Air Terjun di Korea..

Hari ini bawa anak-anak mandi air terjun di Yangpyeong kira- kira 63km dari rumah. Berjanji dengan keluarga Kak Siti dan Kak Sal dari Daejon. Bertemu tiga keluarga di kaki gunung Chungwon dengan 8 kanak-kanak dan 1 bayi😂 Provinsi Gyeongggi yang menjadi tempat tadahan hujan di Korea sangat kaya dengan sumber alami.

Di daerah ini ada gunung, sungai, air terjun, tasik, pulau (termasuk Pulau Nami) dan perbatasan Korea Selatan- Utara. Kami bertuah kerana rumah berada di hujung urat Seoul, masuk ke daging Gyeonggi😊Jadi kami dekat kepada dunia moden dan tradisional hanya sahaja rajin berjalan.

Berbalik kepada cerita air terjun, oleh kerana ini pengalaman pertama maka saya catatkan beberapa perbezaan air terjun di Korea dan Malaysia.

1. Air terjun di Korea berpunca dari gunung-gunung tinggi maka airnya lebih sejuk dan segar.

2. Walaupun Korea punyai banyak air terjun tetapi kebanyakannya tidak boleh mandi bagi menjaga air terus jernih dan bersih. Air terjun menjadi sumber ekonomi Korea dalam bidang pelancongan dan industri filem.

3. Orang Korea mandi air terjun hanya pada musim panas, mustahil pada musim sejuk.

4. Orang Korea bukan sekadar mandi, tetapi ada juga yang pasang khemah besar dalam air, duduk ramai- ramai sambil mengopi dan minum soju!

5. Anjing turut dimandikan dalam air terjun😞

6. Ada orang dewasa datang ke air terjun sekadar rendam kaki dan baca novel.

7. Boleh dikatakan semua kanak- kanak dan lelaki dewasa memakai baju mandi seperti satu peraturan. Namun itu bukan peraturan melainkan fesyen dan pengaruh pasaran termasuk iklan baju mandi di televisyen😂

8. Nenek-nenek dan datuk- datuk berusia 60 an, 70 an bahkan mungkin 80 an antara pengunjung paling ramai ke air terjun!

Di Atas Langit Incheon

Di Atas Langit Incheon

Salah-satu nikmat yang besar tinggal di perantauan adalah menerima kunjungan ibubapa dan sanak saudara. Bermula dengan kedatangan abah dan emak pada Oktober 2015, kami menyambut ramai tetamu di Seoul. Perkara yang membahagiakan adalah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, berdiri di ruang ketibaan dan menunggu keluarga dari tanah air muncul. Saat itu, hati tersenyum dan rindu berbalas.

Perjalanan dari rumah kami di Hwrangdae ke Incheon mengambil masa 40 minit jika jalanraya tidak sesak. Selalunya, beberapa hari sebelum tetamu jauh tiba, saya sudah mempersiapkan bahan masakan, kelengkapan bilik tidur dan mengemas rumah. Suami membeli ayam untuk stok seminggu. Anak-anak juga sudah dimaklumkan siapa yang akan bertamu menyebabkan mereka sangat teruja.

Incheon, Pintu Masuk ke Korea Selatan

Sebaik kita keluar dari Incheon dan masuk ke perut Seoul, sudah berbeza pamandangannya. Saat pertama kali tiba di Korea, awal Mac 2014, Incheon adalah gambaran pertama kami tentang Korea. Di kiri kanan jalan waktu itu adalah pohon-pohon rontok yang daunnya kering, tinggal beberapa helai. Kami melihat tambakan laut yang muram. Rumput kecil melata di atasnya. Di tengah lautan, ada kapal dan bot nelayan. Lebuhraya Incheon begitu besar dihubungi banyak jambatan berlapis dan salah satu jambatannya mirip Jambatan Pulau Pinang. Sepanjang perjalanan, jarang sekali ternampak rumah-rumah tinggi dan bangunan. Ianya sebuah pelabuhan yang jauh dari kepadatan kota.

Jambatan yang menghubungkan Incheon dan Seoul antara terindah di dunia, dengan kapal besar boleh berlayar di bawahnya

Berulang-alik beberapa kali ke Incheon, saya didekatkan dengan sejarahnya. Orang Amerika yang memulakan pendaratan kapal terbang di kawasan Incheon sewaktu Perang Korea meletus pada 1950 hingga 1953. Pilihan lokasi pendaratan ini dikatakan amat berisiko namun berjaya menggugat talian bekalan Korea Utara yang mahu menawan Seoul. Sebelumnya, Kota Incheon popular dengan masyarakat Cina dari Tanah Besar. Mereka membuka toko-toko perniagaan sehingga dikenali sebagai Chinatown di Korea. Di zaman pendudukan Jepun di Korea, Incheon disuburkan dengan aktiviti perdagangan. Kedudukannya yang berada di persisiran laut amat strategik untuk aktiviti eksport dan import. Kerja-kerja tambakan laut dimulakan oleh pihak penjajah Jepun. Kini, di atas lapangan tambahan, kilang-kilang berdiri megah.  

Jika kita mengitari seluruh Korea, kawasan paling ramai menghunikan masyarakat Cina adalah Incheon. Kira-kira 3000 orang Cina menetap di Incheon dengan 600 orang tertumpu di Chinatown. Jumlah penduduk Incheon diperkirakan 1 juta orang pada 1979, meningkat 2 juta orang pada 1992 dan data 2014 menyebutkan penduduknya bertambah menjadi 3 juta orang. Fakta ini menggambarkan Incheon sebagai kota yang berkembang dan mesra ‘pendatang’.

