Saya minta masa untuk fikirkan.
Entah kenapa, hati saya kuat mahu dibedah oleh Dr Rukayyah, insan yang saya lihat amat solehah, dan amat menjaga kebajikan ibu yang sudah tua. Saya rasa ada keberkatan, bila berdekatan dengannya.
“Makda, Ummu buat dengan Makdalah. confirm 14 Januari,” kata saya.
“Ok, nanti 13 Januari boleh datang ke wad terus. Bagitau nama kat staf nurse di wad,” katanya.
Saya dengan fibroid ini mengundang pelbagai persepsi orang. Ramai berkata saya mengandung. Malah, waktu saya letak gambar di Facebook, ada rakan-rakan ‘membawang’ bahawa besarnya perut saya mungkin ‘dia mengandung’ atau ‘buncit’. Tetapi mereka tidak mesej personal kepada saya. Waktu saya mengajar di kelas, ada mahasiswa sangka saya akan cuti bersalin tidak lama lagi bila saya memberitahu, akan bercuti panjang. Sebenarnya, dengan fibroid juga, saya gagal mengandung lagi.
Ada hikmahnya tarikh dilewatkan, walaupun tubuh makin resah. Saya kerap buang air kecil, sukar tidur dengan satu posisi dan cepat ‘marah’. Kelewatan itu membolehkan saya menghadiri beberapa majlis ilmu antaranya mendengar bicara al-Fadhil Dr Afifi al-Akiti, seorang ilmuan muda yang amat saya kagumi. Dapat menadah ilmunya secara ‘talaqi’ adalah hadiah buat saya. Pulang dari majlisnya, saya membuka Youtube, mencari kuliah-kuliah beliau dan mendengar. Satu kuliahnya yang menusuk jiwa adalah huraian doa ini:
Wahai (Tuhai) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,
Berikanlah kami aman (di dunia) terhadap apa sahaja yang kami takut..
Wahai (Tuhan) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,
Berikanlah kami sejahtera (di akhirat) terhadap apa sahaja yang kami takut..
Wahai (Tuhan) Yang Memberikan Keamanan Kepada Sesiapa yang takut,
Keluarkanlah kami dari apa sahaja yang kami takut..
Saya mengulangi doa ini sepanjang masa sehingga tarikh 14 Januari 2019.
Masuk Hospital
Kepada anak-anak saya berpesan jangan nakal. Mereka tinggal dengan ibu mentua sepanjang saya masuk wad nanti. Sahabat dan jiran kami, Kak Ummu Assiem telah menyenaraikan beberapa barang yang perlu saya bawa ke hospital. Dia dan adiknya pernah menjalani pembedahan membuang fibroid. Pengalaman mereka diturunkan kepada saya. Pagi Ahad, 13 Januari, suami yang turut mengambil cuti (Alhamdulillah, suami kembali bekerja sebagai jurutera senior di syarikat robotik Bumiputera di Cyberjaya) menghantar saya ke hospital. Kami singgah membeli kasut dan bekas air panas. Dalam kereta, saya memohon maaf dari suami, sungguh banyak dosa saya padanya. Dosa selalu berdebat dan membantahlah paling banyak. Itulah cabaran belajar tinggi, makin bijak berhujah dan kebanyakan hujah digunakan dalam percakapan dengan suami. Aduhai.
Wad Kenanga adalah wad wanita. Penyakit berkaitan rahim akan dikumpulkan dalam wad itu. Waktu saya masuk, semua katil penuh, hanya ada katil sementara. Bau wad sahaja sudah cukup mendebarkan, belum lagi saya berganti pakaian hospital yang berwarna pink. Saya teringat tahun 2011, saya ‘check in’ di Hospital Besar Melaka juga pagi Ahad, 10.7.11 tarikhnya. Saya menjalani pembedahan melahirkan anak pertama kerana kedudukan bayi songsang. Waktu itu saya ditempatkan dalam bilik khas, wad kelas pertama.
Hari itu, suami bertanya pihak jururawat jika saya boleh ditempatkan di wad kelas satu atas GL sebagai pensyarah IPTA. Jururawat menggeleng kepala. Katanya bukan saya tidak layak, tetapi bilik itu jauh. Selepasnya baharulah saya tahu, saya bakal diletakkan di katil bahagian paling dekat dengan jururawat dan doktor bertugas kerana pembedahan saya adalah ‘MAJOR SURGERY’ dan BESAR (LAPAROTOMI). Jadi mereka perlu pantau saya 24 jam selepas bedah.
Saya berganti baju seragam pesakit Wad Kenanga. Wajah-wajah di katil pesakit melihat saya, ramai memberi senyum, dalam kesakitan. “Sakit apa?” itulah soalan pertama. Bukan lagi ‘Nama apa?” atau “Dari mana?” seperti di tempat selain hospital. “Fibroid,” balas saya. “Oh, itu fibroidlah, ingatkan mengandung.”
“Dr mahu scan puan,” kata jururawat. Suami menunggu seketika, tidak boleh lama kerana wad perempuan. Beberapa orang pakar dan doktor pelatih mengerumuni saya sebaik saya baring di katil bilik pemeriksaan. Ada seorang Dr pakar lelaki, saya segan tetapi pasrah.
“Size fibroid 12 cm, kita bedah menegak. Insha Allah tidak ada apa,” kata doktor pakar lelaki, kelihatan paling senior di situ. “Esok kawan saya yang bedah puan, saya tak ada sebab ke sekolah anak,” katanya. Di luar bilik, suami berbual dengan Doktor itu. Saya tiada ‘perasaan’ untuk berbual, masya Allah takut.
Kemudian, saya dan tiga wanita diarahkan ke bilik pakar bius untuk dinilai, apakah kesihatan kami membolehkan kami dibedah pagi esok. Saya mendapat giliran pertama pembedahan iaitu jam 8 pagi, 14 Januari 2019. Sewaktu berjalan ke bilik pakar bius, saya bertanya tiga wanita tadi. Soalan lumrah, “sakit apa?” Dua wanita berusia 50-an, seorang lagi lewat 20-an, saya kira. Tiga daripada kami ada masalah fibroid, si adik disyaki mengidap kanser rahim. Allahuakbar, ujian si adik lebih hebat. Saya insaf, berdoa pada Allah moga tidak ditimpakan ujian yang tak mampu saya tanggung.
