Di Sela Melihat ke Jendela

Aku seperti nampak keriuhan anak-anakku, anak-anak jiranku berlarian di halaman surau depan rumah. Bermain girang, bergaduh dan menangis, main semula.

Mereka datang ke rumahku, meminta air. Hanya air sejuk menghilang penatnya berlari dan mengejar. Dua anakku mengambil cawan untuk teman-temannya. Cawan dengan air kosong sahaja, tetapi mereka bahagia. Mereka sambung main di halaman rumahku pula. Sehingga tiba-tiba ada yang menangis, bola yang disepak terkena dahi atau pipi.

rindu..

Dan jika berlaku hal cemas begitu, memberi tanda permainan akan tamat segera. Masing-masing pulang ke ‘sarang’. Dua anakku masuk ke rumah.

Aku lalu berleter, “Mengapa main kasar sangat?” “Habis baju kotor (atau seluar yang koyak).”

Aku menutup jendela.

Itu hanyalah peristiwa semalam, sebelum kita semua digelapkan oleh sang virus tanpa belas kasihan.

Halaman surau depan rumah sunyi amat.

Halaman sendiri meriah dengan rumput yang mula meninggi.

Loading

Selamat Ulangtahun Kelahiran ke ??? Buat Diriku..

Akhirnya, aku telah bertemu perasaan ‘orang-orang’ yang memejamkan mata mereka terhadap ‘angka umur’. Aku juga tidak silu lagi mengatakan, ‘Ah, umur hanyalah angka..’ Hampir tidak percaya, aku jadi gembira kepalang, seakan mendapat hadiah apabila rakan baikku ‘tersalah’ angka ketika mengucapkan ‘Selamat hari lahir Ummu yang ke 35..’ pagi tadi. Seperti jasad fizikal yang menghampiri ke takah ‘serius’, satu fasa peringatan akan hakikat perjalanan ke akhirat, begitu jugalah umur. Sedikit tetapi ‘sangat laju’ meninggalkan masa lalu, menjadi kepingan memori dan kenangan.

Tahun ini, kuusung juga amanah-amanah ‘tahun lepas’ yang tidak kulunasi. Ada perkara yang kita mahu, tetapi belum tentu baik. Begitu juga sebaliknya. Masa kita semua sama. Tidak cukup masa bukanlah alasan ‘luar biasa’ lagi, malah menjadi kebodohan jika mengucapkannya. Yang sebenarnya adalah ‘masa adalah keutamaan’. Jika sesuatu amanah atau tugas diberi keutamaan, maka ia akan selesai sekalipun memakan masa yang lama. Soal memberi keutamaan telah dibincangkan dalam bidang Fekah iaitu Fiqh Awlawiyat dalam hidup seorang Muslim.

Untuk umurku yang telah bergerak laju ini..Semoga Allah SWT selalu memberi taufiq dan hidayahNya. Banyak kelekaan yang menyebabkan diriku gusar dan gelisah. Semoga Allah jugalah yang mengampuni masa laluku, dan membimbing aku untuk memperbaiki masa kini dan akan datang, dengan didatangkan orang-orang yang disebut dalam Surah Al-Asr; berpesan kepada kebaikan dan berpesan kepada kesabaran.

Wahai diri, kuhadiahkan padamu sebuah senyum yang menyalakan semangat umur..!!!

Loading

Korea, Negara Bebenang Ilham

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Tidak ada satu cerpen pun saya tulis ketika merantau selama empat tahun enam bulan di Seoul, Korea. Setelah kembali ke tanah air, saya telah menulis enam buah cerpen dan sebuah novel berlatar-belakangkan negara yang digelarkan ‘sejuta payung’ di musim hujan. Tidak menulis bukan bermaksud saya melepaskan perca-perca idea, tetapi ianya adalah bebenang ilham yang disimpan untuk dituangkan. Ya, di saat rindu menjadi sungai.

Saya ingin berkongsikan tiga pengalaman kreatif saya, guna ‘melindungi’ makna kembara bagi seorang penulis. Cerpen-cerpen ini ditulis dalam tempoh tidak lebih seminggu, setelah melalui proses ‘pengeraman’ bertahun-tahun.

K-isteri dan ‘Sihir’ Seoul

Cerpen K-Isteri telah disiarkan dalam akhbar Berita Minggu, April 2019. Cerpen ini mengisahkan perngorbanan seorang isteri yang mengikut suaminya menyambung pengajian Ph.D di Seoul bersama dua anak kecil. Realitinya, cerita ini hasil renungan dalam saya terhadap kenangan tahun pertama tiba di Seoul. Korea adalah penjajah kita dari segi ekonomi dan budaya. Gara-gara gelombang hebatnya yang menjadikan huruf ‘K’ di depan banyak keinginan duniawi kita seperti K-pop, K-beauty, K-drama, K-food, tidak kurang juga ‘K-halal’, maka negara ini menjadi kegilaan muda-mudi di seluruh dunia. Saya diberitahu seorang Profesor dari Mesir, ramai gadis Arab ingin datang dan berkahwin dengan lelaki Korea akibat menonton drama Korea.

Sebagai perantau ilmu, tahun pertama di Korea bagi kami adalah tahun penuh pengajaran. Rumah yang mampu kami sewa adalah sebuah bilik di tingkat enam, terletak di kota kecil bernama Taereung. Daerah ini menjadi pintu keluar Seoul di bahagian timur, tidak sampai 100 KM menuju sempadan Korea Selatan dan Korea Utara. Bilik yang kami sewa cocok untuk individu bujang atau tinggal berdua, bukan yang membawa anak-anak kecil. Anak sulung yang berusia 3 tahun, turun dan naik katil kerana kecilnya ruang untuk bermain. Malam-malam kami ‘diserikan’ dengan teriakan-teriakan peminum soju kerana bangunan tersebut dibentengi restoran dan kedai 24 jam. Saya yang ‘buta’ bahasa Korea menjadikan ‘bahasa isyarat’ sebagai bahasa utama apabila ke pasar dan berselisih dengan golongan tua.

