Wahai Diri, Berlembutlah..

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
Pandemik Covid 19 bukan hanya satu makhluk yang lebih nipis 8 kali ganda dari rambut kita, tetapi dia juga penjahat yang meratah antibodi manusia tanpa mengira agama, bangsa, warna kulit dan status sosial. Kerananya, kita semua (bahkan manusia di dunia) terpaksa melewati hari-hari di rumah. Covid 19 nampaknya mempertemukan kita dengan makhluk yang sama dahsyat dengannya (jika tidak diuruskan dengan baik) iaitu nafsu ammarah.

Saya termasuk golongan ibu-ibu yang baharu menyedari bahawa tidak mudah menjadi suri rumahtangga sepenuh masa. Sebagai pekerja yang waktu kami terbahagi dua (di pejabat dan rumah), tugas hakiki dapat dilaksanakan ketika berada di rumah (kebiasannya jam 5 petang sehingga jam 9 pagi esoknya). Perlaksanaan PKP yang bermula 17 Mac lepas telah mengubah sudut pandang saya sendiri terhadap peranan sebagai isteri dan ibu sebenar, iaitu 24 jam masa untuk suami dan anak-anak.
Bukanlah mudah menghadapinya. Anak-anak yang sedang membesar perlu disusun waktu mereka sebaik mungkin. Mana mungkin menggantikan masa persekolahan dengan hiburan gajet dan televisyen. Dalam waktu yang sama, rumah dan keperluan lain perlu ditangani serentak. Ada satu mutiara kata yang menyebutkan: “Sesungguhnya suami-isteri ibarat satu bait syair. Tidaklah cantik sebuah syair jika hanya baris pertama mempunyai kata-kata indah, sedangkan baris keduanya buruk..” Ini menggambarkan bahawa bukan hanya seorang isteri dan ibu perlu menguruskan rumahtangga, tetapi berganding bahulah dengan suami.
Minggu pertama PKP, emosi menjadi turun naik. Anak-anak gelisah tidak boleh keluar rumah, suatu pengalaman pelik buat mereka. Lalu, keinginan mereka diluahkan dengan pelbagai cara antaranya menyepahkan rumah, bergaduh sesama sendiri dan mahukan perhatian ibubapa (jika boleh 12 jam mahu kita melayani mereka tanpa henti). Beberapa kali saya menjerkahi mereka dan akhirnya berasa sesal dengan tindakan luar sedar. Masuk minggu kedua, suami mengajak anak sulung membuat jadual harian yang dipersetujui bersama. Bahkan anak-anak perlu patuh pada jadual. Saya membuka kembali buku-buku motivasi diri. Saya perlu mempersiapkan semula jiwa untuk menjadi ‘sekolah’ anak-anak.