Hasil pemeriksaan doktor bius, saya dibenarkan menjalani pembedahan. Doktor menerangkan risiko pembedahan 1. tumpah darah. 2. Serangan kuman di paru-paru yang boleh mengakibatkan koma dan meninggal dunia. Allahuakbar. KepadaMu Allah aku bertawakal. Saya perlu berpuasa malam itu, dan diberikan ubåt mengosongkan usus.
Badan saya mengalami perubahan terutama di bahagian perut. Awal tahun 2018, perut saya kelihatan seperti mengandung 4 bulan, dan Disember 2018, saya perasan seperti 7 atau 8 bulan mengandung! (baca tentang fibroid)
Pernah ketika saya mengajar para pegawai Samsung yang akan dihantar bekerja di Malaysia, saya tiba-tiba mengalami sakit (seperti senggugut) yang amat, terasa kejang kaki dan pinggang. Saya minta izin berhentikan kelas dan suruh suami datang ambil di universiti. Biasanya terjadi sehari dua sebelum kedatangan haid. Namun, ianya tidak berlaku setiap bulan. Tiga kali saya membuat pemeriksaan fibroid di Seoul Medical Centre, daripada 9 cm, ianya membesar jadi 10 cm. Doktor menawarkan untuk melakukan pembedahan. Katanya pembedahan fibroid adalah biasa di Korea. Kos pembedahan antara RM3500- RM5000 jika mempunyai insuran (di Malaysia, kos pembedahan di hospital swasta antara RM10000-RM20000).
Saya masih lagi mempertimbangkan untuk ‘menyerah’ diri kepada doktor di Korea. Yang pertama di fikiran adalah menyelesaikan Ph.D dan mengajar di Hufs dengan baik. Pembedahan akan menyebabkan saya perlu bercuti dari tanggungjawab, bahkan membebani suami untuk menjaga saya.
“Bolehkah ummu bedah lepas habis Ph.D?”
“Ummu ada rasa sakit?” tanya Dr Rukayyah dalam mesejnya.
“Tak sakit tapi makin besar..”tulis saya
“Tak apa, nanti balik Malaysia terus buang..”
Saya selesai viva dan menghantar tesis lengkap pada hujung Mei dan awal Jun 2018. Ketika dunia diselimuti rahmat Ramadan, ketika doa-doa tanpa hijab berjalan ke langit, saya memohon agar Allah SWT memudahkan titik Ph.D dan menyembuhkan Fibroid. Ogos 2018 datang. Kami membawa ibubapa dan ibu mentua ‘makan ångin’ di daerah Gyeonggi, timur Korea. Ianya hasrat kami membalas pengorbanan mereka walaupun langsung tidak setimpal. Saya terfikir jika melakukan pembedahan, tidak dapatlah saya melayani ibubapa sebaiknya di Korea.
Meninggalkan Korea adalah titik kesedihan yang besar, buat saya dan anak-anak. Tetapi kami akur, waktu kami sudah berakhir untuk menghidu kimci ajumma, untuk bersibuk atas garis laluan pejalan kaki yang biasanya ada 6 sampai 7 lorong di jalan besar. Malah meninggalkan ‘si Rezzo putih’ yang sangat budiman, seperti meninggalkan kucing manja yang bertahun tinggal dengan kita. Saya abaikan dulu rasa-rasa sedih bagi memfokuskan pembedahan fibroid yang akan saya lakukan sebaik pulang ke tanah air.
Hospital Kerajaan dan Prosesnya…
Waktu mendaftarkan diri sebagai pensyarah baru di Universiti Malaya (sebenarnya saya dengan UM dah berjalin sejak tahun 2001-2012 tetapi sebagai mahasiswa), saya menghantar mesej mahu bertemu Dr Rukayyah.
Allahuakbar, tidak saya sangka, Dr Rukayyah yang saya panggil Makda itu baharu dua minggu ditukarkan ke Jabatan Sakit Puan, Hospital Besar Temerloh dari Hospital Besar Tawau, Sabah. Saya terus berkata padanya, “Saya nak bedah dengan Makda!”
Bulan September, saya membuat pemeriksaan dengan Makda di hospital. Syukurlah, temujanji saya melalui mesej Whatsapp dengan Makda. Walaupun dari Kuala Lumpur ke Temerloh ambil masa 2 jam lebih, tetapi perasaan berhadapan dengan Makda, seperti dengan ibu saudara sendiri, bukan doktor (haha, saya takut doktor sejak keil). Dia membuat scan dan ternyata fibroid saya sudah 11-12 cm.
“Besar, tak boleh bedah melintang, kena menegak sebab kedudukan fibroid agak ke belakang,”katanya. Saya berdebar.
“Makda nak cuba kecilkan dengan cara ‘stopkan’ dulu haid untuk sebulan. Kita cucuk ubat (saya lupa nama ubat tu). Nanti kita lihat jika makin kecil, kita cuba 3 bulan cucuk ubat.”
“Tapi tétap kena bedahkan?” tanya saya.
“Ya, memang kena bedah cuma sekarang nak usahakan bagi kecil sikit supaya pembedahan tu tak besar sangat,” katanya.
Data-data saya dimasukkan dalam sistem hospital. Saya menerima satu suntikan ubat menghentikan haid (untuk tempoh sebulan) sebelum pulang. Kesan suntikan tidak saya jangka, agak dahsyat. Saya mengalami rasa lenguh luar biasa. Lenguh di belakang, di lengan kiri kanan, sukar tidur dan cepat letih. Selalu juga saya keluh sebelum tidur, saya tidak mahu ambil lagi suntikan ini, biarlah terus ke pembedahan. Senggugut juga berganda sakitnya. Begitulah apabila kita menidakkan fitrah badan yang sepatutnya mengeluarkan darah kotor.
“Makda, Ummu nak terus kepada pembedahan, tak mahu suntik dah..” kata saya sebaik Dr Rukayyah memaklumkan bahawa ubat itu tidak disediakan lagi di hospital kerajaan. Saya perlu membeli sendiri dan sekali cucuk kosnya Rm300.
“Kalau macam tu Ummu datang hospital dan kita decide tarikh bedah,” katanya. Bulan November saya datang ke Hospital Temerloh berjumpa Makda. Hasil scan menunjukkan fibroid saya bersize 10 cm, lebih kecil sedikit. Saya tetap dengan keputusan mahu ‘menyerah kepada pembedahan.’