Orang Korea amat peramah dan pemarah. Pada hari pertama di Seoul, suami saya dimarahi pengawal bangunan kerana salah menggunakan plastik sampah. Setiap daerah di Korea mempunyai undang-undang sendiri dalam pengurusan sampah. Justeru plastik yang digunakan juga berbeza. Kami perlu membeli plastik sampah di kedai 24 jam berdekatan, mengasingkan jenis sampah dan meletakkan sampah di tempat yang khusus. Setiap pagi dan petang, akan ada golongan gelandangan (biasanya orang tua berumur 70-an ke atas) menguruskan pembersihan tempat sampah dan diberikan bayaran oleh pihak penguasa daerah. Walaupun Seoul mempunyai lebih 10 juta penduduk, sampah-sampah yang ada di jalanan tidak menunjukkan jumlah penduduk seramai itu. Boleh dikatakan tiada sampah-sarap di tempat awam. Bagi tuan-tuan anjing, mereka membawa plastik atau bekas najis binatang ketika bersiar-siar luar rumah.

Oleh kerana anak saya begitu memerlukan rakan sebaya, saya mencari tadika lokal yang sesuai dengannya. Baharulah saya tahu bahawa yuran taska amat mahal dan proses memasukinya sulit. Saya perlu mendaftar atas talian, menunggu kekosongan dan yuran tadika antara RM1200 sehingga RM1500 sebulan dalam nilai RM. “Kami hanya mampu memiliki anak paling ramai dua orang kerana kos membesarkan seorang anak lebih sejuta ringgit (dalam nilai Malaysia),” kata rakan Korea saya yang telah membuat pengiraan membesarkan anak. Saya terkejut kerana seumur hidup saya, tidak pernah ‘mengira’ begitu. Sebagai Muslim, saya diajar bahawa setiap anak adalah rezeki yang besar. Sisi kesukaran ini saya masukkan dalam cerpen K-Isteri. Saya menyimpulkan dalam cerpen ini:

‘Negara yang berpangkal K dalam banyak hal, benar-benar menjadi K iaitu kertas duit. Menjadi seperti ibu Korea, adalah menjadi ibu yang ada kertas duit dalam dompetnya.’

Cerpen Rindu Seorang Seon Mi

Di tahun kedua saya di Korea, ibubapa datang berziarah. Sebelum pulang ke tanah air, ayah saya menyatakan hasratnya mahu melihat suasana ‘kampung’ Korea Selatan. Hasil risikan kami menemukan Daerah Pocheon yang berdekatan dengan Kota Paju, bahagian utara Korea Selatan. Kira-kira 50KM dari perumahan kami. Cuaca Oktober memperlihatkan Pocheon sebagai tubuh Korea yang paling awal menerima suhu sejuk. Kami menyewa sebuah chalet atas Gunung Myengseong milik keluarga angkat rakan. Malam itu, kami kesejukan dalam suhu 0 celcius, sedangkan di Seoul, waktu malamnya sekitar 6 celcius. Deruan helikopter menjadi ‘unggas’ percutian kami. Rupanya, Pocheon adalah salah satu pusat latihan tentera Korea Selatan yang bersedia jika berlakunya serangan musuh dari Korea Utara.

Pocheon terkenal dengan keindahan alami terutama Tasik Sanjeong. Dikunjungi pelawat seluruh Korea sepanjang tahun dek puputan angin segar gunung. Keindahan tasik saya gambarkan dalam cerpen Rindu Seorang Seon Mi yang tersiar di Majalah Tunas Cipta, 2019:

‘Tasik Sanjeong dikawal tiga raksasanya; Gunung Myengseong, Gunung Mangbong dan Gunung Mangmubong. Tiga raksasa itu bertukar-tukar wajah selama musim berganti. Selalunya di musim salju, gunung-gunung menjadi putih dan kaku sehingga tidak berupaya menatang tasik untuk terus menjernih. Waktu itulah, tasik tanpa air yang berkocak diganggu suhu beku, sehingga-hingga tiada orang mahu mendayung dan melepaskan nafasnya ke tasik dan kampungku menjadi sangat sunyi. Tetapi yang kubanggakan adalah rumput ilalang yang mengelilingi tasik dengan juntaian bebulunya mampu melirik rambut orang dewasa. Pada empat musim yang bergantian, rumput ilalang tidak banyak berubah sifat. Akarnya tetap meninggikan dahan dan ranting baik ketika panas mahupun sejuk. Cuma daun-daunnya memakai warna coklat ketika sejuk, menggantikan hijau saat cuaca membahang.’

Saya tidak ingat, apakah saya pernah berdoa untuk kerap datang ke Pocheon sehingga saya dibawa ke sini enam atau tujuh kali selama tinggal di Seoul. Cerpen ini berlatar-belakangkan Pocheon kerana latarnya melekat di fikiran, seolah-olah itulah ‘kampung’ saya di Korea. Idea utama cerpen ini bukanlah semata-mata cantiknya Pocheon namun ada nilai kekeluargaan moden Korea. Suatu hari, saya pernah bertanyakan rakan Korea saya, Boh Yuen. Berapa kali dia menelefon ibubapanya yang tinggal luar Seoul. Jawab Boh Yuen yang cantik itu, “Saya jarang telefon ibubapa kerana tradisi keluarga kami, jika ada masalah sahaja kami saling menelefon. Kalau saya tidak menelefon ibu atau ibu menelefeon saya bermakna kami sihat dan baik-baik.” Jawapan itu saya cantumkan dengan cerita pemilik sebuah chalet di Pocheon, wanita berusia 60-an. Anak-anaknya sangat sibuk di Seoul, untuk ubat hatinya, dia membuat perniagaan chalet di gunung yang memberi udara terbaik kepadanya, menjadi terapi hari tuanya.