Satu kisah Rasulullah SAW menjadi pedoman. Saya temui dalam buku kanak-kanak Himpunan 30 Kisah Kasih Sayang Nabi Muhammad SAW oleh Waqiuddin Chan. Zaid bin Harithah ketika umurnya 8 tahun telah dilarikan sekumpulan penjahat dan dijual di Pasar Ukaz. Lalu, anak saudara Saidatina Khadijah, Hakim bin Hazam membeli Zaid dan dibawanya Zaid ke Mekah. Sewaktu Khadijah menziarahi Hakim, anak saudaranya menawarkan kepada Khadijah beberapa kanak-kanak yang dimilikinya (untuk dijadikan hamba). Khadijah memilih Zaid bin Harithah.
Selepas berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW, Khadijah tergerak menghadiahkan Zaid kepada suaminya kerana Zaid adalah seorang hamba yang baik dan paling disayangi Khadijah. Bermulalah kehidupan Zaid bin Harithah yang masih kanak-kanak itu di sisi manusia paling agung, Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak pernah memandang dan melayani Zaid sebagai hamba tetapi seperti anaknya sendiri. Baginda amat lembut dan tidak pernah sekalipun meninggikan suara kepada Zaid.
Suatu waktu, ibubapa Zaid mendapat tahu anak mereka berada di Mekah. Mereka mahu membawa Zaid pulang ke kota halaman. Pergilah mereka ke rumah Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai hadiah dan barang-barang gantian untuk mendapatkan Zaid. Nabi Muhammad SAW tidak terus membuat keputusan agar Zaid kembali ke pangkuan ibubapanya, sebaliknya memberi kebebasan kepada Zaid untuk memilih siapa yang ingin diikutinya. Alangkah terkejutnya kerana Zaid memilih untuk tinggal bersama Nabi Muhammad SAW! Maka, ibubapa Zaid akur dengan keputusan itu. Mereka bahagia melihat kebahagiaan Zaid, bukan seperti gambaran mereka sebelum bertemu Nabi Muhammad SAW. Mereka bimbang jika Zaid dilayan seperti layaknya hamba sahaya.
Nabi Muhammad SAW lemah-lembut, tiada yang lebih lembut hatta anak gadispun boleh dibandingkan dengan lembutnya baginda berkata-kata, lembutnya baginda dalam kelakuan dan pergaulan dengan manusia.
Nabi Muhammad seorang yang berhikmah. Tidak sesekali baginda menyuruh orang lain membuat sesuatu kalau bukan baginda dahulu yang memulakannya sebagai teladan umatnya. Baginda menyuruh orang bersabar atas kemiskinan kerana baginda sendiri memilih hidup susah. Baginda sendiri menyuruh orang bekerja keras kerana baginda juga seorang usahawan berjaya.
Zaid bin Harithah tiada alasan lain memilih Nabi Muhammad SAW sebagai pelindungnya kerana pada sosok mulia itu terdapat rahmat bagi sekalian manusia. Cinta kasihnya kepada insan agung itu lebih daripada rasa kasihnya terhadap ibubapa.
Ya Allah..adakah anak-anak kita mendapat kelembutan daripada kita? Adakah anak-anak kita berasa terlindung dengan kasih sayang kita? Adakah kita memulakan hari dengan memeluk dan mencium anak-anak kita? Adakah kita bermuhasabah jika anak-anak kita degil mematuhi arahan kita? Adakah kita mencontohi kelembutan Nabi Muhammad SAW dalam tugas kita sebagai ibu dan isteri?
Covid 19 sedang mengganas di luar sana. Marilah kita lembutkan hati agar rumahtangga kita terdidik, tenang dan menjadi penawar untuk ahli-ahli syurga kita.

Salah satu cara kita mencari kelembutan adalah membelek kembali pedoman yang ditunjukkan oleh baginda rasul mulia, Nabi Muhammad SAW.
![]()
Ayahku

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Jika berkaitan apa apa sahaja dalam hidupku, orang yang paling mempengaruhinya adalah ibubapaku lebih-lebih lagi ayahku. Dia membuât keputusan untukku sejak kecil sehinggalah diserahkannya aku kepada suami pada usiaku 26 tahun. Selepas itu, aku banyak membuat keputusan atas perbincangan dengan suami, tetapi ibubapaku tetap menyokongnya dari belakang.
Aku ingat lagi masa kecilku. Bagaimana ayahku memupuk minat membaca dan menulis kepadaku sebagai anak sulungnya. Dia tidak membeli televisyen. Aku hidup dalam sebuah rumah yang tidak ada televisyen sehinggalah umurku 12 tahun. Apa yang diberikan ayahku adalah majalah kanak-kanak, novel kanak-kanak, buku mewarna dan alat tulis. Itulah yang menjadi mainan dan hiburanku. Ayahku mula melatihku menulis sejak umurku lapan dan sembilan tahun. Caranya dengan memaksaku mencatat apa-apa sahaja yang aku nampak ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, dari Kuala Lumpur ke Kedah. Dia memberiku dan adik buku kecil dan pen. Lalu kami tulis sehingga bosan tetapi ayahku tidak marah, diambilnya buku itu.
Ayahku paling kerap membawaku ke kedai buku dan majlis sastera yang dihadirinya. Setiap buku yang kupilih untuk dibeli akan ditapis dulu. Ayah akan mencadangkan buku-buku yang ditulis oleh kawan-kawan penulisnya. Malah tahun 1990-an, ayahku aktif menulis novel. Banyak novelnya memenangi hadiah sastera. Sebelum dia menghantar karya-karnyanya, biasanya dia memberi kepada emak untuk membaca dahulu dan aku akan curi-curi membaca manuskrip di atas mejanya.