Rindu

Seperti kami yang selalu rindu pada tetamu, begitu anak-anak tempatan Incheon yang rindukan kedamaian asli kota mereka. Incheon sebagai bumi di sebelah laut dengan kekayaan sumber lautan yang luar biasa menjadi tumpuan sang kapitalis seluruh dunia. Kang Je Yoon, sasterawan Korea kelahiran Incheon menulis puisi tentang rindunya itu:

Pada pesisir Geomeunnang DI Pulau Daecheong

Jalan setapak menyusuri tebing yang mengarah ke syurga

Dan seorang tua yang akan kembali sendirian ke syurga

Telah tiba saatnya mencicipi  makanan terakhirnya  di bumi

Orang tua itu mengumpulkan tiram yang banyak melekat di bebatuan

Tiram-tiram itu mengembang dan menipis seiring dengan kemilau dan redupnya bulan

Orang-orang pulau juga berkembang dan menjadi layu seperti tiram-tiram itu

Orang-orang pulau ini ialah anak-anak rembulan

Incheon..Tunggu kami

Saat pesawat terbang tinggi, saya mengerdip ke bawah: ke lampu-lampu yang menerangi seluruh Incheon. Saya katakan: Insha Allah kami akan pulang semula ke Korea. Incheon, sabar tunggu kami!

Teringat sebuah pertanyaan kepada saya: “Apa yang paling membahagiakan sejak tinggal di Korea?” Jawab saya, “Yang paling membahagiakan adalah dapat balik ke tanah air!” Dan hakikat ini disaksikan oleh bumi Incheon!

Setelah Aku Meninggalkan Katil Itu..

Katil itu, tiada sesiapa menginginkannya. Hanya insan yang ditakdirkan untuk bermalam di atasnya, akan merelakan diri.

Di atas katil itulah, aku duduk, tenang. Di atas katil itu juga, aku berbaring damai. Di katil itu, pada jam 1 pagi 11 Jun 2020, aku mula merasa aneh, rasa tidak enak di perut dan pundi hingga aku berulang-kali masuk tandas. Di atas katil itu, aku sudah merasakan kesakitan untuk melahirkan.

Aku sudah tidak boleh melelapkan mata, apatah lagi tidur atas katil itu, katil di wad bersalin tingkat 2B, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar. Rasa sakit menyucuk-nyucuk perutku. Di situlah aku mundar-mandir mahu menghilangkan siksa sakit yang kurasakan paling sakit pernah dialami. Mulutku hanya boleh menyebut-nyebut Allah Allah, berselawat dan beristigfar. Di tepi katil itu, aku menunaikan solat terakhir sebelum aku bersalin. Solat dalam keadaan sakit contraction yang makin kerap.Hari ini, ketika aku membayangkan kembali katil itu, rasa sakit seperti satu helaian kenangan yang jauh, yang seperti aku tidak pernah mengalaminya.

Hari-hari seterusnya akan terus menggantikan jurus pandangku terhadap kehidupan. Pastinya, katil itu akan memperingatkan aku bahawa aku hanya seorang hamba yang tidak punya apa-apa, semua padaku akan diambil Tuhan pada bila-bila masa kehendakNya.

Kebiasaan Tauge..

Tauge antara sayur yang saya kurang gemar. Saya makan tauge ketika tiada pilihan sayur lain. Selama tinggal di Korea lebih 4 tahun, saya menyedari tauge mempunyai kedudukan ‘khusus’ dalam masyarakat Korea terutama di rumah-rumah makannya. Tauge mungkin ‘nampak’ selekeh kerana menjadi hidangan ‘percuma’ atau ‘banchan’; hidangan sampingan yang berulang-kali boleh ditambah, tanpa bayaran.

Tauge diibaratkan sebagai kesatuan masyarakat. Seorang kritikus sosial Korea, Kim Hwa Young mengatakan gelaran ‘kelas tauge’ merujuk kepada kelas-kelas yang padat di sekolah harian Korea, puluhan tahun lalu (Kini, sekolah harian Korea mempunyai 15-20 orang pelajar satu kelas). Lihatlah resam tauge, tidak tumbuh sendiri. Paling tidak jika ditanam dalam pasu kecil, mungkin kita mendapat segenggam tauge, bukan sebatang.

Kerana mudahnya menanam tauge dan mencicip hasilnya; kacang terlebih dahulu direndam dalam air dan kemudian dimasukkan ke dalam balang besar dengan lubang di bahagian bawah. Balang disimpan di tempat teduh dan disiram beberapa kali sehari. Dalam seminggu, tauge dengan kepala kuning dan batang putih memenuhi balang, maka ianya menjadi sayur popular di Asia. Dalam tradisi Korea, tauge dibuat sup untuk melegakan orang-orang mabuk kerana arak, atau menghilangkan lapar orang-orang tidak berduit.

Ketika kecil, saya banyak makan tauge kerana tiada pilihan makanan. Nenek, emak atau emak saudara akan membuat ‘sayur tauge’ untuk masakan yang boleh dicicip pantas; tauge goreng, masak lemak tauge atau kerabu tauge. Selepas berkahwin, hampir tidak pernah saya membeli tauge untuk dimasak. Tetapi, saya masih ingat momen-momen makan tauge yang dimasak oleh mereka tercinta.

Hari ini, selepas pandemik Covid 19 menyerang dunia, resam tauge menjadi kenangan mahal. Norma baharu melarang kedekatan dan sentuhan sebagaimana batang-batang tauge yang hidup ‘berjemaah’. Kita pasti merindukan saat bahu-bahu kita melekat atau dipegang rakan sekolah sewaktu perhimpunan pelajar. Untuk berapa tahun kita tidak boleh mengikut tradisi tauge? Tiada jawapan.

Loading

Covid 19 dan Sensitiviti Penulis

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Allah SWT Maha Hebat. Salah satu kehebatan-Nya adalah menjadikan unsur sensitiviti dan kreativiti dalam jiwa manusia. Golongan penulis adalah manusia yang menghargai kedua anugerah ini. Mereka menggunakan bakat, ketajaman sensitiviti dan kreativiti untuk menafsir kehidupan. Dari sudut psikologi, sensitiviti adalah  respon terhadap sesuatu kejadian yang menyentuh elemen-elemen kejiwaan.  Sensitiviti membuatkan seseorang ketawa, menangis dan berdukacita kerana sensitiviti berhubung rapat dengan emosi. Sensitiviti manusia berlaku apabila alat-alat pancainderanya menghantar maklumat ke otak. Penulis seperti manusia lain akan bertindak balas dengan infomasi yang dialami pancainderanya. Imam Al Ghazali mengatakan manusia pengarang mempunyai enam deria iaitu penglihatan, pendengaran, rasa, sentuhan, bau dan mata hati. Malahan, mata hati adalah deria paling tajam dan berseni memahami pengalaman hidup.