Cerpen ini mengangkat kasih sayang antara nenek dan cucu, yang tidak berubah seperti hutan dan sungai Korea walaupun diterjah pembangunan zaman:

Riak Sungai Han malu-malu di musim luruh. Hanya ketika itik-itik menyelam dan bermain air di tebingan sungai, baharulah aku perasan Sungai Han masih bersuara. Sama seperti tasik-tasik gunung Pocheon, bunyi rumput ilalang lebih meriah dari sungai yang tak disentuh manusia. Sungai lebih menjadi cermin. Kulihat wajahku yang berumur 6 tahun perlahan-lahan berubah menjadi 26 tahun sekarang. Tiada sesiapa lagi mahu mendukungku di belakangnya. 20 tahun dulu, rasa sunyiku diusap oleh kasih sayang nenek. Setiap kata dan ceritanya memantul di fikiranku sehingga aku mencari riak sungai untuk membersihkan rindu.

Para Pencari Rumah

Cerpen ini disiarkan di Akhbar Mingguan Malaysia, Mei 2019. Ianya bongkah-bongkah pengalaman saya berinteraksi dengan para pendatang luar ke Korea. Kisah begini jarang (atau tidak pernah) diangkat dalam drama dan filem Korea. Kisah-kisah terpinggir tentang hak asasi dan kemiskinan. Itaewon adalah pintu ‘belakang’ mengenali Korea Selatan. Bagi pelancong Muslim, Masjid Itaewon adalah pusat gerakan Islam utama di Seoul. Kawasan sekitar masjid adalah tempat makanan halal terbesar dan terpadat. Di sini jugalah, para pendatang Muslim baik pekerja profesional, diplomat, buruh dan pelajar akan bertemu khususnya ketika sesi Solat Jumaat. Seramai 40 ribu orang Indonesia bekerja di Korea dan merekalah kumpulan Muslim paling ramai membina masjid di seluruh Korea. Bagaimana pekerja buruh dari Malaysia?

Secara legalnya, Malaysia tidak pernah membekalkan tenaga buruh kepada Korea Selatan. Namun, terdapat 5000 pekerja tanpa permit dari Malaysia yang bekerja di kilang-kilang dan ladang-ladang seluruh Korea. Akibat melanggar undang-undang, kumpulan pekerja tanpa izin ini sering mengelakkan diri daripada rakan senegara. Situasi ini saya gambarkan dalam cerpen:

‘Kami ‘para pencari rumah’ selalu mengelak diri untuk menjawab soalan, “Dari mana kamu datang?” oleh orang-orang yang kami temui di Masjid Itaewon, Seoul. Kami adalah para pendatang dari negara yang memiliki peradaban agung sebelum dirakus ketamakan kuasa besar. Lutfi dari Yaman, Yousef dari Syria, Iman dari Bangladesh dan aku sendiri dari Malaysia. Pertemuan kami akan berlaku sekali seminggu di Masjid Itaewon. Walaupun cuba mengelak dari soalan di atas, tetapi persaudaraan kami berempat turut bermula dengannya: “Dari (negara) mana saudara datang?’

Seorang pekerja Malaysia tanpa izin berkongsikan dengan saya, sebab dia terjerumus bekerja di kilang kimci dan kilang besi di Korea. “Saya datang cari duit untuk bayar hutang PTPTN. Di Malaysia susah kerja walaupun saya ada diploma kejuruteraan. Keluarga saya pun susah sekarang,” kata F yang berusia awal 20-an. F bertuah kerana dilayan baik oleh tauke Korea dan dibayar gaji mengikut jam kerja. Sebahagian rakan-rakannya dimanipulasi pihak majikan Korea seperti mendapat bayaran rendah dan duduk berhimpit dengan pendatang asing negara lain.  Keadaan ini saya jelaskan dalam Cerpen Para Pencari Rumah:

“Bagaimanalah aku tidak kotor? Berkerja di kilang besi 15 jam sehari dengan peraturan tidak boleh menunaikan solat, bukan seluruh tubuh hitam dan berbau, hati juga kelam,” balas Lutfi, disokong aku kerana kami bekerja di tempat yang sama, secara haram. Biasanya, perkumpulan kami terjadi pada hari Ahad; satu hari kemanusiaan yang diberikan tauke-tauke kapitalis negara ini kepada para pekerja haram seperti kami. Satu-satunya tempat yang menjadi pilihan utama kami adalah Masjid Itaewon. Aku tidak tahu, nenek moyangku generasi ke berapakah yang mendoakan anak cucunya menjadi pencinta Tuhan. Sekurangnya, dalam hatiku ada rasa berdosa kerana sering terlewat solat. Di kilang yang dipenuhi bau mesin dan manusia marhaen, aku tetap mencuri solat hatta tempatnya adalah tandas. Pada hari Ahad dan cuti umum, aku mengambil subway jalur 1 dan 6 dari Incheon untuk sampai  ke Itaewon. Perjalanan kira-kira satu jam, tetapi kerana aku berasa nyawaku berada di masjid, wang upah dua jam berkerja sebagai buruh kilang besi kukorbankan.’

Kerlipan neon Seoul bukan sebarangan. Ianya kota sihir. Berada dalamnya membuatkan diri tidak mahu berganjak. Bahkan, kelip-kelip lampu menjadikan Seoul bak gadis jelita. Kota yang melimpahkan orang kaya di puncak dengan kaum pekerja menatang mereka. Sesungguhnya, kemewahan Seoul menyirnakan tapak-tapak kaki para gelandangan yang tidur berbumbungkan langit.