Ada sesuatu yang ingin kukongsikan tentang namaku. Aku didaftarkan dengan nama Ummu Hani saat aku dilahirkan. Dalam surat beranakku tertulis nama Ummu Hani binti Abu Hassan. Waktu umur 12 tahun, ayah membawaku ke pejabat pendaftaran untuk membuat kad pengenalan. Dialah yang mengisi borang. Ayah berbisik kepadaku yang dia ingin mengubah sedikit namaku menjadi Ummi Hani. Lalu aku menerima kad pengenalan yang tertulis nama Ummi Hani bint Abu Hassan. Aku menerima kedua nama itu : Ummu Hani dan Ummi Hani sebagai namaku. Tetapi ianya menyulitkan bagi orang lain. Ramai yang bertanya, nama aku sebenarnya ummi atau ummu? Aku jawab keduanya namaku.
Ketika aku mula menulis kreatif, aku menggunakan nama Ummu Hani Abu Hassan. Nama itu tercetus saat pensyarahku, Allahyarham Dr Othman Putih menyuruh kami pada kelas pertama Penulisan Cerpen (di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya) mencari nama pena. Katanya nama pena amat penting kepada seorang penulis. Nama itu akan menjadi identiti penulis sepanjang pengkaryaannya. Pensyarahku berkata, dia mengekalkan nama ayahnya supaya orang maklum dia adalah anak kepada Puteh. Lalu, tanpa ragu-ragu lagi aku terus meletakkan nama penaku sebagai Ummu Hani Abu Hassan. Aku mahu semua orang tahu yang aku adalah anak Abu Hassan, seperti alasan pensyarahku. Nama itulah yang membawaku dalam pelayaran dunia penulisan kreatif; cerpen, novel, kisah benar, puisi dan skrip drama televisyen.
Sewaktu memasuki alam penulisan akademik, aku tidak boleh menggunakan nama Ummu Hani Abu Hassan lagi. Namaku perlulah mengikut nama formal yang tercatat di kad pengenalanku. Dunia kerjayaku berbeza sedikit dari dunia kreatif. Anak-anak muridku memanggilku Dr Ummi. Rakan-rakan sekerjaku juga memanggilku Ummi berbanding Ummu. Aku tidak ralat kerana keduanya adalah nama yang diberikan oleh ibubapaku terutama ayahku (yang telah mengubahnya ketika aku berusia 12 tahun).
Sungguh tidak terhitung banyaknya jasa ayahku membentuk aku sebagai penulis dan pensyarah. Waktu mencari-cari peluang masuk ke universiti, ayah menyuruhku memilih bidang Pengajian Islam walaupun aku berminat dengan bidang komunikasi. Katanya bidang Pengajian Islam adalah asas kepada bidang-bidang yang lain. Aku tidak membantah keputusannya. Ada hikmahnya, walaupun aku mengambil jurusan Usuluddin, ada jalan yang membolehkan aku mengikuti kursus penulisan kreatif secara minor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya tempat ayahku mendapatkan Ijazah Sarjananya.
Sewaktu bergelar mahasiswa, ayah pernah membawaku ke Myanmar bersama anak buah syarikatnya untuk rakaman Dokumentari Salam Nusantara. Ayah mendedahkanku tentang dunia penerbitan dokumentari. Aku ditugaskan menulis catatan kembara. Selepas itu, aku juga didedahkan dengan penulisan skrip drama televisyen. Walaupun banyak kekuranganku, ayah tidak pernah jemu memberiku peluang dan kata-kata semangat. Novel pertamaku berjudul Ladang Hati Mustika diterbitkan oleh ayah dan adikku.
Aku insan biasa yang melalui waktu-waktu sukar. Seingatku, ujian paling hebatku adalah duji kesakitan dalaman atau gangguan makhluk halus. Hampir dua bulan aku hilang semangat hidup. Menangis dan ketakutan. Ibubapaku runsing. Satu kata-kata ayah yang membuatkan semangatku kembali bersinar , “Percayalah, Allah SWT sedang menyucikan dirimu dan mahu menjadikanmu orang yang bermanfaat kepada ummah. Berfikir positif kepada Allah SWT.” Sejak itu aku tidak menoleh ke belakang lagi. Aku mahu menjadi diriku yang baharu, insan yang memberi manfaat walaupun sedikit. Kemudian ayah membelikan tiket pesawat untuk aku memulakan pencarian diriku di bumi Damsyik, Syria.