Di sepanjang zaman, golongan penulis menjadi ‘buku sejarah’ kepada manusia baik dalam pengkaryaan kreatif mahupun ilmiah. Penulis yang serius tidak membataskan diri menukangi perkara yang indah semata-mata, tetapi menyelongkar bahagian-bahagian kehidupan yang pahit, aneh dan memberi pengajaran kepada manusia.

Pandemik Covid 19

Jika ada sesuatu yang meresahkan manusia di Tahun 2020, ianya bukan lagi wang, pangkat atau teknologi tetapi pandemik yang bernama Covid 19. Kemunculannya membenamkan kepentingan material manusia era ini. Khuloud Al-Omian dalam Majalah Forbes, April 2020 mengatakan bahawa dunia akan berubah pasca Covid 19 melibatkan sebahagian besar sistem negara; ekonomi, pendidikan, politik dan perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, dunia belum dapat menjangkakan bilakah virus yang berukuran 125 nanometer (satu nanometer adalah 1 meter dibahagi seribu juta) atau 800 kali lebih halus daripada sehelai rambut ini akan hilang. Covid 19 adalah sejenis penyakit  dari keluarga Coronavirus yang bermula pada 1960-an. Coronavirus mempunyai tujuh ciri, empat daripada manusia dan tiga yang lain datang daripada haiwan. Covid 19 muncul daripada virus genetik haiwan yang terjadi di pasar makanan haiwan liar di Wuhan, China pada November 2019.

Dalam tempoh lima bulan pertama kemunculannya, Covid 19 telah menjangkiti dua juta penduduk dunia dengan 126811 kematian. Ianya menjadi pandemik yang paling pantas selepas jangkitan global Sars (severe acute respiratory syndrome) dan Mers  (Middle East respiratory syndrome). Bayang-bayangnya ditakuti sehingga ratusan negara mengisytiharkan perintah berkurung dengan istilah ‘lockdown’, ‘shutdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kisah-kisah kematian amat mengerikan. Hampir separuh mangsa yang meninggal dunia adalah mereka yang tinggal dalam rumah terutama orang tua dan orang yang berpenyakit kronik. Mereka tidak mengadakan perjalanan ke China mahupun negara luar, tetapi ‘si halus’ ini datang dengan cara  licik iaitu melalui kontak rapat yang membawa virus masuk ke dalam rumah.

Ada lebih seratus ribu kisah kematian dan dua juta kisah kesakitan, pertarungan dan pengakhiran antara hidup dan mati boleh dibukukan. Persoalannya, bersediakah para penulis khususnya sasterawan menukangi kisah-kisah yang berangkat dari kekejaman pandemik?  

Kemelaratan, ancaman, krisis sosial dan kesedihan mungkin banyak ditulis sasterawan kita. Misalnya, A Samad Said menerusi novel Salina merakamkan kehidupan selepas perang di Singapura dengan kemiskinan menjadi punca kebejatan sosial watak-wataknya. Begitu juga novel Ranjau Sepanjang Jalan, Shahnon Ahmad memposisikan penderitaan keluarga petani miskin sehingga tujuh beradik menyaksikan ibubapa mereka menjadi gila dan meninggal dunia. Namun, kesusasteraan yang berfokuskan pandemik iaitu wabak penyakit yang melanda penduduk dunia serentak belum popular di kalangan sasterawan kita kerana kedahsyatan bahayanya tidak terjangkau fikiran.

Para penulis Amerika misalnya mengambil waktu yang lama untuk mengangkat kembali tema wabak dalam karya mereka. Dalam novel Look Homeward, Angel (1929) karya Thomas Wolfe disebutkan tentang wabak pheumonia yang melanda Amerika selepas Perang Sivil. Pengarang secara tidak langsung menggambarkan watak-wataknya mengidap simptom flu dan batuk berdarah. Katherine Ann Porter menerusi karya Pale Horse, Pale Rider menggambarkan kesakitan wabak yang diangkat dari pengalamannya sendiri:

“The body is a curious monster, no place to live in, how could anyone feel at home there? Is it possible I can ever accustom myself to this place?”

Novel fiksyen terawal yang mengungkapkan kematian akibat pandemik adalah Novel The Scarlet Plague yang diterbitkan pada 1912. Secara imaginatif, pengarang, Jack London mewujudkan wabak Red Death yang hampir memusnahkan dunia pada tahun 2013. Novel ini mengkritik sikap manusia abad ke 21 yang percaya bahawa sains dapat menemukan ubat bagi sebarang penyakit. Walau bagaimanapun, manusia ternyata salah tafsiran terhadap makhluk kuman atau virus yang lebih licik membunuh manusia tanpa pandangan mata kasar.

The heart began to beat faster and the heat of the body to increase. Then came the scarlet rash, spreading like wildfire over the face and body. Most persons never noticed the increase in heat and heart-beat, and the first they knew was when the scarlet rash came out. Usually, they had convulsions at the time of the appearance of the rash. But these convulsions did not last long and were not very severe. The heels became numb first, then the legs, and hips, and when the numbness reached as high as his heart he died.

London juga mengatakan apabila kuman wabak tersebar terutamanya melalui mayat, manusia-manusia kota panik dan melarikan diri ke tempat yang sunyi dan terasing. Namun malangnya, tiada tempat tanpa serangan wabak. Novel ini terbit sebelum wabak Influenza pertama dalam sejarah manusia moden iaitu sekitar 1918-1920. Wabak ini telah mengakibatkan kematian 20 juta orang di seluruh dunia. Selain Influenza, wabak yang aktif mematikan manusia di era Jack London adalah cacar, batuk kering dan malaria. London seakan dapat menjangkakan bahawa pandemik adalah ancaman kepada manusia moden ekoran teknologi dan globalisasi yang memendekkan jarak dunia. Spanish Flu yang berlaku pada zaman Jack London lebih lambat tersebar kerana kenderaan hubungan dunia waktu itu adalah kapal laut berbanding kini, Covid 19 dibawa oleh kapal terbang.