Dr Rukayyah menetapkan tarikh 14 Disember sebagai tarikh pembedahan saya.
“Nanti ambil kad untuk masuk wad. Masa tarikh ni bawa saja kad ke Wad Kenanga, tak perlu daftar di klinik dah,” katanya.
Dalam kehidupan ini, saya tidak pernah menjangkakan dengan serius akan tenggelam dalam dua perkara ‘kronik’ iaitu melakukan Ph.D dan mendapat ketumbuhan tumor luar rahim (Fibroid Myomas). Keduanya terjadi di Seoul, Korea Selatan. Begitulah perancangan Allah SWT ke atas saya, agar dengan cara itu, saya menghargai kehidupan, memperbaikinya setiap hari dan bersyukur.
Hari ini, dua perkara kronik itu telah berlalu (secara fizikalnya) dari kehidupan saya. Secara maknawinya pula, ianya tidak pernahpun meninggalkan alam sedar saya; sentiasa menjadi tukang loceng, mengingatkan bahawa ‘sihat itu alatan iman’.
Saya kongsikan buat mereka yang mahu menyelami bagaimana rasanya berenang di lautan ujian Ph.D dengan Fibroid.
Ph.D. Kedengaran megah di telinga kita. Tetapi ianya tidak bermakna apa-apa tanpa proses yang sarat pengorbanan terutama masa dan disiplin. Ph.D lebih menyakitkan apabila kita terpaksa pula mengambil masa ahli keluarga terdekat. Contohnya saya, suami berhenti kerja mahu menemani saya di Korea. Dia bukan sekadar menemani, tetapi menjaga dan mengasuh (menjaga dan mengasuh dua tugas berbeza) bayi dan anak kecil. Bukan sahaja saya terpaksa mendisplinkan diri bangun awal pagi dan tidur lewat malam untuk belajar dan menguruskan rumahtangga, tetapi suami juga mendisplinkan dirinya mengurangkan masa untuk diri sendiri, lebih banyak untuk mendidik anak-anak dalam negara not yet Muslim, Korea Selatan. Dia berusaha mendisplinkan diri belajar huruf Hangeul dan bercakap Korea untuk memudahkan kami sekeluarga di perantauan. Walaupun saya mendaftar Ph.D, tempiasnya menusuk kepada suami dan anak-anak.
Saya memulakan semester pertama di Hankuk University of Foreign Studies, Seoul pada Mac, 2014. Sedang mengandungkan anak kedua. Dia lahir ketika saya akan masuk ke semester kedua, tanggal Jun 2014. Saya melalui hari-hari pengajian dengan santai. Saya fikir saya yang santai; bangun 5 pagi, solat Subuh, menyusukan anak, menyiapkan makanan, bersiap ke universiti, berjalan ke stesen tren, naik tren atau bas 20 minit, berjalan kaki lagi ke kelas (boleh dapat 1000 langkah rasanya pergi balik), selesai kelas terus ambil tren atau bas pulang ke rumah kerana perlu menyusukan anak, melayani si sulung dan bayi dulu sebelum mula masak untuk makan malam, tidurkan anak sebelum boleh siapkan kerja kursus daripada pensyarah, waktu tidur tidak menentu. Syukur, saya tidak terbeban dengan jadual begitu. Saya lebih terbeban jika mereka jauh dari saya.
Letih? Sebenarnya ya. Emosi jadi turun naik. Anak pertama yang berumur 3 tahun mula lasak dan meragam. Ruang bilik kami hanya sebuah bilik, bukan rumah yang normal. Bayi saya hanya mahukan saya bila ibunya ada di depan mata. Suami yang penyabar, kadang perlu menambah lagi sabar, sehingga bila sabarnya habis, dia minta izin bawa diri di luar rumah. Saya tahu dia juga berjuang. Saya terkenang warga asing yang datang ke Malaysia untuk cari kehidupan, begitulah agaknya kami sekarang. Tidak ada wang, tidak ada kebebasan yang ada cuma tawakal. Ada Allah SWT dalam hati.
Musim berganti. Dingin bertukar damai. Bunga-bunga berkelopak meriah. Bersambung pula dengan warna-warna pohon beragam.Serasa dalam bayangan syurga . Hanya setitik bayang-bayang jannah, tetapi menghilangkan semua letih dan perit saya di negara orang. Suatu malam, saya dan suami menapak ke sebuah pasaraya terletak di Bongwahsan. Dari rumah kami di Taereung, harus melalui perumahan di Hwarangdae. Jalan kaki mengambil masa 20 minit, kami bersembang dalam cuaca hawa dingin (aircond). Si sulung tidur dalam kereta sorong, adiknya nyenyak dalam beg ‘carrier’ yang melekap di dada suami.
“Hampir setahun kita di sini..tidak percayakan?” kata saya.
“Alhamdulillah..” suami membalas.
“Saya tidak berfikir banyak (yang susah-susah) sehingga tiada satu pun yang menyebabkan saya ‘benci’ tinggal di Korea. Malah semakin hari semakin cinta pada negara ini. Mungkin susah telah menjadi hiburan kita.”
Syukur itulah yang menghadirkan banyak nikmat selepasnya. Jangan mengecilkan ujian. Pemilik langit dan bumi sentiasa mendambakan doa kita. Doa. Doa. Doa. Mustajabnya doa ibubapa kepada kami. mustajabnya doa para pemusafir ilmu Allah SWT. Kami dibukakan pintu nikmat yang bertalu-talu: saya mendapat kerja, pensyarah di Korea! Mendapat rumah, mendapat insuran untuk keluarga, peluang demi peluang. Saya dan suami, dari berjalan kaki, lelah mengejar tren dan bas, kami direzekikan membeli kereta terpakai dan memandu sendiri. Allahuakbar.
Setahun di Korea, ketika berada dalam zon ‘middle class’ yang sebelumnya kami adalah rakyat ‘marhaen tidak diperhatikan’, waktu itulah saya diuji kesihatan.