Apabila usiaku menginjak 30-an, mempunyai suami dan anak, aku merantau jauh berkat doa ibubapaku yang menginginkan aku mencari ilmu di luar negara. Di Korea, ayahku mula diuji sakit iaitu gangguan saraf menyebabkan dia mengalami bell palsy atau minor strok. Kesihatannya merosot sedikit. Hal ini turut mengganggu pekerjaannya dan aktiviti menulisnya. Aku tahu ayahku berjuang untuk pulih sepenuhnya walau ianya sangat sukar.
Hari-hari tua ayahku menjelang. Dia tétap bersemangat seperti zaman mudanya tetapi kesihatannya tidak seperti dahulu. Juga emosinya. Tetapi syukur Allah SWT selalu menjaga dan memudahkan urusan ayahku. Dia seorang yang kuat bertawakal kepada Allah SWT.
Aku ingin mengucapkan tahniah kepada ayahku kerana bulan April 2020, dia terpilih menjadi karyawan untuk Majalah Dewan Sastera. Sewaktu diberi peluang oleh editor, Puan Zaharanum menulis artikel dan catatan, ayahku berjuang dalam kekangan kesihatan yang tidak seperti dulu. Semoga diriku yang menjejaki ayah sebagai penulis dikira sebagai saham akhirat ayah. Dia telah memodali diriku bukan hanya dengan wang ringgit tetapi dorongan, latihan, galakan dan peluang kepadaku sejak kecil.
Semoga Allah SWT merahmati ayah dan ibuku.
![]()
Makhluk Sekecil Covid 19 Buat Manusia..

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Makhluk kecil ini adalah pengajaran paling besar untuk manusia di Zaman 2020.
“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran) Allah adalah penciptaan langit dan bumi dan makhluk-makhluk yang melata yang Dia sebarkan pada keduanya. Dan Dia Mahakuasa mengumpulkan semuanya apabila Dia kehendaki. Dan musibah apapun yang menimpa kamu adalah kerana perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan banyak (dari kesalahan-kesalahanmu).” (Surah Asy-Syura: 29-30).
Kini malam-malam kita dan manusia dunia diusik satu makhluk Allah yang sangat kecil iaitu bersize 125 nanometer (satu nanometer adalah 1 meter dibahagi seribu juta) atau 800 kali lebih halus dari sehelai rambut). Ianya bernama Covid 19 iaitu sejenis virus dari keluarga Coronavirus yang muncul pada 1960-an. Coronavirus mempunyai 7 ciri, 4 daripadanya ada pada manusia dan 3 yang lain datang dari haiwan. Covid 19 adalah jenis coronavirus yang berpunca dari genetik haiwan yang terjadi di pasar makanan haiwan liar Wuhan, China.
Dari 7 orang pertama yang dijangkiti Covid 19 pada awal Disember 2019, hari ini (30 Mac 2020), jangkitannya merebak ke seluruh dunia dengan jumlah yang dicatatkan 723140 kes dengan 34034 kematian. Allah…
Sebanyak 202 negara diganggu si kecil ini. Dunia globalisasi terhenti secara fizikal. Manusia diperintahkan berkurung dalam rumah agar tidak bertembung dengan manusia lain dalam kumpulan ramai. Mengapa? Si virus amat lemah di luar badan manusia, tetapi sebaik memasuki tubuh manusia, ia akan membunuh sesiapa tanpa mengira kelas sosial, agama, ras dan umur (tentu dengan kuasa Allah SWT). Setakat hari ini, majoriti mangsa adalah golongan tua dan kaum lelaki. Saintis mengatakan, golongan tua mempunyai 180 kali ganda dibaham Covid 19 berbanding orang muda. Kerana belum ada senjata ampuh membunuhnya (antara ubat yang cuba digunakan adalah antiparasitic untuk penyakit Malaria, antiviral untuk Virus HIV, Ebola, ubat flu dan antibiotic), maka kebanyakkan negara hanya mampu membuat undang-undang seperti lockdown, kawalan jarak, pemakaian topeng muka dan pembersihan diri