Bebenang Ilham

Begitulah tiga cerpen yang terikat dalam bebenang pengalaman saya yang panjang. Pastinya, selepas ini saya akan terus menulis karya kreatif yang berakarkan Korea. Sebagai pengakhiran, saya petik terjemahan puisi berjudul Ais, karya penyair Korea Chang Sung Hui.

Suatu hari ketika aku sakit dan sendiri
Aku melebur dalam dingin dan kehilangan bentuk

Aku bukan diriku

Aku benamkan kakiku setelah perjalanan panjang
Dalam sepatu berujung kotak
Dinginku tercinta pun memudar
Saat sepatuku berdetak dengan riuh

Nama yang panjang tidak kuasa kuucapkan
Tertahan kelu di lidahku

Loading

Maruah Protagonis

Oleh: Ummi Hani Abu Hassan

Harga diri atau maruah adalah sesuatu yang mahal dalam hidup manusia. Melaluinya, manusia akan dipandang dengan pelbagai cerminan. Yang tertinggi adalah cerminan penghormatan dan kemuliaan. Menerusi empat buah cerpen yang tersiar dalam Majalah Dewan Sastera Bil. 10 2020, para pengarang meletakkan persoalan harga diri sebagai kemenangan watak-watak utama.

Cerpen Pakda Mail karya Mukhtar Mustafa mengangkat watak lelaki petani yang berusaha keras selepas ditimpa bencana sebelumnya. Pengarang memakaikan sikap ‘belajar dari kesilapan’ kepada Pakda Mail, menjadikan protagonis cerpen ini kelihatan hebat di pandangan pembaca. Berikut adalah sifat-sifat yang meninggikan harga diri Pakda Mail:

Dari pengalaman itulah Pakda Mail sentiasa beringat-ingat. Soal makanan tidak boleh dipandang remeh. Wang ringgit tidak banyak tidak mengapa, asalkan beras, ikan dan garam cukup tersimpan buat bekalan. Kesusahan yang melanda keluarga Pakda Mail bukan sekali. Telah banyak kali Pakda Mail tempuhi. Tetapi, Pakda Mail tidak pernah merasai putus asa. Dia mempunyai tali pengikat yang kuat. Semuanya disandarkan pada rezeki Tuhan.

Watak Pakda Mail menjelaskan bahawa harga diri adalah bersifat subjektif. Walaupun dia seorang yang tidak mempunyai kedudukan dalam masyarakat, namun memiliki harga diri yang tinggi disebabkan sikap berdikari dan berusaha keras. Pengarang mewujudkan perasaan ingin dihormati Pakda Mail dengan menghadirkan watak negatif Mat Ropi. Walaupun seorang yang mempunyai harta dan dikatakan ‘penjual kedai runcit yang kaya-raya’, tetapi dalam diri Pakda Mail, Mat Ropi adalah insan yang haloba dan tidak berperikemanusiaan. Peristiwa Mat Ropi menolak permintaan Pakda Mail menjadi titik-tolak dia tidak meminta-minta kepada orang lain. Hal ini dapat dikaitkan dengan pandangan Sigmund Freud bahawa kehidupan individu hampir sepenuhnya melibatkan keadaan bawah sedar dan mendorong tindakan luar kawal untuk memenuhi keinginan dalam diri. Oleh kerana Pakda Mail berasa terkilan dan malu dengan orang kaya seperti Mat Ropi, dia menjadi ‘gila bekerja keras’ tanpa disedarinya. Pakda Mail mengerahkan isteri dan anak-anaknya memanfaatkan tanah pusaka dan tanah kerajaan dengan bercucuk tanam, menternak ayam, itik, ikan dan kambing serta berjualan di pasar tani. Hasil usaha mereka sekeluarga, kerajaan memberikan tanah kepada Jusoh, anak Pakda Mail. Terakhir, pengarang sengaja menyinggung watak- watak yang bertentangan dengan Pakda Mail bagi mengukuhkan lagi harga diri protagonisnya.

Mat Ropi, Che Hassan dan Sidik kelihatan berbisik sesama sendiri. Tetapi mata mereka bertiga terjengkit keluar memerhati Jusoh menerima hak milik tanah dari Datuk Ketua Jajahan. Pakda Mail tersenyum lebar melihat gelagat mereka bertiga.

Seterusnya, harga diri yang sama dikemukakan Maslinah Abdul Malek menerusi cerpen Nyawa Musleha. Pengarang mempertentangkan watak miskin diwakili Leha, dengan watak orang kaya bernama Dali. Kekayaan Dali digambarkan oleh kata-kata Leha, “Duit engkau sudah berkepuk-kepuk. Goyang kaki pun, makan pakai engkau sudah terjamin.”

Konflik berlaku apabila Dali memujuk Leha menjualkan tanahnya kepada pihak pemaju. Di sinilah pengarang memasukkan kekuatan harga diri protagonisnya kepada pembaca. Walaupun Leha adalah janda anak satu dan miskin, tetapi harga dirinya terserlah apabila mempertahankan tanah pusakanya. Malahan karakter Leha lebih berani daripada ketua kampung berdasarkan nasihatnya:

“Tok penghulu, tanah orang kampung mesti dipertahankan. Kalau tanah tumpah darah ini sudah menjadi milik orang, ke manakah anak cucu cicit kita hendak tinggal? Mereka akan merempat di bumi sendiri.”