Saya perasan yang perut sedikit buncit, tetapi tidak sakit. Saya yakin hanya buncit normal, selepas bersalin. Tuntutan membuat proposal Ph. D dan peperiksaan akhir membuatkan saya perlu kepada makanan tambahan. Saya pesan dari kawan produk berasaskan herba lingzhi. saya mengambil pil-pil herba itu atas nasihatnya dan kemuncaknya, saya gagal buang air kecil di suatu Subuh Mei, tahun 2015. Masya Allah sakitnya membuatkan saya berjalan mengelilingi perumahan Hufs agar air kencing terit tetapi gagal . Akhirnya suami membawa saya ke Seoul Medical Centre yang terletak berdekatan rumah. Waktu doktor memasang tiub air kencing, baharulah senak hilang. Doktor membuat scan dan mengesyaki saya mempunyai tumor Myoma. Dia mengarahkan saya berjumpa pakar sakit puan selepas dua minggu.
Ternyata myoma itu sudah besar; 9cm.
If myomas cause symptoms, surgery
If myomas are small and do not cause any symptoms, no treatment is needed.
If myomas cause symptoms, they are surgically removed if possible (a procedure called myomectomy). If only the myoma is removed, women can still bear children. However, if myomas are large, removal of the entire uterus (hysterectomy) may be necessary. Either procedure can be done by making a large incision in the abdomen (laparotomy). Sometimes these procedures can be done with instruments inserted through one or more small incisions near the navel (laparoscopy).
If a myoma prolapses, it is removed with instruments inserted through the vagina (transvaginally) if possible.
Saya tidak menghadapi kesakitan senggugut yang teruk, juga tidak ada masalah haid. Hasil pembacaan, faktor penyumbang tumor ini kemungkinan dari hormon estrogen yang berlebihan, akibat mengandung, tekanan (stress) dan pemakanan yang tidak seimbang. Saya akui, ketiga hal itu ada selama saya melakukan Ph.D. Doktor menyarankan pembedahan secepat mungkin, saya runsing kerana sedang belajar, mengajar dan jauh dari keluarga. Saya ambil masa berfikir dulu.
Keluarga menyarankan saya bedah di Malaysia. Lagipula cuti semester bakal menjelang, kami pulang bercuti di Malaysia. Alhamdulillah, Allah mempertemukan saya dengan Dr Rukayyah ketika kami menziarahi ibu mentua di Temerloh, Pahang. Dr Rukayyah adalah sepupu Allahyarham ayah mentua saya. Beliau adalah pakar sakit puan. Segera saya bercerita kepadanya tentang fibroid myoma, dan memento pandangannya tentang pembedahan.
“Ummu ada alami sakit tak?” tanyanya
“Tak adaMak Da (panggilan Dr Rukayyah,” balas saya.
Beliau menekan perut saya untuk melihat kedudukan myoma.
“Di Malaysia, kita ambil pendekatan lama. Jika pesakit tak alami perkara membahayakan seperti sakit atau pendarahan, boleh biar lagi myoma tu. Tetapi pembedahan tetap perlu bila ia makin besar.” Jawapan Dr Rukayyah membuatkan saya tekad dengan satu keputusan lain; selesaikan Ph.D dulu.
Kira-kira 360 hari aku berada di negara kentang dan kubis ini, tidak ada yang paling kurasakan sulit melainkan memaksa diri menjadi ibu seperti ibu-ibu Korea.
Seoul, 2018. Aku datang ke Korea mengikut suamiku menyambung Ijazah Doktor Falsafah di sebuah universiti ternama di sini. Suamiku ingin mengejar cita-citanya menjadi pakar lokomotif. Aku, sejak melahirkan anak kedua kami, dengan senang hati meninggalkan pekerjaanku sebagai guru Matematik. Kebetulan pula, suamiku ditawarkan biasiswa oleh Kerajaan Korea. Kukira, tinggal di luar negara dengan hanya fokus kepada suami dan anak-anak, itu lebih membahagiakan daripada mendapat gaji setiap bulan.
Perkiraanku sedikit berkurangan ketika melewati hari ke 90 kami di daerah Taerung, kota kecil hujung Seoul. Suamiku mendapatkan rumah sewa yang paling cocok dengan wang biasiswanya iaitu satu kamar dengan sebuah bilik air. Kamar itu dikenali juga dengan nama ‘one room’. Menurut suamiku, kami bernasib baik kerana mendapat bilik yang lengkap alatan masak, peti sejuk, mesin basuh, katil kelamin, meja belajar dan ruang mandi sendiri. Jika bukan kerana statusnya sebagai mahasiswa ijazah tinggi, harga sewanya tentu lebih mahal. 200000 won atau RM800 sebulan sebenarnya layak untuk bilik dengan katil bujang dan bilik air dikongsi dengan penghuni ‘one room’ yang lain.
“Di mana anak-anak kita mahu bermain?” tanyaku sambil melilau ke atas dan ke bawah katil. Suamiku tidak sempat menjawab apabila suara anak sulung kami yang berusia 5 tahun kedengaran dalam bilik air. Suamiku menerpa sebelum bajunya basah di simbah anak kami dengan iringan ketawa nakal.
Belumpun bernafas tenang, suamiku mula sibuk di universitinya. Jam kerjanya di makmal universiti adalah 9.00 pagi, tetapi jam pulang, belum dapat dipastikan. Pada minggu-minggu pertama, dia pulang antara pukul 9 ke 10 malam. Masuk bulan kedua, aku sendiri berasa bosan melihat jam. Pukul 12 malam, 1, 2,3 atau 5 pagi. Sebenarnya, aku tidak perlu melihat jam lagi. Anak sulungku akan menyebutkan pada setiap kali jarum besar berada di bawah nombor 12, sehingga dia tertidur.
‘Rumah bilik’ kami berada di lingkungan bangunan-bangunan kedai. Ketika membuka jendela, yang pertama muncul di mata adalah warna awan yang tidak begitu biru. Aku dapat melihat wanita tua terbongkok-bongkok menjemur cili merah di loteng mereka. Pada suhu 18 celcius bulan September, cahaya matahari begitu mesra dengan angin. Terik tetapi nyaman. Ianya menarik hatiku berjalan-jalan di luar rumah. Kumasukkan anak pertama ke dalam kereta sorong, bayiku pula terlekap di badanku. Kami bertiga turun dari tingkat enam menggunakan lif.