Sebagai Muslim, makin kita yakin bahawa Tuhan sedang menegur manusia. Dalam sejarah Islam, banyak makhluk-makhluk kecil didatangkan untuk meruntuh kesombongan manusia. Namrud mati dengan serangan seekor nyamuk, Abrahah dan gerombolan besar tentera bergajahnya mati dengan burung-burung tentera Allah SWT. Penangan Covid 19 menyaksikan kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan Eropah terutama Itali jatuh ke masalah menakutkan iaitu kematian penduduk dan ekonomi secara mendadak. Negara Itali mempunyai sistem kesihatan bertaraf dunia namun Covid 19 tidak terusik dengan kecanggihan itu. Hari ini, Itali terpaksa memanggil doktor-doktor dari negara luar bahkan sampai menerbangkan para pesakitnya ke luar negara akibat hospital yang terhad dibandingkan jumlah jangkitan dan kematian tinggi. Amerika Syarikat terkenal dengan teknologi dan kajian sains untuk dunia, tetapi hari ini terpaksa membina khemah-khemah rumah mayat di luar hospital. China berhadapan isu rasis yang tinggi. Seluruh dunia menghukumi warga China yang dikatakan pemula kepada Covid 19. Banyak negara takut menerima pelancong China, dan wujud teori bahawa Covid 19 adalah ciptaan komunis China yang jahatnya lebih atau setaraf Nazi. China akan dibenci sebahagian penduduk dunia.
Apapun realiti dan teori yang berlegar, setiap minit kita adalah ruang muhasabah bagi orang yang beriman. Kita percaya bahawa dunia ini akan berakhir dan sebelum berakhirnya dunia, datangnya imam Mahdi, dajjal, Nabi Isa AS dan para tentera Allah yang dijanjikan. Dunia kelihatannya sangat tua dan diperkudakan tangan-tangan manusia dengan kezaliman dan sikap melampau batas. Kemodenan dan teknologi yang kita nikmati dalam hidup seharian, jarang dikaitkan dengan tauhid kepadaNya. Kita bekerja bukan untuk berdakwah, tetapi mengumpul harta untuk anak cucu. Kita melihat kemaksiatan dengan gelengan tanpa usaha mengubahnya kepada kebaikan. Caci-maki sesama manusia menjadi makanan. Orang tidak adil diangkat menjadi pemimpin dan artis dipuja-puja. Kita pejam mata terhadap hak orang miskin, anak yatim dan asnaf. Kita hidup dalam semua kerosakan itu dengan ketenangan dan senyuman. Justeru, Allah SWT datangkan makhluk sehalus Covid 19 untuk kita duduk diam seketika, bermuhasabah, bermunajat, bertaubat nasuha dan membanyakkan simpati dan doa kepada orang lain.