Keinginan rasa ingin dihormati pada watak Leha menjelaskan bahawa pengarang ingin membela nasib bangsanya yang dihimpit tekanan kemajuan. Isu Tanah Rizab Melayu yang semakin runcing terutama yang membabitkan kawasan bandar dan pinggiran bandar disebutkan secara tidak langsung. Pengarang secara sinis mengangkat karakter janda yang sinonim dengan kelompok lemah sebagai pemberani dalam cerpennya. Bahkan, pemikiran Leha jauh mengatasi kaum lelaki terutama ketua kampung dalam mempertahankan tanah. Walaupun orang kampung mendapat ratusan ribu ringgit hasil menjual tanah, tetapi bagi Leha, nilai tersebut lebih rendah daripada harga pasaran. Malahan, Leha membidas tok penghulu dengan mengatakan pembangunan yang ditawarkan pemaju lebih memberikan keburukan kepada penduduk.  

“Tok penghulu, tanah ini mahu dibina hotel mewah. Untuk siapa hotel ini? untuk orang-orang asing yang hidup dengan budaya entah apa-apa. Nanti habis anak muda kita terpalit dengan gaya hidup barat. Gaya hidup orang tidak beragama. Mahukan tok penghulu melihat anak bangsa kita rosak demi menelan buah kemajuan sebegini?”

Watak Dali dan sebahagian penduduk kampung yang menjual tanah merupakan bayangan sebenar dalam masyarakat Melayu di Malaysia. Pengarang mengemukakan idea Neonostalgia dari sudut pandang Leha yang melihat budaya menjual tanah sebagai sesuatu yang negatif dan merugikan bangsa, bahkan menjual tanah seperti menjual harga diri. Neonostalgia memainkan peranan penting dalam masyarakat pascamoden yang inginkan pengukuhan jatidiri seperti Leha. Pengarang mengangkat suara-suara insan yang dilihat kerdil dalam masyarakat sebenar iaitu Leha dan anak kecilnya, Burhan untuk mengepalai penentangan terhadap kelompok kapitalis. Menurut Hashim Ismail (2018), pemikiran Neonostalgia merupakan satu bentuk pemikiran yang bukan lagi untuk muncul mengenangkan kembali masa silam yang indah tetapi merupakan satu pembentukan pemikiran yang mengangkat pola-pola nostalgia sejarah silam, tradisi kolektif dan moraliti kolektif untuk diberi makna baharu supaya bangsa dapat memahami keagungan silamnya. Leha memperingatkan penduduk kampungnya agar tidak menjual tanah warisan biarpun kemajuan mendesak. Berikut adalah kata-kata yang mengangkat harga diri Leha, guna memperingatkan bangsa Melayu agar tidak ‘menang sorang, kampung tergadai’:

“Bukan sedikit keringat nenek moyang kita yang tumpah. Mereka bersabung nyawa menebas hutan belantara membuka kampung. Menabur benih harapan agar tumbuh pohon kehidupan buat anak cucu cicit menyambung warisan. Ada tanah untuk dipancang batu tanda milik, di sinilah kita hidup dan di sinilah kita bakal disemadi. Belum lagi disirahkan sejarah perjuangan panjang mereka menentang penjajah yang rakus menghirup darah pejuang hingga gugur mempertahankan tanah air. Andai semuanya digenggam orang lain, apa lagi yang tinggal untuk kita?”

Cerpen berikutnya menawarkan persoalan harga diri seorang pendatang asing.  Tukang Kebun Migran karya Uthaya Sankar SB menggunakan sudut pandang ‘saya’ yang membolehkan pembaca menyelami sepenuhnya perasaan dan pemikiran protagonis. Saya ditampilkan sebagai tukang kebun ‘tidak sengaja’ dari negara India. Perkenalan saya dengan tuan tanah iaitu sepasang suami isteri warganegara Malaysia berlaku apabila saya melalui kawasan rumah mereka dan memberikan petua menanam pokok. Pengarang secara sinis menyinggung sikap tuan tanah yang tidak pandai ‘menghargai’ tanah dengan gambaran berikut:

Halaman yang  luas,  puluhan pasu yang  kosong, dan  stok tanah berbaja yang terbiar mengujakan saya. Suvarnabhumi; tanah emas. Sia-sia jika tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Bahkan, sikap tuan tanah yang menyalahkan ketiadaan tukang kebun menggambarkan mereka hanya bergantung kepada orang lain untuk menjaga halaman rumah. Selanjutnya, pengarang mengangkat harga diri warga asing yang mempunyai pelbagai benih tanaman dan bijak memanfaatkan tanah orang lain. Kerajinan saya menyebabkan halaman rumah tuan tanah dipenuhi tanaman bunga dan sayuran. Saya juga tidak mengharapkan apa-apa bayaran daripada tuan tanah sekaligus memperlihatkan harga diri saya yang tinggi.

Para pendatang atau kaum imigran sering dicerminkan sebagai kelompok yang mengancam penduduk sesebuah negara. Namun, dalam cerpen Uthaya Sankar SB menunjukkan layanan dan kepercayaan ‘berlebihan’ rakyat Malaysia kepada pendatang asing. Tuan tanah digambarkan begitu percaya kepada saya sehingga memberikan kunci pagar rumahnya untuk disimpan oleh saya. Ini selaras dengan pandangan Hashim Ismail (2018) bahawa masyarakat pascamoden merupakan masyarakat yang sangat terbuka. Namun begitu, keterbukaan tuan tanah terhadap saya amat berbaloi kerana saya adalah manusia yang jujur dan berstrategi. Saya menyembunyikan identitinya yang sebenar sehingga pembaca dihidangkan dengan tanggapan tipikal masyarakat kepada kaum pendatang iaitu miskin, tidak berpengetahuan tinggi dan lemah. Ini dibuktikan dengan sikap tuan tanah yang tidak mahu bertanya latar-belakang saya kerana menganggap saya adalah pendatang asing biasa.