“Annyeonghaseyo..!” kata pengawal bangunan yang kukira usianya 70-an. Aku teraba-raba mahu menjawab apa. Anak sulungku laju mengulangi, “Annyeonghaseyo…!!” menyebabkan pengawal itu ketawa. “Goo-derr,” katanya membuat tanda bagus. Baru kusedari, keputusanku turun bersiar-siar tanpa suami agak menyeramkan. Ia bukanlah kerana lorong-lorong di situ ada penjenayah melainkan mata-mata CCTV. Bukan juga dek sibuknya lalu lintas kerana setiap kenderaan lebih menghormati pejalan kaki. Tanpa lampu isyarat pun, jika pejalan kaki melangkah di tengah garis-garis putih, secara automatik kenderaan manapun berhenti. Sangat menyeramkan apabila ada banyak dinding kaca yang mempamerkan isi perutnya. Pintu-pintunya seperti binatang buas dengan indera hidu yang kuat. Ia terbuka secara semulajadi, mengalukan siapapun yang mendekat.
Anak sulungku dibaham oleh salah satu pintu tersebut. Dia masuk ke dalam perut kedai yang kukira sengaja dikacakan dindingnya. Tangan halus itu merakus ke balang-balang coklat. Si pelayan memberi senyum paling manis. Aku membalas jauh dari ikhlas. Jiwaku seram sejuk. Tempat ini menghidangkan pemandangan seram yang tidak ada dalam filem hantu atau pontianak. Aneh sekali coklat, gula-gua manis dan gula-gula getah di letak paling hadapan, hampir ke gigi pintu masuk. Di rak tengah pula, biskut-biskut dengan aneka corak dan bentuk saling berhadapan dengan keropok atau bahasa orang kampungku ‘jajan’. Terdapat makanan sejuk beku seperti kimbab berbentuk tiga segi, tteobokki, sundae dan fishcakes. Di bahagian sedikit tersorok, baharulah barang-barang harian seperti tisu tandas, tuala wanita dan peralatan lain disusun.
“Dalam coklat itu ada ‘oit!” kataku, membunyikan binatang yang paling digeli anakku. Kuharap dia akan faham walaupun yang sebenarnya aku tidak tahu tulisan Hangeul sehingga tidak dapat membaca kandungan coklat yang dipegang anakku. “Bukankah tidak ada gambar ‘oit?” Anakku membelek-belek plastik coklat. Anak keduaku mula menangis, minta didukung. Pelayan Korea dengan mata besar tidak seperti kebiasaan orang Korea lain menghampiri. “Kencanayo?” tanyanya. Aku hampir menggigil. Antara gugup dan marah. “Hah! Dia panggil polis,” kataku dengan wajah memberi amaran. Melihat riakku, si pelayan seperti faham. Dia juga menggelengkan kepala. Mungkin di fikiran pelayan, aku seperti ibu-ibu biasa yang tidak memberi anak makan coklat kerana takut gigi mereka tidak cantik. Tetapi alasanku sebenarnya lain. Pada hari ke 300, suamiku perlu menghadiri seminar kejuruteraan di Brazil selama seminggu. Fikiranku melantun-lantun dari satu episod ke satu episod. Bermula dengan kesibukan suamiku yang terus-menerus sejak kami tiba di Seoul, kemudian sikap anak pertamaku yang semakin garang kepada adiknya, juga sikapku yang makin dingin kepada semua orang di rumah ‘comel’ kami. Suamiku memberitahu, dia berpapasan dengan jiran di sebelah bilik kami sedang mengangkut barang-barang rumah ke tingkat bawah. Si jiran tidak memandang wajah suamiku, terburu-buru masuk ke dalam lif sebelum suamiku bertanya apa-apa. “Mengapa dia berpindah agaknya?” tanyaku. “Mungkin bilik di tingkat bawah lebih besar,” jawab suamiku. “Tidak, ini semua kerana suara Dani dan Danial. Melalak-lalak hingga ke tengah malam,” getusku. “Juga suara ibu, ibu marah saya seperti suara harimau,” anakku menyampuk. Episod seterusnya tidak sanggup ku bayangkan; bagaimanalah aku akan menghadapi 168 jam dengan anak-anak yang ‘panjang akal’ ini tanpa suami? Berapa ramai lagi jiran yang akan berpindah bilik?
Suamiku terbang ke Brazil bersama pasukan penyelidiknya yang diketuai seorang Profesor Korea. Hasil penyelidikan mereka nanti akan dimuatkan dalam jurnal berimpak tinggi. Aku bertanya suamiku, apakah nanti dia akan mengharumkan nama tanah air kami? Dia menggeleng kepala. “Mengharumkan nama negara yang menaja beras kita selama di sini,” katanya. Dalam senyuman, aku terfikirkan betapa sayang sekali negaraku tidak memperhatikan orang cerdik seperti suamiku. Dia menghantar banyak permohonan untuk mendapatkan biasiswa termasuk ke pejabat zakat. Kata seorang pegawai zakat di situ, “Maaf tuan, tuan belajar bukan bidang agama, tidak layak memohon!” Kami benar-benar tidak melupakan ayat itu, walaupun sekarang wajah si pegawai sudah kami lupa. Mahu sahaja aku menulis surat kepada si pegawai, apakah air yang diminumnya diambil dari sungai? Di mana sumber udara dingin ketika dia bekerja jika bukan dari penghawa dingin? Mampukah dia menemui asnaf zakat jika bukan dipercepatkan dengan kenderaan dan telefon bimbit? Revolusi industri membuatkan pengamalan agama menjadi lebih tersusun dan bermanfaat sebanyak mungkin. Bidang suamiku bukan bidang Al-Quran secara khususnya, tetapi secara umumnya, dia sedang memudahkan perkara-perkara baik untuk manfaat manusia, yang diseru dalam Al-Quran. Ah! Jikalau aku boleh bertemu lagi dengan pegawai zakat itu. Syukurlah, rezeki suamiku tersurat di negara kentang dan kimchi. Tuhan lebih tahu rahsiaNya mengapa didatangkan orang bukan Islam membantu kami di sini.
Aku sudah tahu satu jenama snek dan aiskrim Korea yang boleh dimakan ketika suamiku membawa pulang sebelum ke Brazil. Pertama sekali yang kulakukan adalah memotret gambar pembungkus makanan ringan itu. Ini sebagai persediaan jika anakku dibaham lagi mulut-mulut kedai 24 jam yang bersusun di bawah rumah kami. Ternyata, perkiraanku benar. Aku membeli dua aiskrim melon dan sekotak kek berbentuk ikan. “Ini sahajakah tidak ada ‘oit?” tanya anak sulungku. Aku mengangguk, tahu ianya satu pembohongan ‘yang baik.’ Kami menyelusuri rel kereta api yang dijadikan laluan pejalan kaki. Bunga kosmos menenggelamkan rona klasik Ilalang. Aku terlupa seketika bahawa suamiku ada 96 jam lagi masa di negara paling banyak spesis monyet. Anak sulungku berlari ke arah sekumpulan kanak-kanak Korea yang bermain belon air. Aku menyorong si kecil mengikut langkah abangnya.