Pengalaman Covid 19

‘Ketika saya bangun untuk menunaikan Subuh, mata susah dibuka. Keras berkerak. Sepanjang tempoh kuarantin, selain dari sakit tekak, saya juga perasan yang kedua belah mata saya selalu penuh dengan tahi mata.’

Pengalaman itu ditulis oleh Zaini Atan dalam e-bukunya berjudul Hukuman atau Rahmat? Kisah Pakcik Covid-19. Beliau menjadi penulis terawal yang membukukan pengalaman sendiri dijangkiti pandemik. Walaupun Zaini tidak cuba membangkitkan gambaran yang lebih dahsyat tentang Covid-19 tetapi selitan perasaan takut, sedih, cemas dan pasrah merupakan estetika yang mengharukan pembaca. Zaini Atan turut mengaitkan kesakitan yang ditanggungnya dengan hikmah dan kasih sayang Tuhan seperti katanya:

‘Saya terus sujud syukur. Bangkit dari sujud, saya ternampak kelibat isteri dan anak bongsu. Selama 30 hari kami terpaksa menjarakkan diri antara satu sama lain. Kami berpelukan. Sebak. Isteri mengalirkan air mata. Kalam Allah terlayar di minda,

‘Maka Nikmat Tuhan-mu yang manakah yang kamu dustakan (Surah Ar-Rahman)’.

Selain Malaysia, negara awal yang mengeluarkan buku kreatif tentang pandemik Covid 19 adalah Itali. Memanfaatkan pengalaman peribadinya menjalani kehidupan lockdown bermula 9 Mac 2020, Paolo Giordano menulis buku kisah benar berjudul How Contagion Works, Science, Awareness and Community in Times of Global Crisis

(Februari, 2020). Beliau menggambarkan Itali sebagai negara dalam peperangan apabila memulakan perintah berkurung. Malahan, ukuran Matematik tidak dapat membaca kecekapan Virus Sar-Cov 2 yang merebak luar kawalan manusia. Kebanyakan rakyat Itali percaya, virus ini akan hilang dengan mudah dan tidak membahayakan. Justeru, aktiviti sosial berjalan seiring penularan virus. Bahkan, penulis sendiri menghadiri parti dengan alasan angka jangkitan di Itali belum mencecah 2000 orang. Apabila Sar-Cov 2 meledak, warga Itali menghadapinya tanpa senjata (vaksin) dan persediaan diri. Secara pantas, mereka terkurung dalam kesunyian yang belum pernah dirasai:

The contagion has already compromised our bonds with the people around us and it has left loneliness in its wake; the loneliness of those in intensive care, communicating with other people trough a pane of glass but also a different kind of isolation, more diffused, more subtle, recognisable in the lips pressed behind surgical masks, in the suspicious look in having to be confined at home. In times of contagion we are all simultaneously free and under house arrest.

Walaupun Paolo Giordano tidak dijangkiti Covid 19, sebagai penulis novel dan ahli matematik, beliau cuba menyelami perasaan semua wataknya sama ada pesakit, orang awam, petugas perubatan dan saintis. Beliau menyimpulkan bahawa Sar-Cov 2 mengajar manusia untuk mendahulukan orang lain. Manusia memendam keinginan peribadi mereka agar kehidupan normal segera pulih. Keengganan untuk bersolidariti adalah punca keruntuhan negara menghadapi Covid 19. Penulis menegaskan bahawa masalah penularan bukan masalah setempat sebaliknya merangkumi seluruh dunia.

The community we should be taking care of isn’t our neighborhood or our city. It’s not a region, or Italy, or even Europe. Community, in the contagion is the entirely of the human species.

Kesedaran Paolo Giordano terhadap penularan virus selaras dengan pandangan Lord Kaimes bahawa  pengalaman yang ngeri, dahsyat, tidak logik dan pilu adalah sesuatu yang mempunyai nilai keindahan tersendiri kerana dapat memberi kesan kehidupan. Ianya mengajari manusia untuk menghargai setiap kebaikan di sebalik musibah. Penulis turut mengatakan, manusia perlu belajar daripada virus yang lebih cepat berubah, beradaptasi dan bertindak daripada manusia. Penularan Covid 19 di Itali yang diangkat Paolo Giordano dapat digandingkan dengan pengamatan penulis senegaranya, Joseph F.C. DiMento yang disiarkan di Akbar The Local, 23 April 2020.

“Hanya beberapa bulan awal Tahun 2020 berlalu, saat diriku melewati 10 ribu orang di Kota Milan yang indah, mengamati takjub Parco Sempione dan kehebatan Castello Sforzesco. Jalanan sibuk dengan kerumunan manusia tua dan muda, elegan menghirup udara luar kafe mewah. Para pembeli sibuk memilih keju dari Molise, basiate dari Sicily dan ikan sardin dari Venice. Aku memasuki Duomo, terlihat manusia-manusia yang asyik menghirup Prosecco yang mahal. Sayangnya kini telah berubah, dihancurkan oleh kesepian dan sunyi manusia. Yang tinggal di sana hanya para askar yang memegang senapang mereka.”

Mereka Yang Mati ‘Berperang’

Akhbar The Guardian antaranya yang mengambil peluang menghimpunkan kisah-kisah tragis mangsa Covid 19 di United Kingdom. Terdapat lebih 20 ribu kematian di negara tersebut pada April 2020. Menerusi himpunan kisah kematian Covid 19, pembaca menyedari bahawa serangan pandemik tidak mengenal usia, status, agama dan jantina. Mangsa tertua di UK merupakan antara yang terselamat ketika wabak Spanish Flu di Eropah pada tahun 1920. Hilda Churchill, 109 tahun meninggal dunia selepas beberapa jam dijangkiti Virus Sar Cov-2 daripada ahli keluarganya sendiri di dalam rumah. Kisah Hilda hampir sama dengan Linda Tuppen, 66. Bekas jururawat ini mendapat jangkitan Covid 19 selepas merawat anaknya yang kurang sihat selepas pulang dari Poland. Linda tidak mengetahui telah dijangkiti virus, hanya berehat di rumah dan disahkan meninggal dunia oleh anaknya. Hilda dan Linda adalah ribuan mangsa yang tidak melakukan perjalanan jauh, tinggal di rumah dengan kesihatan yang baik. Namun, pemburu ‘jahat’ tidak mengenal kemanusiaan.