Harga diri akan menjadi semakin mulia apabila mendapat penentangan luar. Bagi menaikkan lagi imej dan harga diri protagonisnya, pengarang mewujudkan watak jiran kepada tuan tanah yang sering berprasangka buruk kepada saya. Jiran juga adalah pemilik tanah dan mahu saya menjadi tukang kebunnya. Jiran mula memburuk-burukkan saya selepas saya menolak permintaannya.

“Saya tahu apa rancangan awak. Awak boleh menipu mereka tapi saya sudah boleh mengagak niat jahat awak.”

Pengarang mendedahkan identiti sebenar saya di bahagian-bahagian akhir cerpen. Saya adalah pegawai dari Kerala, India yang datang ke Malaysia atas urusan profesional. Saya seorang pencinta tumbuh-tumbuhan dan melihat tanah sebagai anugerah. Peluang berbuat baik kepada tuan tanah dan melestarikan bumi dengan tanaman indah ditanggapi saya sebagai nikmat jiwa. Hal ini menampakkan harga diri saya sangat tinggi kerana mampu membahagiakan orang tanpa dibatasi pesimis bangsa, agama dan warganegara.

Cerpen seterusnya menawarkan kelainan pada watak iaitu sepasang penguin bernama Peni dan Ginu. Jusoh Ahmad menerusi cerpen Pengorbanan menonjolkan semangat perjuangan dua penguin sebagai harga diri yang perlu dicontohi manusia. Peni dan Ginu memaknai kejadian mereka sebagai makhluk Tuhan dengan rasa syukur tanpa berbelah bahagi. Keadaan fitrah mereka amat sukar jika dibandingkan dengan manusia iaitutinggal di kawasan beku sehingga negatif 60 celcius.

“Tuhan Yang Maha Mengetahui. Dia yang mencipta kita tentu ada hikmahnya yang tersembunyi. Kita wajib menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan. Jika kita membantah tidak bersyukur bererti melawan takdir-Nya, pasti kita menerima padahnya. Subhanallah! Kita dikurnia rahmat untuk memohon doa.”

Dialog Peni dan Ginu sarat dengan ucapan syukur dan pasrah kepada Tuhan. Pengarang cuba memanifestasikan ayat-ayat Al-Quran tentang pujian para makhluk kepada Allah SWT. Antaranya dalam Surah Al-Isra’ ayat 44 yang bermaksud:

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

Pengarang seolah ingin menyedarkan manusia menerusi sikap dan kata-kata Peni, Ginu dan Negun antaranya adalah menjaga hubungan dengan Tuhan dan para makhlukNya, bersyukur dan redho serta berkorban untuk ahli keluarga. Kemuncaknya, pengorbanan Peni yang sanggup menggadaikan nyawa demi memastikan anak-anaknya hidup adalah harga diri yang paling mulia. Malahan, pesanan si pemimpin kepada ketua-ketua keluarga penguin dapat menjadi teguran kepada para suami. Pengarang secara halus menegur para suami yang tidak  bertanggungjawab dengan menjadikan resam penguin jantan sebagai teladan yang boleh dipelajari.

Tiap-tiap pasangan, terutama suami mesti menjaga keluarganya. Mahu atau tidak tetap menjadi tanggungjawabnya. Pengorbanan itu adalah wajib bagi suami. Sebelum musim salji tiba dan kian membeku pastikan kesihatan sentiasa mantap. Sudah hampir tiba waktunya, hidup terpaksa digadai.” Jelas pemimpin mereka.

Kesimpulannya, empat buah cerpen ini menghidangkan perwatakan protagonis yang kaya dengan maruah dan harga diri biarpun mereka berada di posisi rendah dalam masyarakat iaitu petani, janda dan tukang kebun. Watak Pakda Mail mempunyai persamaan dengan watak Peni, seekor penguin dalam perjuangan membebaskan isteri dan anak daripada kesusahan dan ranjau hidup. Pakda Mail mendidik anak-anaknya berusaha keras dan tidak putus asa, sehingga akhirnya berjaya memperolehi tanah iaitu sesuatu yang amat penting dalam kehidupan. Manakala Peni mengorbankan diri agar isterinya dapat melahirkan anak mereka dengan selamat. Watak Leha dan saya dapat ditanggapi sebagai watak yang melambangkan sikap sesebuah bangsa. Berdasarkan pemikiran Neonostalgia, Leha adalah penerus tradisi para pahlawan Melayu mempertahankan tanah warisan di era moden. Manakala watak saya secara tidak langsung menjelmakan nilai-nilai baik dalam masyarakat Kerala, India kepada para pembaca di Malaysia iaitu sifat menghargai tumbuhan, jujur, dan rendah hati.

Persoalan yang boleh dikemukakan, apakah masyarakat di Malaysia semakin hilang harga diri sehingga secara kebetulan, empat buah cerpen ini memberi saran dan pengajaran yang sama?

Loading

Musim-Musim Pergantungan KepadaNya

Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Kini, setelah negara melalui pandemik panjang (Mac- Oktober 2020 sehingga ???) kita baharu tersedar bahawa bumi secara total adalah milik Allah SWT, hatta tanah yang kita pijak, tiada seinci pun terlepas daripada milkNya. Jadi, menjadi kuasaNya untuk mencorak keadaan hidup manusia; di mana, siapakah, berapa lamakah, semuanya menjadi persoalan yang hanya Dia mempunyai jawapan.

Tahun 2020, saya mengalami pasang surut ujian dan nikmat, nikmat dan ujian. Bahkan, insan sekeliling juga mengalami yang sama. Keterbatasan mengajar erti resah, keterbatasan juga memupuk rasa tawakal dan sabar. Sesungguhnya pilihan kita belum tentu pilihan Dia. Justeru, melalui musim-musim pandemik dengan bertenang, sangka baik, positif dan yakin adalah kemenangan awal buat diri, guna membangunkan jiwa insan sekeliling terutama suami dan anak-anak.