Seorang wanita sebayaku menghulurkan botol berisi air sabun. Dia bercakap Korea tetapi kutahu, dia menyuruh anakku mengambilnya. “Kamsahammida,” jawab anakku. Wanita itu teruja. Ketika anakku mula bermain dengan anak-anak Korea lain, kami berbual. “Saya baru tahu wanita Malaysia memakai seperti wanita Arab Saudi. Saya fikir kamu orang Arab,” katanya dalam bahasa Inggeris yang baik. Buat pertama kali, aku menerangkan perbezaan wanita Melayu dengan Arab Saudi. Kami terus ke inti perbualan. “Saya guru pusat asuhan anak yang dipanggil orinijib. Anak-anak itu sedang menunggu ibubapa mereka untuk pulang ke rumah.” “Sehingga jam?” “7 malam,” jawabnya. Aku terbayang, jika sampai jam 5 petang si sulung di orinijib, sudah cukup membuatkan pinggangku lurus di atas tilam. “Kamu berminat?” “Berapa yurannya?” tanyaku cepat. “Tidak mahal. Hanya 350,000 won sebulan. Yang paling murah di kawasan ini. Lihatlah anakmu, dia sudah cocok dengan anak Korea lain. Dia sungguh comel, matanya bulat. Siapa namanya?” “Dani. Ya, dia sangat bahagia bertemu teman-teman. Sudah 10 bulan dia hanya bermain dengan saya dan bayi ini. Ayahnya sungguh sibuk,” kataku, jujur. “Oh, kasihan. Besok datanglah ke pusat asuhan di situ.” Wanita itu menunjuk ke arah sebuah banglo dua tingkat di depan kami. Dinding banglo dipenuhi lukisan watak-watak Kartun Pororo. “Tetapi suami saya tidak ada di Seoul sekarang, saya pergi bersamanya nanti,” kataku. “Oh, jika kamu mahu tahu lebih banyak tentang aktiviti kami, telefon saya.” Wanita itu mengeluarkan telefon tangannya, kami bertukar nombor. Aku mengajak si sulungku pulang, dia berat hati. “Annyeongg..Daum mannayo!” kata wanita itu, menepuk-nepuk bahu anakku. Anakku mengangguk “Wow! Sungguh hebat. Anakmu faham bahasa Korea. Cepat hantar dia pada kami,” kata wanita itu sebelum berlalu bersama kanak-kanak lain. “Dani faham makcik Korea itu cakap?” tanyaku, berdebar juga jika dia benar-benar faham. “Tak faham,” balas si sulungku. Aku senyum, bunga-bunga kosmos juga tersenyum.
Sejak diberitahu suamiku nilai 350,000 won adalah bersamaan RM1225, aku menjadi pemikir. Di mana logiknya aku menghabiskan wang sebanyak itu setiap bulan untuk seorang anak kecil berumur 5 tahun? Sedangkan bilik yang kami duduki ini lebih murah daripada itu? Aku tahu, jika mengharapkan biasiswa suamiku, adalah mustahil anakku dapat memasuki orinijib. Tetapi tergamakkah seorang ibu menghalang perkembangan anaknya dalam umur terhebat mereka?
“Saya ingin menggunakan sebahagian simpanan saya untuk tadika Dani,” kataku pada malam suamiku tiba di Seoul. “Betulkah?” tanya suamiku, tidak percaya. Dia tahu aku yang sangat kedekut dan kaki menyimpan wang. Dia belum berjaya mengusik wang simpananku sejak kami berkahwin. “Kita cuba dahulu setahun, kira-kira RM14700,” kataku. “Banyak betul wang simpanan kamu. Berapa jumlah yang tinggal?” “Rahsia negara.” “Duit abang pula rahsia Allah!” “Allahuakbar!”
Anakku Dani memulakan sekolah pertamanya di Seoul. Keterujaannya bertemu rakan sebaya menenggelamkan semua ketakutan. Dia melambai kami; ayah, ibu dan adiknya yang akan meninggalkannya selama 9 jam di orinijib. Senyumannya menjadi jawapan kepada persoalan bolehkah dia memahami percakapan guru dan kawan-kawannya? Bagaimanakah kalau tiba-tiba dia mahu ke toilet? Dia belum pernah membasuh najis dengan tisu. Bagaimana kalau guru tetap memberi ayam, daging atau khinzir walaupun lebih 30 kali aku memberitahu guru yang anakku seorang ‘vegetarian’? Bagaimana jika ada pelajar lain mengejeknya, seorang wegugin (orang asing)?
“Mulai esok, saya akan masakkan Dani seperti menu sekolah,” kataku kepada suami. Kebimbanganku terhadap apa yang anakku makan di orinijib melebihi perkara lain. “Kamu tahu bahan-bahannya?” tanya suamiku. “Saya akan ambil tahu,” balasku, merangka akan menelefon guru Dani setiap hari. Petang itu, anak sulungku memberikan sebuah buku. Luar biasa, buku itu mengandungi menu makanan anak-anak orinijib selama sebulan. Si guru membulatkan semua menu yang mengandungi daging dan gelatin. Aku akan mengubah-suai menu tersebut dengan daging halal. Melalui Youtube, mulalah aku belajar membuat kimbab, kimci chigae, albab, bibimbap, dan samgyetang. Demi mencuba makanan Korea ‘halal’ itu, suamiku sanggup menjaga bayi di rumah. Aku tidak bertanya apakah alasan yang diberikan kepada profesor Koreanya. Perjanjiannya, aku akan membuat bekal makanan Korea untuk dua orang setiap pagi, untuk suami dan anak.