Baharulah kita sedar, kita hanyalah makhluk. Dan taraf amalan kita entah lebih teruk dan bahaya daripada kejahatan makhluk Covid 19 itu jika Allah SWT tidak menegur dengan cara seperti yang kita lalui sekarang ini.
![]()
Bulan Madu Yang Tertangguh
Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Tahun 2020 hadir dengan pelbagai perancangan dan salah-satunya adalah menunaikan umrah dan berkelana ke bumi Istanbul dengan suami. Saya berdoa agar hajat ini dimakbulkan Allah SWT. Mengapa Tahun 2020? Pada 14 Januari 2019, saya telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan luar rahim. Saya telah bernazar, jika pembedahan selamat, saya mahu mengerjakan umrah berdua dengan suami. Allah SWT menyelamatkan saya bahkan selepas enam bulan pembedahan, Dia mentakdirkan saya mengandung kali ketiga. Nikmat yang tidak dapat saya ungkapkan selepas enam tahun saya tidak mengandung. Justeru, waktu terbaik untuk bermusafir jauh adalah sebelum saya bersalin.
Pihak Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya akan mengadakan seminar di Universiti Fateh, Istanbul pada 25 dan 26 Mac 2020. Saya dilantik menjadi sebahagian ahli jawatankuasa. Saya lihat ada susunan cantik jika saya menunaikan umrah dan langsung ke Istanbul menyertai seminar. Maka, saya dan suami membeli tiket secara DIY. Saya menyusun jadual perjalanan, melihat senarai hotel di Madinah dan Mekah, melayari blog-blog pengembara DIY, mencatat petua-petua penting sepanjang perjalanan. Bahkan, sudah mencarikan pengasuh untuk menjaga dua anak yang bakal ditinggalkan selama 17 hari! (umrah 10 hari dan Istanbul 5 hari, perjalanan pergi balik 2 hari).

Saya menangis dalam doa dan munajat. Benar-benar mengharapkan Allah SWT membawa kami ke rumahNya, Baitullah. Saya dan suami menghadiri dua kali kursus umrah. Kami telah membeli tiket serta membuat tempahan hotel, kini tinggal bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT. Saya yakin, jika belum benar-benar melihat Kaabah dan Masjid Nabawi, maka tidak boleh terlalu gembira. Apa sahaja boleh berlaku dalam ketentuanNya.
Dalam debar menanti tarikh penerbangan pada 12 Mac 2020, saya sudah mengikuti berita tentang Virus Covid 19. Sejak awal Januari 2020, virus ini menjadi percakapan akhbar antarabangsa. Saya baca kolum seorang wartawan CNA (Channel News Asia) menceritakan hari-hari suramnya meraikan Tahun Baru Cina. Perjalanan yang panjang antara wilayah-wilayah negara China dan perintah lockdownyang menyebabkan jutaan rakyat tersekat. Ada yang tidak sempat pulang ke kampung, dan ada yang terkandas di tengah jalan. Penulis sendiri ralat kerana baginya Tahun Baru Cina adalah satu-satunya perayaan yang menghubungkan anak dengan ibubapa yang tinggal berjauhan. Bahkan, dalam budaya kerja di China, adalah sukar mereka mendapat cuti dalam satu-satu tahun kecuali Tahun Baru Cina. Dan tahun ini paling menyedihkan dalam hidupnya.
Saya sekadar simpati kepada si penulis tetapi tidak membayangkan bahawa Malaysia bakal menemui nasib yang sama, atau sekurangnya akan berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berlaku saat saya menulis catatan ini. Dalam tempoh akhir Januari dan Februari, hujung minggu kami sibuk pulang ke kampung di Pahang dan Kedah, serta membuat temujanji dengan doktor yang akan menguruskan kelahiran anak ketiga nanti. Salah seorang doktor sangat gembira mendengar perancangan umrah DIY kami. Dia sendiri baharu pulang dari Mekah dan Madinah, memberikan saya tips umrah secara mandiri.