Saya yang lemah ini, selalu dibangkitkan dengan perkara-perkara masa lalu; kenangan hijrah, kenangan masa kecil, kejayaan yang pernah Allah hadirkan juga buah sakit yang dilalui, semuanya menjadi ubat; untuk terus sembuh dari kecederaan momentum diri. Bertanyalah kepada siapapun, mereka mengalami yang sama kita alami. Kecuali para wali Allah yang hidup mereka tidak mengenal resah dan gundah, hanya hati mereka tidak berenggang dengan Allah SWT.

Surah Al-Asr menjadi inspirasi:

Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang berpesan-pesan kepada kebaikan, dan kesabaran.

Loading

SAKIT RINDU

Di negara kimci dan kopi yang saling bersaing ini,

kutemukan bentuk rindu yang macam-macam.

Seperti musimnya yang silih berganti.

Dan pakaian orang-orangnya yang mula bertukar.

Daun akan hilang.

Warna akan pudar

.Rindu bergantian.

Strawberi akan banyak.

Buah durian tetap paling mahal.

Anak kecil dan anjing sukakan salji.

Orang dewasa menunggu musim bunga.

Tukang sapu merasa membersihkan daun daun lebih bahagia berbanding menyapu ketulan ais.

Yang hilang akan muncul lagi, hanya sabar menanggung rindu.

Rindu segiempat dengan empat musim.

Loading

Giliran

Baru-baru ini saya didatangi pelajar yang mahu lakukan Ph.D dengan saya. Dia pelajar yang baik, masih sangat muda, mendapat nilai kredit yang melayakkannya buat Ph.D tanpa perlu sarjana. Saya tidak tahu mengapa dia mahu lakukan Ph.D di bawah seliaan saya; seorang pensyarah yang ‘muda’ ilmu dan pengalaman. Moga-moga bukan kerana ‘aura’ negara Korea.

Dia terlebih dahulu menghantar proposal kajiannya kepada saya sebelum datang bertemu minggu lepas. Ini proposalnya yang kedua. Kali pertama dulu saya minta ubah banyak perkara. Kali ini nampak ada kemajuan tetapi masih longgar. Dia mahu mengkaji tentang Sastera Islam. Mahu membuat kajian bandingan novel Islam Malaysia dan Indonesia. Saya ‘menembak’ proposalnya dan minta dia datang ke bilik pejabat jika ada waktu. Esoknya, begitu gigih dia memandu dari Seremban ke UM untuk bertemu saya.

Yang pertama saya menyoalnya, apa isu kajiannya yang membuatkan dia tertarik memilih pengarang dan novel-novel itu? Adakah dia membaca mana-mana berita terkini dan menemukan fakta bahawa orang Malaysia mengalami masalah yang ingin diterokainya?

Yang kedua, apa latar-belakang kepada novel dan pengarang kajian? Apa peristiwa yang menyebabkan novel-novel yang dipilih itu muncul? Apa motif penulisan pengarang (yang kita dapat mengetahui dengan membaca biografi atau kajian pemikiran sekiranya pengarang itu adalah tokoh seperti Hamka). Kerana hal-hal di luar novel penting sebelum membandingkan mana-mana pengarang.

Yang ketiga, mengapa teori yang dipilih itu menjadi pilihan? Apakah teori yang senada tidak dapat mencerminkan hasil analisis lebih baik (nanti)?Dan berapa banyak teori yang sealiran telah dibaca?

Meja belajar saya di rumah Hwarangdae, Seoul 2015-2017

Banyak lagi soalan yang lain…

Sebenarnya, ketika saya memberi banyak soalan, bukanlah menunjukkan saya benar-benar ‘menguasai jawapan’. Saya hanya mengulangi cara yang sama pernah dibuat guru-guru Ph.D saya dulu. Mulailah kajian dengan mencari isu, memahami kontek teks dan pengarang serta mengenal pasti sebanyak mungkin teori sealiran.

Dan semua itu memerlukan pembacaan dan kesaksamaan berfikir.

Di akhir pertemuan saya ‘memujuk’nya.

“Dulu saya menulis tesis dua kali. Tesis yang kedua saya tulis ketika berada di tahun keempat Ph.D, tukar teori, analisis semula dan memenatkan. Adalah lebih baik penat pada tahun pertama kamu mendaftar Ph.D.”

Lalu, saya minta dia balik dan ubah semula kertas proposalnya dengan (mungkin) : isu baharu, pengarang lain, novel yang lain serta teori yang benar-benar dipilihnya setelah membaca, memahami teori sealiran yang ada.

Pelajar tersebut pulang. Saya terbayangkan guru-guru saya. Semoga Allah SWT mengurniakan kebaikan kepada mereka.

Loading

Mengenang Cara Anak..

Darda’ dalam bas ikut saya ke University Hankuk of Foreign Studies, Seoul, 2014.

Ada waktu-waktu, fikiran menjadi buntu. Sesekali diselimuti kenangan lama, yang membuatkan kembali segar semangat. Saya ingin mengenang cara anak pertama membesar, dengan fikiran-fikiran kecilnya yang hingga sekarang menjadi pengajaran kepada diri saya sendiri.

Antara paling besar hikmah penghijrahan kami ke Seoul dahulu (2014-2018) adalah dapat bersama anak-anak setiap masa. Wajah mereka adalah wajah-wajah ahli syurga, tiada dosa. Wajah yang menghilangkan penat saya berjalan kaki, turun naik bas dan subway, memanjat bangunan kelas dan keadaan ekonomi yang terbatas. Namun, apabila saya pandang wajah Darda’ dan Dawud, saya bersyukur pada Allah SWT, merekalah harta yang tidak boleh dibandingkan dengan apapun di dunia. Saya rasa kaya dan lapang hanya melihat wajah anak-anak, Alhamdulillah. Syukur ya Allah.