Kisah kematian pasukan barisan hadapan (frontliner) yang terdiri daripada doktor dan kakitangan perubatan mencapai angka ratusan pada April 2020. Para doktor bagai panglima perang, membunuh musuh-musuh yang tidak nampak di pandangan mata kasar. Kisah-kisah ini ditulis para wartawan seluruh dunia sebagai rakaman tragis yang melibatkan tamadun pasca Covid 19. Baik di negara dunia ketiga seperti Iran, Indonesia, India mahupun negara maju seperti Amerika Syarikat, Itali dan United Kingdom masing-masing bergelut dengan kematian para doktor dan jururawat yang tinggi.

“Narjes Khanalizadeh seperti kebanyakan jururawat di Iran, tidak mempertanyakan apakah pandemik baru Covid 19 akan mematahkan semangatnya untuk membantu pesakit? Jururawat berusia 25 tahun ini, dalam keadaan fasiliti perubatan yang ‘buruk’ mempertaruhkan nyawanya sendiri berada bersama-sama pesakit Covid 19, di kala mereka terasing daripada keluarga. Hospital tempat bekerjanya tidak cukup topeng muka dan sarung tangan yang memenuhi piawaian keselamatan, Narjes dan jururawat lain sanggup menggunakan topeng muka yang dibuat sendiri. Virus telah meletus di negaranya, tidak guna lagi mengeluh, walau negaranya ditindas oleh kuasa besar yang menyekat peluang perubatan lebih baik, dia perlu berbuat apa sahaja memastikan pandemik tidak menjarah. Tetapi, akhirnya dia kalah juga. Kematiannya ditangisi jutaan rakyat Iran sebagai pejuang yang mati syahid.”

Kisah Narjes Khanalizadeh menjadi paparan utama di pelbagai akhbar dunia. Beliau adalah contoh para pekerja yang berdedikasi terhadap tugas sehingga akhir hayat.

Penulis Pasca Covid 19

Kita akan menyaksikan perubahan dalam bidang kesusasteraan pasca Covid 19. Ini kerana, para penulis seluruh dunia terlibat dalam pergulatan pandemik yang jauh dari jangkaan pemikiran manusia. Sensitiviti seseorang penulis akan meledakkan setiap sudut ‘kenangan’ Covid 19 terhadap dunia. Karya-karya sastera; puisi, cerpen, novel dan kritikan yang terhasil Tahun 2020 tidak mampu melepaskan bahana pandemik ini, sekaligus pemula kepada era baharu manusia. Sungguh, Allah SWT datangkan makhluk kecil ini untuk mengajar manusia tentang amanah, cinta dan tanggungjawab terhadap bumiNya.

Loading

Yang Bernama Makhluk

Sahabat saya berkongsi pengalamannya berbuka puasa di tempat kerja. Menurutnya, ada pekerja Melayu yang ‘tidak lalu’ berbuka dengan para pekerja Bangladesh kerana ‘cara makan’ yang berbeza. Para pekerja Bangladesh, mereka makan dengan menggaul nasi dan semua lauk lalu makan dengan seluruh tangan (sekepal-sekepal).Spontan saya menjawab, “Bersyukurlah. Di negara mereka, ramai yang tidak dapat makan langsung.”

Saya terbayangkan pengalaman ke Dhaka tahun 2008. Ratusan ataukah ribuan peminta sedekah yang lebih teruk nasibnya berbanding gelandangan di Malaysia. Sekeluarga merempat di sana sini, kefakiran diwarisi turun temurun. Yang datang ke Malaysia pula terpaksa bergolok-gadai, menjual rumah dan tanah demi mengubah nasib sendiri dan keluarga. Mereka itu bukan sahaja menanggung ibubapa dan keluarga sendiri tetapi ibubapa isteri dan adik-beradik isteri juga.

Di Malaysia, sekecil-kecil pekerjaan adalah sebesar nikmatnya kepada para pekerja ini.T ahukaH kita, bangsa mana paling ramai mempelajari bahasa Melayu sekarang ini? Jawabnya, orang-orang Bangladesh. Mereka giat mempelajari bahasa Melayu untuk meraih rezeki di Malaysia. Akhbar-akhbarnya giat mempromosikan cara belajar Bahasa Melayu kepada rakyatnya. Di kala bangsa kita makin ramai melupakan bahasa Melayu, Tuhan hadirkan umat yang lain untuk mengangkat bahasa kita. Pejamkan matamu daripada melihat kelemahan dan keburukan orang lain, Bukalah matamu seluasnya pada kebaikan dan kelebihan mereka.Kita sama-sama makhluk Allah SWT.

Share

Lorong-Lorong Sepi

Betapa hidup ini penuh perjuangan. Berselirat dengan nafsu dan syaitan yang telah berjanji menyesatkan manusia. Kadang kita menang, kadang lelah dan jatuh di lautan dosa. Kadang bukan kita, tetapi orang-orang berdekatan kita, yang impaknya terkena juga pada kita. Aduhai, benarlah Sabda Rasul yang bermaksud bahawa kehidupan bagi Mukmin itu bagai penjara. Disekat oleh keinginan yang terlarang.

Ampunkan kami TUHAN

Cerita Sebelum Bersalin

Pengalaman mengandung dan bersalin tidak boleh dibandingkan dengan orang lain. Sebagaimana Allah SWT menciptakan kehidupan seorang manusia, tidak akan sama dengan manusia lain hatta mereka adalah pasangan kembar. Itulah lambang kebesaran Allah SWT. Dia menciptakan sesuatu yang berbeza untuk memilih yang paling sempurna (taqwa):

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). ” (Surah Al-Hujurat: 13).