Mac 2020 tiba dengan berita-berita suram. Malaysia sudah mula diterbaki Covid 19, dibawa oleh para pelancong negara China. Tetapi kami tetap optimis menjadi tetamuNya, virus dirasakan tidak sampai membenam perjalanan harian dunia. Saya juga telah menempah penginapan di Istanbul. Seperti merangka perjalanan bulan madu kali kedua dengan suami. Musafir yang saya harapkan dapat memperkukuhkan kasih sayang kami. Walaupun kami telah merantau ke Seoul, hampir lima tahun lamanya, tetapi tidak pernah kami berjalan jauh tanpa anak-anak. Di tanah air, setiap masa luang adalah masa bersama anak-anak. Saya berdoa perjalanan umrah dan trip Istanbul adalah perjalanan cinta kerana Allah.
Pertambahan pesakit mula terjadi bahkan sudah menjangkiti orang tempatan. Dalam Facebook, ramai menyuarakan agar kerajaan Malaysia menyekat penerbangan dari negara China. Satu catatan di FB begitu menyentak fikiran saya apabila si penulis mencadangkan agar kerajaan memulakan lockdownselama 14 hari. Begitu sekalikah ancaman Covid 19 di Malaysia walaupun jumlah jangkitan belum sebanyak Singapura dan Thailand waktu itu? Pada 28 Februari 2020, Malaysia mencatatkan sebanyak 25 kes jangkitan tanpa ada kematian (dan saat catatan ini ditulis, Malaysia sudah mempunyai 2320 kes dengan 27 kematian). Paling menyuramkan saya awal Mac 2020, Kerajaan Arab Saudi mula melaksanakan penutupan penerbangan seluruh dunia. Maka, terkuburlah hasrat kami ke tanah suci.

Teman-teman sekerja masih yakin meneruskan trip ke Istanbul. Pada waktu itu, Turki baru mencatatkan 6 kes positif Covid 19. Ketua rombongan kami mengatakan keadaan di Turki terkawal, malah belum ada sekatan penerbangan. Saya memindahkan rasa sedih tidak dapat menunaikan umrah kepada perasaan ingin beriktikaf di masjid-masjid di Istanbul. Saya begitu berharap ianya menjadi perjalanan yang mengukuhkan rasa cinta kami suami isteri. Namun, Tuhan mempunyai cara yang lain memakbulkan niat saya.
15 Mac 2020, pihak penerbangan menghantar emel bahawa tiada lagi perjalanan ke Istanbul. Kami diminta mengisi borang bagi tujuan mendapatkan semula duit tiket. Saya dan suami berkejaran ke pejabat Emirates Airlines di tengah Kuala Lumpur. Kami tidak menangis, tidak juga tersenyum. Kami pasrah dan yakin itulah yang terbaik. Bukan rezeki untuk bermusafir berdua tahun ini. Malamnya, Perdana Menteri membuat pengumuman perintah PKP, berkuatkuasa 17 Mac 2020.

Saat catatan ini ditulis, selepas hampir dua minggu, penularan pandemik Covid 19 di Turki naik mendadak iaitu 9217 kes dengan 131 kematian. Malah terdapat satu kematian di Malaysia yang berpunca daripada perjalanan ke Turki. Allah ya Allah.
Akhirnya kami akur pada Qada’ dan Qadar Allah SWT.
Rezeki kami adalah menikmati hari-hari penuh cinta di dalam rumah. Pasti ada hikmah!
![]()
Para Doktor Adalah Wira Kita

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan
Seperti polis yang memburu penjenayah dan askar yang menewaskan musuh negara, begitulah peranan seorang doktor selepas Virus Covid 19 tersebar di seluruh dunia. Para doktor kini menjadi panglima perang di barisan hadapan, menangani musuh yang tidak nampak di mata. Pandemik Covid 19 ibarat penjahat baharu dengan taktik yang lebih halus, meresapi tamadun manusia moden. Virus ini bukan sahaja mencantas umur manusia, tetapi mengacau-bilaukan sistem globalisasi terutama ekonomi kapitalis serta meruntuhkan kasta negara. Manusia kini disatukan dalam bentuk pemisahan. Berpisah untuk selamat kerana sang virus menyukai kedekatan untuknya melakukan pembunuhan.
Kira-kira 4 bulan Covid 19 meratah imunisasi manusia, hampir 70 orang doktor di seluruh dunia yang menjadi tonggak pertahanan tewas. Di itali, seramai 45 orang doktor meninggal dunia dengan 6000 pekerja kesihatan dijangkiti Covid-19. Di Pakistan, doktor berusia 26 tahun dikenali sebagai Riaz Usama juga ‘syahid’ dalam peperangan membasmi virus bahaya ini. Pasukan doktor dan pegawai kesihatan bekerja 5 hingga 10 jam sehari menangani para pesakit baharu. Merekalah askar-askar yang terlatih untuk berhadapan musuh bernama penyakit. Mereka tidak boleh berundur ke belakang untuk menyelamatkan diri, sebaliknya berjuang hingga ke hujung nyawa.