Pulang dari kuliah, Darda’ menyambut saya dengan senyum manjanya. Dia semakin petah. Bercerita tentang itu dan ini, tentang adiknya menangis, adiknya berak dan bangga memberitahu, dia kacau adik tanpa rasa bersalah.

Dalam ruang bilik kami yang seorang teman gelarkan ‘Bilik IKEA’ (dek kerana ruangnya seperti show room IKEA termasuklah perabot mesra ruang), di sinilah Darda’ belajar dan membesar. Gurunya adalah abi dan uminya. Gurunya adalah sikap dan akhlak kami sendiri. Jika saya ralit mengulit buku atau laptop, Darda’ pula akan ralit dengan gajetnya. Jika saya hari itu cepat naik angin, Darda’ ikut sama meragam. Seorang ibu sememangnya sekolah pertama anak-anak.

Sewaktu lampu dipadamkan, dan kami sekeluarga mahu tidur (hakikatnya saya belum mengantuk tetapi cara ini sahaja menidurkan Darda’ untuk Dawud tidur aman), suara nyaring Darda’ menyebut, “Hantu…hantu datang dah..” Saya atau suami kemudian membetulkan, “Bukan hantu, kita tak boleh takut hantu, kita mesti takut Allah, Allah Tuhan kita.” Lalu dia bertanya, “Allah mana umi?” saya jawab, “Kita tak nampak Allah tapi Allah nampak kita.” Darda’ diam cuba memahami.

Esoknya, ketika lampu dipadamkan, Darda’ menyebutkan, “Allah..Allah datang dah..” Masya Allah! Rupanya dia membayangkan Allah sebagaimana dia bayangkan hantu semalam. Saya dan suami geleng kepala, bagaimana harus diterangkan pada si kecil ini? Kenakalannya terutama dalam bab menarik perhatian kami makin kreatif. Misalnya, dia sengaja meludahkan biskut yang dimakannya ketika saya sibuk dengan Dawud. Atau menjatuhkan cawan yang diminumnya, atau menarik bantal ketika saya tidurkan adiknya. Tidak mahu marah-marah, saya katakan, “Darda’, nanti Allah ambil tangan Darda’, nak tak tak ada tangan?” Dia menggeleng bimbang. Atau saya katakan, “Darda’, nanti Allah ambik kaki tu..” dia takut sebentar . Esoknya, jika dia kembali ‘buat perangai’, dan belum sempat saya menegur, Darda’ sudah berkata, “Nanti Allah ambil gigi Darda’ nanti..eeeee’ “Nanti Allah ambil kaki Darda’ nanti eeee..” dan ayat-ayat tersebut menampak Tuhan dari sisi negatif.

Masya Allah, nampaknya saya tersilap strategi. Terpaksa saya betulkan, yang Allah boleh berinya macam-macam jika jadi orang baik dan ikut cakap umi termasuk kereta robot idamannya.Suatu ketika, saya bawanya ke taman permainan. Darda’ main seorang diri. Mulutnya riuh menyebut, ‘Nanti Sumayyah datang..nanti Sumayyah datang..lari..lari…’ Dia berlakon sendiri. Sumayyah adalah sepupu yang selalu dibulinya di Puteh Garden kerana mengacau permainannya. Sumayyah yang berumur setahun itu sering dianggap tidak layak berkawan dengannya. Kini Darda’ mula rindukan Sumayyah yang comel di kampung.Sekarang perkataan yang paling digemarinya adalah ‘besar’ dan perkataan paling tidak disukainya ‘kecil’. Dia nampak sangat terancam jika saya bergurau, “Adik Dawud besar, abang Darda’ kecil..” Dia bangun berdiri tegak dan menjerit kuat, “Abang Darda’ besar, adik Dawud kecil!” Semoga anak-anak kita semua dalam rahmat Tuhan Yang Maha Esa, di mana sahaja.

Saya mengucapkan syukur pada Allah SWT, mengurniakan kesihatan kepada anak-anak. Kini, sudah 9 tahun usia Darda’, menjadi abang kepada dua adiknya, mudahan dipilih menjadi pemimpin keluarga dan umat yang soleh. Umi sentidas rindukan Darda’, baik ketika bayi, kanak-kanak dan remaja nanti.

Loading

Salam Maal Hijrah 1442

Anakanda Dawud di laman hijrah kami di Hwarangdae, Seoul, 2016.

Tahun baru umat Islam adalah tahun hakiki kita untuk (berusaha) menjadi hamba dan khalifahNya yang lebih baik. Sungguh penat perjuangan menjadi orang yang baik, bagai berenang di lautan, mereka yang tanpa iman pasti tenggelam, bahkan yang mempunyai iman juga, kadang berjaya kadang kalah dengan arus dunia yang dahsyat.

Saya tidak menyeru orang lain lebih banyak daripada diri saya sendiri. Hijrah menuntut pengorbanan laksana Nabi Muhammad SAW dan kaum muhajirin berkorban segalanya termasuk keluarga dan kampung halaman untuk ke destinasi baharu yang dijanjikan Allah sebuah negara Islam Madinah. Bahkan di Madinah, para penduduk Ansar berhijrah dari perspektif yang lebih halus, iaitu hijrah diri dengan dengan berkorban ; berkongsi segalanya hatta isteri pun sanggup diceraikan untuk dikahwinkan dengan para sahabat golongan Muhajirin. Bukanlah satu perkara yang mudah tanpa memahami hakikat tauhid pada-Nya.

Setiap detik kita adalah peluang berhijrah.

Loading