Tanggal Oktober 2019, saya disahkan mengandung anak ketiga setelah enam tahun ‘tiada rezeki’ atau istilah lainnya Tuhan merehatkan saya untuk memfokuskan hal yang lebih penting; ilmu dan hijrah. Pada tahun 2015, Saya diberitahu pakar sakit puan Hospital Seoul Medical Centre, Bongwahsan bahawa saya mempunyai ketumbuhan fibroid luar rahim. Ianya menjadi salah satu alasan mengapa ‘saya susah mengandung’ selepas melahirkan anak kedua pada tahun 2014.

“Apa perasaan mengandung dalam usia akhir 30-an?” tanya seorang sahabat. Perasaannya sama, seperti dua kandungan sebelum ini, bersyukur dan sangat gembira. Cuma, persediaan jiwa dan fizikal mungkin ada sedikit perbezaan.

ANAK PERTAMA

Saya berumur 26 tahun ketika mengandungkan anak pertama. Waktu itu bertugas sebagai pensyarah kontrak di UITM Lendu, Melaka . Suami masih di tahun akhir pengajian di UTHM, Johor. Setiap minggu dia pulang ke Masjid Tanah, Melaka. Saya banyak berdikari apabila keadaan kami yang jarak jauh. Tabahkan hati dan berjimat-cermat. Gaji saya tidak besar, RM1600. Dengan wang itulah kami suami isteri hidup seadanya. Saya tidak membuat persiapan mewah untuk melahirkan anak. Pakaian dan alatan dibeli berdasarkan harganya murah, bukan kualiti. Waktu itu juga saya bertarung menyelesaikan tesis sarjana dan syukurlah, dua hari sebelum pembedahan bersalin, saya sempat ‘submit’ tesis tersebut di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Kemudian dapat masuk hospital (Hospital Besar, Melaka) dengan separuh bebanan ilmu terlerai.

Mengapa pembedahan? Ramai yang gusar apabila saya memaklumkan akan melalui proses kelahiran secara pembedahan termasuklah ketua fakulti kami di CITU, Allahyarham Ustaz Sulaiman. Sebaik tahu kedudukan anak dalam perut saya sonsang, dia menyuruh isterinya membuat urutan kepada saya. Namun, siapakah dapat menolak takdir Allah SWT? Saya memang ditakdirkan menjalani pengalaman dalam dewan bedah.

Semuanya serba baharu dan serba pertama kali. Tidak ada ilmu tetapi saya membaca beberapa buah buku dan blog orang lain. Allah SWT memahamkan saya rezekiNya tidak dapat diukur dengan nilai gaji. Secara logik, gaji saya kecil dan suami masih belajar tetapi Allah SW mengurniakan pelbagai nikmat rezeki sepanjang proses saya mengandungkan anak pertama. Bermula dengan penajaan sebuah syarikat penerbitan untuk kami suami isteri ke London selama 10 hari (untuk buku Noorah), kemudian saya diberikan kekuatan oleh Allah SWT menulis buku, skrip drama televisyen dan menyelesaikan tesis sarjana. Allah ya Allah, syukur padaMu.

Dalam kesederhanaan mengharungi hidup baharu sebagai ibu, Allah SWT juga datangkan sahabat yang berkongsi alatan penyusuannya dengan saya. Malah, banyak lagi pemberian kawan-kawan yang menyebabkan semuanya lengkap untuk anak pertama. Ketika usia anak masuk bulan kelima (atau keenam) saya mendapat tawaran menyambung Ph.D dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Universiti Malaya. Maka saya dan suami (yang telah menyelesaikan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan mekanikal) membuat keputusan pindah ke Kuala Lumpur. Saya meletakkan jawatan sebagai pensyarah kontrak di UITM, Lendu.

ANAK KEDUA

Saya mengetahui sedang berbadan dua selepas menjalani kursus Biro Tata Negara (BTN) pada hujung 2013. Kehadirannya dalam tubuh saya mengejutkan sekaligus menggembirakan kami. Anak pertama sudah berusia dua tahun lebih, tempoh yang cukup baik untuk saya mengandung semula selepas pembedahan bersalin pada 2011. Waktu itu juga, saya sedang bergelut mencari tempat pengajian baharu di luar negara. Pihak Universiti Malaya mengarahkan saya menyambung Ph.D di luar negara dan pilihan yang saya ada antaranya Negara Jerman dan Korea Selatan.

Saya meyakini bahawa proses mengandung adalah nikmat yang berseli ujian. Nikmatnya adalah doa-doa mudah dimakbulkan Tuhan, rezeki mencurah-curah dan datang tanpa disangka. Ujian pula agak hebat kerana saya melalui proses ‘mabuk’ yang agak dahsyat. Kami telah membeli rumah jenis kondominium lama di Damansara Damai. Suami bekerja sebagai jurutera dan saya masih sebagai penyelidik di Universiti Malaya. Angin-angin alahan begitu kuat sehingga saya tidak mahu duduk di rumah sendiri, berhenti dari UM dan ajak suami pulang ke kampung sementara kami berhijrah ke luar negara.

Disember 2013, saya, suami, anak pertama dan anak dalam kandungan pulang ke Kedah. Rumah kami berjaya disewakan sebelum pulang. Kami bertawakal padaNya mudahan perancangan ke luar negara Allah SWT makbulkan pada tahun 2014. Dua bulan lebih kami menumpang teduh di rumah ibubapa saya di Kedah. Dalam keadaan diri yang masih alahan, nenek saya dijemput Ilahi. Kemudian, saya mendapat panggilan dari Hankuk University of Foreign Studies, Seoul agar segera mendaftarkan diri. Mereka memberikan saya biasiswa berbentuk penajaan yuran, manakala Universiti Malaya bersetuju memberikan saya biasiswazah sebanyak RM2800 sebulan. (Kami tidak dapat bayangkan lagi yang hidup di Seoul kos hidupnya sangat tinggi, RM2800 tu bernilai kira-kira 800 duit Korea). Dengan meyakini bahawa rezeki Allah SWT itu Maha Luas tidak bertepi, maka terbanglah kami termasuk anak kedua dalam kandungan ke Seoul tanggal 2 Mac 2014.