Bahasa Korea anakku belum baik. Di orinijib, dia hanya tersenyum dan membuat bahasa isyarat. Guru kelas menulis mesej kepadaku, bimbang apakah anakku dapat memahami pengajarannya atau tidak. Dia mencadangkan aku bercakap Korea dengan anak-anak di rumah. Oh Tuhan, begitu tinggi harapan si guru mahu melihat anakku fasih berbahasa Korea dalam tempoh tiga bulan. Malam itu, selepas suami dan anak-anak tidur, aku membuka Youtube lagi. Mulailah aku mengenal huruf Hangeul dan belajar membunyikannya. Aku menulis nama-nama barang yang ada di rumahku dalam bahasa Korea di kertas, lalu kutampal pada setiap satunya. Tujuannya, aku dan anakku sama-sama dapat bercakap Korea.
Aku mendaftarkan diri ke kelas Bahasa Korea. Jadualku berubah padat. Jam 5 pagi, aku sudah beraksi di dapur, menyediakan nasi bulgogi, kimbab atau sundobu yang menjadi kegemaran suami dan anakku sekarang. Selepas Subuh dan membaca Al-Quran, aku membuka buku Bahasa Korea, menuliskan ayat-ayat pendek untuk anakku. Dia perlu menghafalnya sebelum bertemu guru dan rakan-rakan orinijib. Setelah menghantar si sulung ke orinijib, aku mengendong bayiku ke stesen subway dan mengambil masa 10 minit perjalanan ke kelas Bahasa Korea yang terletak di Seokgye. Sambil menyusukan bayi di balik jilbab, aku mengikuti bahasa Korea tahap pertama yang berlangsung 2 jam. Selepas kelas, biasanya aku berbual dengan rakan-rakan warga asing sepertiku.
“Suamimu orang Korea?” tanya seorang rakan baruku dari Filipina. Dia berkahwin dengan orang Korea dan tinggal bersama keluarga suaminya di Seoul. “Suami saya orang Malaysia, dia belajar di sini,” balasku. “Oh, syukurlah bukan orang Korea..” balas si teman. “Maksudnya?” aku tidak mengerti. “Mentuaku, dia membuatku berasa seperti pembantu rumah, bukan menantunya,” kata si teman.
Apabila aku bercerita kepada suami tentang perbualan itu, dia menggeleng kepala. “Cukuplah hanya belajar Bahasa Korea, bukan bergosip dalam bahasa Inggeris selepas kelas,” katanya.
Disember datang dengan bilahan cuaca yang tajam. Sebaik desir menyentuh kulit mukaku, terasa di hiris pisau ilusi. Anak-anakku mengalami batuk dan selsema. Anak sulungku makin petah bercakap Korea. Intonasinya kedengaran seperti ahjusyi penjual ikan ketika marahkan adiknya. Suaraku pula seperti ahjumma penjual buah ketika memarahi anak sulungku. Bayiku yang akan berumur 12 bulan juga sering menjerit ‘Andey..andeyy’ yang bermaksud jangan..jangan. Dia selesa memanggilku ‘omma’ bukan ibu lagi. Anak sulungku akan mencari chopstik untuk makan, tidak mahu menggunakan tangannya sendiri. Perubahan yang mendadak.
“Tidak mahu menghantar bayimu ke orinijib juga? Dia sudah besar, perlukan kawan. Kamu bebas membuat perkara lain jika dia di sini,” soal guru anak sulungku. “Berapa yurannya?” memang itulah satu-satunya soalan di fikiranku ketika itu. “Jika bayi 450,000 won sebulan, mahal sedikit dari anak tadika,” balasnya. “Oh, nanti saya memberitahu suami..” kataku, berbasa-basi. Mustahil aku akan membayar RM1600 sebulan untuk penjagaan bayi. “Di Korea, apabila usia bayi 12 bulan, ibu-ibu akan menghantar bayi ke orinijib agar mereka bebas. Kasihan selama 12 bulan pertama, ibu tidak boleh berehat. Oh ya, di Korea kami mempunyai adat penting untuk bayi yang akan masuk usia setahun. Ibubapa membuat majlis dan anak kecil dipakaikan hanbok mewah. Anak kecil akan diberikan pelbagai hadiah. Jika dia memilih wang, dia mungkin menjadi orang kaya. Jika dia memilih buku atau alat tulis, mungkin bayi akan menjadi cendiakawan,” kata si guru, mengusap-usap pipi bayiku. “Er..di mana boleh membeli hanbok?” tanyaku. “Di pasar ada, saya boleh bawakan kamu ke kedai hanbok yang bagus..” “Harganya?” tanyaku lagi. “Biasanya hanbok bayi 50,000 won sehingga 70,000 won, tidak mahalkan?” si guru tersenyum lagi. Ketika aku menyorong anak-anakku pulang ke rumah, aku terbayang hanbok bayi yang comel dan harga kentang di pasar yang tiba-tiba naik mendadak, tiga kali ganda. Daripada menghabiskan duit sebanyak RM300 untuk pakaian bayi, lebih baik aku membeli stok kentang selama musim salji. Logikku menjalar di fikiran.
“Ibu..kawan saya pergi ke kelas robot dan Taekwando. Dia ajak saya ke sana. Bolehkah saya ikut?” tanya anakku. Aku berhenti jalan. Berfikir bahawa aktiviti yang disebutkan si sulung itu sangat baik dibandingkan jika anakku menonton kartun-kartun di Youtube. Kusegera mengeluarkan Hp dan mendail nombor guru semula. “Benarkah ada kelas robot dan taekwando untuk anak-anak berusia lima tahun? Anak saya mahu ikut..” tanyaku. “Ya ada puan, bagus jika Dani ikut” balas guru tadika Korea itu. “Err..ianya percumakan?” aku mengetap bibir. “Maaf puan, kelas itu dibuat oleh syarikat luar. Yurannya 80,000 sebulan untuk satu kelas,” balas guru. “Saya akan pertimbangkan dulu, terima kasih.” Aku menutup hp. Kami meneruskan langkah, fikiranku mula bekerja, menimbang antara menambah bayaran RM320 sebulan dengan anakku menghabiskan hari minggunya dengan kartun di Youtube. RM1545 sebulan boleh kulaburkan untuk membesarkan seorang anak lima tahun di Seoul, dengan syarat aku tidak boleh berganti pakaian baru, berjalan-jalan ke luar kota dan paling sedih, tidak ada lagi simpanan duit tiket untuk menziarahi keluarga di Malaysia. Solusi yang sedih.