Pada 30 Disember 2019, Doktor Li Wenliang, doktor pertama dari Wuhan Central Hospital yang mengumumkan kemunculan virus baru dari kotanya tetapi mendapat respon negatif daripada pihak keselamatan China ekoran menimbulkan panik awam. Doktor Li akhirnya meninggal dunia selepas menjadi ‘perwira pertama’ yang menyedari gejala dan bentuk serangan Covid 19. Bayangkan, ketika beliau merawat kumpulan pertama yang datang dengan Covid 19 tanpa persediaan keselamatan diri, beliau dijangkiti dan mulai tenat sejak 30 Januari 2020 dan meninggal dunia pada 7 Februari 2020. Pada 4 Mac 2020, rakan sekerjanya, Dr Mei Zhongming turut tewas dijangkiti Covid 19 selepas menangani para pesakit yang telah masuk ke angka puluhan ribu di seluruh China di hari kematiannya. Sehingga kini, 13 orang doktor mati di China akibat pandemik Covid 19.
Sekitar Februari 2020, apabila angka jangkitan dan kematian naik di Iran, saya menjangkakan Iran mungkin tidak mempunyai teknologi canggih berhadapan Covid 19. Jangkaan saya benar malah banyak negara maju seperti Italy, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat sendiri tidak mampu menghalang penularan wabak sehingga membaham ribuan bahkan puluhan ribu rakyat mereka. Amat tersentuh hati melihat gambar Dr Shirin Rouhani yang terpaksa melayani pesakit dalam keadaan dirinya juga telah dijangkiti Covid 19. Beliau meninggal dunia dalam keadaan Iran menyaksikan 6400 rakyatnya meninggal dunia akibat Covid 19.

Mengapa Simpati Kepada Doktor?
Tugas doktor berbeza daripada askar. Pekerjaan askar adalah menjaga keselamatan negara daripada musuh, sering dikaitkan dengan politik dan ideologi negara. Justeru, askar akan berperang dengan kumpulan musuh yang ditetapkan oleh negara. Tetapi doktor, mereka menyelamatkan nyawa manusia hatta manusia itu adalah musuh negara sekallpun. Pekerjaan mereka tidak dibatasi oleh perbezaan ideologi, agama, ras dan kasta. Secara hakikinya, doktor bekerja untuk memberi kehidupan kepada manusia.
Siapa sangka Tahun 2020 adalah tahun peperangan antara manusia dengan virus? Para doktor meninggalkan keselesaan, keluarga dan keselamatan diri untuk membanteras penularan pandemik Covid 19. Mereka ke hospital sebagai orang sihat, dan tahu ada risiko tinggi bakal dihadapi, tetapi kerana tujuannya menyelamatkan nyawa manusia, mereka menjadi pemberani yang ikhlas. Begitu juga para petugas kesihatan lain seperti jururawat dan pembantu makmal. Semuanya bekerja untuk keselamatan manusia lain.
Sekiranya kita mempunyai anak, mahukah kita mendidik mereka menjadi doktor? Kerana doktor adalah pekerjaan paling penting di era virus dan wabak begitu memusuhi manusia moden yang melampaui batas.
![]()
Maafkan Kami Kumbang

Tuhan memberi kami pengajaran supaya tidak menzalimi makhlukNya walaupun sikecil kumbang.
kami memujuk Darda’ agar melepaskan dua ekor kumbang yang dibeli di pasaraya.
“Darda’ jika ada orang ambil Darda’ dan pisahkan daripada abi dan umi, Darda’ menangis tak?” Dia mengangguk. “Begitulah juga kumbang tu, dia pun sedih sebab dipisahkan daripada anak-anaknya..”
Hati anak kecil yang suci. Darda’ mengajak kami lepaskan kumbang di belakang rumah.
Maafkan kami kumbang. Pergilah ke manapun yang kamu mahu. Doakan kami ya!