Hari-kari kandungan membesar dalam perut adalah hari-hari sibuk saya sebagai pelajar di HUFS, Seoul. Rumah kami adalah sebuah bilik seperti bilik hotel dengan sewa 200,000 won (dalam RM600). Saya menaiki subway dan bas ke universiti. Memanjat bangunan 4-5 tingkat yang tiada lif. Hidup di Seoul sangat mahal. Wang simpanan yang kami bawa juga menyusut cepat. Suami dan anak berkorban untuk saya. Tetapi, kami sudah nekad dan sama-sama bersabar.

Dalam keadaan begitu, tidak banyak persediaan untuk anak kedua. Malahan, kadang saya terlupa saya ‘sedang mengandung’ akibat kehidupan ‘sengit’ di kota besar seperti Seoul. Berjalan laju dan berjalan tanpa henti kerana kaki adalah kenderaan utama kami. Saya memperbanyakkan doa agar kali ini saya bersalin normal bukan pembedahan.

Sewaktu kandungan memasuki bulan ke tujuh, profesor membenarkan saya pulang bersalin di Malaysia. Ini kerana, kos bersalin di Seoul yang mahal dan amat menyedihkan, University Malaya belum memberi saya wang bulanan. Maka kami pulang ke Malaysia dan tinggal di Kedah sementara saya melahirkan anak. Alhamdulillah, anak kedua ini Allah rezekikan saya merasai kesakitan bersalin normal. Malah, selepas dua bulan, Allah SWT memudahkan kami 4 beranak pulang semula ke Seoul. Saya meyakini, setiap anak akan ada bahagian rezeki mereka. Sekembali ke Seoul, saya mendapat tawaran mengajar sambilan di HUFS sebelum dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Melayu-Indonesia, HUFS (2015-2018).

ANAK KETIGA

Keadaan diri tidak secergas dahulu. Alahan yang dialami juga kuat. Umur sudah 37 tahun. Saya dimaklumkan awal oleh pakar sakit puan agar bersalin secara pembedahan ekoran sejarah pembedahan fibroid pada Januari 2019. Allah, sebenarnya saya takut bila bayangkan bilik bedah dan alatannya, ngeri.

Tetapi di sebalik ujian, ada hikmah yang besar. Pandemik melanda dunia, PKP dilaksana dan WFH (work from home) menjadi norma baharu. Waktu-waktu mengandung kali ini sebahagian besarnya dalam rumah, bersama keluarga. Justeru, tidak perlu bersesak di jalan raya, bersibuk antara tugas pejabat dan rumahtangga dan semua dilakukan secara tenang. Ibadah juga lebih tersusun; solat jemaah awal waktu, membaca al-Quran lebih lama dan membaca buku. Alhamdulillah, saya dapat hasilkan empat buah cerpen dan dua buah artikel kali ini. Semuanya saya kembalikan kepada Allah SWT yang menitipkan nikmat masa, kesihatan, semangat dan peluang.

Waktu-waktu PKP memberikan saya peluang membuat persediaan bersalin lebih awal. Membeli pakaian bayi secara online, mengumpul barangan yang diperlukan seperti katil bayi, alatan penyusuan, tilam bantal, car seat dan mencatat setiap hal yang perlu dilakukan sebelum dan selepas bersalin. Saya kira, inilah kali pertama saya betul-betul ‘bersedia’ ekonomi berbanding keadaan diri ketika mahu melahirkan anak pertama dan kedua. Namun, semua itu tidak boleh diukur kerana rezeki Allah SWT untuk setiap anak sangat luas. Ibubapalah yang menumpang rezeki anak-anak. Dan, beberapa hari lagi saya akan masuk ke dewan pembedahan, saya terus berdoa agar Allah SWT memberi keselamatan, kemudahan dan kekuatan untuk menjadi seorang isteri dan ibu kepada anak-anak, kerana mereka adalah amanah dariNya.

Insha Allah saya akan teruskan catatan pada masa akan datang terutama dalam tempoh berpantang. Banyak yang perlu dicatatkan untuk tujuan ‘menyampaikan kebaikan’ bagi ibu-ibu muda yang lain. Yakinlah, rezeki Allah jangan sesekali diukur dengan wang gaji kita atau suami, kerana setiap anak akan membawa rahmah dalam kehidupan ibubapanya.

Loading

Sungai-Sungai Rindu..

Setenang Sungai Korea Selatan

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

“Dan Dia mengukuhkan gunung di bumi agar bumi itu tidak goncang bersama kamu, (dan Dia menciptakan) sungai-sungai dan jalan-jalan agar kamu mendapat petunjuk.”- an-Nahl ayat 15.

Setiap kali saya menaiki bas untuk ke universiti, pasti akan melalui sungai yang membentengi Pekan Seokgye dan Nowon, hampir di Timur Seoul. Sungai ini antara puluhan sungai kecil yang berarus ke Sungai Han iaitu sungai utama di Seoul. Dari  cermin tingkap bas, saya menatap sungai yang mengalir tenang. Airnya tidak begitu dalam, ternampak bunga-bunga kecil yang melata di kawasan bertanah tepi sungai.

Pandangan dari kejauhan kemudiannya menjadi satu keinginan untuk mendekat. Sewaktu pertukaran bas lain di Stesen Seokgye, saya mula memerhatikan dari balik benteng yang di bawahnya sungai kecil mengalir. Sungguh, tiada sampah dan sisa pencemaran. Yang ada hanyalah kumpulan itik dan beburung riang mengusik air. Masya Allah, saya menjadi terpesona.

Begitupun ketika mengitari Sungai Han yang sudah ditakluk tamadun pada kurun 18 sebelum Masihi, sungainya seolah-olah tidak pernah disentuh perubahan masa. Saya mula nakal membandingkan dengan sungai-sungai di Kuala Lumpur. Malaysia adalah negara sungai, justerulah nama-nama negerinya (seperti Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak) diambil daripada nama sungai. Malangnya, sungai-sungai di negara kita banyak yang tercemar. Bau di Sungai Klang sahaja cukup membuatkan itik menjauhinya, apatah lagi manusia. Jika begitulah keadaannya, bagaimanalah manusia boleh mendapat petunjuk (hidayah) daripada kebesaran Allah SWT yang menciptakan sungai dan semua makhluk?