Malam itu, aku membiar anak-anak melompat-lompat di katil, kemudian berlari dalam ruang 12×12 kaki. Aku terbaring, melihat kosong ke syiling. Suamiku entah bila akan pulang ke rumah, tidak mustahil selepas Subuh pagi esok. Hampir 12 bulan kami di Korea, kami belum berjalan-jalan kecuali ke pasar ikan. Satu keberuntungan aku boleh menaiki subway sendiri, melihat orang-orang tua yang mandiri, itulah hiburanku. Apakah aku bahagia di negara ini? Anak pertamaku menjerit kuat. Aku membuka mata. “Astagfirullah..” Aku bingkas bangun melihatkan darah mengalir di bibir anak sulungku. Adiknya menujah kereta mainan ke mulut abangnya. Aku menarik anak sulungku ke bilik air, membasuh mukanya dan memeluknya. Bayiku pula menangis, cemburu. “Ya Allah..” aku pejam mata, air jernih jatuh ke pipi. Kupeluk anak sulungku, dan kubiar bayiku menarik-narik bahu dan rambutku. Kuberdoa anak sulungku tidak perlu ke klinik.Kami belum ada ansuran lagi. Biayanya boleh jadi sampai beribu ringgit.
Negara yang berpangkal K dalam banyak hal, benar-benar menjadi K iaitu kertas duit. Menjadi seperti ibu Korea, adalah menjadi ibu yang ada kertas duit dalam dompetnya. Kecuali K-pop, ramai yang tidak tahu hakikat ‘K-isteri.’
Glosari: Annyenghaseyo: ucapan selamat Ahjussyi: Pakcik Ahjumma: Makcik Daum mannayo: Jumpa lagi nanti Hanbok: pakaian tradisional Korea Kamsahammida: Terima kasih Kencanayo: Tidak ada masalah Oit: Khinzir Orinijib: pusat asuhan anak
Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu-Islam di Asia Tenggara, Habiburrahman El Shirazy merupakan salah seorang pengarang yang mempunyai keunikan tersendiri. Pengarang berusia 40 tahun ini telah menghasilkan 10 buah novel berunsurkan Islam. Kesemua novelnya terjual melebihi 50 ribu naskah dan beredar di Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura. Habiburrahman El Shirazy telah mengulangi sejarah pengarang- ulamak, Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau Hamka yang mempunyai khalayak pembaca di seluruh nusantara khususnya di Malaysia. Kedua pengarang ini mempunyai latar pendidikan Islam yang kuat dan menjadikan novel sebagai alat untuk menyebarkan dakwah.
Sumbangan Habiburrahman El Shirazy dalam penulisan novel terserlah melalui novel keduanya, Ayat-Ayat Cinta yang diterbitkan pada tahun 2004. Novel ini telah dicetak lebih 800 ribu naskhah dan menjadi fenomena di Indonesia dan Malaysia. Kejayaan beliau seterusnya adalah mengangkat novel-novelnya ke layar perak dan televisyen. Hal ini secara tidak langsung mempromosikan peribadinya sebagai pengarang Islam dan meningkatkan penjualan karya-karyanya.
Beberapa hari lalu, saya berasa dekat dengan maksud Surah Al-Asr :
‘Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebaikan, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Tegur-menegur antara kami suami-isteri setiap hari berlaku. Selalunya dalam keadaan tenang, dan selalu juga dalam keadaan emosi yang kemudian disusuli dengan maaf-bermaafan. Saya akui, sebagai anak sulung 11 beradik, dan suami anak bongsu, yang hanya dia seorang lelaki, tentulah saya banyak ‘menegurnya’ bak ‘kakak sulung’ kepada ‘adik bongsu’. Tetapi syukurlah kerana bekalan ilmu agama yang dipelajari sejak kecil hingga ke universiti, saya pohon Allah bantu gantikan ‘keegoan anak sulung’ dengan rasa hormat, takut dan yakin sepenuhnya kepada suami. Ia bukanlah proses yang mudah, tetapi Kalam Allah menjadi ‘maps dan GPS’ yang tidak pernah mengecewakan.
Beberapa hari ini, saya kerap juga menegur suami agar lebih mengambil-berat tentang ibunya. Dia seorang anak yang baik, tetapi kesibukan menyebabkan seorang anak lelaki sering terlupa untuk menghubungi ibunya setiap hari. Lalu saya bertanya, apakah hari itu dia sudah menelefon ibunya, dan biasanya soalan saya akan disusuli nasihat panjang kepadanya, “Abangku, jika kamu mahu menjadi manusia yang hebat dalam bidang apapun, maka jagalah tiga hubungan yang pertama dalam hidup kita 1. Allah 2. Rasul 3. Ibu. Cintailah ibu lebih dari cinta kepada isteri. Tolonglah ambil berat, telefonlah dia setiap hari walau bertanyakan ‘Mak masak apa hari ini?”
Begitulah anak lelaki, sering berasa emak mereka baik-baik sahaja di kampung. Dapat telefon emak sekali dua dalam seminggu dirasakan cukup. Mereka bukan anak derhaka, tetapi seni memahami perasaan wanita tua perlu dibantu oleh isteri. Jiwa keibuaan isteri adalah sama dengan jiwa ibu kepada suami kita.
Dalam hal yang lain, suami pula banyak menegur saya. Dari pengurusan sistem kerja dan belajar sampailah cara berbahasa dengan orang lain. Dua hari lepas, saya mengadu kepada suami tentang sikap-sikap orang yang tidak menyenangi saya (yang saya fikir) di tempat kerja. Lalu suami tidak pula menambah ‘perasa bawang’ bila saya emosi. Dia akan memujuk saya tidak perlu fikir yang negatif. Sebaik saya tenang dia berkata, “Ummi bagilah hadiah kepada kawan yang tidak senang dengan Ummi tu ya..” Ya Allah, saya mahu menangis kerana Allah telah mengirimkan seorang pasangan hidup yang hatinya baik pada orang lain.
Begitulah, waktu saya menasihati suami, saya bukanlah sempurna. Waktu suami memberi nasihat kepada saya, dia pun bukan paling sempurna.
Ianya bunga-bunga kehidupan yang Allah telah terangkan dalam Surah Al-Asr bahawa manusia itu akan terjamin kebahagiaan dan kebaikan mereka hanya sahaja mereka perlu ‘berpesan kepada benda yang baik dan bersabar dalam musibah.
Semoga pasangan kita adalah sahabat kita seperti dalam Surah Al-Asr, menemani kita di dunia untuk Bersama kita di Syurga Firdaus. Amin