Semakin Tunduk 

“Orang Korea majoritinya tidak beragama, tetapi adab mereka kepada alam termasuk sungai menyebabkan kita malu,” saya bercakap kepada diri sendiri. Pentingnya sungai kepada bangsa Korea dapat dilihat melalui usaha kerajaannya yang silih berganti. Dari tahun 2009, Kerajaan Korea telah membelanjakan kira-kira 18 billion US Dolar untuk menjaga alam semulajadi terutama sungai yang menjadi penghubung antara daerah dan kota. Usaha ini turut melibatkan pemindahan kilang dan lokasi yang boleh mencemarkan sungai. Bahkan, menurut pemerintah Korea, mereka membersihkan sungai seolah seperti membersihkan ateri seorang pesakit arteriosclerosis; perlu berhati-hati dan serius!

Allahuakbar! Di manakah pemimpin-pemimpin negara Islam yang mahu ke hadapan bercakap tentang pembersihan sungai dan alam semulajadi, tanpa niat politik atau menaikkan diri sendiri? Dan persoalan lain, mengapakah masyarakat di negara majoriti umat Islam tidak bersungguh-sungguh bekerjasama dengan pemimpin mereka untuk menjaga sungai?

Saya melirik lelaki dan wanita Korea berumur separuh baya, berjalan kaki di tepi sungai. Di sisi mereka, anak anjing berlari terkedek-kedek. Sepasang suami isteri dan dua anak pula mengayuh basikal, girang dan segar dek puputan angin. Bunga ilalang menari-nari sepanjang sisir sungai. Dua pasukan bola jaring sedang berentap di gelanggang yang juga terletak tebing sungai. Rumah-rumah tinggi yang tegap, balkoninya mengadap ke Sungai Han, Sungai Nakdong, Sungai Geum dan Sungai Yeosang: empat sungai yang memartabatkan bangsa Korea. Semuanya seolah-olah ingin melihat ke sungai, ketika melakukan apa-apa sahaja. Seperti lirik Yi Byeong-yeon, “Saat cahaya matahari pagi menari di Sungai Han, aku dapat menyaksikan dengan samar kapal-kapal nelayan di antara puncak gunung.” Kerana sungai seluruh Korea yang indah, semuanya mahu mendekat dan menatap air yang terus mengalir.

Pesan Imam Syafie 

Sungai amat penting kepada perantau seperti saya dulu. Di sungai, saya teringatkan diri sendiri; apakah mahu mengambil iktibar resam air sungai? Kata Imam Syafie, “Jadilah seperti air sungai yang mengalir, bukan yang bertakung kerana air yang mengalir itu memberi manfaat kepada manusia. Manakala air yang bertakung cepat busuk dan mendatangkan mudarat.”

Dalam al-Quran, Allah SWT banyak berkisah tentang syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Keindahan sungai-sungai di syurga pasti tidak terbayang oleh akal fikiran. Namun, sebagai motivasi kita dapat mengambil ‘semangat’ mahu ke syurga dengan melihat ‘bunga-bunga’ kisahan Allah SWT yang ada di dunia. Di waktu malam, saat kami berpeluang mengitari sisir Sungai Han yang dipercik cahaya lampu-lampu seluruh Kota Seoul, lalu hatipun berbisik, “Ya Allah, bagaimanalah sungai-sungai di syurga nanti, memandang sungai di hadapanku ini sahaja amat indah? Allahuakbar!”

Lalu, saya menyimpul iktibar. Sungai dapat menjembatani manusia kepada hidayahNya. Seperti ayatNya dalam Surah an-Nahl ayat 15 di atas. Kejadian Allah SWT secara fitrahnya sangat indah, cuma tangan-tangan manusialah yang menghancurkan keindahan itu. Di setiap sisi ciptaanNya adalah untuk manusia berfikir.

Malangnya, sungai-sungai di negara kita (dan negara majoriti umat Islam) telah dirosakkan manusianya sehingga menyebabkan ramai manusia jauh (dek sungai yang kotor) daripada memikirkan kebesaran Allah SWT.

Tetapi sungai-sungai di Seoul ini menyebabkan kami berasa kerdil dan tunduk padaNya.

Allah ya Allah. 

Loading

Aidil Fitri 2020

Ramadan 1441 Hijrah/ 2020 pulang dan pasti tidak berulang, sekalipun Ramadan 1442 akan menjengah tahun 2021, ianya tidak akan sama dengan Ramadan sebelumnya. Setiap saat kita menyaksikan perubahan pada hati dan fikiran kita, pada umur kita. Anak-anak yang bayi suatu ketika, menjadi kanak-kanak kini dan beberapa tahun lagi, menjadi remaja (dengan izin Allah). Kita yang dulunya muda belia, sudah terasa kekangan pada tubuh badan, misalnya jika terlalu makan manis; gula dalam darah naik. Bila makan banyak, hadirlah pelbagai penyakit. Tanda bahawa kenikmatan dunia bukanlah kenikmatan yang sebenar, hanya untuk dicicip’bunga-bunganya’. Begitu hari raya yang hadir, bukanlah sebenar-benarnya hari raya. Raya kita menunggu sebaik kaki kita memijak Syurga Firdaus.

Begitu, saya mengucapkan syukur pada Allah SWT masih mengumpulkan kami dengan ibubapa dan keluarga di Kedah. Walaupun hari raya musim pandemik hanya dalam rumah, anak-anak masih punya sepupu-sepupu untuk meraikan Syawal. Tahun-tahun akan datang, entah siapa dipanggil pulang dahulu ke kampung akhirat, semuanya jadi kenangan.

Begitulah adat perantau. Kita semua dalam permusafiran ke negeri abadi bernama akhirat. Hanya dua destinasi tempat kekal kita; syurga atau neraka. Mohonlah sebanyaknya pada Allah SWT agar rumah kekal kita adalah syurga. Bukan sebarang syurga tetapi SYURGA FIRDAUS. Oleh itu, biasakan diri kita untuk beramal, berakhlak dengan akhlak-akhlak ahli syurga.

Di kesempatan ini, saya memohon ampun maaf zahir dan batin, Selamat Hari Raya Aidilfitri, semoga kita dipertemukan lagi dengan Ramadan akan datang.

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَ مِنْكُمْ